Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
48,068
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 10

BUNYI yang terhasil daripada dua buah enjin motosikal yang semakin menghampiri didengar teliti oleh Ryzen dan Shaurin. Ketika ini, Shaurin baru sahaja memberhentikan keretanya di perkarangan rumah yang diduduki oleh Ryzen.

Tidak lama kemudian, kedua-dua motosikal tersebut juga berhenti di situ. Turunlah Pak Lebai Leman dan Pak Mahad si pemilik kuda dari jentera tersebut. Melihat dua batang tubuh manusia itu berjalan menghampirinya yang masih berada di dalam kereta, terus saja Ryzen membuka pintu kereta.

"Cikgu," tegur Pak Lebai Leman.

"Pak lebai," sahut Ryzen disertai sengihan.

"Risau pak bila tengok kamu pengsan kena langgar tadi. Ish, kamu ni," bebel Pak Lebai Leman seraya menggeleng-gelengkan kepala.

"Jangan risaulah pak." Ryzen hanya mampu tersengih lalu berpaling kepada Shaurin di sebelah.

Gadis itu diam sahaja di kerusi pemandu tanpa rasa ingin menyampuk percakapan mereka berdua. Behave betul, anak siapakah ini? Baguslah nilai murni yang ada pada Shaurin, tidak menyampuk percakapan orang sesuka hati.

"Rin, terima kasih," ucap Ryzen sambil tersenyum.

"Sama-sama," balas Shaurin perlahan.

"Okeylah, kau hati-hati drive tu." Ryzen menitipkan pesanan.

"Insya-Allah," jawab Shaurin seraya tersenyum nipis.

Berpuas hati dengan jawapan balas Shaurin, Ryzen terus keluar dari kereta. Kebal sangat kan badan dia? Ya itu biasa sampaikan bantuan papahan yang dihulurkan oleh Pak Lebai Leman pun ditolak baik.

Setelah Ryzen keluar dari kereta dan selamat menapak ke halaman rumah, Shaurin terus beredar dari situ. Tidak betah dia berlama-lama di rumah anak teruna orang. Tidak manis dipandanglah. Tambah lagi, apa pula kata Pak Lebai Leman nanti?

Setelah figura kereta yang dipandu Shaurin semakin mengecil pada pandangan Ryzen, dia kembali menalakan pandangannya kepada Pak Lebai Leman dan Pak Mahad yang berdiri di sebelahnya.

Wajah serba salah Pak Mahad ditenung dalam sebelum segaris senyuman diberikan kepada lelaki separuh abad tersebut. Pak Mahad berasa gundah? Mungkin juga sebab kuda yang ditunggang oleh Asrul yang merempuh Ryzen tadi.

Seperti dijangka, Pak Mahad memandangnya dengan riak wajah yang terkandung perasaan bersalah yang menggunung. Laju saja lelaki itu mencapai tangannya dan menggenggamnya erat.

"Aku minta maaf cikgu. Asrul, anak aku tu baru belajar naik kuda. Biasanya kuda tu jinak aje, tapi tak tahulah kenapa binatang tu boleh jadi liar pula," tutur Pak Mahad serba salah.

"Benda nak jadi, pak. Siapa kita nak elak takdir Allah? Apapun, tak apalah. Pak jangan risau, saya okey saja ni," pujuk Ryzen seraya tersenyum.

Memaafkan kesalahan orang, itu ialah perangai Ryzen sejak dahulu sehingga kini. Ajaran daripada ibu dan ayahnya masih tersemat kukuh dalam hati. Walau besar mana pun kesalahan orang, kita tak layak nak menghukum. Bukankah kemaafan itu lebih baik?

Lagipun, Pak Mahad langsung tidak bersalah dalam hal ini. Hanya saja anaknya gagal mengawal si kuda, takkan nak disalahkan si bapa pula? Lagipun, Asrul itu pelajarnya. Walaupun budak tidak cemerlang dalam akademik, namun kecemerlangannya dalam sukan begitu terserlah.

Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan, jadi masyarakat tidak sepatutnya mengukur tahap kecerdasan pelajar melalui akademik sahaja. Sangat kasihan kepada pelajar yang cemerlang dari segi kemahiran namun sentiasa dianaktirikan.

"Cikgu baik sangat." Pak Mahad mengalirkan air mata.

"Aku dah kata Mahad, cikgu ni baik. Tak apa, jangan risaulah," pujuk Pak Lebai Leman pula kepada Pak Mahad.

"Pak jangan risau. Saya maafkan semua kesalahan dan benda yang dah jadi ni, anggaplah sebagai pengajaran," putus Ryzen seraya tersenyum lagi.

"Baiklah, cikgu. Kalau cikgu perlukan apa-apa, cikgu bagi tahu aku. Aku sedia membantu cikgu." Akhirnya, Pak Mahad bersuara setelah terdiam beberapa ketika.

"Baik, baik insya-Allah," jawab Ryzen.

Sebaik sahaja Ryzen menamatkan kata, azan isyak berkumandang di corong pembesar suara surau di sebelah rumah. Malam ini, sepatutnya Ryzen yang menjadi imam solat isyak, namun keadaannya yang tidak mengizinkan memustahilkan dirinya untuk menjadi imam.

"Tak apa cikgu, malam ni biar pak yang jadi imam," beritahu Pak Lebai Leman.

Ujaran Pak Lebai Leman diangguk pantas oleh Ryzen. Terima kasih, pak. Malam ini, walaupun ahli jemaah tidaklah ramai iaitu dalam 10 orang saja yang nampak hadir ke surau, namun kewajipan tetap perlu ditunaikan.

Setelah bersalaman dengan Pak Lebai Leman dan Pak Mahad, Ryzen terus menapak naik ke atas rumahnya. Di tangga terakhir sebelum masuk ke dalam rumah, barulah dia tersedar yang motosikalnya masih lagi berada di pantai. Seketika, dia terdiam sebelum ketawa kesalnya meletus.

'Kau ni Ryzen, jalan kakilah kau ke sekolah esok,' keluh hatinya sendiri. Nak buat macam mana, kereta baharu yang dipesannya belum sampai di sini. Tabah ajelah!


SUASANA kelas yang hingar-bingar dengan jeritan pelajar Tingkatan Lima Lengkuas tiba-tiba senyap sunyi bagaikan dilanggar garuda apabila figura Ryzen muncul di muka pintu. Hari ini, sepatutnya Ryzen cuti sakit. Namun, dia memilih untuk menghadirkan diri ke sekolah.

'Amboi, suka hati nampak. Mesti kau orang fikir aku tak datang sekolah hari ni kan?' Ryzen menarik senyuman sinis lalu menapak masuk ke dalam kelas.

"Bangun, selamat pagi, ustaz!" ucap ketua kelas diikuti dengan pelajar lain.

Ucapan seisi kelas disambut oleh Ryzen lalu meja guru ditujunya. Kerusi ditarik, buku diletakkan di atas meja dan punggungnya dilabuhkan di kerusi. Riak wajah pelik dan tertanya-tanya pelajarnya disambut dengan penuh kemenangan olehnya.

"Ustaz, kami dengar ustaz kena langgar dengan kuda semalam. Kenapa ustaz datang ke sekolah?" polos si penanya bertanya soalan.

Ryzen tersenyum saja mendengar soalan daripada pelajarnya. Cepat betul beritanya dilanggar oleh kuda tersebar ke seluruh warga sekolah. Bawang Rangers betul mereka ini ya?

Sebenarnya, dia pun tidak akan ke sekolah hari ini jika motosikalnya tidak dibawa pulang oleh Pak Lebai Leman dan Pak Mahad. Syukur alhamdulillah, pak-pak berdua itu berusaha membawa pulang motosikalnya dari pantai ke rumahnya.

"Kamu semua dah nak SPM kan, ustaz tak naklah kamu tertinggal dalam pelajaran," jawab Ryzen, melayan saja kerenah pelajarnya.

Senyap dan akur semuanya seisi kelas. Kelas ini ialah kelas kedua tercorot, tetapi para pelajarnya tidaklah senakal pelajar dalam kelas Halia. Untuk kelas ini, dia mengajar subjek Pendidikan Islam.

Sesuai dengan nama kelas Pendidikan Islam, semua pelajarnya mestilah berkelakuan baik. Kebersihan kelas pun terjaga hari ini. Bagus betul pelajarnya. Dia berpuas hati. Yalah, sebelum ini mereka didenda olehnya dengan membersihkan kelas. Macam mana mahu belajar jika keadaan kelas bersepah, berdebu, berhabuk dan kotor bagaikan tongkang pecah?

Jadi, sebelum dia mendenda mereka sekali lagi sekali, setiap kali ada kelas Pendidikan Islam mereka semua pasti akan membersihkan kelas terlebih dahulu. Tiada siapa yang sanggup membuat kerja buruh pada jam 11.40 pagi.

Kebersihan sebahagian daripada iman, itu yang ditekankannya setiap kali masuk mengajar. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur. Sekali lagi, Ryzen memerhatikan wajah para pelajarnya.

Polos. Itu yang dapat disimpulkan daripada riak wajah mereka semua. Masih ada harapan sebenarnya untuk masyarakat di sini berubah. Itu deduksinya sebelum satu nyaring tiba-tiba kedengaran dari kelas sebelah.

"Asrul cuba bunuh diri!" tempik satu suara.

Buku teks Pendidikan Islam yang baru dipegang terlucut terus dari tangan Ryzen. Asrul nak bunuh diri? Takkanlah!


>>> BERSAMBUNG DALAM NOVEL

* Untuk membaca kisah penuh Harraz Zayne dan Shafa Raisha, boleh dapatkan novel Code Name: Ryzen di mana-mana kedai buku di seluruh Malaysia, Shopee, Tiktok Shop dan Lazada.


* BLURB

Kehidupan ibarat permainan catur. Setiap strategi mempengaruhi hasil akhir.

Harraz Zayne, code name Ryzen. Seorang ejen perisik lapangan terlatih yang sentiasa menjadikan misi sebagai keutamaan. Namun, pertemuannya dengan Shafa Raisha sungguh menggugat rasa sehingga dia rela dirinya dijadikan perisai buat gadis tersebut.

Shafa Raisha, code name Shaurin. Juga seorang ejen perisik tetapi memiliki kepakaran dalam penyamaran. Tanpa disedari, pertemuannya dengan Harraz Zayne bukanlah kebetulan sebaliknya dirancang oleh seseorang. Yang tersembunyi kerana sesuatu yang ada padanya.

"Kenapa kau selamatkan aku?" - SHAFA RAISHA

Kes yang disiasat menyebabkan takdir antara mereka saling bertingkah. Insiden demi insiden yang berlaku sungguh menimbulkan tanda tanya.

Tindakan drastik dalam membanteras jenayah terpaksa diambil oleh Harraz Zayne dan Shafa Raisha walaupun terpaksa membahayakan nyawa masing-masing.

Masalah bertambah berat apabila  seorang lelaki iblis bertopengkan malaikat mentargetkan Shafa Raisha. Mulut kata sayang tapi hati sebaliknya. Di depan kata cinta tapi di belakang lain pula ceritanya. Obsesinya begitu terserlah sehingga nyawa ibarat mainan!

Shafa Raisha terperangkap dalam permainan kotor lelaki tersebut. Keadaan itu menjadikan Harraz Zayne terpaksa menunjukkan identitinya yang terlipat kemas daripada pengetahuan sesiapa pun.

Siapa sebenarnya seorang jejaka yang bernama Harraz Zayne itu? Adakah benar dia hanyalah seorang ejen perisik seperti sangkaan Shafa Raisha selama ini?

"Aku takkan benarkan kau dirampas oleh Nasrun." - HARRAZ ZAYNE.

Dapatkah mereka menumpaskan musuh apabila bantuan yang dipinta tidak kunjung tiba?

Tercapaikah target mereka untuk menutup kes dalam tempoh masa yang diberi oleh ketua masing-masing? Kanan dan kiri, musuh sentiasa mengintai. Asakan juga datang dari pelbagai arah.

Melindungi dan memiliki, takdir antara mereka sungguh mencabar!


* MAKLUMAT NOVEL:-

Tajuk: Code Name: Ryzen

Penulis: Angel_k20

Penerbit: Fajar Pakeer

Harga: RM 26 (Semenanjung) RM 29 (Sabah Sarawak)


Terima kasih.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20