1,838
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Shasha - Bab 7

Lidahku kelu. Wajahku menunduk memandang lantai. Mami dan Kak Jojo senyap seribu bahasa memerhatikan gelagatku. Barangkali masih memikir kata-kata yang sesuai untuk memulakan hujah. 

"Kak Nora kata Hana pengsan di tempat kerja kelmarin. Hari ini pengurus Hana pula telefon Mami kata Hana tak sihat. Kalau macam ni, Mami rasa elok Hana berhenti sahaja." luah Mami sekaligus membuatkan aku mengangkat kepala untuk melihat sendiri dengan mata kepala kata-kata itu sememangnya datang dari Mami. Manalah tahu jika di saat-saat begini telinga masih mahu menipu dengan tersilap mendengar. Ingatkan Mami tak tahu aku pengsan kelmarin. Maklumlah, Mami ke Kuala Lumpur selama dua hari satu malam untuk melawat Kak Jojo yang menetap disana. 

"Ya, Hana. Mungkin Hana penat kot. Sampai mudaratkan diri. Baik berhenti je..." sampuk Kak Jojo pula. Mataku sudah terjengil memandang mereka berdua. Amboi! Kata sepakat mereka betul-betul  menyakitkan hati aku. Sepatutnya akulah mangsa disini. Mengapa aku terasa seperti duduk di dalam kandang pesalah pula. Gejolak perasaan yang sekian lama aku pendam tak dapat lagi dibendung. Bagaikan lahar gunung berapi yang menanti masa untuk dihamburkan begitulah rasa yang sedang terbuku di jiwaku ketika ini. Memang aku ni jenis ikut telunjuk, kan? Akur dan menurut sahaja. Arghh!! Tiada masa untuk aku akur lagi!

"Kenapa baru sekarang Mami nak sekat Hana? Kenapa tak dahulu lagi? Kenapa tak marah macam ni masa Hana umur tiga belas tahun dulu?" sahutku dengan suara yang meninggi.

"Hana, cakap elok-elok.." Kak Jojo mengingatkan. Aku mencebik sambil memandangnya sinis.

"Mami ada Kak Jojo, kan? Anak kesayangan Mami ni. Hana rasa kalau Hana tak ada dalam rumah ni tentu Mami lagi suka. Hana nak pindahlah!" ujarku tanpa menghiraukan riak terkejut bercampur kecewa yang jelas diwajah mereka berdua.

"Hana!" kedua-duanya serentak bersuara. Aku bingkas bangun. Namun sebelum sempat aku melangkah memijak anak tangga lenganku disauk dari belakang.

"Hana! Kenapa cakap macam ni dekat Mami? Mami sayang kita berdua, tau. Apa yang Mami buat selama ni semuanya untuk kebaikan Hana sendiri." tutur Kak Jojo separuh merayu. Barangkali Kak Jojo mahukan aku mengerti dan memahami bahawa tindakan Mami terhadapku selama ini tidak layak untuk disangkal.

"Ah! Kalau dah anak emas tu semua benda nak dibodek. Kak Jojo sentiasa disayangi dan didahulukan memang Kak Jojo tak kan faham apa yang Hana rasakan. Hana sentiasa jadi yang kedua, tau tak? Sentiasa jatuh ke nombor dua! Hahaha... " balasku pula dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat.

"Tahniah Kak Jojo. Kakak memang hebat. Sentiasa mendahului Hana dalam semua perkara. Good luck!" tambahku lagi sambil menghadiahkan satu kenyitan kepada Kak Jojo yang terkedu mendengar luahanku itu. Panjang langkah yang kuambil ketika memanjat anak tangga untuk berundur ke bilik tidurku. Ditepi katil, aku menangis sekali lagi. Meratap rasa malang yang aku rasakan sejak dari dahulu lagi. Kenapa aku yang dipilih menjadi orang itu? Aku  bukanlah seorang yang kuat. Akulah si hipokrit. Bersandiwara mempamerkan aksi tidak endah. Padahal ianya mencengkam kalbu dan sanubari. Menyeksa disegenap urat sarafku.

"Hana, Mami nak masuk ni.." saru Mami diluar bilik. Aku mengengsot ke tepi. Memilih untuk memeluk bantal golek dan menyembamkan wajah disitu. Aku belum bersedia untuk bersemuka dengan Mami setelah apa yang terjadi dibawah tadi.

"Hana.. Mami mintak maaf." Aku menelan air liur. Elusan tangan Mami dibelakang tubuhku memberi erti Mami ada disisiku. Aku masih bungkam. Tiada apa yang ingin aku perkatakan lagi. Rasanya apa sahaja yang terluah sebentar tadi jelas memberitahu kepada mereka tentang isi hatiku. 

"Hana tahu tak Kak Jojo banyak berkorban untuk kita berdua." serta merta aku memalingkan wajah diiringi lirikan yang sinis.  Adakah Mami ke sini untuk membela anak emasnya itu? 

"Hana tau tak yang arwah ayah ada tinggalkan sebuah syarikat?" soal Mami. Aku diam. Takkanlah aku tak tahu tentang syarikat ayah yang Mami usahakan sekarang. Sebuah syarikat kurier bersaiz sederhana. 

"Waktu ayah meninggal, syarikat tu hampir muflis." Oh! Yang itu aku benar-benar tak tahu. 

"Jannah sentiasa bantu Mami. Dari duit biasiswa yang dia dapat waktu bersekolah hinggalah dia di universiti. Waktu Hana memilih nak ke asrama Mami bersyukur sangat sebab Mami fikir Hana tak perlu bimbang dengan apa yang berlaku. Tapi, Jannah.. Dia fikirkan orang lain melebihi diri dia sendiri. Dia berhenti belajar diuniversiti untuk bantu Mami! Setiap kali Mami tengok Jannah, Mami sering rasa bersalah sebab Mami dah gagal menjadi ketua keluarga yang baik." cerita Mami diiringi sedikit esakan. 

"Mami tak dapat berkongsi dengan Hana semuanya. Sebab Hana masih kecil. Belum memahami apa yang berlaku. Lagipun, cukuplah Jannah seorang terpaksa berkorban. Mami tak nak Hana pun ikut sama. Tak sanggup Mami tanggung beban biarkan anak-anak terseksa gara-gara Mami tak berupaya." cerita Mami lagi. Aku terus memusingkan tubuh yang membelakangi Mami. Tubuh kurus dan langsing itu aku peluk dengan erat. Berjejeran air mata ketika aku berbicara. 

"Maafkan Hana, Mami. Hana tak tahu. Hana yang bersalah selama ni. Hana yang bersalah..." kataku sambil tersedu-sedan menangis. Aku dapat rasakan Mami membalas pelukanku dengan erat sekali. Terlerai sudah rantaian kesumat yang aku bina selama ini. Aku meminta izin untuk bertemu Kak Jojo pula. Banyak perkara yang ingin aku katakan kepada kakakku itu. Mengapalah aku bertindak bodoh selama ini? Kenapa sebelum ini aku tak pernah terfikir mengapa Kak Jojo tamat belajar diusia yang sangat muda. Kemudian, mengapa aku tak pernah menyoal mengapa Kak Jojo mahu mengendalikan anak syarikat yang terletak di Kuala Lumpur itu. Tak lain tak bukan kerana Mami tak mampu menggaji pekerja baharu melainkan Kak Jojo sendiri menawarkan diri berpenat lelah mengendalikan syarikat itu sendiri. Ah! Kesal! Sesal! Sungguh aku malu dengan diriku sendiri! Tetapi, hal lelaki itu pula bagaimana? Arghh! Tak mungkin! Aku belum bersedia untuk berbicara hal yang satu itu. Noktah. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh