ARIANA Natasya menarik nafas lega sebaik melangkah keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Bangunannya terasa luas dan moden, dihiasi papan tanda berwarna-warni dalam empat bahasa.
Langkahnya terus membawa ke pintu kaca automatik. Saat pintu terbuka, hembusan dingin musim bunga menyapa lembut ke wajahnya. Tubuhnya terasa segar selepas berjam-jam terkurung dalam kabin pesawat.
Wajah-wajah asing melintasi pandangannya dengan langkah pantas. Kesibukan itu membuatkan Ariana terasa kecil dan asing, seolah-olah dirinya cuma sebutir pasir di tengah lautan manusia yang sedang mengejar destinasi masing-masing.
Matanya terarah ke langit biru pucat di luar terminal. Awan nipis yang berarak perlahan menitipkan rasa damai ke dalam jiwanya. Bumi Korea yang selama ini hanya dikenalinya menerusi artikel dan drama di kaca televisyen, kini tersingkap nyata di hadapan mata.
Dia tahu, langkah kecil ini hanyalah permulaan kepada sebuah perjalanan yang bakal mengubah seluruh hidupnya. Bukan sekadar sebagai wartawan, tetapi sebagai wanita yang mahu membuktikan sesuatu kepada dirinya sendiri.
Ariana melilaukan pandangan ke segenap arah, mencari kelibat pemandu yang dijanjikan pihak produksi untuk menjemputnya. Deretan papan tanda dengan nama asing terangkat tinggi di udara, namun tiada satu pun menarik perhatiannya.
Sesekali aroma kopi dan roti bakar dari kafe berhampiran menyapa hidungnya. Namun, ia tidak cukup untuk menyingkirkan kegusaran yang perlahan-lahan bercambah di hati.
Tugasan kali ini bukan sembarangan. Dokumentari tentang komuniti Malaysia di Korea mungkin menjadi batu loncatan terbesar dalam kerjayanya. Peluang seperti ini jarang datang dan dia bertekad untuk menggenggamnya sebaik mungkin.
Ariana menelan liur yang terasa pahit. Kata-kata sinis yang pernah merantai keyakinannya masih terngiang-ngiang di telinga. Mereka sering melabel dirinya hanya lantang bersuara di depan kamera, tetapi kosong apabila tiba pada hasil kerja sebenar.
“Kali ini aku tak boleh gagal. Aku akan buktikan yang kata-kata mereka salah,” bisiknya perlahan, berjanji pada diri sendiri.
Telefon dalam poket jaketnya tiba-tiba bergetar. Ariana tersentak kecil sebelum cepat-cepat mengeluarkannya. Skrin menyala, memaparkan satu mesej baharu daripada pihak produksi.
Maaf, cik Ariana. Kami tak sempat jemput sebab ada urusan kecemasan. Awak boleh terus naik teksi ke Yeouido Spring Flower Festival. Jurugambar dah tunggu di sana.
Ariana terdiam. Pandangannya membeku pada skrin. Bunyi riuh lapangan terbang seakan memudar, digantikan rasa kecewa yang menyesak dada.
“Seriuslah? Tak ada sesiapa pun nak jemput aku?” gumamnya perlahan, separuh tidak percaya. Dia mengeluh kecil lalu menggeleng kepala.
Telefon disimpan semula ke dalam poket. Perlahan-lahan dia menolak troli bagasi. Bunyi roda bergesel di lantai bersatu dengan derap kaki manusia yang lalu-lalang.
Matanya menangkap papan tanda Taxi yang berkelip. Barisan teksi beratur kemas, sementara para pemandunya berdiri menunggu penumpang dengan penuh sabar.
Seorang pemandu teksi pertengahan usia segera menghampirinya. Tanpa banyak bicara, dia membantu mengangkat bagasi besar Ariana ke dalam but kereta.
“Yeouido Spring Flower Festival,” ujar Ariana dalam bahasa Inggeris sambil menunjukkan alamat di telefonnya.
Pemandu itu mengangguk faham, lalu menutup but dengan hentakan kecil. Ariana masuk ke tempat duduk belakang dan menarik pintu rapat.
Enjin teksi bergetar halus sebelum bergerak meninggalkan terminal. Dari balik tingkap, bangunan lapangan terbang semakin menjauh ditelan jarak.
Ariana bersandar ke kerusi, matanya terpaku ke luar. Jari-jemarinya mengetuk paha tanpa sedar. Bayangan festival yang bakal ditempuh berlegar samar dalam fikirannya. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba meyakinkan diri bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.
