Home Novel Umum IRTIHAL
IRTIHAL
Irse Mayra
19/1/2019 00:12:34
35,036
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 8

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

“Ruslan!” Raisa mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali. “Ruslan!” panggil Raisa lagi. Seketika kemudian, Ruslan membuka pintu. Ibunya tercegat di depan mata dengan raut wajah gelisah. Ada lingkaran hitam di bawah mata Raisa, menandakan sudah beberapa hari dia tidak tidur lena.

“Kenapa ni, mama?” soal Ruslan sebelum menguap. Selama 16 jam dia bekerja tanpa rehat di hospital. Dia baru sahaja tiba di rumah sejam yang lalu.

“Mama tak jumpa VK milik Aslan! Facebook dia pun mama tak jumpa, Ruslan!”

“Mungkin abang dah tutup agaknya .…” Ruslan menjawab. Dia pasti abangnya menutup semua akaun laman sosialnya sebelum berangkat ke Syria. Namun dia tidak boleh memberitahu ibunya perkara itu.

“Kenapa Aslan tutup? Sabtu minggu lalu mama lihat Nastya tag gambar Aslan di VK!” Raisa memberitahu.

“Mana saya tahu? Mungkin abang dah bosan dengan semua ni .…” Dengan geram Ruslan menjawab. Selepas tahu ke mana Aslan menghilang, hatinya jadi sakit setiap kali mendengar nama Aslan disebut.

“Macam mana ni Ruslan? Macam mana mama nak hubungi Aslan? Perlukah kita tampal poster muka Aslan di seluruh bandar? Mana tahu ada orang ternampak Aslan di mana-mana.” Bersungguh-sungguh Raisa memberi cadangan.

“Tak perlu, mama. Sudahlah! Tak payah diingat lagi orang yang mementingkan diri sendiri tu.” Ruslan membalas keras.

“Ruslan!” Raisa memanggil separa menjerit. “Dia tu abang kamu, Ruslan! Kenapa kamu cakap macam tu?” Raisa menjegilkan mata.

“Nanti dia telefonlah tu. Dia bukannya mati pun!” jawab Ruslan acuh tidak acuh, menyebabkan satu tamparan melayang ke pipinya.

Ruslan terpaku.

Ibunya baru sahaja menamparnya.

Air mata Raisa yang tadinya bergenang kini mengalir ke pipi.

Saat itu, timbul sejuta penyesalan di hati Ruslan. Kata-katanya melukakan hati ibu. Kata-katanya membuat air mata ibunya tumpah. Bukankah derhaka namanya itu?

“Mama ….”

“Mama tak nak dengar apa-apa lagi dari kamu, Ruslan!” bentak Raisa. “Kamu tak nak tolong mama, tak apa! Biar mama dan papa cari abang kamu sendiri!”

Raisa mengesat air mata. Biarlah! Ruslan tidak akan memahami perasaannya kerana bukan dia yang melahirkan Aslan.

Dengan langkah yang lemah, Raisa berpaling lalu meninggalkan anaknya.

“Mama .…” Ruslan memanggil.

Raisa terus melangkah, tanpa mengendahkan panggilan Ruslan.

Ruslan menapak masuk ke dalam bilik bersama sesalan di kalbu. Tubuhnya tersandar lesu pada pintu.

“Maaf, mama … maaf .…”

*****

Latakia, Syria

“Hei, Aslan!”

Aslan mencelikkan mata mendengar namanya dipanggil. Terpinga-pinga dia melihat kedai roti yang cukup dikenali, berada di depan mata.

“Ufa? Tapi … aku kan sepatutnya ada di ….”

“Syria?”

Sambung satu suara di belakangnya.

Aslan berpusing memandang pemilik suara tersebut. Besar anak matanya memandang susuk tubuh si lelaki dengan rambut hitam dan jambang nipis. Pandangan tajam lelaki itu mengundang tanda tanya Aslan. Mengapa lelaki itu tidak senyum seperti biasa? Mengapa lelaki itu memandangnya dengan riak wajah terluka? Apa yang telah dia lakukan sehingga lelaki itu memandangnya sedemikian?

“Abang Khalid … abang … masih ….”

