Home Novel Cinta SUAMI TANPA JIWA
SUAMI TANPA JIWA
La-lila
16/5/2020 16:48:51
5,381
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

“Buktikan?” soal Chempaka kebingungan.

Ibra melepaskan cengkamannya pada wajah Chempaka dan mula berdiri. Kini kedua tangannya mencekak pinggang membuatkan otot lengannya jelas tersembul. Kepalanya menunduk menatap wajah kebingungan Chempaka yang kini turut sama memandangnya. Tak lagi melarikan diri.

“Ya, buktikan. Kenapa? Takut?” tuduh Ibra yang tidak terlintas pun di fikirannya bahawa Chempaka akan berfikir yang Ibra menyuruhnya mencari cara untuk membuktikan. Padahal lelaki itu bermaksud yang Chempaka akan melalui pemeriksaan untuk membuktikan sama ada dia mengandung atau pun tidak. 

Chempaka yang polos, naif dan tidak mengerti menunduk lemah. Kecemasan mula bertandang di dalam hati. Dia tak tahu macam mana untuk buktikan yang dia tidak mengandung. Ini penting! Ini sahaja peluangnya untuk membersihkan namanya! 

Dan ini sahaja peluang yang ada untuk memastikan dia tetap diberi tempat di rumah ini. Masalahnya dia tak ada jawapan untuk pertanyaan Ibra.

Dia tak tahu!

Dia buntu!

Fikir Chem! Fikir!!! Paksa dirinya makin tak keruan.

Chempaka berusaha untuk memerah otak di dalam keadaan serba mendesak ini namun tetap rasa hampa dan kesal datang bertubi-tubi kerana dia tak dapat memikirkan cara untuk membuktikan kepada Ibra bahawa tuduhan Daniel itu palsu.

Chempaka semakin cemas. Air matanya yang tidak pernah berhenti sedari tadi sejak Ibra memasuki biliknya nampak menitis-nitis di seluarnya yang kelihatan nipis kerana sering digunakan.

Kenapa dia tak pernah membaca tentang ini di surat khabar? Ah, baru dia teringat bukan semua helaian surat khabar yang dia dapat baca. Hanya yang Nek Pah dapat sembunyikan sahaja. Chempaka fikir dia sudah cukup baik walaupun tak mendapat pendidikan seperti orang lain. Rupa-rupanya dia bodoh yang amat. Mungkin paling bodoh di dalam dunia ini.

Dia bodoh! Dia tak pernah sekolah! Usaha macam mana pun dia takkan tahu cara untuk buktikan.

Kalau dia bagitahu Ibra yang dia tak tahu, pasti Ibra akan cakap yang dia menipu. Mesti  Ibra ingat dia cuba mengelak kerana betul-betul mengandung. Dan Ibra tanpa fikir dua kali akan menghantarnya kepada Datuk Marzuki.

Membayangkan dia kembali dikurung dan dipukul Datuk Marzuki membuatkan Chempaka rasa ingin mati sahaja. 

Kalau kau tak nak kena hantar ke neraka tu semula kau kena fikir cara untuk buktikan! Takkan tu pun kau tak boleh buat?!

Bodoh! Ini saja peluang kau! Kau memang tak guna! Kenapa kau bodoh sangat hah?! Dah diberi peluang untuk membela diri pun kau tak boleh buat apa-apa! Memang patut pun kalau kau kena hantar ke rumah Datuk Marzuki. Sebab kau bodoh!!! Bodoh!!!

Suara-suara itu berdesakan melontarkan kemarahan tanpa henti di dalam kepala Chempaka membuatkan kepalanya terasa seperti mahu pecah. Tubuh kurus itu menggigil. Sudahlah orang luar pun menuduhnya. Sekarang dirinya sendiri menghukumnya begitu. Apa lagi yang dia ada?! Siapa lagi yang dia boleh berharap untuk menenangkan dirinya kalau jiwanya sendiri pun menentangnya?!

Dia memang tak patut hidup. Sepanjang hayatnya penuh dengan ketidakadilan dan kekejaman. Sekarang dan di masa depan pun akan sama. Dia dah tak sanggup Tuhan… Siksa sangat. Cukuplah! Cukup!!!

Pada pandangan yang melihat pasti mengatakan Chempaka ketakutan kerana bersalah. Kaiser sampai mengeleng-geleng kesal. Dirinya terasa seperti dikhianati kerana jauh di sudut hatinya sejak mengenali Chempaka, dia dapat rasa yang Chempaka bukan seperti yang diceritakan oleh Datuk Marzuki.

Tetapi sekarang… 

Kaiser kelu tak tahu bagaimana untuk mengungkapkan rasa kecewanya ini.

Dan Ibra pula sedari tadi berdiam diri kini sudah tak dapat bersabar. Dipautnya dagu Chempaka untuk melihat wajah yang menunduk tanpa sebarang pembelaan seolah-olah memang dirinya itu bersalah.

Wajah yang basah dengan air mata itu ditatap dengan tajam seolah ingin membaca perubahan ekspresi Chempaka sekecil apa pun. Apa yang disajikan kepadanya hanya mata yang terlihat putus asa. Menyerah. 

“Kenapa kau diam? Takut?” tuduh Ibra lagi. Suara itu didesiskan melalui gigi yang dikatup rapat. 

“Saya tak tahu. Saya bodoh.” Suara Chempaka sayu. Menatap wajah bengis Ibra dengan rasa tak berdaya. Mungkin selepas ini wajah bengis Datuk Marzuki pula yang akan ditatapnya. Kalau dengan Datuk Marzuki nanti pasti bukan hanya ditatap tajam seperti yang Ibra lakukan. Belum apa-apa lagi dia akan dipukul habis-habisan.

Mengingatkan itu Chempaka semakin merana. Dia menangis tersedu-sedu. Tak dapat diucapkan betapa dia kecewa dengan dirinya kerana tak mampu memberikan jawapan yang diinginkan Ibra. Ini semua salahnya kalau dia dihantar semula ke rumah neraka itu.

Kenapa dia bodoh sangat?!! Bodoh!!! Bodoh!!! Jerit Chempaka sekuat hati.

Chempaka hilang kawalan. Jeritan yang dia fikirkan dilaungkan di dalam hati saja rupa-rupanya bergema nyaring memecah bilik kecil itu.

Entah datang dorongan dari mana Chempaka mula memukul kepalanya sendiri.

“Saya bodoh! Saya bodoh! Saya tak tahu! Saya bodoh! Bodoh!” Kata-kata itu diucapkan berulang kali disertai pukulan tanpa henti di kepalanya.

“Chempaka!” teriak Kaiser datang mendekat. Terkejut dengan kelakuan Chempaka yang terlihat seperti orang histeria.

Teriakan dan kemunculan Kaiser menyedarkan Ibra yang terpana dan terkejut dengan reaksi tiba-tiba Chempaka yang tidak terduga itu. Belum sempat tangan Kaiser terhulur untuk menghentikan Chempaka dari menyakiti dirinya sendiri, Ibra terlebih dahulu menarik kedua tangan kecil itu dan menggenggamnya erat menenggelamkan di tangannya yang besar.

Tubuh itu meronta-ronta kuat untuk melepaskan diri. Dengan mata yang terpejam rapat Chempaka terus menjerit mengatakan yang dia bodoh berulang kali.

Tangan Kaiser terulur untuk memegang tubuh kurus Chempaka yang entah kenapa begitu bertenaga sampaikan pegangan tuannya hampir terlepas. 

Sekali lagi Kaiser terlambat kerana hanya mampu membeliakkan mata terkejut melihat tindakan pantas Tuan Ibra menarik tubuh Chempaka berdiri masuk ke dalam pelukan tubuhnya yang besar. 

Tetapi itu tak menghentikan Chempaka yang seperti dirasuk syaitan. Chempaka mula menendang kuat dan berdiri rasanya bukan keputusan yang tepat. Nampaknya Tuan Ibra turut berfikir sama sepertinya bila mana tuannya itu menjatuhkan tubuh ke atas katil membawa Chempaka bersamanya.

Berkeriut kuat bunyi katil besi itu bila dua tubuh itu rebah di sana. 

“Call Uncle Bakri! Cepat!” jerit Ibra kuat disambut dengan tindakan pantas oleh Kaiser. Sambil berbicara dengan Uncle Bakri mata Kaiser tak lepas mengawasi keadaan tuannya yang sedang menghimpit tubuh Chempaka.

Tubuh kurus Chempaka kelihatan tenggelam di sebalik besarnya tubuh Tuan Ibra. Jeritan Chempaka tetap tak berhenti dan Kaiser tahu Chempaka masih tak berhenti meronta dan menendang memaksa Tuan Ibra membawa tubuhnya mengiring membolehkan kaki berotot tuannya membelit kaki Chempaka. 

Kaiser menahan nafas, masih sukar untuk percaya dengan apa yang dilihat di depan matanya sekarang. Tuannya yang kasar itu nampak berusaha selembut mungkin memeluk tubuh Chempaka yang meronta-ronta. 

Wajah itu ditenggelamkan ke dadanya. Dengan sebelah tangan memeluk dan sebelah lagi mengusap kepala Chempaka sambil mengguman, “Shhh… shhhh… shhhh…” sepertinya memujuk dan menenangkan.

Setelah beberapa minit berlalu pujukan Tuan Ibra nampaknya menjadi bila tiada lagi kedengaran jeritan Chempaka yang tinggal hanya sedu sedan yang berselang seli dengan suara tuannya.

Kaiser kaku berdiri memandang belakang lebar itu. Lakonan apa yang tuannya sedang mainkan sekarang ini?

Entah kenapa Kaiser masih tak dapat mempercayai kebaikan hati tuannya yang diberikan kepada Chempaka. Kepada orang lain mungkin. Tetapi tidak kepada seorang perempuan yang dewasa kerana Kaiser tahu sebenci mana Tuan Ibra kepada golongan itu yang mengingatkan dia kepada perempuan yang tidak sudi pun dipanggil mama. 

Hanya nama.

Inara!


PESANAN DARI ULA LA LA:

Terima kasih untuk semua yang baca cerita La ni. 

Terima kasih pada sis Fazli Yana selalu tinggalkan komen. 

Thank you so  Mmuach Muachh...


 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh La-lila