Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
761
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 11

AYAH masih belum pulang sejak aku keluar dari hospital. Kata umi, ayah berada di luar kawasan. Ada kecemasan di hospital luar yang memerlukan pakar seperti ayah untuk membantu. Aku tahu. Sebelum ini pun ayah tidak pernah ada masa untuk aku.

Dan ... ayah terlepas untuk melihat hijrah aku. Aku yang sudah bertudung. Bukan tudung biasa tetapi tudung labuh melepasi punggung. Umi belikan aku tudung lagi. Katanya tudung yang dipinjamkan padaku itu warnanya semua warna orang tua.

Aku masih muda dan lebih indah jika memakai warna yang lebih muda dan lembut. Aku hanya menerimanya tanpa banyak bicara. Citarasa umi tidak begitu teruk. Kain yang dipilih juga amat sejuk dan lembut. Mudah digosok dan dibentuk.

Tudung umi sudah aku pulangkan. Banyak betul umi belikan aku tudung baru. Ada lebih daripada dua puluh helai. Pelbagai warna. Baju juga disertakan sekali. Dipasang-pasangkan dengan setiap helaian tudung. T-shirt labuh muslimah dengan seluar panjang yang polos.

"Terima kasih. Belikan saya baju dan tudung. Pandai umi pilih. Baju tu betul-betul sesuai dengan saiz tubuh saya. Tidak ketat dan tidak begitu longgar. Sedang-sedang sahaja." Aku cuba berbahasa.

"Umi hanya beli tudung. Baju dan seluar, abang Am yang pilih."

Amsyar? Amsyar yang pilih dan belikan baju dan seluar aku? Ya Allah! Malunya aku. Rasa nak sembunyi di bawah cadar. Rasa nak bawa diri keluar dari rumah ini. Tetapi aku tidak mampu menafikan yang citarasa Amsyar tidak kurang hebat.

Bukan calang-calang lelaki yang mampu memilih baju untuk seorang wanita. Aku sendiri tidak pandai memilih. Kebanyakan blouse aku, mama yang belikan. Harap aku? Hanya t-shirt dan jeans.

"Cantik Qilah pakai. Nasib baik abang ambil saiz S. Kalau XS tentu tak berapa sesuai."

Aku menoleh bila suara Amsyar menyapa. Entah bila masa dia sampai, aku pun tidak sedar. Dan dia sudah bergerak pula ke luar rumah. Mungkin ada urusan. Oh, ya! Dia ada kelas. Aku terlupa. Aku pula masih dalam cuti sakit. Hmm ... tidak sempat aku nak ucapkan terima kasih padanya.

Aku hanya memerhati Amsyar menyarung kasut dan bila selesai dia berdiri di hadapan pintu bersalaman dengan umi. Aku lihat dia memaut tubuh umi dan hanya dilepas selepas beberapa saat. Umi cium dahi Amsyar. Keduanya berbalas senyum sebelum Amsyar mula menghidupkan enjin kereta lalu hilang lepas ke jalan utama.

Aku menghela nafas. Indahnya hidup mereka.

"Qilah ..."

"Err ... ya?" Aku mendongak. Secawan kopi panas di tangan aku letakkan semula di piring. Aku memandang pada ibu tiriku yang berdiri di sisi.

"Dah boleh tanggal tudung."

Aku terpinga-pinga. Tanggal tudung?

"Abang Am dah tak ada. Dah pergi kelas. Petang nanti baru dia balik. Qilah dah boleh tanggal tudung." Ibu tiriku mengulang lagi ayat yang sama bila dia lihat aku terpinga-pinga.

"Oh!" Dan baru aku tersedar dan faham maksudnya. Sejak aku mula bertudung, aku jadi malu untuk tanggalkan walaupun depan umi. Dan aku risau jika aku tanggalkan dan tiba-tiba Amsyar muncul, tentu aku tidak sempat menyembunyikan diri. Perasaan malu aku terlalu menggunung.

"Boleh umi tanya sesuatu?"

Aku yang sedang mengurai rambut memandang pada umi. "Ya, boleh umi. Tanyalah."

"Qilah memang tahu yang Qilah dan abang Am ada batas aurat, ya?"

Dahiku berkerut. Apa maksud umi?

"Kenapa Qilah pakai tudung dalam rumah? Depan abang Am?" Umi menduga.

" Err ... sebab ... sa ... saya malu."