“Apa yang bakal kamu lakukan pada Syria abang, Aslan?”

“Abang, saya ….”

“Apa yang bakal kamu lakukan pada tanah tumpah darah abang?” jerit Khalid. Matanya terjegil memandang Aslan, membuatkan pemuda Chechen itu terkedu. Tiada kata yang mampu Aslan lontarkan.

Inilah kali pertama Aslan melihat Khalid begitu marah. Khalid tidak pernah meninggikan suara kepada orang lain, apatah lagi kepadanya.

“Inikah cara kamu membalas budi abang? Dengan menghancurkan tanah yang abang cintai?” Nada suara Khalid tiba-tiba bertukar sebak. Aslan jadi pilu mendengarnya. Tidak semena-mena, Khalid mengalirkan air mata darah. Lelaki Syria itu membuka mulutnya, namun yang keluar hanyalah darah merah yang pekat.

“Tidak … abang Khalid.” Aslan berlari ke arah Khalid. “Jangan pergi!”

Abu Bakar terbangun dari tidur. Nafasnya turun naik bagaikan sudah berlari lama. Segera dia bangun dari pembaringan. Wajah yang basah dengan keringat, diraup.

Khalid Mahrous.

Pemuda Syria yang menyelamatkannya suatu ketika dahulu.

Tanpa Khalid, pastinya dia sudah mati pada waktu itu.

Pengorbanan Khalid membuatnya masih bernafas sehingga sekarang. Kerana itu dia datang ke Syria. Untuk melindungi manusia yang memiliki pegangan agama yang sama dengannya. Juga untuk membalas pertolongan Khalid kepadanya.

Matlamatnya adalah melindungi Syria yang Khalid cintai.

Syria yang menjadi tanah tumpah darah Khalid.

Lalu mengapa Khalid berkata seperti itu?

Apa kesilapan yang telah dia lakukan?

*****

Abu Bakar menggabungkan magazin 10 peluru itu dengan Zastava M91di hadapannya. Postur badan dibetulkan. Sambil meniarap di atas kain rentang, dia meletakkan jari di bahagian picu senapang penembak tepat tersebut.

Abu Bakar menutup mata kiri sementara mata kanan pula ditumpukan pada iron sights Zastava M91. Melalui sights senapang, dia dapat melihat jelas papan yang berdiri kira-kira 300 meter daripada tempat dia berada. Tembakan senapang penembak tepat Zastava M91 mampu mencapai sasaran sejauh 1000 meter.

Abu Bakar menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus perlahan. Sasarannya bukan manusia, namun jantungnya tetap berdetak laju. Tekanan yang kuat untuk lulus ujian menembak membuat tangannya sedikit menggeletar. Mimpinya bertemu Khalid semalam turut mengganggu tumpuannya. Benarkah jalan yang dipilihnya ini? Picu senapang yang bakal ditariknya dalam pertempuran suatu hari nanti, mungkinkah hanya akan menambahkan dosanya? Dan bila waktu itu tiba, adakah Khalid akan muncul lagi dalam mimpinya dengan wajah yang berlumuran darah?

“Tenang, Abu Bakar. Jangan terburu-buru! Tarik secara sederhana!” Abu Basir mengingatkan tatkala melihat wajah tertekan anak muridnya.

Abu Bakar tidak keruan. Sepuluh das tembakan telah dia lepaskan namun hanya beberapa sahaja yang singgah ke papan. Keyakinannya kian menghilang.

Abu Usman yang turut berada di lapang sasar menoleh ke arah sahabatnya. Rasa ingin membantu membuak-buak namun jarak empat meter di antara mereka menyukarkan dia menunjuk ajar Abu Bakar. Tambahan pula latihan kali ini merupakan ujian yang mereka harus lulus sebelum memasuki latihan fasa dua. Mereka tidak dibenarkan berbual sesama sendiri ketika ujian sedang berlangsung.

Abu Bakar menelan liur. Dia tiada pilihan kecuali mensasarkan tembakan dengan sempurna untuk memperbaiki markahnya. Jika tidak, dia harus mengambil ujian ini sekali lagi esok hari.

Dia menarik nafas, cuba menenangkan diri. Mimpi bertemu Khalid sedaya upaya diusir jauh-jauh dari minda. Anak matanya kini memandang fokus pada imej papan.

