Home Novel Umum ERIKA
ERIKA
Irse Mayra
19/1/2019 02:37:22
4,019
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 6

Kicauan burung di pagi hari mencipta senyum di bibir Erika. Pantas dia mencelikkan mata. Ditoleh Laguna di sebelah. Sepasang mata Laguna kini bercahaya menatapnya.

“Selamat pagi,” ucap Erika.

“Selamat pagi.” Laguna membalas.

Kedua-dua android tersebut bangun seraya duduk bersila menghadap satu sama lain. Erika menghidupkan lampu di siling khemah. Kemudian dia mengeluarkan dua helai pakaian daripada beg galasnya. “Untuk kau.” Baju dan seluar jeans dihulurkan kepada Laguna.

“Sebab baju aku dah kotor ke?” Muncung mulut Laguna, merajuk.

“Maaflah aku tak ada gaun lawa untuk beri pada kau.”

Jawapan Erika membuat Laguna tersengih. “Aku berguraulah! Baju dan seluar ni dah lebih dari baik. Lagipun pakai gaun bahaya. Terutamanya bila angin kencang,” tambahnya. “Baiklah, disebabkan aku nak tukar baju, aku harap kau boleh tinggalkan aku seketika di dalam ni.”

“Kau nak halau aku?” Giliran Erika memuncung mulut bagaikan itik.

“Dah tentulah! Tak sopan tau lihat gadis tukar pakaian.” Laguna menjelir lidahnya.

Erika mengeluh perlahan. “Aku faham. Tapi sebelum tu, ada sesuatu yang aku perlu buat.”

“Sesuatu? Apa dia?”

Tiba-tiba sahaja Erika melekapkan kedua tapak tangannya pada pipi Laguna.

“Erika?”

“Pandang ke dalam mata aku.”

“Okey.” Laguna menuruti. Anak matanya fokus sepenuhnya pada mata biru Erika.

Sepantas kilat Erika masuk ke dalam minda Laguna, membolosi sistem keselamatan tubuh android berambut emas itu. Pencerobohan tersebut menebar rasa kurang menyenangkan ke seluruh tubuh Laguna. Sistem keselamatan diaktifkan, cuba untuk menolak keluar kehadiran Erika. Namun sudah terlambat. Selepas tiga saat, Laguna hilang seluruh kawalan ke atas tubuhnya.

Erika melangkah masuk ke minda Laguna dengan berhati-hati. Program yang menghadang pencerobohan dari luar dileraikan dengan cermat. Matlamatnya hanyalah untuk menukar nombor siri yang disimpan jauh di teras utama Laguna.

Setiap android buatan Wilhelmina memiliki nombor siri yang tersendiri. Tetapan yang menentukan nombor siri terletak di dalam sebuah fail yang dikunci menggunakan sistem keselamatan canggih. Jika Erika tersilap langkah semasa menggodam fail tersebut, sistem keselamatan akan mengunci mindanya di dalam tubuh Laguna. Kesedarannya akan beransur pergi, menghilangkan kewujudan sebuah android dengan nama Erika Heinrich.

Erika kemudian tiba di satu kawasan yang menempatkan ratusan blok segi empat panjang; manifestasi data memori Laguna. Ini ialah kali kedua dia memasuki ruang luas tersebut. Gadis android itu mengambil masa meninjau-ninjau deretan blok memori di kiri dan kanannya. Semuanya disusun berdasarkan betapa dalamnya impresi yang ditinggalkan oleh sesuatu memori.

Wajah Klaus ketika kali pertama bertemu Laguna, senyuman mesra Puan Mabel, wajah ceria jiran tetangga di Rosenburg; semuanya memberi impresi yang mendalam kepada Laguna. Begitu juga pertemuannya dengan Erika.

Mengetahui perkara itu membuat Erika tersenyum lebar. Kewujudannya tidak sia-sia. Selain Tuan Wilfred, masih ada lagi yang menginginkannya terus hidup. Masih ada lagi yang memerlukan kehadirannya di sisi.

Laguna memerlukannya.

Dan jika Laguna inginkan kehidupan yang panjang, hatta seribu tahun pun Erika sanggup terus mencelikkan mata. Biarpun terpaksa menanggung derita kehidupan tanpa Wilfred Heinrich.

Tidak semena-mena ekspresi wajahnya berubah. ‘Kenapa aku tiba-tiba jadi sentimental ni?

Enggan tenggelam dalam fikiran sendiri, Erika kembali meneruskan pencariannya.

Dia mulai berlari.

Blok-blok memori di kiri dan kanan, walaupun mengundang rasa ingin tahunya, terpaksa dia tinggalkan. Tidak seperti sebelum ini di mana dia masih belum mengenali Laguna, kali ini jika terlalu lama berada minda gadis itu, Erika merasakan seolah-olah dia telah menceroboh privasi Laguna.

Tapi sebenarnya aku memang tengah menceroboh minda Laguna. Aku harap dia maafkan aku.

