CIKGU SHEN sedang berdiri di tepi meja PA System sambil berpeluk tubuh. Kehadiran Cikgu Shen secara mengejut membuatkan pengawas yang bertugas mengawal PA System kelam-kabut. Tiba-tiba sahaja membuat pemeriksaan. Lebih malang lagi, pemacu pena yang mengandungi lagu-lagu untuk perhimpunan tiada dalam simpanan mereka.
"Kau letak mana minggu lepas?"
"Kau yang simpan kan?"
Kedua-dua pengawas lelaki itu mula menuduh antara satu sama lain. Tanpa mereka berdua sedar, Zamrud sedang memerhati dari belakang mereka. Dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.
"Nah."
Sebuah pemacu pena bertali disua.
Kedua-dua pengawas lelaki tadi serentak menoleh ke belakang. Kehadiran Zamrud membuatkan Cikgu Shen tersenyum.
"Terima kasih, Zam!"
Pemacu pena bertukar tangan.
Cikgu Shen segera mengajak Zamrud menuju ke lokasi lain. Zamrud mengangguk. Dua orang pengawas tadi kembali membuat persiapan dengan PA System.
"Kenapa, cikgu? Majlis bersara tak jadi ke?" soal Zamrud.
Cikgu Shen menggeleng.
"Jadi saja. Cikgu nak bagi kamu semangat sebelum kamu berucap masa majlis nanti. Boleh, kan?"
Sebelah bahu Zamrud runtuh.
'Ini ke yang penting sampai suruh pengawas lain cari aku? Macam tak penting saja,' getus hati kecil Zamrud.
Seperti sia-sia sahaja dia menjelmakan diri apabila mendapat tahu Cikgu Shen mencarinya. Nak bagi semangat. Katanya.
"Buat yang terbaik. Kamu mewakili rakan-rakan kamu. Jangan hampakan Cikgu Cempaka."
Berkerut-kerut dahi Zamrud mendengar pesanan daripada Cikgu Shen. Motif?
"Baik, cikgu. Saya akan buat yang terbaik."
Cikgu Shen tersenyum simpul melihat reaksi Zamrud yang sangat bersemangat. Dia tidak putus memberikan kata-kata semangat kepada Zamrud. Zamrud tidak pasti untuk memberikan reaksi yang setepatnya. Manakan pula, Cikgu Shen menepuk-nepuk bahu Zamrud seolah-olah menghantarnya mewakili seluruh sekolah untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
"Perhimpunan akan bermula sebentar sahaja lagi. Diharapkan semua pelajar bersedia."
Suara lunak pengerusi majlis mula kedengaran menandakan perhimpunan bakal bermula tidak lama lagi.
Cikgu Shen segera meninggalkan Zamrud setelah dipanggil oleh seorang guru lelaki yang lain. Sempat dia menoleh ke belakang melihat Zamrud. Isyarat bagus tidak putus diberikan.
Zamrud mengangguk namun pandangannya dilarikan ke arah lain.
Kirana yang sibuk mengintai kamera di tangannya secara tidak sengaja menghalakan kamera ke arah Zamrud yang sedang termenung. Dia terus menangkap gambar Zamrud senyap-senyap.
Klik!
Bunyi pengatup ditekan menyedarkan lamunan Zamrud. Cepat-cepat Zamrud beredar dari situ menuju ke belakang pentas perhimpunan.
Kirana pantas menyorok di sebalik tiang. Dia membiarkan Zamrud melepasinya. Derapan kasut Zamrud membuatkan Kirana sedikit cemas. Selang beberapa saat, dia cuba melirik semula ke arah Zamrud. Tiba-tiba,
"Kirana?"
Bahu Kirana disentuh dari belakang. Kirana hampir melatah. Dia segera memutarkan seluruh tubuhnya ke belakang melihat gerangan insan yang berjaya menggugurkan jantungnya sekejap.
Firus menutup mulut menahan tawa melihat gelagat Kirana tidak ubah menghendap jejaka idamannya.
"Skodeng siapa?"
