Home Novel Cinta Bersama Ke Akhirnya
Bersama Ke Akhirnya
Alin Arifin
28/10/2021 15:56:13
2,262
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

TOK! TOK!

Pintu bilik Irdina diketuk berulang kali. Irdina terjaga dari tidur. Mata digosok perlahan.

Siapa pula yang ketuk pintu bilik aku pagi-pagi ni? umi ke? Tanpa berlengah lagi, Irdina terus sahaja bangun dari katil dan menuju ke muka pintu tanpa mengenakan tudung.

“Kejap umi,” jerit Irdina yang masih di dalam keadaan mamai. Tombol pintu dipulas perlahan.

“Ada apa umi?” Terbuntang mata Irdina waktu itu melihat Ilham di hadapannya. Pintu terus dihempas kuat.

Ilham juga turut tergamam melihat keadaan Irdina tadi, cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya. Walaupun begitu, terlayar kembali di fikirannya dengan apa yang telah dilihatnya tadi. Wanita itu mengenakan  baju tidur lace berwarna hitam. Kali pertama dia melihat Irdina memakai baju tidur seperti itu. Belum pernah lagi dia melihat wanita lain memakai pakaian tidur seperti itu di hadapan matanya sendiri.

Bak kata orang, mata masih suci. Sucilah konon, padahal dia pernah melihat wanita lain yang hanya berbikini ketika dia dan rakannya mandi di laut semasa dia di Jerman dahulu. Tetapi apabila melihat Irdina tadi, dirinya tiba-tiba sahaja terasa lain. Ilham menelan liur.

Apa yang aku nampak tadi? Aku rasa aku tak nampak yang putih gebu tu tadi. Aku silap pandang kut. Tapi dia tadi pakai tudung ke? Pakai tudung apanya kalau aku dah nampak yang lagi satu tu. Ish, kau ni Am, kenapa fikir sampai jauh sangat? Gumam Ilham.

“Abang Am nak apa?” laung Irdina dari dalam bilik. Dia benar-benar malu, dengan keadaan dirinya seperti itu. Tetapi masalahnya, Ilham nampak ke?

“Er, aku nak makan. Aku lapar. Tolong masakkan untuk aku.”

“Makan apa pukul 2 pagi ni? Esok je la makan.”

“Aku laparlah. Kau nak tengok aku mati ke, dalam rumah ni?”

“Mati apanya? Tinggal berapa jam je lagi nak subuh. Suruhlah Bik Aulia masakkan pagi nanti.”

“Cepatlah masak untuk aku. Aku lapar sangat ni,” rayu Ilham.

“Jangan nak mengadalah! Pergilah tidur!” Irdina berkeras tidak mahu melayan permintaan Ilham.

“Dina, aku lapar! Masakkan untuk aku. Takkan aku nak pergi kejutkan Bik Aulia pula? Kau ni agak-agaklah. Kalau kau tak buka, aku tidur depan pintu ni.”

“Ee, kejap la. Dina tukar baju dulu.”

Yes! Ilham tersengih. Lengan kanannya disandar pada muka pintu bilik Irdina sambil menunggu wanita itu keluar. Tidak lama itu, pintu bilik dibuka dengan kasar dari dalam. Ilham telah hilang imbangan waktu itu, lalu dirinya terjatuh di atas badan Irdina. Irdina yang tidak sempat menahan, dengan spontan  memeluk tubuh badan Ilham. Ia berlaku dengan begitu pantas.

Buk!

Kedua-duanya terjatuh. Belakang kepala Irdina nyaris terhentak ke atas lantai, tetapi sempat ditahan oleh Ilham dengan menggunakan lengan kanannya.

Masing-masing terdiam. Wajah mereka  berdua begitu hampir. Terkebil-kebil mata Irdina merenung sepasang anak mata coklat milik Ilham. Dia mula tersedar apabila merasakan deru nafas Ilham begitu hampir pada wajahnya, dan dicampur pula dengan minyak wangi yang dipakai lelaki itu. Dengan pantas Irdina menolak tubuh sasa Ilham, walaupun agak payah dia menolaknya.

“Ee! Apa ni?”

“Apa?”

“Abang Am jangan nak ambil kesempatan dekat Dina tahu tak! Kita ni bukan mahram.”

“Siapa ambil kesempatan dekat kau. Ish, malu la sikit. Tak hingin la aku nak ambil kesempatan dekat kau ni.”

Irdina mencebik. “Yang abang ni datang bilik Dina malam-malam ni dah kenapa?”

“Kan aku cakap, aku lapar. Aku nak makan. Susah sangat ke nak masak untuk aku?”

“Pergilah masak sendiri. Dekat Jerman dulu pandai pula cari makan sendiri.”

“Menjawabkan kau sekarang ni? Dulu bukan main lagi, ‘Abang Am nak apa?’ Bukan main lembut je. Sekarang ni aku suruh masak je pun. Itu pun nak membebel.”

“Tepilah!” Irdina menolak tubuh Ilham, dari menghalang jalannya. Laju sahaja kakinya melangkah ke bawah. Ilham mengekorinya dari arah belakang.

Tiba sahaja di bawah, laju sahaja Irdina membuka almari. Sotong kicap dalam tin dikeluarkan.

“Kau nak masak apa tu?”

“Sotong kicap la. Ni ada yang segera punya. Cepat sikit siap.”

“Sotong dalam tin? Fresh ke tu? Tak nak la. Aku nak kau masak lauk dari dalam peti ais.”

“Jangan nak mengadalah. Jam dah pukul berapa dah ni. Dina nak sambung tidur balik la. Takkanlah Dina nak duduk dekat dapur ni lama-lama?”

“Aku tak kira. Aku nak juga lauk dari dalam peti ais tu. Cepat masak!” arah Ilham lagi.

“Ee! Mengadalah!” Irdina terus sahaja mengeluarkan ikan kembung dari peti sejuk.

Ni entah pukul berapa nak siap ni. Nak tunggu ikan ni cair pun lambat. Menyusahkan betul la. Ni kalau jadi suami aku, jenuh aku nak bangun pagi-pagi macam ni. Tapi tak hingin aku, kahwin dengan dia. Bebel Irdina di dalam hati.

“Ha, kau buat apa lagi tu? Cepatlah masak.”

Hello. Ikan ni keras lagi. Nak tunggu ais dia cair baru boleh masak.”

“Tak kisahlah. Aku nak pergi baring dekat ruang tamu tu kejap. Nanti dah siap kejutkan aku.”

Irdina mencebik.

Hampir sejam lebih Irdina di dapur. Dia melihat jam sudah menunjukkan pukul 4 pagi. Siap sudah ikan kembung sambal bersama dengan gulai lemak kobis. Irdina terus sahaja menuju ke arah Ilham yang sedang tidur di atas sofa.

“Abang Am, bangun. Dah siap masak dah. Pergilah makan.”

Ilham masih dalam tidurnya. Irdina jadi sakit hati. Dia menemui satu akal. Wajahnya dirapatkan ke arah telinga Ilham.

“Abang Am bangunlah! Dah siap masak! Boleh dah makan!” jerit Irdina di telinga Ilham.

Ilham yang terkejut terus sahaja bangun dari tidurnya.

“Sakit telinga akulah! Yang kau jerit dekat telinga aku tu dah kenapa?”

“Dah kejut tak nak bangun. Penat tau tak bangun pagi-pagi masak. Dah la, pergilah makan. Dina nak tidur. Esok dah la nak kena bangun awal.” Irdina terus sahaja berjalan meninggalkan Ilham di situ yang masih terkebil-kebil akibat dikejutkan oleh Irdina tadi.

Ilham melihat Irdina yang sudah hilang dari pandangannya. Dia pun tidak tahu kenapa pagi itu dia terasa lapar. Mulanya dia mahu mengejutkan Bibik Aulia. Kerana tidak mahu mengejutkan orang tua itu, jadi dia terfikirkan Irdina.

Kakinya laju menuju ke dapur. Di atas meja sudah tersedia nasi dan juga lauk yang dimasak Irdina tadi.

Sedap ke dia ni masak? Tangannya laju mencedok nasi dan juga ikan sambal ke dalam pinggannya. Satu suapan dimasukkan ke dalam mulutnya. Sedikit demi sedikit dia mengunyah nasi bersama lauk ikan sambal tadi.

Sedap! Itu sahaja di fikirannya.



PUKUL 7.30 pagi Irdina sudah berjalan keluar dari rumah. Terkedu dia melihat Ilham yang sedang duduk di atas buaian, sambil merenung ke arahnya.

Apa mimpi mamat ni pagi-pagi buta duduk dekat buaian tu? Siap peluk tubuh lagi. Ingat handsome ke buat macam tu? Fikir Irdina.

“Kau nak pergi mana?” tegur Ilham.

“Nak pergi rumah orang-orang tua la. Kenapa?”

“Rajin kau pergi sana. Buat apa pergi situ?”

“Lah, tolong orang tua dekat sana la. Suap makan, bawa jalan-jalan.”

“Kalau macam tu, tolong aku kejap.”

“Tolong apa pula?”

“Ambilkan aku air kopi. Aku tak larat nak jalan la.”

“Tak larat nak jalan? Yang pagi-pagi duduk dekat buaian tu dah kenapa? Pergilah duduk dekat dalam tu.”

“Aku nak ambil udara pagi la. Cepatlah tolong ambilkan air kopi untuk aku. Aku malas nak suruh Bik Aulia ambil. Dah alang-alang kau tengah berdiri tu, apa kata kau ambilkan.”

“Dina dah lambatlah!”

“Cepatlah!”

“Ee...!” Irdina berdengus kasar, lalu berjalan ke dalam rumah semula untuk mengambil secawan kopi untuk Ilham.

Tidak lama itu Irdina muncul semula sambil membawa secawan kopi menuju ke arah Ilham. Mata Irdina mengecil sedikit, merenung ke arah mata Ilham. Cawan dihulurkan kepada lelaki itu.

“Asal kau tengok aku macam tu?”

“Abang Am intai siapa?”

“Intai apa pula?”

“Tu, mata.”

“Mata? Mata aku kenapa?”

“Ketumbitlah apa lagi? Itu mengintai orang la tu.”

Ilham memegang mata kanannya. Patutlah dia terasa seakan sakit. Rupanya matanya sudah ditumbuh ketumbit. Wajah Ilham merona merah. Sungguh dia malu apabila Irdina melihatnya ketika itu.

“Ini semua kau punya pasal la.”

“Eh kenapa pula Dina?”

“Sebab semalam kau, pakai...” Ilham tidak menghabiskan kata-katanya.

Irdina baru teringat tentang kejadian malam tadi. Wajahnya terus berubah.

“Lain kali nak makan, minta Bik Aulia masak. Jangan suruh Dina.” Laju sahaja kaki melangkah masuk ke dalam perut keretanya

Ya Allah, malunya aku! Getus Irdina. Kalau boleh dia tak nak ingat apa yang sudah berlaku malam tadi. Enjin dihidupkan, dengan pantas Irdina menekan pedal minyak dan berlalu pergi dari situ.

Ilham melihat kereta Irdina yang sudah menghilang dari pandangan matanya.

“Dia yang pakai macam tu, aku pula yang kena. Siapa suruh pakai macam tu. Pakailah bertutup sikit. Aku pun tak ada kena ketumbit macam ni.”

“Siapa Am? Siapa yang pakai macam tu?” sampuk Puan Marina.

“Eh umi. Bila umi dekat depan ni?”

“Baru je. Eh, mata kamu ketumbit tu. Siapa kamu intai?”

“Mana ada Am intai siapa-siapa. Memandai je umi ni.” Ilham menghirup air kopi yang diberi Irdina tadi.

“Yang kamu cakap pakai bertutup tu siapa?”

“Ha? Eh tak... tadi ni ha, ada orang gila mana entah pakai seksi ber-jogging dekat luar tu.”

“Orang gila? Siapa pula tu?”

“Biarlah dia umi. Dah pergi dah pun. Walaupun gila, boleh tahan juga seksi dia tu. Nasiblah, Am boleh kawal iman.” Ilham tersengih.

“Dah gatal sangat, kahwinlah kalau macam tu. Ni kamu bila nak kerja dekat company arwah atuk tu?”

“Am ingat nak masuk esok. Tapi mata dah ketumbit ni, tak jadi la. Minggu depan je la, kalau dah macam tu.” Ilham sudah buat keputusan untuk bekerja di syarikat arwah datuknya setelah berbincang dengan keluarganya semalam.

Puan Marina ketawa. “Macam-macam kamu ni Am. Tu mata, letak bawang putih, bagi cepat sikit kecut.”

“Yela umi. Ni umi, kenapa Dina pakai kereta Viva? Kan banyak lagi kereta mewah dekat sini. Kenapa dia tak pakai je?”

“Umi dah cakap dengan dia, pakai je kereta yang ada dekat situ. Tapi dia degil. Kereta Viva tu pun dia beli guna duit dia sendiri. Papa bising masa tu, sebab dia pakai duit sendiri beli kereta. Tahu tak apa yang Dina cakap?”

“Dia cakap apa?”

“Dia cakap, dia dah dapat menumpang dalam rumah ni pun, dia dah bersyukur dah. Kami pun tak boleh nak cakap apa dah. Tapi nasib baik kereta tu bulan-bulan tak mahal nak kena bayar. Itu pun papa nak tolong habis bayar pun dia tak bagi.”

Ilham tekun mendengar uminya bercerita.

“Umi ingat lagi, masa umi kena tahan wad dulu, Dina yang temankan umi dekat hospital. Dia berulang alik dari tempat belajar dia dengan hospital. Sampai dia tak cukup tidur sebab nak jaga umi. Dah la time tu juga dia tengah exam. Ana pula dekat Terengganu. Faham-faham je la masa tu dia tengah kursus jururawat dekat sana.”

“Umi tak call Am pun beritahu, kenapa?”

“Umi tak nak risaukan kamu. Lagipun umi cuma demam panas je. Maklumlah dah tua. Nasib baik ada Dina. Papa dengan Dina juga yang tukar giliran jaga umi dekat hospital.”

Ilham terdiam. Entah kenapa dia teringat peristiwa 7 tahun yang lepas. Bermacam-macam kata herdikannya pada Irdina. Tetapi wanita itu sikit pun tidak menjawab, malah wanita itu banyak berdiam diri. Susah dia mahu mendengar Irdina memaki hamunnya.



MALAM itu Irdina, Dalila dan Amir terus sahaja menuju ke Bandar Kuala Lumpur. Mereka dan ahli kumpulan yang lain akan menyertai aktiviti pemberian makanan kepada golongan gelandangan yang ada di situ. Seharian Irdina di luar. Dia masih lagi belum pulang. Nampak dia kepenatan waktu itu. Tetapi dia puas dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Hai awak,” tegur Effendi dari arah belakang.

Irdina berpusing. Dia sedikit terkejut melihat Effendi yang tiba-tiba sahaja ada di situ.

“Eh, awak. Awak buat apa dekat sini?”

“Semalamkan awak ajak saya join?”

“Ha’ah. Tapi awak kata awak tak dapat nak join?”

“Pagi tadi saya memang tak dapat nak join. Sebab saya ada hal. Jadi saya join la yang malam punya.”

“Eh, Encik Effendi dah sampai?” tegur Dalila. Di sebelahnya turut ada Amir di situ.

Effendi tersenyum manis.

“Kalau macam tu jomlah. Kita orang pun dah nak start ni,” ajak Irdina.

Effendi mengangguk, lalu berjalan beriringan dengan Irdina.

Mereka berempat mula memberi makanan kepada golongan gelandangan yang sudah mula beratur. Selain dari mereka, ada lagi dalam dua kumpulan yang turut bersama-sama melakukan aktiviti tersebut.

Hampir setengah jam, mereka selesai memberikan makanan kepada golongan gelandangan tersebut.

“Awak nampak penat,” tegur Effendi, sambil menghulurkan sebotol air mineral kepada Irdina.

Thanks. Itu la, dari pagi tadi ni. Tak balik-balik lagi ke rumah. Dah la esok kerja.” Air mineral diteguk perlahan.

“Ni awak balik dengan siapa?”

“Saya drive sendiri.”

“Saya baru nak tumpangkan awak balik. Bahaya kalau awak balik lewat-lewat macam ni. Jam dah pukul 1 pagi dah ni kan?”

“Tak apa saya dah biasa.”

“Bagi aku makanan tu!” jerit salah seorang lelaki yang ada di situ.

Irdina dan Effendi memandang ke arah lelaki yang menjerit tadi. Lelaki tersebut sedang mengacukan botol kaca yang sudah pecah, ke arah salah seorang gelandangan yang sedang memegang dua bungkus nasi.

Irdina laju sahaja menuju ke arah lelaki yang sedang memegang botol kaca tersebut. Effendi turut mengekori Irdina.

“Encik... encik sabar encik.”

“Aku nak nasi aku! Kenapa dia dapat sampai dua? Kenapa aku tak dapat langsung?”

“Mungkin encik lambat tadi datang. Tak apa, saya pergi beli nasi ya. Encik buang dulu botol tu. Bahaya encik.” Irdina cuba memujuk.

“Aku nak nasi dekat dia ni!”

Effendi sudah kerisauan waktu itu melihat Irdina.

“Tak apa encik, saya boleh belikan nasi yang baru. Encik tunggu kejap je dekat sini.”

“Kau jangan masuk campurlah!” Botol kaca tersebut terus diacu ke arah Irdina. Secara tak sengaja, botol kaca tersebut telah terkena pada tapak tangan kiri Irdina.

Argh!

Irdina menjerit kesakitan. Dia jatuh terduduk di situ, sambil memegang tapak tangannya. Darah mula mengalir laju, dan wajah Irdina sudah berubah pucat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alin Arifin