Home Novel Cinta Cinta ini, tak seindah biasa
Cinta ini, tak seindah biasa
Azlina Ismail
9/11/2018 18:35:57
9,924
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Langkah dihayun kalau boleh dipanjangkan sejengkal lagi sudah pasti dilakukan. Gopoh-gapah dia hari ini. Langkah ‘kepit’ bagai perempuan sejati beberapa tahun diamalkan, sedikit pincang. Mengapa perlu terlewat bangun di hari yang begitu penting? Sudahlah hari ini, dia akan menjalani sesi temuduga. Boleh pula terlambat bangun.

“Harapkan mahal aje jam loceng tu. Habuk pun tak guna. Menyesal aku beli. Buat rugi duit aku!” Terkumat-kamit mulut kerana merungut. Rengusan demi rengusan, sudah banyak kali kedengaran. Bersiap pun, ala kadar. Mujurlah baju yang mahu dipakai pagi ini, telah digosok semalam.

“Kak Sal pun satu! Bukan nak kejutkan aku? Payah betullah dengan kakak sepupu aku yang sorang tu.” Masih lagi meneruskan rungutan dan kali ini mengenai kakak sepupunya pula.

Langkah semakin dilajukan. Kasutnya jika beroda, pasti sudah berada di tempat temuduga. Kedebuk! Dia tergamam.Tegak berdiri umpama patung. Menunduk sedikit sambil bibir bawah diketap saat melihat insan yang dilanggar sedang merenung tajam.

“Ma..maaf. Saya tak sengaja.” Air liur ditelan dengan payah. Terasa tersekat di kerongkong apabila melihat insan di depan memandangnya, atas bawah dengan kening kanan terjongket.

“Buta?”

‘Mak ai bahasa dia. Bahasa jiwa bangsalah, cik kak oi. Dah minta maaf pun nak marah lagi. Bukan kuat mana pun aku langgar.’ Matanya sekejap kecil, sekejap besar turut memandang wanita berpakaian korporat, atas bawah.

‘Pakai baju, kemas bukan main. Muka, dah cantik tapi budi bahasa, ke laut.’ Dia menyambung merungut.

“Bisu!" Tajam sekali jelingan, diberi kepada gadis yang melanggarnya.

“Saya betul-betul minta maaf, cik. Nak cepat tadi. Maaf ya.” Safa Hawani memohon maaf lagi. Hati, mula membahang sebenarnya cuba di bawa bertenang. Melebih-lebih pula wanita berpakaian korporat yang tidak berapa korporat perangai.

“Ingat, saya hadap sangat perkataan maaf awak, tu? Lain kali jalan, tengok depan!” Terus dia berlalu.

“Sombongnya. Ingat aku, suka-suka nak langgar dia?” katanya lalu mencebik mulut sambil mata memerhati wanita itu berlalu dengan lengguk yang... fikir sendirilah. Malas mahu melayankan pemikiran negatif, dia mengatur langkah semula dengan lebih laju.

Tercungap-cungap kerana kepenatan. Sebaik melabuhkan duduk, nafas ditarikdan dihembus untuk mengajak diri supaya bertenang. Macam mana tidak tercungap? Melilau, ke sana sini, mencari di mana letaknya bilik temuduga? Nasib baik jumpa.

“Safa Hawani binti Ramlan!”

Dia tersentak, pantas memanggung kepala.

“Ya, saya.” Bingkas dia bangun. Membaca lafaz Bismillah, sebelum melangkah masuk. Debar di hati, semakin menambahkan rentak dan hampir lututnya menggigil. Tangan kanan, mengetuk pintu. Sayup-sayup dari dalam, keengaran suara mengatakan, ‘Masuk’. Pintu kayu berwarna putih dengan ukiran menarik, ditolak.

‘Mesti mahal pintu ni,’ sempat lagi berdesis tentang pintu itu.

“Duduk,” bergema arahan itu di dalam bilik yang agak luas.

Dia duduk dengan penuh santun. Mata, terarah ke lelaki di depan, sedang menunduk, menatap kertas. Mata Safa Hawani, sempat membaca tulisan ‘Pengurus Besar’ di papan nama di atas meja. Sesekali, matanya meliar ke sekeliling bilik. Hiasan di dalam bilik tersebut kelihatan moden dan mewah. Pasti pemilik, mempunyai citarasa yang tinggi. Walaupun lelaki, boleh tahan juga citarasa.

‘Orang berduit. Mesti anak pemilik syarikat ni. Dah kaya, semua boleh beli. Mampulah katakan.’ Safa Hawani menimbal balik kata-kata hati.

“Safa Hawani,” dia berhenti sebentar. Memanggung kepala, memandang sekilas gadis yang akan menjadi mangsa pertanyaannya nanti.

“Safa Hawani binti Ramlan?” Sekali lagi dia bertanya.

“Ya. Saya, encik.” Walaupun agak gugup, Safa Hawani cuba bertenang. Sedikit keyakinan berjaya disuntik. Melihat muka orang yang bakal menemuduganya, membuatkan jantungnya bergetar sedikit. Bergetar?

Ah, tak mungkin! Aku berdebar sebab temuduga ni. Bukan sebab lain,’ bidasnya.

“Mengikut resume yang awak beri ni, pegalaman awak masih tak cukup. Jawatan yang awak pohon tu, perlukan pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun. Saya perlukan calon yang betul-betul layak.”

“Encik, maaf kalau saya mencelah,”

“Teruskan.”

“Ya, memang pengalaman kerja saya tu singkat. Kalau majikan macam encik tak nak beri peluang pada orang baru macam saya, macam mana nak timba pengalaman? Sampai bila, orang baru macam saya ni, kena tindas? Sampai bila, kami akan disalahkan atas alasan tiada pengalaman? Disebabkan diskriminasi beginilah, menyebabkan kadar pengangguran dikalangan graduan seperti saya, tinggi.”

Senyap.

“Ada betul cakap awak tu. Apa jaminan awak akan beri kalau saya bagi jawatan ni?”

‘Boleh tahan dia ni.’ desisnya. Matanya merenung raut muka milik gadis bernama Safa Hawani.

“Saya akan berkerja dengan dedikasi dan akan beri komitmen penuh.”

“Jawapan yang bagus tapi dah basi. Saya selalu dapat pengalaman buruk dengan jawapan macam tu.”

“Maksud encik?” Safa Hawani mengerut kening.

‘Pengalaman siapa perlu diambil kira ni? Aku atau dia?’ desis Safa Hawani. Geram pula dengan lelaki di depan. Sesuka hati meletakkan persepsi buruk terhadap lepasan graduan sepertinya.

“Selalunya, graduan macam awak, akan beri jawapan yang sangat baik tapi akhirnya macam kaduk naik junjung. Tak boleh ditegur oleh orang lama sebab rasa hebat bila dah pegang ijazah.” Dia menyembunyikan senyuman sebaik melihat air muka gadis itu berubah.

“Encik nak kata, yang encik memusuhi golongan macam sayalah?” Berdesing telinga mendengar kata-kata sinis itu. Mahu saja melenting. Sabar, dipujuk hati.

“Saya tak kata pun macam tu. Cuma, kebanyakkannya berperangai macam tu. Kebanyakkan ya.”

“Jadi, encik ni jenis suka menilai orang dari luaranlah? Encik ni, tukang ramal? Boleh tahu, bagaimana karektor seseorang, dengan sekali pandang? Hebat juga encik ni.” Safa Hawani masih cuba berlagak tenang. Dia tidak mahu mudah melatah. Lelaki itu, pasti sedang mengujinya. Sabar, kata hatinya lagi.

“Kalau saya boleh meramal, tentu dari awal lagi saya dah tolak calon macam awak. Tak payah buang masa, panggil awak jumpa saya.” Dia senyum sinis.

“Jadi, permohonan saya ditolaklah?”

“Kenapa cepat sangat putus asa, Cik Safa?” Semakin seronok pula bertikam lidah dengan gadis petah itu.

“Ini, bukan soal putus asa, encik. Kalau dah diperli macam-macam, mestilah perkara negatif akan kita fikir.” Safa Hawani masih enggan mengalah. Dia memandang sekilas lelaki sedang senyum senget. Hatinya membahang. Senyum itu dengan jelas mengejeknya.

“Nampaknya, awak dah dapat jawapan,”

“Tak apalah encik. Bumi Tuhan ni, luas. Rezeki, ada kat mana-mana. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu.” Terus dia bangun dan mula mengatur satu langkah.

“Saya ada suruh awak bangun?”

