Tragedi Yang Dilupakan
Pagi
itu saya ditugaskan untuk membuat liputan mengenai program Pemeriksaan
Kesihatan untuk Warga Rohingya di Sekolah Pelangi Kasih, Taman Selayang Baru,
Batu Caves anjuran Sukarelawan Perubatan Islamic Relief Malaysia (IRM). Walaupun
pada mulanya kaki berat untuk melangkah, namun dengan keyakinan bahawa saya
akan mendapat ‘sesuatu’ di sana, saya gagahi jua.
Bersama
rakan setugas, kami menuju ke Selayang dari Bangi kira-kira jam 9.45 pagi.
Sampai sahaja di Sekolah Pelangi Kasih, kami disambut mesra oleh seorang kakitangan
Malaysian International Welfare & Humanitarian Organisation (MyWelfare) yang
turut sama menjayakan program tersebut. Difahamkan bahawa program telah pun
bermula dan masih ramai yang menunggu giliran untuk diperiksa. Saya sempat
menjeling kawasan persekitaran di sekolah tersebut. “Bersih, kemas.” Itulah
yang terdetik di hati saya ketika itu.
Kami
memasuki kawasan pemeriksaan. Penuh. Ramai. Kanak-kanak, orang dewasa, lelaki,
perempuan, semua memenuhi ruang yang sempit. Pelbagai reaksi wajah dapat dilihat.
Kanak-kanak dengan riang tawanya. Yang dewasa pula bagai tiada perasaan. Barangkali
sedang memikirkan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup di bumi yang
asing bagi mereka ini.
Kami
menuju ke ruang utama. Maklumat diperolehi. Mereka perlu menjalani lima langkah
pemeriksaan. Bermula dengan pendaftaran, mereka kemudian menjalani ujian darah untuk
mendapatkan bacaan gula. Selepas itu, mereka perlu menimbang berat badan dan mengukur
tinggi. Untuk kanak-kanak, ukuran lilit kepala mereka diambil untuk mengetahui tumbesaran
mereka. Selepas langkah itu, pemeriksaan terperinci dilakukan oleh doktor-doktor
yang bertugas. Rata-rata mereka tiada rekod perubatan yang boleh menjadi rujukan
para doktor. Mereka kemudiannya mendapatkan bekalan ubat-ubatan dari ahli farmasi
yang hadir.
Pada
hari tersebut, seramai kira-kira 180 orang warga Rohingya sekitar Selayang,
Batu Caves, Sentul, dan kawasan sekitar hadir untuk mendapatkan rawatan percuma
itu yang melibatkan 20 orang sukarelawan perubatan.
Kesempatan
yang ada memberikan saya peluang untuk beramah mesra dengan mereka yang hadir. Kebanyakan
kaum wanita warga Rohingya tidak faham dan tidak boleh berbahasa Melayu. Saya
beralih kepada kanak-kanak yang begitu teruja dapat berkumpul hari ini. Dengan
pendidikan yang diberi, ada antara mereka yang boleh berbicara dengan bahasa Melayu
walaupun kurang fasih. Soalan demi soalan ditanya. Tentang asal usul, tentang
diri dan keluarga. Nampaknya mereka sendiri tidak tahu asal usul mereka.
Mungkin kerana kesan trauma yang mendalam, ibu bapa mereka juga tidak mahu
berkongsi cerita dan rahsia yang terpendam. Biarlah anak-anak mereka membesar
dengan gembira tanpa dendam. Menurut Ustaz Rafik, Pengetua Sekolah Kasih
Pelangi, dalam sesebuah keluarga Rohingya di sini, hanya ketua keluarga iaitu
kaum bapa sahaja yang bekerja manakala isteri mereka dibiarkan menguruskan hal
keluarga di rumah. Kerana itulah kebanyakan warga Rohingya yang ditemui, hanya
lelaki yang boleh bertutur dalam bahasa melayu kerana mereka sememangnya
bergaul dengan masyarakat Malaysia.
Jam
menunjukkan pukul 2 petang. Saya melihat masih ramai lagi warga Rohingya yang
menunggu giliran. Wajah para sukarelawan mula menampakkan keletihan. Walaupun begitu,
mereka masih melayani pesakit-pesakit dan meneruskan tugasan dengan rona muka
yang manis. “Muka dah penat, ramai lagi pesakit,” saya berkata-kata di dalam hati.
“Tapi masih tabah bekerja.” Perasaan kagum menyelimuti diri. Di zaman yang
penuh pancaroba ini, bukan mudah untuk bertemu dengan insan-insan berhati waja.
Sudahlah letih dengan tugasan harian di hospital atau klinik, ditambah pula
dengan kerja sukarelawan sebegini, tetapi masih mampu memberikan khidmat kepada
masyarakat yang memerlukan. Tanpa sebarang bayaran pula. Semoga Allah
memberkati petugas-petugas ini.
Program
ini merupakan siri kedua yang dijalankan oleh Sukarelawan Perubatan IRM. Kali
pertama, ia dilaksanakan di Knowledge Garden Learning Center (KGLC)di Serdang, Selangor, juga kepada warga
Rohingya di sana. Bezanya kali ini, IRM mendapat kerjasama yang jitu dari MyWelfare.Sekolah Pelangi Kasih dipantau sepenuhnya
oleh MyWelfare. Sebab itulah sekolah tersebut bersih dan kemas memandangkan MyWelfare
amat menitik beratkan soal penjagaan kesihatan dan kebersihan supaya suasana pembelajaran
yang kondusif dan selesa dapat diwujudkan.
Sesuatu
bermain di benak fikiran. Ingat lagikah kita tentang isu pelarian Rohingya yang
terkandas di Laut Andaman dan Selat Melaka pada awal Mei 2015? Waktu itu, kita semua
mengambil berat tentang mereka bukan? Setiap hari kita tertanya-tanya apa perkembangan
mereka. Sudah diselamatkankah? Sudah sampai ke daratkah? Bagaimana mereka menahan
lapar dan dahaga di atas bot? Bagaimana keadaan mereka? Bertahankah mereka? Masih
ingat lagikah? Saya yakin jawapannya “ya”. Bagaimana kini? Semoga tahap keprihatinan
kita terhadap mereka tidak berkurangan walaupun masa berlalu meninggalkan tragedi
itu.
Hari
itu, saya tidak menyangka bahawa ada di antara warga Rohingya yang mendapatkan rawatan
di situ adalah pelarian Rohingya yang berada di atas bot itu! Rasa terharu dan bersyukur
kerana dapat bertemu dengan mereka. Bagi saya, mereka adalah insan-insan terpilih
yang kuat dan tabah. Bukan mereka pinta akan perpisahan ini, antara bumi tercinta
Myanmar menuju ke bumi asing Malaysia. Namun demi menyelamatkan nyawa dan aqidah,
mereka sanggup lari menyelamatkan diri. Teringat akan sebuah firman Allah S.W.T;
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan berhijrah di jalan Allah,mereka itu mengharapkan
rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(SurahAl-Baqarah 2:218).
Banyak
pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh sejak berkecimpung dalam dunia
kemanusiaan bersama IRM. Kisah Rohingya merupakan satu daripada jutaan kisah
yang dilalui. Saya berasa sangat beruntung dan bersyukur berada di Malaysia
yang serba cukup ini. Semoga Allah memelihara saudara-saudara Rohingya kita
walau di mana mereka berada.