Tangan
Yang Memberi
Tangan.
Ada apa dengan tangan? Sekadar untuk makan, minum, menaip, memukul dan
lain-lain sahajakah? Tidak, bahkan lebih daripada itu! Pernahkah kita terfikir
bahawa dengan tangan, kita boleh menambah amal?
Seringkali
kita mendengar ayat bahawa tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang
menerima. Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadisnya:
“Tangan
yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas adalah pemberi
dan tangan di bawah adalah penerima.” (Riwayat Muslim)
Sedarkah
kita bahawa kita mempunyai kuasa ke atas tangan kita untuk memberi jika
mempunyai hati dan jiwa yang prihatin terhadap insan lain yang menderita? Dalam
erti kata lain, jika kita mempunyai kesedaran yang tinggi untuk membantu insan
lain yang memerlukan, kita akan lebih mudah untuk menghulurkan sumbangan atau
bantuan bukan sahaja dengan wang ringgit, tetapi juga dengan tenaga dan doa.
Menurut
statistik yang dikeluarkan oleh World Food Programme (WFP), sebanyak 795 juta
penduduk dunia (setiap satu daripada 9 orang) tidak mempunyai makanan yang
cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup dan Asia mencatatkan angka tertinggi
yang memiliki penduduk lapar. Lebih menyedihkan, kekurangan zat makanan telah
menyebabkan 3.1 juta kanak-kanak bawah 5 tahun meninggal dunia setiap tahun
manakala satu daripada enam kanak-kanak di negara membangun dikategorikan
sebagai kurang berat badan.
Usah
disalahkan ibu bapa yang tidak bekerja kerana untuk sesetengah negara, apa lagi
peluang yang mereka ada untuk mencari sesuap makanan? Malawi misalnya, negara
yang berada di bahagian selatan Afrika. Malawi disenaraikan sebagai negara
termiskin di dunia pada tahun 2015 oleh Bank Dunia dengan pendapatan per kapita
terendah di dunia iaitu tidak sampaiUS$ 300.Sebagai negara termiskin di dunia, lebih dari
setengah penduduk negara ini hidup di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan
kurang daripada US$ 1 per hari.
Ini
hanyalah satu daripada krisis kemanusiaan yang berlaku berbanding pelbagai lagi
krisis seperti isu peperangan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Barangkali
kita tertanya-tanya, bagaimana boleh kita membantu mereka? Ke mana harus
sumbangan kita dihulurkan? Di sinilah kuasa tangan memainkan peranan. Kita
boleh memilih untuk menyumbang atau mendiamkan diri sahaja membiarkan
saudara-saudara kita kaku berdiri tanpa sebarang makanan dan perlindungan.
Di
Malaysia sahaja, pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kemanusiaan
ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana dan diserahkan kepada mereka yang
memerlukan. Antara NGO yang aktif sehingga ke peringkat antarabangsa ialah
Islamic Relief (IR) yang diasaskan di United Kingdom pada tahun 1984.IR diiktiraf dengan status
perundingan khas sejak tahun 1993 oleh Majlis Ekonomi & Sosial PBB
(UNECOSOC). Selama bertahun-tahun, IR telah mengembangkan mandatnya untuk
menyediakan bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bidang termasuk bantuan
kecemasan, pembangunan mampan sosial bersepadu (termasuk perubatan, pembangunan
komuniti, pendidikan, kehidupan, tempat tinggal, psikososial) dan pengurangan
risiko bencana.Sehingga
kini, IR telah berkhidmat di lebih 40 buah negara.
Islamic Relief Malaysia (IRM) pula
telah dilancarkan penubuhannya oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun
2005, bertujuan meneruskan bantuan kemanusiaan IR di rantau Asia-Pasifik. Kini,
IRM berperanan sebagai pejabat penjanaan dana (bagi projek antarabangsa & tempatan)
dan pelaksana projek tempatan.
Jika kita tidak mampu untuk
menyampaikan sendiri bantuan ke negara-negara seperti Syria, Palestin, Somalia,
Bosnia & Herzegovina, Malawi dan lain-lain negara bergolak, mengapa tidak
kita menghulurkan sumbangan melalui NGO seperti IRM? Fikir-fikirkan.