Langkah terhenti. Safa Hawani menoleh perlahan-lahan. Dahi, sudah berlapis-lapis sebaik melihat raut muka lelaki itu dengan sebaris senyuman.

‘Apa lagi dia nak?’

“Awak nak ke mana? Temuduga kita belum habis lagi. Duduk.” Dia mahu ketawa tapi di benam jauh ke lubuk hati. Ada perancangan lain tiba-tiba menjengah ke kotak fikirannya. Gadis itu... mengingatkannya pada seseorang.

“Duduk.” Senyuman nakal, kemas tersembunyi di hujung bibir telah pun dikuntumkan sebaik melihat reaksi gadis itu kelihatan teragak-agak.

“Kenapa tak nak duduk? Saya tak letak jarum kat kerusi tu.”

Safa Hawani mendecit perlahan. Lambat-lambat dia menghenyakkan semula tubuh ke kerusi yang diduduki tadi. Dalam diam, dia sudah membuat keputusan. Tidak salah kalau mahu mencuba nasib. Kalau lelaki itu mahu mempermainkannya, siaplah!

“Awak berminat kerja kat sini?”

“Kalau ada rezeki, saya tak menolak.”

“Jawatan yang awak pohon tu, dah ada calonnya. Cuma ada kekosongan di bahagian lain. Itu pun kalau awak nak jawatan tu.”

“Jawatan apa?” Safa Hawani curi-curi pandang muka lelaki itu. Muka serius itu... tak nampak seperti mahu mempermainkannya. Agaknyalah.

“Satu saya nak ingatkan awak. Jawatan tu, bukan dalam bidang awak. Jauh sekali dengan kelulusan awak.”

“Saya tak kisah.” Mata Safa Hawani tidak lepas memandang lelaki itu. Beranilah dia merenung lama-lama sebab lelaki itu sedang menunduk.

“Encik, boleh tak saya nak tahu jawatan apa yang masih kosong?”

“Pembancuh air untuk saya.”

Mata Safa Hawani membulat. Ada juga yang kena pelangkung dengannya nanti. Haish! Main-main pula.

‘Belajar teruk-teruk, dapat pointer bagus, suruh aku bancuh air. Biul kot dia ni?’ gerutunya pula.

“Macam mana? Setuju tak dengan tawaran saya tu?” Senyum simpul terkandung maksud nakal, diukir dengan kemas.

Senyap.

“Awak setuju tak?”

“Kalau tu tawaran terbaik encik, saya terima.”

‘Tak apa, kita tengok macam mana nanti. Ni, Safa Hawanilah,’ gumamnya menahan geram. Dalam masa yang sama, berkobar-kobar pula semangatnya. Pantang betul jika dicabar. Dia akan buktikan, siapa dirinya. Asalkan kerja yang halal.

“Bagus,” kata lelaki itu sambil mengusap dagu. Lantas tangannya mencapai ganggang telefon.

“Wana, masuk sekejap.”

Senyap.

“Masuk,” arahnya sebaik pintu diketuk.

Sesusuk tubuh ramping, berpakaian ala-ala korporat berserta kasut tumit tinggi berukuran dua inci, sudah berdiri di sebelah Safa Hawani.

Sempat lagi Safa Hawani menoleh sekilas ke arah pembantu lelaki itu dan kembali menumpukan pandangan ke depan.

‘Penuh gaya setiausaha. Macam aku tengok dalam drama,’ desis Safa Hawani.

“Wana, saya akan ambil Safa Hawani sebagai kerani am kita yang baru. Minta Kak Aminah buat surat tawaran untuk dia, hari ni juga. Nyatakan dalam surat tu, tarikh lapor diri, esok.”

“Baik, Encik Wafiq.” Wana menjeling sekilas ke arah gadis yang sedang duduk.  

“Safa, saya harap awak akan cepat belajar. Nampaknya, urusan kita dah selesai. Sekarang, awak boleh ikut Wana. Dia akan terangkan semuanya. Selamat berkhidmat dan selamat datang ke Syarikat Hanafi Teguh Sdn. Bhd.”

“Terima kasih, encik...”

“Wafiq Zainal.”

“Terima kasih, Encik Wafiq Zainal.”

Sebaik Safa Hawani berdiri, membulat matanya ketika memandang wanita bernama Wana. Siapa lagi kalau bukan wanita sombong yang dia langgar semasa di lobi tadi. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.