Home Novel Cinta TETAP YANG TERINDAH
TETAP YANG TERINDAH
Thira Jono
28/11/2020 15:11:47
354
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 5

DARI jauh Yaslam Bahrin memerhatikan riak wajah Ariana yang kelihatan bahagia saat dia bertemu Yusran. Mereka sibuk beristirahat di ruang meja makan hotel. 

Amboi, kemain lagi budak gorila tu bergelak tawa dengan kekasih hati aku!

Sakitnya hati bila mengenangkan betapa manjanya Yusran dengan bapak sejak kecil lagi. Hatinya semakin berbahang panas.

‘Dari kecil engkau rampas kasih sayang bapak! Sekarang ini engkau nak rampas kekasih hati aku pula ke? Budak tak sedar diri. Engkau ingatkan Ariana akan pandang orang macam engkau ke? Tak guna betullah dia ni.’ desis dia perlahan. Dadanya mula turun naik tidak mampu tenang. 

Panahan matanya masih terhala ke arah mereka berdua.

Sungguh! jika dia tidak terfikir maruah sendiri, sudah lama dia simbah kuah kari ke muka Yusran.

“Encik Yb pandang apa tu? Muka macam marah saja.” satu suara menjerkah dia dari arah belakang. Terkejut Yaslam dibuatnya. Pandangan matanya terus menghala ke arah Abang Umar.

“Gorila tu selalu ke berbual dengan Cik Ariana? Kalau selalu, tolong beri amaran dekat dia jangan ganggu tunang kepada CFO syarikat ini. Aku nak engkau ambil tindakan dekat budak tu kalau sekali lagi dia mengganggu Cik Ariana.”

Abang Umar telan liur. Setahu dia, Cik Ariana yang beria-ia tegur Yusran sedari tadi. Kenapa pula Yusran yang perlu dipersalahkan? 

“Gorila tu memang tak sedar diri.” Getus dia lagi. Gumam Umar tatkala dia mendengar perkataan gorilla dari bibir Yaslam. Kali ke dua panggilan itu disebut keras.

Tak ada panggilan yang baik sikit ke lelaki itu ingin gelarkan?

Kenapa samakan Yusran dengan binatang? Memang mulut tak ada insurans agaknya.

“Nama dia Yusran. Encik Yb boleh panggil dia Yus kalau nak lebih mudah,” seloroh Umar. Saja sebutan nama itu dia tekan dengan lebih jelas dengan harapan lelaki itu tidak memanggil Yusran dengan panggilan yang tidak sedap untuk dia dengari.

“Engkau tak perlu beritahu aku siapa nama dia. Sebab aku memang selesa panggil dia gorila. Lebih sesuai panggilan itu dengan budak pelayan tu.” Kening kanan dan kiri terjungkit tajam. Jauh di sudut hati Umar, mahu saja dia tarik mulut Yaslam Bahrin biar mulutnya jadi macam mulut itik! 

Jika kerja sebagai pelayan pun, Yusran tetap berhak dipanggil dengan panggilan yang lebih mulia.

“Gorila tu binatang. Dia tu lahir sebagai manusia. Saya rasa lebih sesuai kita gelarkan manusia dengan panggilan yang baik, kan? Panggilan nama pun satu doa. Lebih sesuai kita panggil seseorang tu dengan panggilan yang ada maksud indah.” sanggah Umar lagi. Masih cuba membela.

“Engkau tak payah nak nasihatkan aku dekat sini ya? Sedar sikit, gaji kau tu bapak aku yang bayar setiap bulan. Aku tak perlu dengar nasihat dari pekerja bawahan aku. Sebab level aku ni terlalu tinggi untuk mendengar nasihat dari pekerja bawahan aku. Faham?” Jari telunjuk dia halakan tepat ke arah mata Umar yang kian menyepet. Mulut Umar bagaikan terkatup bila Yaslam sudah kata begitu. 

Walaupun dia merasa jengkel dengan sikap anak Tan Sri Ahmad, hatinya meminta untuk bersabar walaupun tangannya mula terasa ringan ingin mengayun penumbuk.

Berbeza sungguh sikap Yaslam dan abangnya Bahran. Perangai mereka bagaikan langit dengan bumi.

‘Dia memang dah melampau. Dari dulu, asyik nak buat aku marah saja’ Hati Yaslam kian membara. Wajah Umar semakin berkerut tebal. Dia mula garu sisi kepala. Umar mula berteka-teki. 

Apa hubungan Yaslam dan Yusran sebenarnya? 

Kenapa dia terlalu membenci kehadiran Yusran?

Argh… Puzzled.


                                                                               ***


“APA masalah engkau ni? Kenapa engkau sibuk nak ganggu Cik Ariana? Tak ada perempuan lain ke engkau nak berbual selain tunang aku.” tubuh Yusran Baari di tolak kasar ke dinding tandas. Dari tadi Yaslam perhatikan gerak-geri Yusran semata-mata dia mahu memberi amaran kepada lelaki itu. Hari ini tahap kesabarannya semakin menghilang. Bukan sekali dua dia melihat kelibat tunangnya bersama Yusran, tetapi sudah berkali-kali. 

“Yus tak pernah terfikir pun untuk mengganggu hidup tunang encik. Dia yang datang dekat dengan Yusran untuk makan bersama, tak akan pula Yus nak menolak.” 

Yusran hanya berkata jujur. Yusran tidak mahu dirinya terus di tuduh tanpa bukti. Rahangnya terasa pedih bila tangan Yusran mencengkam kuat. 

“Sekarang ini engkau nak cakap yang tunang aku nak menggoda engkau ke? Kacak sangat ke engkau ni sampai dia nak menggoda diri kau yang banyak kekurangan ni?” Sepantas kilat Yaslam menarik tangan Yusran dan dia genggam kuat tangan gempal itu. Tercemar lagi tangan sucinya. Dia menjunam mata memandang setiap inci tubuh Yusran.

“Yusran tak cakap pun yang Kak Ariana nak menggoda Yus,” sambung Yusran lagi. Dia masih menahan kesakitan.

“Kak? Siapa kakak kau? Kalau aku ni tak anggap engkau sebahagian dari keluarga aku, jangan haraplah dia tu akan jadi kakak kau.” Tegas Yaslam Bahrin. Keras. 

“Tapi dia yang minta Yusran panggil dia dengan panggilan itu.” terketar-ketar suaranya.

“Tak kisahlah kalau dia suruh panggil pun! aku tetap tak suka. Faham? Hormat sikit orang atasan! Sedar sikit taraf engkau tu bawah tapak kaki aku. Silap-silap, taraf engkau tu bawah hujung ibu jari aku aje.” Suaranya semakin keras kedengaran. Tangan pula kemudiannya mendarat ke leher Yusran. Leher itu dicekik tanpa belas kasihan. Berurat wajah Yusran dibuatnya. Nafasnya bagaikan mahu terhenti.

“Encik Yusran…” tersentak Yaslam bila satu suara memanggil namanya. Laju tangannya melepaskan genggaman. Beberapa detik kemudian, dia terus meluru pergi. Umar terus berlari mendapatkan Yusran yang sudah terduduk dalam keadaan batuk.

“Apa yang Encik Yusran dah buat ni?” tangannya mula meraup wajah yang semakin pucat. Risau dia melihat keadaan Yusran.

“Saya okey, jangan risau ya?” Yusran mengukir senyum walaupun wajahnya semakin lesu.

“Jangan nak tipu abang! kalau dia dah melampau sangat sampai nak mencederakan diri engkau, kita perlu laporkan hal ini kepada pihak atasan.” 

Yusran menggeleng laju. Dia tidak mahu Umar membuat aduan kepada pihak atasan.  Tak sanggup rasanya dia mahu melihat diri Yaslam berada dalam kesusahan. Dia tidak mahu kebencian lelaki itu terhadapnya semakin bertambah.

“Jangan. Kasihan dekat Encik Yaslam nanti.” Termengah-mengah dia bersuara. Jantungnya semakin berdegup kencang menahan kesakitan yang kian terasa di tubuh.

“Buat apa kita nak kasihankan dia kalau dia sikit pun tak reti nak hormatkan engkau!” Abang Umar semakin geram. Dia sudah mengetap bibir.

“Kalau itu yang mampu memuaskan hati Encik Yaslam, saya rela.” Jawapannya membuatkan Umar diselubungi perasaan hairan.

“Engkau ada isu dengan dia ke? Kenapa dia bencikan engkau sampai macam ini sekali. Engkau ni kacau hubungan dia dengan Cik Ariana ke?” Tersentak. Bulat mata Yusran bila Abang Umar bertanya seperti itu.


                                                                                 ***


“AWAK nampak kusut kenapa?” Baju kemeja awak pun berkedut-kedut saja saya tengok.” Ariana yang baru masuk ke dalam bangunan bertanya hairan. Dia yang baru pulang dari makan tengahari terserempak dengan tunangnya yang baru keluar dari lif.

Kelihatan wajah Yaslam seperti menyembunyikan sesuatu. Saat anak matanya memandang ke wajah Ariana, segera dia kalihkan pandangan itu ke tempat lain.

Lelaki itu tidak mahu Ariana tahu apa yang telah dia lakukan kepada Yusran. Dia sendiri tidak sedar yang tindakan tadi sangat melampau. Risau juga jika terjadi apa-apa kepada Yusran bila dia sudah mencengkam leher lelaki itu tadi.

Kenapalah Umar ada di situ? Pasti Umar nampak apa yang telah dia lakukan tadi.

“Encik Yb, tunggu…” Terkejut. Bagaikan terkaku tubuh Yaslam bila mendengar suara dari jauh memanggilnya.

Umar berulang-kali memanggil nama anak majikannya yang sudah termangu-mangu memandang Ariana. Terpusing kepala Yaslam bila lelaki itu selamba melaung kuat namanya.

Kelihatan lelaki itu berjalan laju menghampirinya. Gaya si jejaka menghampiri seperti mahu menyerang. Riak wajah Umar membuatkan Ariana yang masih menantikan jawapan dari Yaslam menjadi gusar.

“Ada apa panggil saya.” Yaslam cuba menyembunyikan perasaan gusar yang mula bersarang dalam hati. Dia memeluk tubuh sambal bersandar di bahagian dinding bersebelahan lif.

“Saya ni memang tak tahu apa yang terjadi di antara Encik dan Yusran. Tapi satu saja orang bawahan Encik Yb ni nak pesan. Kalau iya pun encik bencikan staf bawahan saya, tolong jangan pernah gunakan tangan untuk lepaskan kebencian encik. Kalau dia ada buat salah pun, tolong jangan buat dia tu macam hamba yang boleh dibuli! Sekali lagi encik buat macam ini, saya akan laporkan hal ini kepada Tan Sri Ahmad.” tempelak Abang Umar, kasar. 

Dia sangat marah dengan tindakan Yaslam sebentar tadi. Sangat melampau. Jari telunjuk dituding ke wajah Yaslam.

“Awak buat apa dengan Yus?” terbelalak mata Ariana saat bertanyakan hal itu. Yaslam menelan liur seraya dia menggaru sisi kepala.

“Saya ada meeting. Saya pergi dulu.” Yaslam tergesa-gesa mahu meninggalkan Umar dan Ariana dalam persoalan. 

Tangkas Umar menahan bahu Yaslam yang sudah memusing tubuh dan menekan butan lif. Gayanya seperti mahu naik ke tingkat atas seolah-olah tiada hala tuju.

Umar masih belum selesai membincangkan hal Yusran. Dia tidak akan biarkan lelaki itu pergi begitu saja. Dia tetap mahukan kepastian dan memberi amaran.

Dia langsung tidak mempedulikan riak wajah Yaslam yang kian menegang. 

“Simpan pesanan saya ni ya? Saya ulang, Kalau Encik Yaslam masih bersikap kasar dengan dia, saya sendiri akan beritahu Tan Sri tentang Encik Yb.” Nada suara Umar seperti mahu mengungut.

Buntang mata Yaslam bila lelaki itu kata begitu. Berani dia mahu mengugut aku.

Apa hak dia nak berkata begitu?

Dia lupa agaknya yang aku ini orang berpengaruh.

“Apa masalah engkau ni tiba-tiba nak ugut aku? Siapa engkau nak masuk campur hal aku. Apa sahaja yang ingin aku lakukan dekat dalam hotel ini, itu semua hak aku.” Yaslam mendengus sedikit sambil memandang riak wajah yang jelas sedang marahkannya.

“Encik dah mengancam keselamatan Yusran. Saya tak akan duduk diam. Jangan ingat encik berharta, encik boleh buat apa saja.” Jawab si lelaki nada biasa.

“Engkau sedar tak siapa yang berada di hadapan engkau ni?” Yaslam bersuara marah. Kedengaran nada seperti menengking.

“Saya sedar dan saya langsung tak peduli. Kalau Encik Yaslam tak mahu dimalukan, tolong jaga akhlak encik dan jangan biarkan tangan Encik Yb merayap-rayap dekat tubuh Yusran.” 

Lelaki itu menyinis lagi. Selamba dia menjeling dari hujung mata.

Umar lekas-lekas berlalu pergi setelah mengutarakan tujuan sebenarnya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Thira Jono