"Malu?"

Aku bawa telapak tanganku menyentuh atas dada. Aku naikkan sedikit bajuku agar menutup atas dada. Aku juga sebenarnya malu dengan umi. Malu bila umi dapat melihat atas dada dan leher jinjangku yang terdedah.

Umi tersenyum melihat tingkahku.

"Qilah, aurat sesama wanita muslim adalah antara lutut dan pusat. Seorang wanita muslim tidak boleh memperlihatkan pahanya kepada kawan wanitanya, ibu, saudara wanita atau anak-anak wanitanya yang sudah dewasa kecuali dalam keadaan darurat."

Serta-merta aku melepas telapak tangan yang menutupi dada. Umi tersenyum. Jahilnya aku tentang agama. Hanya malu yang membuatkan aku berusaha menutup semua. Indahnya rasa malu ini.

Qilah tahu batas aurat dan sentuhan dengan saudara tiri?"

Aku menggeleng.

Memang aku tidak tahu. Ilmu agamaku terlalu cetek. Secetek air kopi di dalam cawan di hadapan muka. Sekali cicip akan kosonglah cawanku ini.

"Jadi, Qilah pakai tudung dan jaga batas dengan abang Am sebab Qilah malu?" tanya umi lagi.

Aku hanya mengangguk. Ya. Hanya itu sebabnya. Bukan kerana aku tahu hukum pun.

"Ya Allah, hebatnya hidayah yang Allah beri pada anak umi ini."

Aku lihat umi menitiskan air mata. Dia tersenyum memandang padaku. Dan tiba-tiba dia memelukku erat. Terhenjut-henjut tubuhku terikut dengan gegaran dari tubuh umi.

Aku terima hidayah Allah? Beginikah rupanya apa yang dinamakan hidayah? Aku tak tahu. Tidak pernah tahu.

***

"KAU dah sihat ke?"

"Alhamdulillah. Dah sihat. Inshaallah dalam sehari dua aku balik ke kolej."

"Err ... Aqilah."

"Ya?"

"Betul kau dah sihat?"

"Ya Airin. Kenapa?"

"Err ... tak ada apa. Cuma ... tak apalah. Jumpa nanti." Airin putuskan talian. Aku hanya memandang pada telefon yang sudah gelap.

Amsyar masih belum pulang. Umi sudah pergi ke kelas jahitan. Ayah? Aku harap ayah sempat pulang sebelum makan malam. Ada yang ingin aku bicarakan dengan ayah. Hati masih rasa tidak selesa. Ada hutang yang belum terlunas.

Alat kawalan jauh di atas meja bulat berkaki tiga di sebelah sofa kucapai.

"Di antara adik-beradik tiri yang lain ayah, lain ibu itu adalah tidak ada sebarang ikatan mahram. Wajib menutup aurat di hadapan saudara tiri. Bagi perempuan, tudung juga perlu dipakai di hadapan adik-beradik tiri lelaki.

Tidak harus ditinggalkan berduaan. Tidak harus bersalaman dan bersentuhan. Adik-beradik tiri lain ibu, lain bapa itu bukan mahram. Dikira sebagai ajnabi. Dan boleh berkahwin."

Aku terkedu. Umi baru membicarakan tentang aurat dan sentuhan di antara aku dan Amsyar sebagai adik-beradik tiri. Dan ... petang ini aku dengar pula dari ceramah agama di kaca tv. Terlayar ingatanku pada kejahilan masa lalu. Keluar berjoging dengan hanya memakai seluar sukan paras lutut.

Ditegur Amsyar tetapi aku buat tak endah. Tiada rasa malu pada dia. Tiada rasa malu pada orang di luar sana. Auratku terdedah percuma. Dan ... dengan pakaian yang sama aku menerjah ke bilik Amsyar. Membuat onar.

Malu ...

Patutlah Amsyar berlari laju menyorokkan diri ke dalam bilik air. Dia tahu di antara aku dan dia ada batas yang perlu dijaga. Ada pandangan yang perlu dipelihara. Maafkan aku Amsyar. Aku terlalu jahil. Dan aku tak punya sekelumit pun rasa malu pada ketika itu. Aku tidak faham mengapa.

Ceramah agama di tv itu sudah tamat. Digantikan dengan iklan. Aku menekan butang pada alat kawalan. Menukar-nukar siaran. Seorang gadis berkejaran. Dipeluk dari belakang oleh teman lelakinya. Lalu mereka bertatapan. Sebelum berjalan berpegangan tangan menyusuri tepian pantai.

