4
DATUK Nik Rasyid merenung wajah Dija. Gadis itu hanya
memainkan jari jemarinya yang dipertautkan rapat. Berada di depan tuan punya
syarikat yang tersohor itu membuatkan dia kehilangan kata. Apa yang harus
diucapkan?
Dia belumpun bercakap dengan datuk, tapi angin dah
bertiup kencang. Mengalahkan puting beliung lagaknya. Dija kehairanan bila dia
dipanggil ke bilik datuk awal pagi begitu. Apa yang tak kena lagi? Salah lagi?
“Ada apa, datuk panggil saya?” suara Dija tetap dikawal
setenangnya.
Datuk Nik Rasyid tersenyum. Wajah Dija tetap dipandang.
Ada mesra pada senyumnya yang meniti di bibir. Anak matanya terus tertala pada
wajah Dija.
“Tak boleh ke majikan nak panggil anak buah sendiri?”
tenang sahaja suara datuk. Malah, sedikit kemesraan terserlah dalam
ungkapannya.
Dija membalas renungan mata datuk. Eh, dia tak nak marah aku ke? Soal hati Dija. Manalah tahu,
kalau-kalau kali ini bapanya pula yang akan mengherdik dan memakinya. Kalau dua
tiga hari lepas, dia sering dimarah dan dikecam perli oleh si anak, tidak
mustahil kalau hari ini, dia kena marah lagi.
“Boleh...” jawab Dija bersahaja. “Tapi, saya risau
kalau-kalau saya ada buat silap.”
“Awak rasa awak ada buat silap ke Dija?”
Dija tidak segera menjawab. Wajah Datuk Nik Rasyid
direnung mendalam.
“Terkadang, kesilapan orang lain, boleh juga tertimpa ke
atas kita, datuk. Terkadang, kita tak lakukan kesilapan tapi orang lain akan
menganggap itu suatu kesilapan.” Setelah agak lama, Dija bersuara. Meluahkan
falsafahnya.
Datuk tidak segera menjawab kata-kata Dija. Dia sekadar
menatapi wajah Dija. Naik seriau pula bila ditatap begitu. Kenapa dengan datuk
ni?
“Err, apa yang tak kena datuk?” soal Dija sambil
membetulkan selendangnya. Manalah tahu, kalau herot penutup kepalanya itu
hinggakan datuk merenungnya tanpa kelip. Apa yang salah ni?
“Err...apa yang tak kena?” datuk pula yang menyoal.
“Habis, datuk tenung saya macam ada yang tak kena pada
saya ni.”
Bibir Datuk Nik Rasyid tersenyum. “Tak ada yang tak kena.
Semuanya okey.”
“Habis, datuk nak cakap apa?” soal Dija dengan kerut
wajahnya masih jelas.
“Nak tanya...”
Dija menanti. Sabar dan tenang sahaja wajahnya menatapi
wajah datuk.
“Betul ke awak nak berhenti, Dija?” soal datuk.
Kerut di dahi Dija hampir merapatkan dua keningnya.
“Siapa yang cakap, datuk?”
“Maknanya tak betul?’ soal datuk kembali.
“Bukan tak betul. Tapi, siapa yang bagitahu datuk?” Dija
terus menyoal.
“Dija cakap dulu, betul atau tidak?” Datuk masih menyoal.
“Sila datuk cakap dulu, siapa yang cakap dengan datuk
perkara ni?”
Datuk Nik Rasyid merenung wajah Dija.
“Adalah seseorang yang cakap tu. Betul ke, Dija apa yang
saya dengar tu?”
Dija melepaskan keluhan. “Cepatnya mulut orang bawa
berita yang tak pasti ya datuk? Itulah silapnya orang kita ni. Suka sangat
menyebarkan khabar yang tak jelas betul atau salahnya. Khabar yang tak pasti
patutnya jangan diperbesarkan dulu.”
“Tak pasti? Maksud Dija?” wajah Datuk Nik Rasyid semakin
berkerut.
