Home Novel Cinta Lina Nailufar
Lina Nailufar
nurshaza
19/9/2022 18:44:39
346
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

SEMALAMAN dia tidak dapat melelapkan mata, asyik terbayangkan Fasya yang menangis kerana dia. Hubungan pertunangan mereka terhenti di tengah jalan angkara dia sendiri. Entah ke berapa kali dia melepaskan keluhan. Kain-kain yang sudah siap dipotong hanya ditenung sepi. Tiada semangat mahu lakukan kerjanya seperti biasa. Fokusnya hilang. Perasaan serba-salah semakin memberat di dalam hatinya.

"Ya Allah, besar sangat ke dosa aku ni? Silap aku sebab tak bagi peluang untuk hubungan aku dan Fasya. Patut ke aku jumpa Fasya dan merayu pada dia? Tapi ibu cakap semalam, kalau memang dah tak ada hati. Jangan dipaksa. Tak baik. Masalahnya sekarang ni, aku tersepit di tengah-tengah. Antara paksa dan rela." Sekali lagi, Naim melepaskan keluhan. Wajahnya diraup-raup beberapa kali. Tension sungguh memikirkan masalah ini. Mengalahkan masalah negara saja.

Tok! Tok!

Naim mengangkat wajahnya tatkala pintu bilik kerjanya diketuk oleh seseorang dari luar. Dengan nada suara lemah, dia menyahut ketukan pintu itu. Dedaun pintu biliknya ditolak dari luar. Terpacul wajah si ibu bersama dengan senyuman. Serta-merta bibir Naim membalas senyuman ibunya. Melihatkan wajah Puan Effa, membuatkan hatinya sedikit lega. Bebas dari masalah yang membengkung dirinya tadi. Lemas rasanya.

"Anak ibu ni sibuk sangat dengan kain dia. Jomlah, teman ibu makan. Laparlah. Dah pukul 1:00 petang dah ni," ajak Puan Effa. Dia fikirkan Naim akan sedar sekarang sudah masuk waktu berehat. Mahu mengisi perut yang sudah berkeroncong memainkan pelbagai lagu. Sangkaannya meleset. Dari tadi, Naim langsung tidak keluar. Pasti anak sulungnya itu memikirkan fasal masalahnya dengan Fasya. Kasihan sungguh dia pada Naim.

"Eh, pukul satu dah? Allah, along tak sedarlah ibu. Sorry." Terkocoh-kocoh Naim membetulkan penampilannya. Meja kerjanya dikemaskan sedikit sebelum melangkah keluar dari bilik bersama dengan ibunya.

"Tekun sangat buat kerja ke fikirkan masalah sampai tak sedar? Jangan banyak sangat memikir. Nanti sakit. Anak ibu nak makan apa hari ni?" Puan Effa mengusap bahu anak lelakinya. Bibirnya masih lagi menguntumkan sebuah senyuman.

"Tak kisahlah, ibu. Along ikut saja. Janji dapat lunch dengan ibu hari ni. Ada selera sikit."

Puan Effa menganggukkan kepalanya. Jam yang terbelit pada pergelangan tangan, dipandang sekilas. Baru dia teringat, dia ada perjumpaan dengan seorang client yang mahu menempah baju.

"Along, ibu lupa nak cakap yang ada client call ibu tadi. Nak tempah baju untuk majlis jamuan hari kelahiran anak dia nanti."

"Oh, ya ke? Boleh. Kita lunch sekali dengan dia orang ke nanti?" soal Naim sebelum tubuhnya ditolak masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan.

"Haah. Jomlah, takut dia orang dah sampai dulu pula." Puan Effa menarik tali pinggang keledar lalu dimasukkan ke dalam penguncinya.

Naim menukar gear ke huruf D sebelum dia mengawal sterengnya. Kereta mula meluncur ke jalan raya. Kereta tidak terlalu banyak pula hari ini. Naim memandu dengan hanya menggunakan sebelah tangan saja. Sebelah tangannya lagi direhatkan pada bibir pintu. Fikirannya melayang memikirkan tentang Fasya. Entah apalah gadis itu sedang buat ketika ini.

Selama ini, dia tidak pernah memikirkan tentang Fasya. Betullah apa yang gadis itu katakan. Fikirannya hanya tertumpu pada kerjayanya saja. Langsung tak memikirkan tentang hati dan perasaan Fasya. Sungguh dia ditimpa dengan perasaan serba-salah. Semakin dia memikir, semakin menggunung perasan itu dirasainya.



PINTU restoran barat itu ditolak dari luar oleh Naim. Dia mempersilakan ibunya untuk masuk terlebih dahulu. Barulah giliran dia melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Anak matanya meliar melihat suasana sekeliling restoran. Boleh tahan ramai juga orang memilih restoran ini sebagai tempat mereka menjamu selera pada waktu tengah hari.

"Ibu nak ke toilet sekejap, along. Along pilihlah tempat duduk dulu. Client tu belum sampai. Mereka masih lagi dalam perjalanan."

"Okey, ibu. Hati-hati pergi toilet tu," pesan Naim. Dia sudah terbiasa berpesan begitu pada ibunya setiap kali mereka akan berpisah. Tak kisahlah lama ke sekejap. Dia sangat menjaga keselamatan ibunya.

