Home Novel Islamik Air Mata Siti Hajar
Air Mata Siti Hajar
9/1/2014 13:11:35
49,255
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 50

IBRAHIMberjalan perlahan menuju ke kantin. Alhamdulillah. Pagi tadi, dia sampai ke fakulti tepat pada waktunya. Jam 7.58 pagi, dia sudah berada di dalam bilik tutorial. Namun, sayang seribu kali sayang. Jam 8.15 pagi, bilik tersebut baru penuh dengan pelajar-pelajar. Sememangnya dunia pendidikan sudah terbalik. Sepatutnya, anak murid yang menanti kehadiran cikgu mereka. Ini tidak! Cikgu pula yang terpaksa menunggu. Mujur hati sedang berbunga girang. Kalau tidak…

Entah apa hendak jadi dengan anak-anak muda masa kini. Belajar, sambil lewa. Bercinta, bagai hendak rak. Mengalahkan orang yang sudah berkahwin berpuluh-puluh tahun lamanya. Tanpa segan silu berpeluk sakan. Tidak ada rasa malu menyatakan sayang. Walhal, hubungan yang terjalin baru pada fasa perkenalan. Tidak pun, pra-perkahwinan. Belum nikah lagi.

Kalau tidak percaya, tengok Facebook. Facebook siapa? Tidak payah tengok jauh-jauh. Selongkar sahaja informasi peribadi orang yang dekat dengan kita. Adik… abang… kakak… sepupu… teman… Bukannya susah.

“En. Ibrahim…” Diam… Dahi Ibrahim dilihat berkerut seribu.

“En. Ibrahim…” Diam… Ibrahim masih lagi berada di dalam dunianya.

“En. Ibrahim!!!”

Panggilan yang agak kuat itu menyebabkan Ibrahim tersentak daripada lamunan. Dia cepat-cepat berkalih ke arah suara tersebut. Oh, pelajar yang paling becok dalam kelas rupanya. Nama diberi, Azmar Daud.

“Ya, saya,” balas Ibrahim tegas. Dia memandang pelajar itu atas bawah. Serius… Sepuluh saat kemudian, barulah dia mengukir senyum.

Azmar menarik nafas panjang. “Boleh saya jumpa En. Ibrahim sekejap?” soalnya terus.

Ibrahim berfikir sejenak. “Ada apa?” Dia bertanya tanpa menjawab pertanyaan anak muridnya.

“Ada beberapa soalan yang saya tak faham. Soalan tutorial lepas,” jawab Azmar berterus-terang.

Ibrahim mengangguk-angguk. Tidak lama, dahinya tiba-tiba berkerut. “Saya makan dulu. Selepas jam 2.00 nanti, awak boleh datang bilik saya. Ajak kawan-kawan. Kumpul soalan yang nak ditanya. Petang ni, insya-ALLAH saya lapang. Tidak ada kelas,” ujarnya bersahaja.

Pelajar tersebut tersenyum. “Terima kasih, En. Ibrahim,” ucapnya lalu beredar dari situ laju-laju. Ibrahim memandang jam pada pergelangan tangannya. Sudah pukul 11.55 pagi. Ada kelas jam 12.00 agaknya.

Ibrahim terus berjalan ke hadapan. Namun tiba-tiba, langkahnya terhenti. ‘Aku nak ke mana?’ Dia tertanya-tanya.

Ibrahim kembali melangkah. Dia tersenyum kecil. ‘Kafelah…’ jawabnya sendiri di dalam hati. Baru anak seorang sudah nyanyuk? Entahlah…

BARU sahaja Ibrahim hendak masuk ke dalam kantin, telefon bimbitnya berbunyi. Menandakan ada mesej baru masuk. Cepat-cepat dia menyeluk kocek seluarnya. Dia tersenyum lagi.

Assalammualaikum. Selamat menjamu selera. Terlupa pula. Dulu, Hajar baca kitab tentang cara-cara menggoda suami saja. Bab waktu yang wajar untuk menggoda, Hajar tak sempat khatam. Harap maklum. Hihi…

Bertuah punya isteri. Ibrahim tersengih sampai ke telinga. Sememangnya hari ini dia berasa cukup bahagia meski terpaksa memecut keretanya untuk sampai ke tempat kerja. Kalah Michael Schumacher.