Kirana membidas, "Isy, akak ni! Mana ada skodeng sesiapa. Kirana tengah warm-up ambil gambar sebelum perhimpunan mula."
Kirana pantas menghalakan kamera ke kanan dan ke kiri menutup gemuruh. Firus merenung Kirana tanpa mengelipkan matanya. Kirana cuba berlagak tenang.
"Kirana suka ...."
"Tak."
"Suka ...."
"Tak! Tak! Tak!"
"Suka ...."
Kening Firus dijongket-jongketkan. Seronok dia mengusik Kirana pada pagi yang indah ini.
"Kak Firus jangan nak buat cerita ya," marah Kirana. Dia mencebik seraya memeluk tubuh.
Firus tergelak kecil.
"Mana la tau crush Kirana sebenarnya dia. Boleh akak adjustkan. Akak dengan dia cenggini." Dua biji penumbuknya dilagakan sambil tersengih.
Wajah Kirana masam mencuka.
Melihat Kirana tidak memberikan respons yang diharapkan, Firus mengalah.
"Akak gurau sajalah. Janganlah ambil hati," pujuk Firus.
Tahniah Firus. Berani meminta maaf setelah mengusik Kirana. Syukur Kirana tidak menangis dan merejan seperti budak kecil.
Kirana memandang Firus, idola yang disanjung tinggi. Firus tersenyum. Mata Kirana bercahaya saat melihat senyuman Firus.
"Yalah. Kirana maafkan akak sebab ... akak tetap idola Kirana buat selama-lamanya!" Kirana meraih lengan Firus.
Rahang Firus jatuh. Dahinya ditepuk. Tiba-tiba, dia baru teringat akan beg jinjing di tangan kirinya. Cepat-cepat Firus menyerahkan beg itu kepada Kirana.
"Nah."
Kirana mengambil dengan teruja. "Untuk saya ke, kak? Tak sangka akak sayang saya. Terima kasih, kak!"
"Eh, bukan. Ni bukan hadiah."
Senyuman Kirana mati. Dahinya berkerut. "Habis?"
Firus mengeluarkan isi beg jinjing itu. Sehelai jaket hitam tanpa lengan. Di belakang jaket itu bersulam satu perkataan berwarna putih.
MEDIA.
"Pakai ni masa ambil gambar."
Kirana mengangguk kecil tanpa bertanya apa-apa. Dia segera menyerahkan kamera kepada Firus untuk dipegang sementara dia menyarung jaket hitam itu.
"Cantik tak? Cantik kan?" tanya Kirana teruja.
"Cantik."
Jawapan Firus membuatkan senyuman Kirana mekar dari Melaka hingga ke Sabah. Hatinya berbunga-bunga.
'Dia tak tahu jaket tu laki perempuan pakai. Haha!' bisik Firus.
"Skuad media, siapa bertugas hari ni? Boleh jumpa sekejap?" tegur seorang pengawas lelaki.
"Saya! Saya!" jawab Kirana penuh bertenaga. Pengawas lelaki tadi mengajak Kirana ke belakang pentas tapak perhimpunan.
Firus melambai ke arah Kirana. Pantas Kirana membalas lambaian Firus seperti tiada hari esok.
"Doakan saya, kak! Saya akan lakukan yang terbaik! Demi akak!" kata Kirana teruja.
Firus senyum senget.
Dia membawa diri ke barisan perempuan kelasnya. 5 Akaun. Betul-betul berhampiran dengan tiang bendera. Firus meletakkan beg jinjing tadi ke tepi. Tanpa sengaja, ada sehelai kertas terkeluar dari beg. Kertas itu diambil lalu dibaca. Firus tersenyum sambil memandang ke arah pentas tapak perhimpunan.
"Rasalah kau, Zam."
PERHIMPUNAN pun bermula dengan lancar. Setakat ini.
Kini, tibalah giliran Zamrud selaku ketua pengawas untuk memberikan ucapan mewakili seluruh pelajar sempena majlis persaraan Cikgu Cempaka.
Zamrud berjalan menuju ke rostrum selepas pengerusi majlis memberikannya laluan. Kedudukan mikrofon dibetulkan. Skrip ucapan yang tersusun di atas rostrum dibelek-belek. Dia mencari skrip ucapannya yang disediakan oleh setiausaha pengawas.
Tiada.
'Mana pula skrip aku ni? Dia orang tak letak ke? Lupa ke?'
Zamrud kekal tersenyum. Bibir bawahnya dibasahkan. Pengetua memandang Zamrud yang tidak memulakan ucapan.
Air liur yang ditelan terasa berbisa. Sudahlah Zamrud tidak sempat membaca skrip ucapannya sebelum perhimpunan angkara Awan yang membuat onar.
Sebut pasal Awan. Di manakah dia?
Zamrud melingas mencari susuk tubuh Awan.
Tiada.
Skrip tiada, Awan pun tiada.
Hati Zamrud mula bergelora. Cemas, risau, marah, semuanya bersatu.
"Ehem."
Bunyi deham cikgu berhampiran membuatkan Zamrud kembali sedar. Pelajar-pelajar mula berbisik sesama mereka. Tidak pernah Zamrud kaku di hadapan mereka ketika perhimpunan.
Zamrud menarik nafas sebelum menyampaikan ucapannya. 'Anggap ini jawab soalan karangan. Kita goreng!'
WAKTU rehat menengah atas baru sahaja bermula. Zamrud memilih untuk berehat lambat. Dia bertugas sepanjang waktu rehat selama 20 minit. 'Bertugas'.
Zamrud ke hulu ke hilir tiada tujuan. Sekejap ke laluan kantin, sekejap ke kelas-kelas. Kusut. Entah jin malang mana melekat pada tubuhnya sejak pagi tadi.
Bayangkan, pagi tadi ada beberapa pelajar perempuan mengekorinya dari rumah. Kemudian, beg kertas Firus terkoyak. Bekal Firus yang jatuh tergolek-golek. Awan pula menggoncangkan bekal Firus seperti dirasuk hantu. Perhimpunan pagi tadi, skrip ucapannya tiada. Serabut!
Langkahnya terhenti di hadapan tangga menuju ke pejabat. Dia teringat akan sesuatu. Zamrud bergegas menuju ke surau sekolah. Hatinya kuat menyuruh ke sana.
Saat melalui lobi sekolah, dia sempat menyapa rakan-rakan pengawasnya yang sedang berbual-bual sambil bertugas.
"Nak ke mana ketua?"
"Surau."
"Solat duha?"
"Rasanya."
Rakan-rakan Zamrud memuji kerajinannya. Mereka tidak tahu Zamrud bukannya memburu duha tetapi sedang memburu sesuatu. Zamrud menepuk bahu salah seorang rakannya sebelum beredar.
Pokok yang menyambut kasut Awan menjadi destinasinya.
"Awan mesti ada dekat sana. Sudahlah batang hidung dia tak nampak masa perhimpunan. Apa punya perangailah," omel Zamrud.
Kini, Zamrud semakin hampir dengan surau sekolah. Perlahan-lahan dia melalui belakang surau menuju ke pokok yang menangkap kasut Awan.
"Awan."
"Sikit lagi pak cik."
Zamrud terhenti. Dia melihat Awan dan tukang kebun sekolah sedang mengait sebelah kasut Awan. Bersungguh-sungguh mereka berdua mengawal kebarangkalian.
"Kanan ni?"
"Kanan sikit!"
Zamrud terpijak sesuatu. Sebatang kayu terpatah dua. Zamrud mengamati kayu itu sebaik-baiknya. "Ini bukan kayu sembarangan. Ini ... lembing! Siapa yang berani patahkan? Salah."
Zamrud menggeleng.
"Siapa yang curi lembing ni dari stor sukan?"
Pap!
Akhirnya, sebelah kasut Awan mendarat betul-betul di hadapan Awan. Awan menjerit keterujaan. Dia mendukung tukang kebun untuk meraikan kegembiraannya.
"Allah! Turunkan pak cik! Pak cik gayat!" teriak tukang kebun itu.