Dengan lafaz bismillah, jari-jemarinya menarik picu dengan kekuatan yang sederhana bagi memastikan tidak ada getaran yang berlaku. Hal ini kerana, jika picu ditarik dengan kuat, jari yang lain akan bergetar dan boleh membuatkan sasaran berubah.

Abu Basir yang berdiri di sebelah Abu Bakar melihat melalui binokular sama ada tembakan Abu Bakar mengenai sasaran atau tidak. Dia lalu tersenyum. Peringatannya kepada Abu Bakar sebentar tadi membuahkan hasil yang baik. Tembakan Abu Bakar mengenai sasaran walaupun tidak berada di bahagian paling tengah.

“Alhamdulillah. Kena bahagian papan walaupun bukan di tengah-tengah. Teruskan usaha kamu, Abu Bakar,” puji Abu Basir.

“Alhamdulillah ….” Abu Bakar menarik nafas lega. Kejayaan tadi walaupun kecil, namun sedikit sebanyak menaikkan keyakinannya.

Ujian menembak mereka tamat 20 minit kemudian. Abu Basir membawa pemuda-pemuda di bawah seliaannya ke papan sasaran masing-masing. Dia mencatat sesuatu di dalam buku nota sambil meneliti satu-persatu papan dan memberi komen berkenaan tembakan-tembakan tadi.

Apabila tiba gilirannya, Abu Bakar jadi malu dengan Abu Basir dan rakan-rakan yang lain. 20 butir peluru diberikan namun yang tiba di papan cuma 14 sahaja. Markahnya ialah yang paling rendah. Namun, disebabkan ada lapan tembakannya yang berada di bahagian paling dalam dan hampir mengenai sasaran tengah, dia lulus ujian menembak kali ini.

Abu Usman menepuk-nepuk bahu Abu Bakar. Ibu jari kanan dinaikkan, sebagai tanda sahabatnya sudah melakukan ujian sebaik mungkin. “Awak dah buat yang terbaik.”

“Alhamdulillah.” Abu Bakar memanjatkan syukur.

Abang Khalid, jangan risau. Saya datang untuk melindungi Syria abang. Bukan untuk menghancurkannya.

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

Anastasia Baklykova memecut laju kereta yang dipandu. Dia tidak mahu berlengah. Dia sudah bosan menerima alasan “Tidak tahu” daripada mulut Ruslan setiap kali dia menelefon dan bertanya tentang Aslan. Jawapan “Aslan sudah hilang” yang diberikan ibu Aslan juga tidak mampu diterima lagi. Anastasia mahukan jawapan sebenar. Dia pasti Ruslan tahu sesuatu tetapi enggan menceritakan apa-apa, baik kepadanya, mahu pun kepada rakan mereka yang lain. Jika tidak, mana mungkin dia bisa kekal tenang, fikir Anastasia.

Selepas memarkir kereta di hadapan rumah Aslan, gadis rambut perang itu tergesa-gesa turun dari Kia Rio warna putih miliknya. Dia menolak pintu pagar lalu melangkah masuk ke perkarangan rumah. Loceng rumah ditekan.

Ruslan muncul di balik pintu beberapa saat kemudian.

“Ruslan, ke mana Aslan pergi?” Terus sahaja Anastasia melontar pertanyaan tanpa bertanya khabar terlebih dahulu.

Berkerut kening Ruslan mendengarnya.

“Awak tahu dia di mana, kan?” Anastasia menyoal lagi, nadanya mendesak, namun, sebagai kawan rapat Aslan, dia berhak untuk tahu.

“Tak ada kaitan dengan awak,” jawab Ruslan, membuat Anastasia naik geram.

“Kenapa pula tak ada kaitan dengan saya?” Meninggi nada Anastasia.

Ruslan mengeluh perlahan. Abangnya datang dalam hidup mereka berdua, meninggalkan jejak, kemudian berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Meninggalkan hanya luka yang pedih.