“Yalah, Dija tak pastikan lagi dengan pihak pengurusan
syarikat ni yang Dija nak berhenti kerja. Tapi, orang-orang yang gatal mulut tu
dah bawa khabar ni kepada datuk. Peliknya...” ulas Dija agak panjang.
Datuk Nik Rasyid tersengih melebar ke arah Dija.
“Maknanya Dija takkan berhenti dari syarikat ni?”
Dija tidak segera menjawab pertanyaan itu. Tapi nafasnya
turun naik berkali-kali. Bibirnya digigit sambil dilepaskan, berkali-kali juga,
DIJA meletakkan punggungnya di atas bangku berhampiran
bilik itu. Wajahnya suram. Matanya berair. Sesekali, dia menyeka birai mata.
“Sabar, sayang...” suara Kak Sal memang sentiasa tenang
dan lembut.
“Apa datuk cakap, Dija?” Marina mendekati.
Dija menggeleng. Jari jemarinya kerap singgah di birai
mata.
“Dija...” Marina meletakkan lengannya di atas bahu Dija.
“Kenapa?”
“Tak ada apa...”
“Habis, kenapa kau sedih
ni?”
Dija cuba tersenyum. “Siapa cakap aku sedih?”
“Ceritalah...” rayu Marina. Tapak tangannya masih melekat
di bahu Dija.
Dija melepas nafas. Tiada suara yang terlahir daripada
bibirnya. Tiada ucap yang kedengaran. Hanya renungan mata yang bertaut pandang
dengan mata Marina.
“Rina, biarlah Dija tenangkan perasaannya dulu. Nanti,
kalau dah tenang, dia akan ceritakan jugak...” Kak Sal bersuara. Seakan
memberikan ruang tenang di hati Dija yang sedang sarat dengan sebak.
“Ok, kau rileks dulu ya...” Marina menepuk bahu Dija.
“Semakin lama aku kat sini, jiwa aku memang takkan rilaks
dah, Rina...” kendur suara Dija. Seperti ada perit yang sedang berladung di
jiwanya.
Marina menghala pandangan ke arah Kak Sal yang terkedu
dengan ungkapan Dija. Kak Sal sekadar merenung wajah Dija penuh simpati. Marina
pula hanya mampu menjongket bahu. Senyum
tiada lagi di antara bibir mereka.
“Tahulah aku ni buruk rupa, miskin dan bodoh pulak. Tapi,
takkan dia tak tahu, akupun manusia jugak. Aku ada jiwa jugak...” keluh Dija.
“Siapa maksud kau ni, Dija? Datuk hina kau ke?” Marina
mulai buat muka. Macam tidak percaya dengan soalannya sendiri.
Dija menggeleng.
“Habis, apa yang dia cakap?” soal Marina, mencungkil
rahsia luka di hati Dija.
INGATAN Dija jadi terimbau.
“Ha, elok sangatlah kalau papa ajar sikit tukang cuci
papa ni. Biar dia sedar, siapa dirinya tu.” mencelah dengan tiba-tiba pula Si
Faheem, saat dia sedang berhadapan dengan Datuk Nik Rasyid. Wajah geramnya
terserlah tika merenung wajah Dija yang sedang kegugupan di depan majikannya
itu.
“Ikutkan hati Faheem, budak ni patut dipecat je, papa.
Habis cerita...!” Meradang sangat rupanya Faheem dengan kehadiran Dija.
“Faheem...!” menjerkah geram Datuk Nik Rasyid bila
mendengar Faheem mencelah dengan tiba-tiba dalam lagak kurang ajarnya itu.
“Papa tak suka kamu masuk campur dalam urusan papa!”
“Urusan papapun urusan Faheem jugak!” balas Faheem sempat
menjeling geram ke arah Dija. “Bukankah tak lama lagi papa nak Faheem yang
kendalikan syarikat ni? Papa nakkan Faheem jadi CEO kat sini, kan?”
“Nampaknya papa kena tangguhkan semua lantikan tu.” datuk
membalas ucapan anaknya dengan geram.
“Papa...?” melopong mulut Faheem.
Dija jadi bergetar dadanya mendengarkan ungkapan datuk.
