Home Novel Keluarga JADIKAN AKU SEPERTI SYAIDATINA KHADIJAH.
JADIKAN AKU SEPERTI SYAIDATINA KHADIJAH.
Asmah Hashim
8/11/2019 23:39:38
99
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 1

Aku hanya mampu mengangguk perlahan apabila ditanya sama ada aku setuju dengan pernikahan ini.  Hanya senyuman yang mampu aku lakarkan ketika diusik oleh saudara mara serta sepupu-sepupu aku.  Namaku Harlina, berusia 25 tahun. Masih belum bekerja.  Usai belajar, tiba-tiba ada orang datang meminang.  Emak dan ayah terus setuju dan menerima pinangan  tersebut.  Hanya memberitahu tetapi tidak pula menyuru aku berfikir dahulu. Pilihan keluarga, kuterima dengan hati yang terbuka.  Kata orang, kalau pilihan orang tua, sudah pasti adalah pilihan yang terbaik.  Aku redha, siapa sahaja jodohku.

                Aku memakai jubah berwarna  putih yang diperbuat daripada kain lace berbunga merah jambu di kaki baju.  Disolek pula oleh kawan baikku, Linda.  Solekkan yang cantik dan semulajadi. Aku suka sangat. Nampak lain wajahku dari hari biasa. Tiada acara bertukar-tukar pakaian seperti orang dulu-dulu.  Terasa rimas mengayakan diri sendiri dihadapan orang lain.   Dalam Islam pun tidak benarkan perkara itu dilakukan. Seorang perempuan yang sudah bergelar isteri, bukan untuk dijadikan bahan pameran dan dipuji-puji kecantikkannya. Kecantikkan yang ada, hanyalah untuk suami.    Hanya untuk suami.

                Akubelum pernah bertemu dengan suamiku. Wajah bakal suami hanya kulihat melaluigambar yang dikirimkan dalam whatsapp oleh emakku.  Bukanlah kacak sangat. Biasa-biasa sahaja.Cukup sempurna sebagai manusia. Cukup sifat. Tiada cacat cela.  Suamiku bernamaHarun, berkelulusan ijazah perniagaan dari universiti tempatan.  Sudah bekerja, berumur 28 tahun.  Hari ini, baharulah aku dapat melihatorangnya.  Sepanjang  pertunangan kami, dia tidak pernah sekalipunmenelefon atau kami bertemu empat mata. Aku tidak pula memaksa dia datang bertemu denganku.  Mungkin dia juga sama denganku, malu-malu.  Pada hari pertunangan kami pun, dia tidakhadir, ada urusan kerja di luar katanya. Aku dan keluarga akur sahaja. Mungkinlah betul dia sibuk. Bersangka baiksahajalah.

                Usai ikad ijab dan kabul, suamiku melangkah masuk ke dalam bilik peraduan kami yang sudah dihias cantik.  Maklumlah bili kpengantin.  Bilikku dihias dengan langsir berwarna merah jambu dan putih. Jambangan bunga diletakkan di sisi katil.  Meja solek dipenuhi dengan hadiah yang diberi oleh rakan-rakan dan kenalanku. 

                Pertama kali aku berhadapan dengannya.  Berdegup kencang jantungku.  Terasa seram sejuk tubuhku. Tidak pernah kurasakan begitu berdebar seperti hari ini.  Hari yang penuh bersejarah buatku.  Aku telah pun sah menjadi isteri orang.  Alhamdulillah, majlis pernikahan juga berjalan lancar.  Aku tidak berani bertentang mata dengannya, aku hanya memandang kakiku sendiri. Biarpun diusik oleh saudara-mara yang turut berada dalam bilik, aku tetap tidak berani.  Bukan tidak biasa berkawan atau berbual dengan lelaki, tetapi kali ini berbeza. Si dia yang berdiri di hadapanku ini, adalah suamiku. Lelaki  yang menjadi imamku.  Semoga dia mampu menyayangiku seperti mana kedua orang tuaku menyayangiku.