Aku menitiskan air mata. Aku malu melihat aksi mereka. Mereka muslim seperti aku. Tetapi mereka tidak punya rasa malu melakonkan setiap babak yang memerlukan sentuhan dengan bukan mahram. Aku tidak memandang hina pada mereka. Air mata yang menitis ini adalah kesalan kejahilan aku sendiri pada masa silam.

Itu aku. Aku dengan Ashfar Ikram!

Bunyi kenderaan memasuki perkarangan rumah buat aku cepat mengesat air mata. Tudung yang tersidai di belakang sofa aku capai. Aku sarungkan ke kepala. Aku menghampiri tingkap, menjengah. Cuba mengenalpasti kereta siapa.

Ayah!

Turun lagi air mata. Rasa rindu pada ayah tiba-tiba menerpa. Ayah sudah pulang. Lama rasanya tidak jumpa ayah. Ayah ... Qilah rindu betul dengan ayah. Aku lepaskan langsir yang kuselak, lalu berlari anak menuju ke pintu.

"Asssalammu ..."

"Waalaikumsalam ayah!" jeritku sambil melonjakkan tubuh memeluk ayah seerat-eratnya. Tidak kulepas. Aku rindu dengan ayah.

Kulepaskan tubuh itu bila aku rasa ayah hanya kaku. Tidak langsung membalas dakapanku. Marahkah ayah padaku?

"Ayah?"

Kutatap wajah ayah. Cuba mencari rona marah.

"Aqilah? Nur Aqilah Najwa?"

Aku mengangguk laju. Ayah tak kenal aku rupanya. Aku yang sudah bertudung. Tudung labuh. Aku senyum pada ayah. Dan aku dapat lihat air mula memenuhi kolam mata ayah. Ayah tarik tangan aku sehingga tubuhku terus berada di dada ayah.

Aku dapat rasa usapan tangan ayah di kepalaku yang sudah bertudung. Ayah letakkan kedua-dua telapak tangannya di pipiku. Ayah tersenyum. Dahiku hangat dengan ciuman bibir ayah.

"Sejak bila?" Ayah bertanya sambil menarik tanganku lalu dibawa masuk ke dalam ruang tamu. Ayah tarik aku agar duduk di atas ribanya. Sudah lama aku tidak dimanja begitu.

"Minggu lepas masa ayah kerja luar. Qilah terjaga dari pengsan dan malu bila yang jaga Qilah bukan ayah, tapi abang Am."

"Malu?"

Aku mengangguk. Soalan yang sama yang umi pernah lontarkan padaku. Ya. Aku bermula dengan rasa malu sebelum bertindak memakai tudung, menutup apa yang selama ini terdedah.

"Anak ayah Aqilah boleh ada rasa malu?" Soal ayah lagi seolah-olah tidak percaya.

Mukaku memerah. Aku beralih duduk di atas sofa sambil muka sudah tersembam di bahu ayah. Aku rangkul tubuh ayah. Dan satu cubitan di bahu kanannya kuberi.

"Aduh! Sakitlah. Kenapa tiba-tiba muncul ketam dalam rumah ni?" Ayah ketawa.

"Janganlah ayah. Qilah malulah. Ayah nak Qilah jadi Qilah yang lama ke?" Muncungku sudah sedepa. Teguran ayah buat aku rasa tidak selesa.

Ayah tersenyum. Tetapi tangannya masih lagi menggosok bahu kiri yang kucubit.

"Siapa pun Qilah, Qilah tetap anak ayah. Tetapi Nur Aqilah Najwa yang baru ini sangat manis. Rugi rasanya kalau kembali kepada yang lama. Ayah juga ingin berubah." Suara ayah mengendur dan semakin tenggelam ke dalam. Ayah menunduk memandang lantai marmar yang bersinar. Pantulan imejnya terpapar di sana.

Aku merenung wajah ayah. Sudah lama aku tidak buat begitu. Baru aku perasan yang garis hitam di bawah mata ayah sudah bertambah. Malah tanda-tanda penuaan juga semakin terserlah. Tetapi aku lihat, ada cahaya di wajah ayah. Wajah ayah lebih bersih berbanding dulu. Adakah kerana ayah juga sedang mendapat hidayah Allah? Sama seperti aku?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin