Home Novel Thriller/Aksi Hello, Abang Bodyguard!
Hello, Abang Bodyguard!
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
58,168
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 4

Setelah mendapat alamat lengkap mengenai tempat kerja wartawan yang bernama Hana Mikayla, Rayyan terus menghalakan keretanya ke ibu pejabat akhbar Nadi Kota. Keadaan jalan raya yang lengang pada jam 11.30 pagi itu melancarkan lagi perjalanannya untuk mencari gadis pencetus kekecohan di Campbell Corporation. Setelah setengah jam memandu, Rayyan memberhentikan keretanya di lot parkir bangunan akhbar Nadi Kota yang gah tersergam indah sesuai dengan reputasinya yang popular melebihi syarikat akhbar lain.

Sambil berjalan masuk ke dalam bangunan syarikat akhbar itu, Rayyan menilik jam tangannya. Angka sudah menginjak ke pukul 12 tengah hari dan tanpa membuang masa lagi, dia melajukan kayuhan langkahnya lalu berhenti di hadapan seorang staf yang ketika itu sedang duduk di kerusi dan ralit menulis di mejanya di kaunter pertanyaan.

"Assalamualaikum. Boleh saya jumpa Cik Hana Mikayla?" Rayyan memberi salam dengan disulami senyuman mesra kepada staf yang masih tidak menyedari kehadirannya itu sekali gus meminta izin untuk berjumpa dengan wartawan yang bernama Hana Mikayla.

"Waalaikumus... salam..." jawab staf wanita yang menjaga kaunter itu dengan tergagap-gagap. Matanya bagaikan digam apabila terpandangkan figura seorang lelaki tinggi lampai 180 cm dan berkulit cerah yang berdiri di hadapannya dengan senyuman manis menghiasi bibirnya sekarang.

Seperti ada kuasa magnet yang berterusan melekat kemas matanya, dia tidak mampu berkelip dari memandang jejaka tampan itu. Usahkan mata tidak mampu berkelip, badannya juga bagaikan terpaku di tempat duduknya tanpa berkalih sedikit pun. Hatinya bergetar hebat dengan wajah dan senyuman memandang lelaki itu. Ya Allah, ciptaan-Mu ini sangat sempurna. Handsome!

"Err... helo!" Rayyan memetik jari dan terus staf tersebut tersedar dari lamunannya.

"Aa... ya ya. Apa encik cakap tadi?" tanya staf itu sambil tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal dan menutup rasa malu. Malu teruk dia apabila terkantoi menilik anak teruna orang. Pada ketika ini, mahu sahaja dia menyorok di bawah meja.

"Saya nak jumpa Cik Hana Mikayla, Pembantu Ketua Editor bahagian Isu Niaga dan Kewangan," Rayyan mengulang sambil menambah info terperinci lagi dengan mukanya masih lagi ditampilkan senyuman. Bukannya dia tidak perasan tadi yang staf wanita di hadapannya itu dari tadi memandangnya dengan tidak berkelip mata tetapi dia sengaja malas mahu melayan. Dia... sudah terbiasa dengan keadaan itu.

"Oh, okey, sekejap saya beritahu pihak sana," balas staf itu sambil matanya masih mencuri-curi lirik ke arah Rayyan dengan mulutnya tersenyum-senyum.

Melihat kepada lirik mata staf wanita yang sesekali memandang ke arahnya, Rayyan sengaja memasukkan tanganya ke dalam poket seluar lalu berpaling ke arah lain. Dia tidak mahu berterus-terusan diserang dengan rasa ujub, riak dan sombong dengan ketampanan yang dimilikinya. Itu semua adalah anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya dan dia menyedari hal tersebut.

Disebabkan sidang media hari ini di Campbell Corporation, Rayyan terpaksa memakai sut yang lebih kemas dari kebiasaan. Dengan pakej wajahnya yang kacak, ia menambahkan lagi aura kelelakiannya yang mampu membuatkan para wanita cair apabila memandangnya. Walaupun begitu, baginya dia tidak layak untuk dipuji melainkan yang berhak dipuji ialah penciptanya Yang Maha Agung iaitu Allah SWT yang menciptanya dengan penuh sempurna.