Setelah susuk tubuh ibunya hilang dari pandangan, dia mula mencari tempat duduk. Berlari-lari anak matanya mencari tempat duduk yang selesa. Namun, bukan tempat duduk yang dijumpainya. Tetapi, anak matanya terpaku pada susuk tubuh yang sangat dia kenali sedang bergurau-senda dengan seorang lelaki. Boleh tahan juga penampilan lelaki itu. Gaya lelaki itu sepertinya playboy antarabangsa. Fuh! Entah kenapa membara hatinya melihat pasangan itu ketika ini. Membara bukan kerana cemburu. Tetapi, terasa ditipu.

"Kau memang pandai berlakon, Fasya. Aku tabik spring dekat kau. Aku bermati-matian rasa serba-salah sebab kau. Rupa-rupanya kau mempermainkan aku. Cakap sajalah yang kau dah ada pilihan lain. Ini tidak. Ayah aku dah salah sangka dekat aku sebab kaulah!" Terkumat-kamit Naim menyumpah-seranah Fasya.

Semakin panas hatinya melihat gelak-tawa Fasya yang membingitkan suasana restoran itu. Langsung tidak tahu malu. Naim tidak dapat menahan marah yang menggelodak di dalam hatinya. Laju saja dia mengayun langkahnya mendekati meja pasangan itu. Tangan kanannya sudah menggenggam penumbuk. Mahu saja dia melayangkan penumbuk itu pada wajah Fasya. Tapi itu, hanya expectation saja. Realiti jangan haraplah dia hendak berbuat begitu. Tak fasal-fasal dia digelar lelaki dayus.

"Wah, seronoknya you bergelak-tawa dengan jejaka pilihan you. Pandai you buat drama mata air, Fasya. I rasa kagum sangat. I fikir you boleh masuk ujibakat pelakon ekstra. Tak pun antagonis." Selamba saja, Naim menyindir Fasya. Bibirnya sudah tersenyum sinis. Begitu sakit hatinya ketika ini. Dengan mudahnya, dia dipermainkan oleh seorang perempuan. Ego lelakinya mula tercabar.

"Hurmkantoi jugak akhirnya. Tapi, tak apalah. Baguslah kalau you dah tahu. I memang berdrama pun dengan you semalam. Lagipun apa yang I cakap tu semuanya betul. Untuk apa I teruskan hubungan kalau dapat lelaki macam you. Dahlah tak semegah. Lepas tu, sibuk 24 jam dengan kerjaya sendiri. Dah tak pandang benda lain. Ada baiknya, kita putus. Ada lelaki lain yang lebih menghargai I. You tu, sampai ke tualah tak berkahwin. Tak ada perempuan pun nakkan you. Jadilah bujang terlajak tua. Kahwin saja dengan kerjaya you tu. Hidup you ni tak perlu ada teman. Sebab you pandang kerjaya you saja. Tak pernah nak menghargai orang yang hadir dalam hidup you. You nak marah I? Silakan. I tak kisah. Jangan ingat salah I sorang aje. You pun sama. Win-win situation."

Punya panjang lebar Fasya membalas amarah Naim. Memang dia saja pun buat drama mata air semalam. Mahu lelaki itu rasa serba-salah dengannya. Baru Naim tahu apa yang dia rasa selama mereka menjadi tunangan.

Naim tersentap. Senyuman sinisnya mati. Kata-kata Fasya Amilia semuanya menusuk ke dalam hatinya. Tiada satu pun yang salah. Fasya pun salah. Dia pun ada salah. Baris ayat terakhir yang keluar dari mulut Fasya membuatkan Naim terdiam sejuta bahasa. Dia tidak pernah menghargai orang yang hadir dalam hidup dia. Terlalu sibuk dengan kerjaya. Tapi, dia ada sebab tersendiri, kenapa dia sukar untuk menjalani hubungan istimewa bersama dengan seorang gadis. Dia rasa kurang yakin dengan dirinya sendiri.

"Sorry la kalau you terasa dengan I. I buat sebab I nak you rasa apa yang I rasa. Apa yang I cakap semalam tu semuanya terluah dari lubuk hati I sendiri. I dah penat dah terhegeh-hegeh seorang diri. Tak dihargai. You pun layan I acuh tak acuh aje. Kalau you dekat tempat I pun, you akan rasa sedih. Fedup." Fasya menyambung semula percakapannya agar Naim faham apa yang berlaku semalam. Hatinya masih sakit dengan sikap Naim.

"Tak apa. I sedar yang I punca utama dalam masalah ni. Maafkan I sebab kacau date you. Excuse me." Cepat-cepat Naim melangkah keluar dari restoran itu. Terasa malu bila menuduh Fasya secara melulu. Inilah padahnya kerana mengikutkan sangat kata hati. Sendiri yang mendapat malu. Mujur lelaki bersama dengan Fasya itu tidak menyampuk sewaktu mereka berbicara. Kalau tak, bertambah malu dibuatnya.

"Ya Allah, aku tak sangka yang aku ni jadi seorang manusia yang teruk. Tak guna. Memang patutlah tak ada siapa nak dengan aku. Hanya disebabkan kisah silam aku dulu, aku terus tak ada keyakinan nak adakan hubungan. Tapi kalau betul apa yang Fasya cakap, aku terima saja. Lagipun, aku ni tak tahu nak menghargai orang yang pernah hadir dalam hidup aku." Naim menyeka air matanya yang sudah mengalir ke pipi. Dia tewas dengan kata-kata Fasya. Fikirkan dia boleh hadap. Ternyata dia silap. Hati dia memang hati tisu. Susah betul!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.