                Ketika aku membaca sebuah buku yang bercerita tentang cinta Baginda Rasulullah saw terhadap isteri Baginda Syaidatina Khatijah ra. Aku siap berangan ingin menjadi seperti beliau yang sangat sayangkanBaginda saw. Mampukah aku?  Ya, aku pasti boleh.  Nasihat emak juga  akan aku guna pakai. Berbakul-bakul nasihat emak yang menerja telingaku setiap hari. Ada sahaja nasihatnya yang buat aku hanya memberi anggukkan. Tidak berani menafikan atau membalas balik kata-kata emak.  Orang tuakan terlebih dahulu makan garam daripada aku, kenalah ikut.  Usah berlagak pandai sangat. 

                Hari itu, hampir semua saudara mara hadir memberi restu dan memenuhi undangan majlis perkahwinanku.  Riuh rendah suara mereka,baik di halaman rumah mahupun di dalam rumah. Emak dan ayahlah insan yang paling gembira. Maklumlah anak perempuan mereka laku juga.  Usia aku sudah 25 tahun, ingatkan aku bakal jadi anak dara tua. Bukan tidak pandai mencari jodoh sendiri, tetapi aku takut tersalah pilih. Yalah, kalau aku yang pilih, tentulah aku pilih yang kacak dan bergaya.

 Kalau orang tua pula yang memilih, tentu semua perkara mereka ambil kira, terutama status keturunan keluarga bakal suami.  Dalam Islam sendiri sudah ada garis panduan dalam memilih jodoh.  Antara kriteria yang telah ditetapkan dalam agama adalah keturunannya, berharta tidak semestinya kaya raya, beragama, kalau tidak ada salah satu yang tertera,pilihlah yang  beragama, agar terpelihara kebahagian sehingga ke akhirat.  Mungkin,ciri-ciri itu ada dalam diri suamiku, itu sebab kedua orang tuaku tidak menolak pinangannya.

Akad nikah sebelah pagi,tengahari pula kenduri.   Emak dan ayah memang sibuk sangat.  Biarpun kelihatan keletihan tetapi terpancar kegembiraan di wajah itu.  Lupa pula kepada adik-beradikku yang lain. Aku anak perempuan satu-satunya dalam keluarga.  Kami hanya tiga beradik. Aku akan kedua,adikku masih belajar di tingkatan lima. Sibuk mereka menjadi penyambut tetamu hari ini.

Tiada majlis persandingan, itupun atas permintaanku sendiri. Pelamin ada, tetapi hanya untuk sesi bergambar bersama ahli keluarga.  Aku benar-benar berasa kekok berdiri di sampingnya. Dia pula tidak menunjukkan kemesraan. Wajahnya yang kulihat sesekali,serius memanjang.  Senyumannya yang dipamirkan tipis sahaja.  Tidak gembirakah?  Detik hati kecilku.  Namun, kami tetap melayan ucapan tahniah yang diberi oleh tetamu yang hadir.

Melihat kedinginannya,aku terus berdiri di sebelah emak dan ayah yang sibuk menyambut tetamu yang datang.  Kubiarkan suamiku melayan ahli keluarganya yang masih ada di majlis itu. Biarlah dia meraikan keluarganya sebaik-baiknya. 

“Kenapa tak duduk saja dengan Harun?” tanya emak sebaik sahaja aku berdiri di sebelahnya.

“Biarlah dia layan keluarga dia,” ucapku.

“Ikutlah suami, usah berdiri sendiri di sini.  Apa pula kata orang nanti,” kata emak lagi.

Aku terkedu.  Takkan berdiri sorang sana, sorang sini, ada masalah?  Uh! Aku mengeluh.

“Biasa-biasakanlah diritu, kenal ahli keluarganya, beramah mesralah,” suruh emak lagi.

“Ala mak ni!” keluhku.

“Pergilah!” tolak emak.

Aku serba-salah jadinya.Aku memandang ke arah suamiku yang sibuk berbual mesra dengan emak dan ayah mertuaku. Aduhai, susahnya! Aku berjalan menghampiri meja tempat suamiku dan keluarganya duduk. Senyuman terlakar di bibir. Aku terus menarik kerusi dan duduk di sebelahnya.  Dia hanya memandangku sekali imbas, kemudianmenyambung semula perbualan dengan keluarganya. Okay, mungkin kami belum begitu saling mengenali dan dia agak kekok denganku.  Tidak pernah berbual dengan perempuan agaknya?  Uh! Susah juga berkahwin tanpa mengenal hati budi. Terasa kekok sangat-sangat.

Cepatlah majlis iniberlalu! Detik hati kecilku.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.