“Ruslan …. Tolonglah, beritahu saya.” Anastasia merayu. Air matanya sudah bertakung di kolam mata. Hilangnya Aslan dari hidup bukan sesuatu yang dapat dia terima dengan mudah. Ketika dia diuji derita, Aslan muncul, dan membantu meringankan beban yang ditanggungnya. Walaupun berbeza fahaman dan bangsa, Aslan tanpa ragu-ragu menghulurkan pertolongan kepadanya. Budi Aslan kepada dia dan ibunya tidak mungkin dapat dia balas.

“Ruslan, tolonglah ….” Air mata Anastasia berguguran akhirnya. Aslan bukan hanya seorang kawan rapat buatnya. Aslan bagaikan seorang abang yang tidak pernah dia miliki. Aslan melindungi dan menjaganya bagaikan seorang adik. Aslan ialah tempat dia mencurahkan rasa hatinya. Tempatnya mengadu. Tempatnya menumpang kasih ketika waktu-waktu sukar. Dunianya tidak sempurna tanpa Aslan di sisi.

Sedu – sedan Anastasia mula kedengaran, mendatangkan simpati Ruslan.

Ruslan menghela nafas, akhirnya mengaku kalah.

“Awak nak tahu ke mana abang pergi?” Ruslan menyoal.

Anastasia mengangguk. Air mata diseka dengan lengan baju. “Aslan, dia, okey kan? Dia tak terlibat dalam perkara bahaya, kan?”

“Saya pun tak tahu.”

Tertunduk gadis itu, hampa dengan jawapan yang diberi.

“Dia ada di Syria sekarang.”

Anastasia segera mengangkat wajah. Bola matanya membulat besar menatap Ruslan, seakan tidak percaya dengan apa yang didengari.

“Apa maksud awak? Syria? Kenapa Aslan ada di Syria?” Bertalu-talu dia mengaju soalan. Apa yang Aslan lakukan di negara yang sedang bergolak? Mengapa dia pergi ke sana?

“Awak pernah dengar perkataan ‘Jihad’?”

Anastasia bungkam. Sekarang dia tahu benar apa yang bakal disampaikan Ruslan.

“Itulah yang abang saya sedang lakukan di sana.”

“Tapi itukan peng ….” Ayat tersebut tidak diteruskan, takut melukakan hati Ruslan.

“Ya … pengganas. Label yang diberikan oleh ramai orang. Abang saya pergi ke Syria untuk berjihad,” ujar Ruslan tanpa berselindung. Geram dan sakit di hatinya kembali.

“Tapi … tapi kenapa? Kenapa?”

“Saya juga sedang cari jawapan kepada soalan itu.”

Tiba-tiba Anastasia rasa dadanya sesak. Merah di mukanya perlahan menghilang. Lututnya pula rasa lemah.

“Nastya, awak okey ke?” Ruslan menzahirkan kebimbangan sebaik melihat raut wajah gadis itu bertukar pucat. Anastasia kelihatan seperti akan pitam bila-bila masa sahaja.

“Saya … saya ….” Terketar-ketar suara Anastasia. “Ruslan … Aslan .…”

Ruslan segera memegang kedua-dua bahu Anastasia agar tubuhnya tidak rebah.

“Maaf sebab terpaksa beritahu awak semua ni.”

“Dia akan kembali, kan?” soal Anastasia. “Ruslan, Aslan akan kembali, kan? Selepas dia selesai berjihad di sana, dia akan kembali ke Ufa, kan?” Suara Anastasia tertahan-tahan.

Ruslan terdiam. Sepanjang perkenalannya dengan Anastasia, inilah kali pertama dia melihat gadis itu menunjukkan reaksi begitu terdesak.

Berapa banyak hati yang akan abang hancurkan?

“Ruslan?”

“Tak, Nastya. Dia tak akan kembali ke Rusia.” Ruslan tahu jawapannya pasti meleburkan perasaan gadis itu.

Anastasia tertawa perlahan. Rindunya pada Aslan belum berakhir dan sekarang pula dia harus mendengar gurauan seperti ini? Sungguh tidak masuk akal.

“Awak bergurau, kan? Kenapa awak bergurau hari ini? Awak tak pernah bergurau dengan saya, Ruslan.”

“Ini bukan gurauan, Nastya. Abang … tak akan kembali ke Rusia lagi.”



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Irse Mayra