"Encik!" panggil si staf wanita dengan tersengih-sengih dan tersipu-sipu.

Panggilan itu menyedarkan Rayyan daripada lamunannya lantas dia segera berpaling semula kepada suara halus yang memanggilnya tadi dengan senyum-senyum siput dihadiahkan buat staf wanita itu.

"Maaf ya encik. Cik Hana Mikayla masih belum masuk pejabat," beritahu staf kaunter itu sambil tersengih-sengih lagi. Entah kenapa, hatinya berbunga-bunga sahaja melihat keberadaan jejaka handsome di depannya sekarang. Rasa mahu menjerit kesukaan saja!

Rayyan menarik nafas berat apabila mendengar jawapan dari staf kaunter itu. Ke mana pulalahgadis wartawan itu pergi? Lalu, dengan senyuman terpaksa Rayyan mengucapkan terima kasih kepada staf tersebut dan sempat matanya menangkap tag nama staf itu. 'Siti.'

"Terima kasih sekali lagi Cik Siti," ujar Rayyan sambil tersenyum.

"Sama-sama Encik," jawab Siti malu-malu sambil meminta hujung tudung dan menggigit jari.

'Ya Allah, kenapa wujud lelaki handsome sebegini di dunia ini ya Allah? Hatiku tak kuat,' jerit hati Siti apabila lelaki itu membelakanginya dan mengorak langkah untuk keluar dari bangunan syarikat akhbar Nadi Kota.

Dalam berjalan, Rayyan mengulum senyum dan terasa ingin ketawa melihatkan telatah gadis kaunter itu namun ketawanya ditahankan saja. Dia kemudiannya terus keluar dari bangunan itu tanpa menoleh ke belakang berpaling dari kaunter lantas menuju ke lot parkir yang menempatkan keretanya.

**************


Ting ting ...

Loceng di muka pintu kedai buku moden yang dilengkapi kafe itu bergemercing bunyinya apabila ditolak dari luar. Jam menginjak ke pukul 12.30 tengah hari dan akibat mahu menebus kekecewaannya kerana gagal berjumpa dengan Hana Mikayla, inilah hasilnya. Dia kini berada di dalam kedai buku Jepun Muslim milik kawannya yang juga rakan serumahnya ketika di Tokyo, Jepun dahulu.

"Irasshaimasen, Ray-san (selamat datang, Encik Ray)." Nanako, pelayan restoran itu menunduk hormat pada Rayyan dan dibalas tunduk sopan juga mengikut adat Jepun. Nanako sudah mengenali Rayyan agak lama, jadi panggilan Rayyan sengaja dipendekkan kepada 'Ray' sahaja. Lagipun baginya, agak mudah untuk disebut memandangkan ramai orang Jepun menggunakan nama panggilan itu.

Hari ini, Rayyan mengambil keputusan untuk makan tengahhari di kedai buku bernama Kohisuki yang memang menjadi pilihannya jika berkunjung ke Cheras. Lagipun, kedai buku milik Hino Himura ini dekat sahaja dengan syarikat akhbar Nadi Kota. Pelannya sekejap lagi selepas makan dan solat Zohor, dia akan kembali mencuba nasib sekali lagi di syarikat akhbar itu. Tidak cuba tidak tahu, manalah tahu ketika itu Hana Mikayla sudah masuk ke pejabat. Memandangkan kedai buku ini menyediakan kafe juga, maka kedai buku ini menjadi pilihan. Lagipun, seronok membaca buku ketika makan.

"Lama tak datang, Ray," kata Himura lantas memeluk Rayyan dengan erat. Rindunya membuak-buak kepada sahabatnya yang sudah 3 bulan lamanya tidak berjumpa.

"Maaflah, aku sibuk sikit sekarang ni," jawab Rayyan menarik kerusi lalu duduk.

"Macam biasa ya," ujarnya lagi kepada Himura lalu beberapa buah buku yang berada di rak dipilih-pilihnya sebelum buku bertajuk Business Revolution Crisis menjadi pilihannya.

Menurut permintaan Rayyan, Himura terus meminta anak buahnya membuat air kopi kegemaran Rayyan iaitu Mocha dan juga sepiring kek red velvet kepada kawannya itu. Lantas, dia juga menarik kerusi lalu duduk mendepani Rayyan.

"Ni apa cerita sampai boleh ke sini? Biasanya kalau tak ada hal penting, kau tak datang," tanya Himura sambil memandang Rayyan dengan penuh rasa curiga dan ketika ini, dia pasti mesti ada apa-apa yang berlaku.

"Weh, kau janganlah pandang aku macam tu. Aku datang sini sebab nak jumpa kau je... dah alang-alang aku ada kerja kat Nadi Kota tu, aku singgah la kat sini," jawab Rayyan sambil ketawa. Lucu pula melihat mimik muka Himura yang penuh rasa curiga dan ingin tahu itu.

Mendengar tawa yang meletus dari mulut Rayyan, Himura juga akhirnya melepaskan tawanya. Rayyan oh Rayyan... empat tahun mereka menjadi rakan serumah di Tokyo, hubungan persahabatan mereka berdua memang sangat erat bagai isi dengan kuku. Sebab itulah juga apa saja masalah Rayyan, Rayyan tidak akan mampu menyembunyikan apa-apa darinya.

"Kau serius ke tak ada apa-apa ni?" pancing Himura lagi dengan mimik muka macam meminta penyekeh.

"Okey...okey..." jawab Rayyan sambil mengangkat kedua-dua tangannya sebagai tanda menyerah kalah dengan mimik muka Himura yang mencerlung memandangnya tanpa ada sekelumit pun pandangan percaya dengan kata-katanya tadi.

Melihat ulah Rayyan yang akhirnya menyerah kalah, Himura bersorak di dalam hati. Dia menang lagi! Dia kemudiannya mendengar dengan teliti cerita Rayyan yang menjelaskan situasi yang berlaku di Campbell Corporation dan sebab kedatangannya ke Nadi Kota. Sesekali, kepalanya terangguk-angguk sambil tangannya mengurut-ngurut dagu.

"Hana Mikayla... aku rasa aku kenallah dia tu. Kalau tak silap aku, dia pernah datang kat kedai buku aku ni," kata Himura dengan dahi berkerut cuba mengingat-ngingat nama pelanggan yang pernah berkunjung ke kedai bukunya. Ini kerana, semua pelanggan yang memasuki kedai bukunya dikehendaki untuk menulis nama dan bergambar di sudut fotografi kedai kerana cara itu adalah salah satu daya tarikan kedainya.

"Betul ke?" tanya Rayyan sambil memandang Himura dengan penuh perhatian.

"Kalau tak silap aku lagi la, dia tu sangat bagus dalam kerja dia. Apa saja berita yang dia keluarkan, memang tepat infonya dan popular pula tu dalam sekelip mata," jawab Himura sekali gus menambah info yang dia tahu lagi.

Rayyan mengerutkan dahinya. Popular? Adakah siaran fitnah atas talian tadi tu angkara Hana Mikayla? Rayyan diserang syak wasangka namun syak itu segera ditepis apabila otaknya memberi isyarat 'lebih baik berbaik sangka, jangan cepat menghukum benda yang tak pasti, boleh jatuh fitnah kalau benda tu tidak benar'.

Rayyan segera beristighfar dalam hati. Itulah apabila jiwa sudah kacau, fikiran pun menjadi tidak tenang. Ada ke patut senang-senang serkap jarang? Kehadiran Marisa iaitu isteri Himura di meja mereka serta-merta menghentikan peperangan di dalam hati Rayyan. Marisa tersenyum kepadanya sekilas lalu berpaling kepada Himura.

"Abang, tolong pujuk Mika kejap. Tak tahu la kenapa anak awak tu merajuk tak nak makan pula," adu Marisa kepada Himura. Himura melepaskan keluhan panjang lantas dia memandang kepada Rayyan dan meminta diri untuk masuk ke ruangan belakang kedainya.

Rayyan hanya membalasnya dengan anggukan sambil tersenyum. Di matanya, terbayang gelagat comel anak perempuan Himura iaitu Mikasa Hino atau dipanggil Mika-chan yang memang kalau sudah merajuk, ayahnya saja yang dapat pujuk. Menurun perangai siapa entah manja sangat. Rayyan yang dipanggil uncle handsome pun gagal memujuk budak kecil itu!

Ting... ting...

Loceng yang bergantungan di pincu bergemercingan bunyinya apabila pintu kedai buku ditolak dari luar. Serentak dengan bunyi loceng, kedengaran suara Nanako mengucapkan selamat datang dalam bahasa Jepun kepada pelanggan yang masuk ke kedai. Kerusi di belakang Rayyan kedengaran ditarik dan dia dapat mengagak pastilah pelanggan yang baru masuk dan mengambil tempat di meja belakangnya itu adalah dua orang perempuan. Dia hanya mengagak sahaja memandangkan bunyi kerusi yang ditarik itu dua buah dan kemudian, kedengaran suara halus bercakap-cakap.

"Cik Hana, saya sebenarnya takut nak bagi maklumat ni. Macam mana kalau orang gila tu cari saya? Saya sudah simpan perkara ni lama." Kedengaran suara seorang perempuan dalam lingkungan umur akhir 40-an bercakap di belakang.

'Cik Hana?' detik hati Rayyan lantas dia memasang telinga untuk mendengar isi perbualan.

"Tak apa jangan takut. Maklumat ni saya takkan dedahkan kepada sesiapa pun. Janji." Kedengaran pula suara lembut seorang perempuan yang di dalam agakannya berusia hampir akhir 20-an.

"Betul ke ni? Takutlah..." Kedengaran pula jawapan dari si wanita berusia 40-an.

'Siapa saksi kes kemalangan di Pahang 15 tahun lepas?'

'Betul ke bukti kukuh masih ada dalam simpanan saksi?'

'Di mana saksi itu sekarang?'

Ayat itu berlegar-legar di ruang pendengaran Rayyan yang kian memfokuskan pendengarannya akibat dari suara mereka berdua yang tenggelam timbul dengan bunyi irama muzik Jepun di restoran itu. Bukanlah niatnya mahu masuk campur hal orang tetapi isi perbualan dua orang pelanggan di meja belakangnya itu memang sangat menarik perhatiannya.

Bib... bip...

Telefon Rayyan bergetar. Rayyan mencapai telefon yang diletakkan di atas meja itu lantas memandang skrin telefonnya. Satu mesej dari Syafiq melalui aplikasi WhatsApp terpapar di skrin telefon. Lantas, mesej daripada Syafiq itu dibuka lalu diperhatikannya sepatah-sepatah ayat yang ditulis oleh Syafiq sebelum dia memuat turun kepilan fail berbentuk PDF ke dalam telefon pintarnya.

'Bos, ini data Hana Mikayla dan gambar terbaru dia. Maaf lambat, Cik mengamuk bila dapat tahu berita tadi. Tapi Boss jangan risau, keadaan sudah reda dan Steven ada dekat sini sedang pujuk dia.'

Rayyan menarik senyuman nipis. Laporan daripada Syafiq akan keadaan Eve itu agak mencuit hatinya. Lalu, tanpa membuang masa dia membuka fail yang berformat PDF itu lantas membacanya dengan penuh teliti. Semakin dibaca semakin mukanya berkerut seribu lalu diperhatikannya lagi berkali-kali sekeping gambar berukuran passport yang turut diselitkan sekali di dalam fail itu. Sah, Hana Mikayla tu wartawan yang dia nampak semalam!

Dup! Dap!

Dadanya tiba-tiba berasa sakit tetapi ditahankan saja. Rayyan memejam mata akibat menahan tusukan berbisa yang tiba-tiba menyerang jantungnya. Dia termengaduh kecil dan lengannya ditongkatkan ke meja sambil kepalanya tertunduk ke bawah.

'Siapa Hana Mikayla? Kenapa aku berasa sakit apabila melihat dia?' detik hatinya lagi.

'Kayla anak ayah. Belajar rajin-rajin tau, nanti besar boleh jadi polis macam ayah.' Satu imbasan memori secara tiba-tiba menerpa mindanya.

Pancaran memori itu menunjukkan seorang lelaki berumur 40-an mendukung seorang kanak-kanak perempuan yang ketawa girang di dukungan ayahnya. Terdapat seorang wanita tua di sisi yang mungkin juga ibu kepada lelaki itu. Keluarga itu... memang pakej keluarga yang bahagia. Memori itu kemudiannya bergerak lagi bagaikan tayangan filem dan menerpa mindanya satu persatu.

'Kenapa? Aku dah lama tak jadi begini sejak 10 tahun yang lepas,' hati Rayyan mendesis lagi sambil mulutnya tercungap-cungap mencari udara yang terasa malu-malu mahu masuk ke paru-paru. Nafasnya sesak! Dia cuba bangun, tetapi kakinya bagai digam.

Bum!

Prang!

Pintu kaca restoran itu tiba-tiba ditendang kuat dari luar lalu pecah berderai cermin pintu. Suara jeritan Nanako dan beberapa orang pelanggan lain tidak dihiraukan oleh seorang lelaki berpakaian selekeh dan di tangannya terdapat sebilah parang yang membuta tuli menerpa masuk ke dalam kedai lantas mengacukan parang itu ke wajah pelanggan di belakang Rayyan.

Para pelanggan yang berada di dalam kedai masing-masing menjerit ketakutan dan bertempiaran berlari keluar. Tidak kurang juga yang bangun dari kerusi masing-masing dan menyorok di bawah meja serta mencari tempat perlindungan. Namun, Rayyan tetap statik di kerusinya tidak bergerak dan dia hanya memilih untuk memerhatikan sahaja keadaan. Lagipun, dadanya semakin hebat sakit mencucuk-cucuk dan ketika ini memang dia tidak larat untuk bangun.

"Kat sini pun kau ya. Aku dah pesan jangan keluar, kau keluar jugak!" tengking lelaki itu.

"Maafkan saya bang, saya janji tak keluar dah," rayu wanita berusia 40-an itu dengan badannya menggigil ketakutan dan berlindung di sebalik seorang gadis bertudung merah yang dipanggil Cik Hana.

"Apa kau bagitau perempuan ni ha? Kau mengadu aku pukul kau tiap-tiap hari ke?" marah lelaki itu lagi.

"Tidak bang, tidak," jawab wanita itu sambil menangis teresak-esak.

"Encik, akak ni datang jumpa saya bukan sebab encik. Dah kenapa encik marah dia?" marah si gadis bertudung merah. Berani!

"Kau diamlah budak. Sebab kaulah bini aku yang bodoh ni berani keluar rumah, dia ingkar arahan aku!" jerkah lelaki itu lalu bertindak melibaskan parangnya dengan agresif, penuh amukan dan marah membara.

Gadis bertudung merah dan wanita itu hanya mampu menelan air liur melihatkan situasi yang sungguh membahayakan itu. Lelaki selekeh di hadapan mereka berdua memang nampak seperti sudah hilang akal!

"Encik... bertenang!" kata gadis dengan nada cuba memujuk.

"Aku tak kira!" laung lelaki itu dengan lantang lalu menerkam garang sambil melibaskan parangnya ke arah si gadis bertudung merah.

Bayang parang yang dilayangkan tepat ke kepala terefleksi di anak mata hitam si gadis dan dia menyambut gerakan figura yang menerkam garang itu dengan riak terkedu.

'Ya Allah, beginikah kesudahanku?' detik hati Hana lalu dia memejam mata.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.