Teksi terus meluncur di tengah kesibukan kota. Bunyi hon yang bersahut-sahutan tidak merencatkan panorama menakjubkan di kiri dan kanan. Bangunan pencakar langit berdiri megah, diapit papan iklan digital gergasi yang mempamerkan wajah-wajah selebriti K-pop. Di kejauhan, kawasan kejiranan lama dengan deretan kedai kecil masih setia memeluk sejarahnya.
***
Perjalanan hampir sejam itu berakhir apabila teksi memperlahankan kelajuan. Yeouido Spring Flower Festival sesak dengan ribuan pengunjung. Deretan pokok sakura berjajar indah di sepanjang Sungai Han. Kelopaknya berterbangan ditiup angin, seakan salji merah jambu yang turun dari langit.
Ada yang sibuk merakam kenangan, ada yang duduk bersantai di atas hamparan rumput. Di sudut lain, sekumpulan artis jalanan mengalunkan muzik lembut yang menambah harmoni suasana.
Ariana menghela nafas perlahan. Sisa gundah di dadanya larut bersama keindahan itu. Dalam diam hatinya berbisik, mungkin inilah permulaan sebenar. Siapa tahu, takdir sedang melakar sesuatu yang lebih besar untuknya di sini.
Ariana melangkah perlahan di tengah lautan manusia. Pandangannya tajam menyisir setiap wajah. Nama Ryan Haqeem yang disebut pihak produksi masih berlegar di fikiran, namun sosok itu belum juga kelihatan.
“Mana la mamat ni…” gumamnya sendirian.
Dia berhenti di tepi laluan pejalan kaki dan mengeluarkan buku nota daripada beg sandangnya. Baru sahaja mahu mencatat sesuatu, bahunya dilanggar seseorang hingga buku itu hampir terlepas dari genggamannya.
“Ya Allah!” Ariana tunduk pantas menyambut buku itu. Belum sempat bangun, satu suara garau bergema di atas kepalanya.
“Excuse me, boleh tak jangan berdiri tengah jalan? Orang lain pun nak lalu.”
Ariana tersentak, spontan mendongak. Seorang lelaki melayu berdiri di hadapannya dengan kamera DSLR tergantung di leher. Rambutnya kusut ditiup angin. Renungannya tajam, sedikit menjengkelkan.
“Awak ni siapa?” soal Ariana, keningnya berkerut.
“Ryan Haqeem,” jawabnya ringkas, tanpa sebarang senyuman.
“Jadi awaklah jurugambar tu?”
“Ya,” balasnya pendek, kemudian tersenyum sinis.
“Dan awak… mesti Ariana Natasya. Wartawan yang saya kena babysit sepanjang tugasan ni.”
“Babysit?” Suara Ariana naik satu oktaf, menusuk di tengah riuh festival.
“Awak ingat saya budak tadika ke sampai perlu dijaga macam tu?”
Ryan menjungkit bahu, acuh tak acuh.
“Oh ya… baru saya ingat. Patutlah editor pesan suruh saya banyak bersabar.” Ryan sengaja mencurah minyak ke dalam api.
Ariana mengetap bibir.
“Apa maksud awak?”
Ryan menggeleng.
“Tak ada apa. Saya dah biasa kerja dengan macam-macam orang. Ada yang tahu bawa diri… ada juga yang suka ikut kepala sendiri.”
“Baru kenal lima minit, dah pandai buat kesimpulan? Hebat betul awak,” sindir Ariana.
Ryan ketawa kecil, lalu melangkah ke depan.
“Jom. Kita kena mulakan rakaman sebelum orang makin ramai.”
Ariana mencebik kecil, geramnya kian memuncak. Dia pantang betul dengan lelaki yang acah-acah cool tapi kaki menyindir.
“Fine. Tapi jangan ingat awak boleh suka-suka arahkan saya. Saya wartawan senior kat sini, tahu?”
Ryan hanya melambaikan tangan tanpa menoleh.
“Yalah, cik wartawan senior. Whatever you say.”
Ariana kaku di tempatnya. Geram yang menyesak dada sudah sampai ke hujung kerongkong. Nafasnya terasa membahang, tunggu masa untuk meledak.
'Ryan Haqeem… kau memang sengaja nak cari pasal dengan aku!' desisnya dalam hati. Giginya diketap kuat, rahangnya menegang.
© 2025 Asmaniza Din. Semua hak cipta terpelihara. Dilarang menyalin, mengubah atau menerbit semula mana-mana bahagian dalam karya ini tanpa kebenaran daripada penulis.