Awan tergelak mendengar jeritan tukang kebun itu. Perlahan-lahan dia menurunkan pak cik wiranya. Tukang kebun menggeleng melihat telatah Awan.
"Kasar betul kawan kamu bergurau. Siap baling kasut sampai ke pokok," komen tukang kebun.
Awan menyarung sebelah kasutnya. Syukur stoking masih ada di dalam kasut. Dia mengikat tali kasut dengan kemas.
"Nak buat macam mana, pak cik. Bukan selalu kena buli," jawab Awan tenang.
Zamrud terpanggil untuk membela Awan. Lembing yang patah diabaikan. Bukan salah Awan tetapi salah dia. Dia berasa kesal kerana tidak berjaya membawa beg kertas Firus dengan selamat. Sudahnya, Awan yang menjadi mangsa.
"Bukan salah Awan, pak cik. Salah saya." Zamrud memunculkan diri.
Tukang kebun memandang Zamrud dengan sengihan kecil. Awan melambai ke arah Zamrud.
"Yo, sobat!"
Tukang kebun mengambil semula galahnya. Dia terpaksa menjolok kasut Awan setelah menyaksikan lembing terpatah dua akibat kecuaian Awan. Sipi sahaja lagi mata lembing itu mengenainya.
"Macam-macam hal. Sudah, pak cik nak buat kerja dekat sana. Jangan kacau pak cik."
"Terima kasih, pak cik!" ucap Awan riang.
Zamrud melihat Awan sangat gembira setelah mendapat semula sebelah kasutnya. Rasa bersalah Zamrud semakin menggunung. Dadanya ketat. Salah dia tetapi yang menanggung akibat, Awan.
"Awan, aku ...."
Awan memandang Zamrud.
"Kenapa dengan kau? Peminat kena curi ke?"
"Bersepah-sepah peminat aku. Boleh refill hari-hari."
"Amboi. Berlagak. Habis tu?"
"Aku ...."
Zamrud bingung.
Bagaimanakah cara dia untuk meminta maaf kepada Awan yang terpaksa menanggung bebannya? Rambut dikusutkan.
"Tarik nafas. Lepas."
Zamrud mengikut arahan Awan. Dia sedikit lega. Aura positif cuba diserap.
"Aku ...."
"Kenapa dengan kau?"
"Aku nak minta maaf."
Sepi.
"Jarang kau pakai otak. Berapa caj servis?" seloroh Awan.
Sebelah kening Zamrud terangkat. Ingin dia membalas, Awan menepuk-nepuk bahu kanan dan kiri Zamrud. Habuk yang tidak kelihatan dibersihkan.
"Sudah, sudah. Aku maafkan. Jangan menangis. Dah besar panjang. Tahun ni SPM."
Zamrud menunduk. Dia terlihat lembing tadi.
"Wan, kau ke yang curi lembing tu?" Dia menuding tepat ke arah lembing itu.
Awan melarikan anak matanya sambil bersiul kecil mencari alasan.
"Zam, jom pergi koperasi. Rasa lapar roti," ajak Awan.
Zamrud menggeleng.
Lembing patah dua dikutip lalu dibuang ke dalam tong sampah.
Mereka berdua berjalan menuju ke koperasi sekolah yang terletak di lobi sekolah. Seperti biasa, roti ban inti kacang merah menjadi sasaran mereka berdua.
Awan terlebih dahulu menghampiri kaunter.
"Kakak! Roti ban kacang merah dua!" pintanya dengan penuh bersemangat. Dua jarinya turut dinaikkan.
Beberapa pelajar yang bertugas menjaga koperasi saling berbalas pandangan.
"Adik kau ke?"
"Bukan."
Dua pek roti ban kacang merah diletakkan di atas kaunter. Awan menghulurkan dua keping kertas ringgit biru cair kepada penjaga kaunter.
"Saya beli ni ya, kakak!"
"Aku bukan kakak kau!"
Zamrud menggeleng di belakang. Dia menarik bahu Awan ke tepi.
Gedebang!