Waalaikumussalam. Ya, sayang. Abang baru nak makan. Kasihan abang makan sorang-sorang. Tak ada yang sudi menemani. Abang mengharapkan sayang hadir di sini.

Buang tabiatkah, apa? Biarlah… tidak ada salahnya suami isteri bergurau senda. Inilah yang sewajarnya. Bukan bermadah dengan kata-kata puitis sebelum nikah, bermaki hamun sesudah halal bersama.

Ibrahim terus melangkah. Tidak banyak pula manusia yang berkumpul dan ‘bermesyuarat’ di kafe hari ini. Dia memandang sekeliling. Senyumnya masih lagi terukir. Bahagia! Masakan tidak. Isteri kesayangan sudah tampak ceria dan bersemangat. Siti Hajar yang dirasakan telah hilang entah ke mana sudah kembali. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat TUHAN yang telah merencana dan menguji.

Sedang khusyuk Ibrahim membuat pemerhatian tanpa menulis sebarang catatan, dia terpandang seseorang. Lelaki ini tersenyum sejenak. Namun, baru sahaja dia hendak melangkah menghampiri Aisyah, kakinya tiba-tiba membeku. Jadi kaku. Mungkin dek menyedari mendung yang sedang berarak laju.

Ibrahim memandang Aisyah dari kejauhan. Walhal, tidaklah jauh sangat pun tetapi tetap tidak berdaya untuk mendekati. Alahai, drama swasta apa pula waktu-waktu begini? Sudahlah perut sudah menari-nari minta diisi. Apa yang pasti, mata wanita yang juga merupakan rakan karib isterinya itu tampak redup dan suram. Sadis. Macam ada sesuatu. Seperti ada satu bebanan berat yang sedang dipikulnya.

Siti Aisyah mengeluh perlahan. Sekejap dia menganggukkan kepala dan sekejap-sekejap dia menggeleng entah berapa kali. Mujur orang sudah mengenalinya selaku pensyarah di fakulti ini. Kalau tidak, boleh dianggap sebagai orang kurang siuman atau OTS alias otak tidak senter. Tidak pun, orang akan fikir yang dia adalah pelajar bermasalah yang sedang stres dan bingung memikirkan projek pembangunan sistem tahun akhir.

Aisyah dilihat mengeluh lagi. Dia mendongak ke hadapan. Ibrahim! Cepat-cepat dia melambaikan tangan memanggil lelaki yang tampak ceria itu. “Yim, kau sibuk?” Dia separuh menjerit. Sememangnya Aisyah.

Ibrahim menggeleng. Dia berjalan perlahan mendekati Aisyah yang sudah mula mengukir senyum. Orang Melayu cakap, senyum paksa. Orang Cina cakap, senyum tidak ikhlas. Orang India cakap, senyum sumbing. Cukup… 1Malaysia!

“Kelas aku dah habis. Sampai petang aku lapang, insya-ALLAH,” balas Ibrahim bersahaja.

Aisyah mengangguk-angguk. “Marilah duduk sini. Aku belanja kau makan.” Dia terdiam sejenak.

“Jangan kau lepaskan peluang ni. Bukan mudah Cik Ecah Pok Kar nak membelanjakan hartanya untuk orang lain. Meskipun aku tahu bersedekah dan berinfak ke jalan ALLAH itu dituntut agama, seru buatku untuk melakukannya belum datang lain. Sesungguhnya, aku hanyalah hamba TUHAN yang lemah dan banyak khilafnya,” syarah Aisyah panjang lebar. Mungkin boleh dianggap sebagai tazkirah untuk tengah hari ini.

Ibrahim teragak-agak untuk menerima pelawaan Aisyah tetapi… tidak sampai hati pula. Lalu dia duduk di hadapan wanita itu. Dia menggeleng. Di atas meja, ada tiga gelas air yang sudah licin. Satu pinggan nasi, pun sudah licin bersih dan… satu mangkuk mi kari. Seperti yang diduga, sama-sama licin. Manusiakah, Shrek yang membahamnya?

Aisyah memang seorang yang sungguh-sungguh istimewa. Macam lagu Adibah Noor. Dia sentiasa lain daripada yang lain. Dia langsung tidak mahu ambil peduli tentang persepsi dan anggapan orang lain. Biar apa orang hendak kata asal hidupnya aman bahagia.

Prinsip Aisyah mudah. “Kita tidak akan dapat memuaskan hati orang lain. Kita juga tidak akan berdaya membuatkan orang lain sayang dan cintakan diri kita. Jadi, puaskan hati sendiri. Sayang dan cintai diri sendiri,” katanya satu ketika dahulu. Hmmm… Walaupun dia nampak keras dengan apa yang dipegangnya, Aisyah sebenarnya memiliki hati yang sangat baik.

“Hajar dan baby sihat?” tanya Aisyah. Terlupa untuk memberi salam atau ucapan mukadimah agaknya.

Ibrahim yang tidak berkelip memandang pinggan, mangkuk dan gelas kosong di atas meja terbeliak matanya. Dia tersenyum kecil. “Alhamdulillah. Sihat-sihat belaka,” jawabnya pendek. Dia bangkit menuju ke kaunter pembayaran. Tanpa berfikir banyak, Ibrahim terus mengambil dan membayar harga air mineral HPA kepada mak cik kantin yang sudah sedia menanti. Kemudian, dia kembali ke tempat duduknya.

Dahi Aisyah nampak berkerut. “Air mineral saja? Bukankah aku janji nak belanja kau makan hari ni?” soal Asiyah keras. Macam hendak cari gaduh pula.

Ibrahim hanya tersenyum sumbing. “Kenyang sudah, bu. Lagipun, RM1.30 sahaja. Lain kali, kau belanja aku dan Hajar makan di luar,” beritahunya. Padahal, Ibrahim tidak mahu berlama-lamaan dengan Aisyah. Iyalah. Meskipun wanita ini adalah rakan karib isterinya, dia tetap perlu berjaga-jaga. Tidak mahu menjerumuskan diri kepada fitnah. Manalah tahu… hati manusia.

Aisyah memuncung tetapi dia tidak membantah apa-apa. Hakikatnya, dia berasa suka. Masakan tidak. Selamat duitnya. Bukan kedekut tetapi jimat. Bukankah berjimat cermat bagi seorang perempuan itu amat-amat dituntut agama? Seperti apa yang telah diperkatakan Ustaz Azhar Idrus melalui ceramahnya di youtube, “Orang lelaki kedekut, buruk. Perempuan kedekut, bagus.” Entahlah. Boleh jadi Aisyah hanya mendengar sekerat sahaja pengisian tersebut.

“Kau pun nampak sihat sekarang, Yim. Alhamdulillah. Pandai Hajar jaga makan minum kau,” sambung Aisyah lagi sedikit memuji. Terasa janggal sebenarnya. Sudah lama dia tidak berbual dengan rakan sejawatannya ini. Sejak Ibrahim berumah tangga dengan Hajar. Bermakna, sudah lebih satu tahun.

Ibrahim mengangguk mengiakan. Bukan dia tidak sedar dengan perubahan ketara yang berlaku pada susuk tubuhnya. Kalau dahulu, berat badannya hanya dalam lingkungan 70 hingga 80 kilogram. Sekarang… boleh jadi sudah melepasi angka 90. Entah Hajar yang masak sedap atau dia yang tidak mahu bersenam. Oleh sebab tidak elok menuding jari pada orang lain, Ibrahim meletakkan kesalahan pada dirinya sendiri. Jawabnya, kurang rajin bersenam. “Itulah masalahnya. Silap hari bulan, boleh gedempol jadinya,” ujarnya dengan ketawa yang dibuat-buat.

Ibrahim memulas penutup botol mineral yang sedia ada di tangannya. Dia lantas menghirup air tersebut perlahan. Kemudian, dia bersuara lagi. “Kau apa hal, Chah? Lain macam saja aku tengok. Mendung tiba-tiba.” Lelaki ini meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya.

Mulut Aisyah ternganga. Terkesima juga dia mendengar kata-kata Ibrahim. Peka dan prihatin juga sabahatnya yang seorang ini. Ingatkan… kayu! “Tengah berhadapan dengan masalah negara. Tidak tahu macam mana hendak selesaikan…” ujarnya sedikit mengeluh.

“Kau dah cerita pada Hajar?” Ibrahim menyampuk spontan. Tidak pula dia menawarkan khidmat kaunseling kepada wanita ini.

Bukan apa. Baginya, teman terbaik bagi seorang perempuan untuk meluah rasa adalah dari kalangan wanita juga. Kalau lelaki, khuatir terjerumus kepada masalah lain pula. Paling tidak, masalah yang melibatkan hati dan perasaan. Lainlah kalau lelaki itu terdiri daripada ayah, abang, datuk, bapa saudara, adik lelaki atau suami sendiri.

Masalahnya pula, mahukah sang wanita bercerita dengan orang yang menjadi muhrimnya? Banyak dari kalangan wanita hari ini, yang boleh jadi kurang ilmu agamanya lebih gemar berkongsi rasa hati dengan seseorang yang tidak cukup dikenalinya. Dia merasakan, dia telah kenal tetapi hakikatnya tidak! Alasannya mudah. Polan bin polan tidak cukup memahami hati dan perasaannya.

Bagi para isteri pula, ada juga yang lebih senang bercerita masalah rumah tangga dengan kawan-kawan ajnabi satu pejabat mahupun rakan maya. Entahlah. Mungkin sudah menjadi trend hari ini. Sampaikan, Facebook yang tidak punya hati dan perasaan pun menjadi mangsa medium utama meluahkan rasa.

Tidak salah tetapi tidak cukup elok sebenarnya. Sedikit-sedikit, mungkin tidak apa. Jangan sampai berkongsi semuanya. Kerana tanpa sedar, telah membuka pekung di dada yang selama ini dijaga rapi. Paling parah… sudah mengaibkan suami sendiri. Siapa rugi? Diri sendiri dan keluarga juga.

“Yim…” sergah Aisyah menyebabkan Ibrahim tersentak sendiri.

Dia sedang mengelamun rupanya. Biasalah. Manusia yang lemah. Kadang-kadang waras, kadang-kadang pemikirannya melayang entah ke mana. Macam perempuan juga yang suka bermain dengan rasa.

“Bukan aku tak mahu bercerita dengan Hajar tetapi tidak terluah. Bukan aku tak percaya. Bukan aku tak yakin dengan Hajar selaku pakar motivasi dan kaunselor orang muda. Masalah yang aku hadapi sekarang besar sangat. Sampai tak terungkap dengan kata-kata. Stres aku dibuatnya.” Aisyah memberitahu. Tampak kecelaruan pada wajahnya. Memang berserabut.

Ibrahim mendengus perlahan. Dia pun tidak dapat menyelami perasaan seorang wanita sebenarnya. Meskipun sudah lebih setahun bergelar suami, dia sendiri tidak beroleh untuk memahami hati isterinya. Kalau tidak, masakan Hajar berubah sikap. Mujur wanita yang dikasihinya itu masih mahu kembali seperti sedia kala.

“Aku pun tak dapat tolong kau, Chah. Bukan tak mahu dengar engkau bercerita tetapi aku rasa ada yang lebih layak untuk itu. Hajar okey. Kalau kau nak borak-borak dengan dia, aku boleh balik lambat hari ni. Manalah tahu. Kau nakkan privasi.” Ibrahim mencadangkan.

Aisyah hanya mengangguk lesu. Tidak ada kata yang terungkap dari bibirnya. Lost! Bukan filem Los dan Faun arahan Afdlin Shauki. Aisyah tunduk memandang lantai. Terserlah gaya anggun seorang wanita yang kaya dengan perasaan malu dan kelembutan.

Ibrahim menggeleng. Terasa janggal pula apabila Siti Aisyah berubah karektor. Lain macam. Kurang sesuai walaupun masih boleh diterima.

“Relakslah, Chah. Tak macholah macam ni. Insya-ALLAH, setiap masalah pasti akan ada penyelesaiannya. Cepat lambat saja. Apa yang penting, kau banyakkan bersabar dan terus positif. Optimis dalam kehidupan. Dalam masa yang sama, kau perlu berusaha untuk merungkai segala sesuatu yang sedang mengganggu benak kau. Tak boleh duduk termenung semata-mata. Tidak ke mana jadinya.” Ibrahim menasihati panjang lebar.

Dia memandang wajah Aisyah sekilas kemudian berpaling ke arah dinding kantin kembali. “Apapun, banyakkan mengadu kepada ALLAH. Sesungguhnya, DIA-lah sebaik-baik tempat mengadu,” tambah Ibrahim lagi. Suaranya sedikit mengendur. Sebagai tanda dia hendak mengakhiri kata-katanya.

Aisyah kembali termenung. Dia memandang tembus ke dalam hutan belakang fakulti. Seolah-olah Ibrahim tidak ada di hadapannya…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.