“Kamu tak tahu nak uruskan setiap pekerja dalam syarikat
ni dengan baik. Macamana syarikat kita akan maju? Kamu jangan lupa Faheem,
kejayaan satu-satu syarikat tu bukan semata-mata kerana CEO yang bijak sahaja,
tetapi lebih daripada itu.” wajah datuk semakin memerah.
“Kalau tak diambil cakna tentang perkara-perkara kecil
atau pekerja kecil macam Dija ni, sesebuah syarikat itu tak mungkin berjaya.
Tak mungkin!”
“Hah? Tukang cuci macam ni kena ambil kira jugak ke, pa?”
mata Faheem mengerling lagi ke arah Dija. Sinisnya sebuah renungan. Perit
tertusuk ke dalam nubari Dija. Kenapa dengan mamat ni? Benci sangat ke? Salah
sangat ke aku? Hisy...!
“Faheem, tukang cuci juga sebahagian daripada penyumbang
kepada kejayaan syarikat ni. Tanpa mereka, syarikat kita boleh...”
“Karutlah papa ni. Takkanlah tukang sapu boleh sumbangkan
kejayaan jugak buat syarikat ni.” cebik Faheem. “Faheem tahu, papa nak bela
nasib dia orang ni. Tapi, janganlah sampai buat statement macam tu. Nanti dia orang ni akan perasan lebih pulak,
papa.”
“Faheem...!” jerkah datuk lagi. Wajahnya makin memerah.
“Papa tak pernah ajar kamu jadi kurang ajar dan pandang
rendah kepada orang lain. Apatah lagi untuk menghina...” tambah datuk. Dia
benar-benar tidak senang dengan ungkapan Faheem.
“Errr, datuk, maafkan saya. Izinkan saya keluar dari
sini...” tergugup-gugup suara Dija memohon berundur. Tidak sanggup untuk dia
terus mendengar pertengkaran dua beranak itu kerana dia. Nanti tak pasal-pasal
kena maki hamun dek Faheem.
“Duduk dulu, Dija....” pinta Datuk Nik Rasyid sambil
mengisyaratkan dengan matanya agar Dija tidak keluar dari bilik itu.
“Biarkan dia keluar, pa. Faheem malas dah nak tengok muka
dia. Bukannya cantikpun Budak Hitam ni.”
Pangggg!
Faheem meraba pipinya yang sudah dihadiahkan sebuah
penampar oleh papanya sendiri. Datuk Nik Rasyid memang benar-benar geram dengan
segala ucap kata anaknya itu. Dia juga tidak pernah menduga Faheem akan
menghina Dija sebegitu rupa. Memang benar-benar membuatkan hati Datuk Nik
Rasyid membara.
“Faheem, tolong jangan kurang ajar!” jerkah Datuk Nik
Rasyid lagi.
Faheem diam tidak membalas kata-kata papanya. Matanya
melekat pada wajah Dija. Sedang tapak tangannya
masih meraba pipi. Ada kegeraman di matanya.
Dija tertusuk di hatinya. Dengan pantas, dia bangkit.
Melangkah laju.
“Dija...!” panggil datuk bila melihat Dija melangkah pantas.
“Tunggu dulu...”
Namun, Dija sudah sebak. Rajuk mulai menjalar di hatinya.
Jiwanya jadi rencam. Senangnya orang yang tak tahu adab itu bersuara. Nama saja
anak datuk datin. Tapi, perangai? Mengalahkan beruk tunggal yang mengamuk
siang.
Berdesingnya telinga Dija bila menerima penghinaan
daripada bibir Faheem. Namun, Dija tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya
menghimpun sebak dan geram sekaligus dan bergugus.
Hissyhh....Faheem...! Nama aje cantik. Mulut? Mengalahkan
Minah Potpet di desanya. Kena bagi insurans mulut macam tu.
“Faheem...ini amaran papa, lepas ni papa tak nak lagi
dengar kamu hina dia.” Datuk Nik Rasyid benar-benar geram dengan mulut celupar
Faheem.
“Papa ni kenapa?”
“Kenapa apa?” jerkah datuk.
“Kenapa papa pentingkan sangat budak hitam tu? Kenapa
papa nak bela dia sangat? Siapa dia tu? Keluarga kita ke? Anak saudara papa ke?
Atau siapa dia tu, papa?” Faheem semakin lantang bersuara walaupun sudah
mendapat sebuah hadiah istimewa daripada papanya. Mungkin melepaskan rasa geram
di hatinya.
Dija sempat mendengar semuanya itu. Namun langkahnya
sudahpun melaju. Sudah pergi
meninggalkan bilik Datuk Nik Rasyid itu. Semakin laju langkah kakinya. Semakin
laju pula air jernih yang mengalir.
Begitu sekali penghinaan seorang Faheem terhadap dirinya?
Besar benarkah salahnya kepada Faheem sehingga dia
membencinya sampai ke tahap itu? Hanya
kerana secawan kopi dan sebaldi air? Itu saja? Alangkah mudahnya Faheem
menghina orang lain hanya sebuah kesalahan kecil. Tidakkah dia boleh memaafkan
orang lain dengan mudah?
Ah, terlajak perahu, boleh juga diundur. Terlajak kata?
Terpikul buat selamanya. Dija akan ingat semua kata-kata kelat hadiah daripada
Faheem kepadanya itu. Akan dikenang selamanya. Bukan setakat penghinaan terhadap dirinya malah turut menghina ciptaan
Allah.
Betapa angkuhnya seorang Faheem.
Kenapa dia sebegitu?
Mungkin kerana dia ada harta? Mungkin kerana dia ada
kedudukan?
Tapi Faheem patut tahu, harta benda milik insan tak
semestinya kekal lama. Mungkin dengan mudah akan diambil kembali oleh Allah
SWT. Rupa? Juga sama, kalau rasa lawa sangat rupa diri sendiri, dia patut tahu,
semua itu juga pemberian Allah. Kalau Allah menginginkan, bila-bila masa rupa
paras seseorang itu boleh dirampas kembali. Mungkin akan ada orang yang
menyimbah asid ke wajahnya. Ataupun mungkin kekacakan dan kecantikan seseorang
itu akan hilang bila berlaku kemalangan. Malah, macam-macam cara Allah boleh
ambil kembali pemberiannya itu.
Begitu juga dengan kedudukan atau pangkat.
Bila-bila waktu, Allah boleh hapuskan kembali semua itu.
“Wahai Encik Faheem, janganlah kau sombongkan dirimu
kerana suatu hari nanti, pembalasan Allah takkan dapat dijangka!” Dija membujuk
hati sendiri.
Marina terus merenung wajah Dija yang dilamun rasa. Entah
apa yang sedang Dija lamunkan, dia tidak mengerti. Segala persoalan yang
diajukan seketika tadi, terus saja terbiar. Tanpa sebarang jawapan daripada
teman sekerjanya itu.
“Macamana agaknya aku nak ajar dia, ya?” tiba-tiba
terpancul suara Dija.
“Ajar? Siapa, Dija?” soal Marina, pelik.
Dija tidak segera menjawab. Wajah Marina ditatap.
“Dija...!” panggil Marina sambil menepuk bahu Dija.
“Kenapa diam ni?”
Dija tidak menghiraukan. Dia terus melayani bicara
hatinya sendiri.
“Dija, kau nak ajar siapa?” Marina terus menyoal.
Aku salah cakap ke? Soal hati Dija bila dilihat Marina
begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawapan daripadanya.
“Ajar kau laa...” Dija tersenyum nakal bila tersedar dia
sudah tersilap mengeluarkan kata-kata yang ingin disembunyikannya daripada
pendengaran Marina.
Wajah Marina berkerut. “Aku?”
Dija mengangguk.
“Apa yang kau nak ajarkan?” soal Marina, tidak mengerti
apa yang dimaksudkan oleh Dija, temannya itu.
Wajah Marina ditatap mendalam. Ada senyum nakal terselit
di bibir Dija.
“Ajar kau buat puding buih...” Dija ketawa kecil.
“Aikk...hari tu kau cakap kau tak pandai memasak...”
Marina mengerutkan dahi.
Dija tersengih lebar.