Erika akhirnya tiba di hadapan sebuah pagar besar yang dikelilingi tembok setinggi langit, manifestasi fail yang melindungi tetapan nombor siri android buatan Wilhelmina.

Teras utama.

Erika berundur beberapa langkah ke belakang lalu menghalakan tapak tangan kanannya pada pintu besar.

Bersedia untuk menggodam.

Segala kod dan algoritma yang memanifestasi kewujudan mereka dalam bentuk pintu besar itu terpampang di hadapan matanya. Kod-kod yang muncul diimbas satu-persatu.

111179, 111182, 111199 … 111204, 111207, 111208, 111219, 111221, 111226, 111229, 111300 ….’ Erika membaca berkali-kali fail tersebut. Dia seterusnya membuka dan menukar sementara bahagian-bahagian kod yang mengandungi kelemahan. Setelah kod ditukar, Erika menyimpannya kembali dan menunggu sehingga pintu besar di hadapannya, dibuka.

Satu saat, dua saat … lapan saat …

Erika terus menunggu tetapi pintu besar itu masih tertutup rapat.

Pelik … kenapa pintu belum terbuka? Aku ada buat silap dekat mana-mana ke?’ Erika tertanya-tanya sendiri.

Tanpa diduga, lantai tempatnya berpijak bergegar ganas. Rekahan pada lantai mulai muncul di sini-sana. Erika ingin berpaut pada pintu di hadapannya, namun belum sempat dia berbuat demikian, tubuhnya jatuh dalam lubang yang terhasil saat lantai mulai roboh.

Perangkap untuk penceroboh! Apa perlu aku buat sekarang?’ Hatinya bersuara resah. Otaknya ligat mencari jalan untuk keluar dari keadaan ini. Segala kod yang dilihatnya tadi berputar satu-persatu di memorinya. ‘Bukan! Bukan yang ini!

Tubuh Erika semakin jauh terhumban ke dalam lubang, membuatkannya bertambah panik. Jika ini berterusan, kesedarannya bakal menghilang. Dia akan terperangkap dalam minda Laguna buat selamanya.

Fikir, Erika! Fikir! Fikir!

Ketika Erika mengimbas fail-fail yang menempatkan sistem operasi Laguna, Erika menemui beberapa bahagian yang membolehkannya menyahaktifkan perangkap tersebut. Kod-kod pada perangkap ditambah dan ditulis semula sebelum disimpan.

Usaha Erika berhasil apabila tubuhnya kini tidak lagi terhumban ke dalam lubang yang tidak berpenghujung. Kakinya kembali berpijak pada lantai.

Erika mendongak kepala. ‘Aku dah jauh terjatuh dalam lubang ni.

Dengan lebih berhati-hati, Erika membina kembali lantai tempatnya berpijak hingga membolehkan tubuhnya kembali ke atas, di hadapan pintu besar tempat letaknya teras utama Laguna. Erika tidak terus terburu-buru mahu menggodam pintu tersebut, sebaliknya, dia berjalan mengelilingi tembok di sekeliling teras utama, cuba untuk mencari kelemahan.

Langkahnya terhenti beberapa minit kemudian. Erika menemui beberapa bahagian yang dirasakannya boleh digodam. Tapak tangan dilekapkan pada tembok. Erika memejam mata. Fikiran dikosongkan. Fokusnya kini hanya ada pada tembok di hadapan. Kod-kod di sebalik tembok tersebut muncul di minda Erika. Berkali-kali dia membuat imbasan pada kod-kod yang ada. Setelah yakin dia dapat masuk melalui tembok di hadapannya, Erika ‘menidurkan’ sementara perangkap minda Laguna. Perlahan-lahan tembok tersebut merekah, hingga akhirnya mewujudkan lubang yang membolehkan tubuh Erika masuk ke dalam teras utama.

Di dalam teras utama, Erika bagaikan terpukau ketika melihat manifestasi tetapan data berbentuk berlian yang terapung tidak jauh di hadapannya. Kilauan cahaya daripada manifestasi tetapan bersinar menerangi teras utama.

Erika tersenyum. ‘Bersinar indah, sama seperti si empunya tubuh.

Tidak mahu membuang masa, Erika sekali lagi menghala tapak tangan untuk memulakan proses menggodam.

Dengan mudahnya dia menemui fail tetapan yang mengandungi nombor siri Laguna. Segera Erika memadamkan tetapan nombor siri sedia ada, dan menulis nombor siri baru.

Mulai sekarang kau tak perlu takut lagi, Laguna. Mari hidup bahagia bersama.

Setelah menyelesaikan misinya, Erika bergegas keluar melalui tembok sebelum perangkap minda Laguna ‘bangun’ semula. Dia berlari menjauhi tembok sebelum berhenti dan memandang lubang pada tembok yang perlahan-lahan bercantum kembali.

Selamat kembali, X4N2BS8.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Irse Mayra