Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
2,626
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

21

Haruman maskulin masih kuat melekat pada pakaian dan tudung bawal yang aku kenakan sebaik turun dari kenderaan yang dipandu oleh Mr. Reev. Aku mendongak sebentar. Tergamam kerana arah tuju kami sama. Tetapi, perasaan was-was akan niat lelaki itu belum dapat aku bendung. Setelah mengunci kereta, dia meminta supaya aku mengikuti langkahnya yang sudah laju memasuki ke bahagian lobi utama Ancasa Hotel. Derap langkah kami berbeza iramanya. Mr. Reev dengan penuh yakin terus menuju ke arah salah satu booth yang disediakan di ruang yang luas itu. Meninggalkan aku jauh ke belakang yang perlahan bagaikan siput geraknya. Aku menundukkan pandangan setelah merasakan Mr. Reev yang sedang duduk bersandar di sofa memerhatikan gelagatku itu.

"Kalau aku nak buat benda tak senonoh dekat kau, aku tak tunjuk muka aku... Tak bawak kau ke tempat yang ramai orang macam ni... Duduklah! Kata nak bincang, kan?" ujar Mr. Reev ketika aku menghampiri sudut yang paling hujung di lobi itu. Dengan perasaan sebal aku duduk berhadapan dengannya.

"Kau nak aku lepaskan adik kau, kan?" soal Mr. Reev. Aku mengangkat wajah diikuti dengan satu anggukan kecil. Kaca mata hitam masih belum dirungkaikan dari wajah yang agak cengkung itu. Tetapi aku tahu dia memerhati dengan cermat setiap gerak-geriku. Jika tidak tak mungkin hampir kesemua tebakan terhadap buah fikiranku benar belaka. Ah, kebetulan je tu. 

"Jadi, apa yang perlu aku buat?" Aku tercengang. Juga lelaki dihadapanku. Tercengang kerana nada kasar dan geram tiba-tiba terpacul dari bibirku ini dengan tidak semena-mena. Aku lihat Mr. Reev mengangkat kedua belah keningnya kepadaku. Aku buat muka toya. Mempamerkan reaksi tidak bersalah dan selamba. Padahal hatiku sedang kecut. Aku sudah memperoleh keberanian untuk melawan. Tapi aku bimbang keruh pula akibatnya nanti. 

"Baik. Macam ni lagi bagus. Aku dah agak memang ni sikap kau. Jadi senang sikit kerja kita nanti." ulas Mr. Reev sambil menyilangkan kaki untuk bersila pangku. 

"Kita? Bila masa aku setuju nak berkerja sama-sama dengan... Erm... Kau?" tuturku sedikit teragak. Kalau Azran atau Azraf bolehlah aku gebang macam-macam. Tetapi, dengan individu lain aku jadi gentar untuk bertikam lidah. Apatah lagi untuk memulakan suatu pergaduhan. Mr. Reev mengalihkan pandangannya ke arah sudut yang lain buat seketika. Wajahnya kembali fokus kepadaku. Bibirnya tertutup rapat. Wajahnya tetap serius. Pada mulanya aku ikuti rentak langkahnya. Berbalas pandang dengan wajah yang mencuka. Akhirnya aku mengalah. Dah macam orang mabuk asmara pulak. Asyik berbalas pandang hinggakan tak sedar waktu beredar. Apatah lagi keadaan sekeliling. Lagipun aku punyai temujanji selepas ini. Alamak! Jam dipergelangan tangan aku jeling dengan ekor mata. Aku memusingkan tubuh. Memerhati pintu masuk utama yang kelihatan sibuk dengan kehadiran tetamu. Tentu majlis sudah bermula. Aku mengubah pula posisi tubuhku kepada kedudukan asal. Wajah Mr. Reev aku kerling sejenak. Lelaki ini dan lagaknya seperti bos besar. 

"Erm... Aku kena pergi dulu. Ada hal." ucapku seraya bingkas bangun. Handbag yang dikepit dibawah ketiak aku genggam talinya dengan kemas. 

"Aku ikut sekali." Eh, eh... Eh?? Aku tidak jadi membuka langkah. Raut lelaki yang sudah berdiri itu aku tatap dengan satu pandangan yang pelik. 

"Tak boleh." sahutku kasar. Aku membuang pandang ke arah lobi yang semakin lama semakin sibuk dengan kehadiran tetamu. Aku sedar aku betul-betul telah terlambat. Jikalau lelaki ini sengaja mahu melewat-lewatkan diriku dari menghadiri majlis yang berlangsung dihotel ini aku tak yakin aku mampu bersabar lagi dengan karenahnya itu. Buat seketika aku cuba menenangkan diri yang mula diancam situasi kelam kabut kerana jadual yang aku susun menjadi cacamarba. Tetapi bukan bermaksud aku sudah menyerah. Sempat aku berfikir untuk membuat janji temu yang lain pula. Lain hari jika berkesempatan, akan aku pastikan hasil pertemuan itu bakal memberi satu keputusan yang bakal memuaskan hati kedua belah pihak. Tak kan kejam sangat hati perut lelaki ni, kan? Entah-entah saja nak gertak aku. Mentang-mentanglah aku perempuan, getus hati kecilku sendiri. 

"Aku ikut sekali dan hal adik kau settle." Aku memusingkan tubuh seratus lapan puluh darjah. Betulkah apa yang aku dengar? Tak perlu mencari sebarang petanda pada wajah lelaki itu. Air mukanya masih tiada beza. Serius dan datar. Cuma, pandangannya tepat kearahku. Meskipun berkaca mata, aku dapat rasakan pandangan tajamnya itu sedang meratah-ratah reaksiku ketika ini. Riak tidak percaya dan terkejut. 

"Baik. Jom! Dah lambat ni. Sambil jalan kita bercakap." Aku memberi cadangan. Tanpa sebarang bantahan Mr. Reev melangkah melewatiku. Aku mengambil isyarat itu sebagai tanda setuju. Tetapi, sekali lagi aku diberikan kejutan. Lelaki itu terus menuju ke arah pintu utama. Aku terpinga-pinga sendirian. Ciss! Cakap kosong! Gerutuku di dalam hati. Ketika ini, antara mengejar lelaki itu atau menuju ke tingkat atas untuk ke majlis Rina, aku memilih walimatulurus yang wajib aku hadiri itu. Aku ikut masuk dalam kumpulan tetamu yang sedang menunggu ketibaan lif untuk membawa kami semua ke tingkat atas. Perihal Mr. Reev aku sematkan jauh ke belakang mindaku. Rumit sungguh berurusan dengan lelaki macam ni!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa