Home Novel Cinta BISIKAN CINTA
BISIKAN CINTA
Chryst
29/7/2021 02:02:04
1,866
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

BASIKAL aku jatuhkan sebaik sahaja sampai di rumah Laila. Abang Ben yang sedang bernyanyi riang lagu yang aku pun tak tahu bahasa apa itu, aku pandang tidak puas hati. Selamba dia sahaja menyanyi sambil mencuci kereta mahalnya. Macam tiada apa yang berlaku.

Hati jatuh simpati dengan Adilla. Entah kenapa lelaki ini juga pilihannya.

Aku faham! Ben Azir lelaki yang baik. Tapi tidak dilupakan juga, Abang Ben ini slow! Lembap! Tidak berapa bijak mengenai hati dan perasaan! Aku tidak menyangka langsung yang Adila menaruh hati padanya. Kalau aku tahu, pasti dari awal lagi aku sudah menghalang.

Surat cinta karangan Adila di tangan, aku perhati lama. Teragak-agak mahu menyerahkannya kepada Abang Ben. Apa pula pandangan dia pada aku nanti. Sukarela jadi posmen si Adila pula. Tapi, Adila gadis yang baik. Kalau jodoh mereka, untunglah kan? Tak cuba tak tahu.

Mulut berdehem kecil, sekadar mahu menarik perhatian Ben Azir yang leka menggosok tayar keretanya.

"Oh, Izza... Dari mana?" Earphone di telinga dicabut.

Kepala laju mencipta alasan.

"Err... Dari rumahlah. Abang buat apa?"

Tangan menampar mulut sendiri. Sah-sahlah dia tengah cuci kereta!

Abang Ben memandang aku dengan pandangan penuh rasa lucu. Dia mencelup span di tangan ke dalam air sabun sebelum membalas.

"Abang tengah masak, Za...," balasnya sambil tersenyum. Tertangkap yang aku beri soalan bodoh padanya.

Aku rasa mahu hentak kepala di kereta Range Rover mahal Abang Ben sekarang ini. Padanlah muka. Bagi lagi soalan bodoh.

"Surat apa tu? Tawaran lagi ke?" Abang Ben sambung menggosok badan kereta pula kali ini.

Aku mengangguk selepas itu menggeleng. Kelam-kabut! Separuh hati menyuruh aku beri saja surat ini pada dia. Separuh hati lagi takut dia marah sebab pandai-pandai jadi posmen orang. Abang Ben ini nampak saja tenang, tapi kalau dia marah ... garang tau!

Terkumat-kamit bibir tapi sepatah haram bunyinya tidak terkeluar.

"Kenapa, Izza?" Span di tangan dilepaskan ke dalam baldi air sabun. Lelaki itu berdiri di depan aku selepas membasuh tangannya dengan air paip.

Surat cinta Adila ku sorok ke belakang tubuh apabila jarak kami semakin dekat.

"Abang dah makan?" Topik ku ubah.

Dia menggeleng.

"Ibu dengan Ayah ke pekan. Ada urusan kerja," jawabnya lagi memberi sebab kenapa dia belum makan. Tak perlu lagi aku tanya kenapa dia belum makan juga beri aku gambaran bahawasanya dia malas mahu masak sendiri dan buta keputusan untuk menunggu pakcik dan makcik pulang bawa makanan saja.

"Abang nak Za masakkan megi tak?" cadangku. Masa itu juga ketawa Abang Ben meletus keluar. Bengkak juga hatiku mendengar ketawanya. Macam perli pun ada.

Pipi sedikit mengembung.

"Izza nak masak untuk abang? Betul-betul ke ni?" Abang Ben terkesan riak wajah aku yang tidak senang dengan gelaknya sebentar tadi.

"Betul... Abang nak tak?" Aku tawar lagi. Senyuman keanakannya buat aku terpesona sedikit.

Abang Ben mengangguk. Aku keluarkan surat dari belakang secara teragak-agak. Baik aku beri sahaja surat ini sementara mood Abang Ben tengah baik. Nanti kalau dia marah, aku pujuklah dengan megi.

Tangan melurus ke depan.

"Nah! Untuk abang." Ringkas aku memberitahu. Tak mahu cakap banyak-banyak, nanti terlepas pula isinya dari mulut.

Abang Ben mencapai surat yang aku beri selepas dia lap tangan di seluar pendeknya sehingga kering. Mata membelek surat depan belakang. Mungkin dia sedang cari tahu asal-usul surat ini.

"Surat apa ni?"

Aku dah agak dah soalan ini mesti keluar.

"Surat cinta," sebutku dengan tenang. Debaran di dada jangan cakap. Rasa mahu melompat keluar jantungku.

Abang Ben mengumam. Mata memandang surat dan aku bergilir-gilir.

"Dari siapa?"

Soalan yang sudah ku duga lagi!

"Bukalah."

"Dari Za?" Dia masih tidak buka surat di tangan. Alahai... Dia lagi berminat untuk dengar sendiri dari mulut aku agaknya.

"Bukalah." Aku menyuruh sekali lagi.

"Za tulis?"

Aiseyman, Abang Ben ni... Bukalah dulu surat tu. Baca sendiri!

"Abang bukalah, baca." Aku masih bersabar.

Abang Ben belek pula surat itu depan belakang. Riaknya langsung tidak berminat mahu membaca isinya.

"Bukan dari Za?" Dia menebak pula!

Mata merenung tepat ke wajahku, sedang cuba mencari jawapan yang dia mahukan. Aku melarikan mata dari tertatap anak matanya. Takut nanti tersalah cakap pula.

Dia menyerahkan kembali surat tersebut ke tangan. Terpinga-pinga sebentar dengan tindakannya. Teragak-agak aku menyambut surat itu kembali.

"Za boleh pulangkan semula pada orang yang hantar ni." Nada suara Abang Ben sudah tidak semesra tadi.

Bibirku gigit lembut. Lagaknya sedikit berjauh hati denganku

"Abang nak megi tak?"

Abang Ben mengeluh. Dia teruskan kerjanya tadi. Cuci kereta. Aku langsung tidak dipedulikan!

"Tak payahlah nak jadi posmen pula. Belajar tinggi-tinggi setakat nak jadi posmen buat apa...."

Berdesing kata-katanya di telinga. Pedih.

"Lepas ini apa pula? Tukang cari jodoh orang? Pandai-pandai aje buat kerja Tuhan. Jodoh sendiri pun belum tentu."

Aduh, bagai ditusuk hati aku ini mendengar sindirannya. Macam tengah perli aku dan Elman pun ada juga. Walaupun dia bercakap dengan nada yang perlahan, pendengaran aku masih cukup baik lagi kalau setakat nak tangkap orang yang tengah memerli dalam jarak 2-3 langkah ini.

Kalau sudah kena perli dengan Abang Ben, malu dia 7 keturunan pun tak habis.

Abang Ben terus mendiamkan diri. Dia sibukkan dirinya melayan kereta, aku di sini dia anggap seperti tidak wujud saja.

"Abang marah Za ke?" Aku mula pasang niat mahu mengalah.

Kalau aku salah, sekarang juga aku boleh minta maaf padanya. Tetapi sangkaan aku meleset. Dia langsung tidak pedulikan aku. Buat malu diri sendiri saja.

Kalau Abang Ben nak merajuk setahun pun aku tak kisah! Tak nak megi, sudah!

Langkah ku atur masuk ke dalam rumah. Meninggalkan dia di luar seorang diri. Malas betul nak layan orang lelaki merajuk. Bukan aku sengaja pun mahu pandai-pandai cari jodoh untuk dia. Aku ini tolong aje... Tolong! Faham?

Tak ada masalah aku mahu buat kerja Tuhan. Aku tahulah jodoh ajal semua itu di tangan Tuhan. Tapi kalau tak usaha, tak mendapat juga, kan? Apa salahnya kalau perempuan suka dekat lelaki, lepas itu perempuan itu cuba nasib. Tak salah, kan?

Mentang-mentang dia hensem....

"Kau kenapa?" Laila menegur dari dapur dengan secawan air di tangan.

Aku menghempas tubuh ke atas sofa. Bengang. Mata memberi isyarat pada Laila yang aku sedang marah dengan orang di luar sana.

"Tak payah layan Abang Ben tu. Jom sambung cerita dalam bilik," ajak Laila.

Aku setuju. Kami mendaki naik ke biliknya di tingkat dua. Bilik Laila yang macam puteri Disney ini penuh dengan warna merah jambu. Tak lupa juga dengan segala macam hiasan estetik yang dia beli dari internet. Lain dengan bilik aku yang biasa-biasa saja. Sekadar dihiasi dengan rak baju, meja solek juga katil. Itupun semua gaya orang lama.

Aku ceritakan apa yang terjadi antara aku dan Ben Azir juga segala sindirannya pada aku tadi. Sungguh aku memang berjauh hati. Bukan kerana sindirannya, tetapi niat baikku mahu mengalah dan memohon maaf dilayan acuh tak acuh saja.

"Za tak payah kisah. Abang Ben tu memang macam tu. Macam tak kenal dia. Bukan sekali dua Laila kena tau, dah banyak kali dah," jelas Laila.

Aku faham itu, tapi dia tak pernah dingin berlamaan sebegitu denganku. Nak perli, perli sajalah! Tak perlulah berdiam seribu bahasa.

"Dari Ila, ek?" tanya Laila membelek depan belakang surat cinta yang baru aku serah padanya.

Dari renungan mataku saja dia sudah tahu jawapannya. Kesannya, Laila mengeluh panjang.

"Kau tak suka Ila ke?"

Kami duduk bertentangan di atas katil. Wajah Laila yang bertampal bedak sejuk itu langsung tidak buat aku merasa geli hati.

"Bukan aku tak suka pada Ila. Tapi, aku dah agak dah yang Ila tak akan dapat balasan. Abang tu..." Kata-katanya terhenti.

"Abang tu... apa?" Aku jadi tidak sabar. Sesuatu mengenai Abang Ben yang aku tidak pernah tahu?

"Dia dah ada yang punya."

Ternganga mendengar kata-kata Laila. Sukar mahu percaya tetapi selepas melihat anggukan Laila yang agak meyakinkan itu, aku jadi percaya pula.

"Siapa?" Seperti biasa. Kenalah cari tahu siapa orangnya.

Laila angkat bahu.

"Yang Laila tahu, dia ada yang punya aje. Sebab masa belajar di UK dulu, Abang asyik kata nak kahwin saja. Lepas itu, tak ada bunyi dah."

Tangan menutup mulut. Inilah cerita paling panas hari ini. Tak sangka abang... Wah!

Ah! Mungkin perempuan itu perempuan yang abang kata dekat tapi jauh itu kut... Yang nampak tapi kabur... Tapi dia kata tak wujud. Peningnya!

"Jadi, lebih baik kita tak payah ganggu emosi Abang Ben. Mungkin dia tengah patah hati ke, kan? Kesian dia."

Cepat-cepat aku bersetuju. Rasa bersalah pula kerana buat begitu padanya. Mungkin cara aku tadi mengingatkan dia pada kenangan cinta lalu.

Pasti perit rasanya kehilangan orang yang kita cinta dan bagi aku, Abang Ben seorang yang kuat. Dia masih mampu mengukir senyuman seperti yang selalunya seakan-akan kenangan lalu langsung tidak mengubah dirinya walau sedikit.

Kalau aku, berpisah dengan Elman mungkin akan merenggut separuh diri aku pergi bersama kenangan dengannya. Aku pasti tidak akan mampu tersenyum sekali pun.

Tok! Tok!

Kami berdua memandang ke arah pintu yang bertutup. Menunggu siapa yang akan bangun untuk pergi membuka pintu.

•••

MAGGIE kari yang masih panas aku letakkan dihadapan Abang Ben lalu duduk di kerusi bertentang. Sepatah kata tidak terucap.

"Za marah dekat abang lagi ke?"

Bibir mencebik. Aku tak marah, aku terasa hatilah!

"Pandai Za masak megi." Abang Ben memuji.

Nak beli jiwa pun, tak payahlah nak cakap aku pandai masak megi!

"Abang ni makan pun bising. Makan ajelah senyap-senyap. Megi tu kalau boleh cakap, dia dah suruh abang diam dah."

Abang Ben memandang aku dengan senyuman. Ah, memang dia tahu kelemahan aku. Aku emmang mudah membalas senyuman.

"Baik, Mem. Abang makan dulu, ya? Za nak sikit tak?" Senyuman keanakannya terpancar. Aku menggeleng dan hanya memerhati dia makan dengan penuh berselera.

Wajah sehensem ini pun kena tinggal awek, ya. Alahai... Betul kut manusia kurang bersyukur. Yang kacak bergaya dibuang selamba. Atau mungkin kekasih Abang Ben ini orang-orang kerabat ke?

Eh, tapi rupa tak penting, kan? Mungkin ada sesuatu yang Abang Ben tidak ada yang menjadi punca kepada perpisahan.

Kalau ikutkan mulut aku ini mahu saja ramah bertanya tapi risau jika si dia tak selesa pula.

"Za tanya ajelah apa Za nak tanya. Jangan buat muka berkerut-kerut macam itu. Resah-gelisah abang jadinya. Abang ada buat salah ke?" Abang Ben pandang kiri kanan mencari apa-apa yang mungkin menjadi punca kenapa aku memandang dia tidak lepas.

"Boleh ke? Izza takut nanti abang dingin lagi dengan Izza. Yalah. Izza kan belajar tinggi-tinggi tapi nak jadi posmen aje." Aku pulangkan semula sindirannya.

Abang Ben ketawa. Dia menghabiskan hirupan sup didalam mangkuk sebelum duduk menegak memandang aku.

"Izza terasalah ni, ek? Abang gurau aje tadi."

Hek Eleh! Gurau konon! Mana ada orang gurau sampai merajuk macam itu.

"Jangan nak tipulah, abang. Tak puas hati cakap sajalah." Aku memalingkan wajah ke arah lain. Tak ada mood nak pandang muka hensem depan ini.

"Okaylah. Memanglah abang marah tadi. Abang tak sukalah Za pandai-pandai jadi pencari jodoh pula. Dia pula sukarela jadi orang tengah."

"... Lagi satu, abang tak nak beri harapan. Kalau abang suka, abang sendiri pergi tanya. Faham? Tak perlulah sesiapa masuk campur urusan cinta abang," tegas bicaranya.

"Za minta maaf." Aku berkata perlahan. Tertunduk memandang lantai.

Menyesal pula aku jadi posmen Adila. Jelas-jelas yang Abang Ben bukanlah lelaki yang suka dikejar-kejar sebegitu.

"Maaf diterima. Za tak minta maaf pun abang dah lama maafkan."

Mangkuk megi dibawa ke sinki dan dia mencucinya sendiri. Gelagatnya aku perhati terus.

"Abang dah ada girlfriend ek?"

Terbatuk-batuk Abang Ben mendengar soalan cepumas aku. Mata membulat. Mungkin dia tak sangka yang aku tahu.

"Za...." Dia memberi amaran.

Lidah aku jelir padanya dan berlari naik semula ke bilik Laila. Ha! Betullah tu dia ada girlfriend!

•••



P/S: 

Follow penulis di Instagram dan Wattpad untuk bab selanjutnya.

IG: @chrystnoob

Wattpad: @chrystnoob

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Chryst