Home Cerpen Alternatif AMANDA@NH-003F
AMANDA@NH-003F
JACK EL JAMILY
11/2/2020 11:33:03
9,506
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

SATU, DUA, CINTA!

 

Eliza. Itulah namanya. Nama yang cantik, secantik orangnya. Sebagai seorang gadis, bagi aku dia cukup sempurna. Dengan tekstur kulitnya yang halus gebu dan putih kemerahan, dengan bentuk badannya yang langsing dan penuh keseksian, dengan rambutnya yang lebat lurus keperangan, dengan pipinya yang licin seperti telur rebus baru dikupas, dengan matanya yang, hidungnya yang, telinganya yang, bibirnya yang, lehernya yang, bahunya yang, lengannya yang, jari-jemarinya yang, dadanya yang, pinggangnya yang, pinggulnya yang, pahanya yang, betisnya yang, tumitnya yang, yang, yang, yang. Tiada gadis lain yang pernah hadir dalam hidup aku yang dapat menandingi kesempurnaannya.

            Sudah hampir sebulan dia bekerja di sini. Maksud aku di syarikat milik aku ini, Puting Emas Enterprise. Aku adalah seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya. Dalam usia yang boleh dianggap masih muda dalam dunia perniagaan terutamanya di Malaysia, aku telah pun bergelar seorang jutawan. Ya, umurku baru 28 tahun namun aku sudah menguasai empayar perniagaan yang sangat berdaya maju dan mampu bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang lebih besar dan berpengaruh. Sekarang ini, syarikat Puting Emas Enterprise milik aku adalah pengeluar produk kecantikan yang terbesar di Malaysia dan Singapura. Dan mungkin juga di Thailand, Vietnam, Brunei dan Indonesia.Tapi bukan di Timor Leste. Aku pun tak pasti kenapa produk kami tidak laku disana walaupun ianya memiliki reputasi yang sangat baik di pasaran antarabangsa. Sebagai contohnya, sebut saja Kau Putih-lah, semua orang tahu. Kau Putih-lah adalah salah satu produk keluaran syarikat aku yang paling laris di pasaran ketika ini.

Jika dilihat daripada kejayaan yang aku capai dalam bidang perniagaan, mungkin ramai yang beranggapan hidup aku riang gembira dan penuh dengan hilai ketawa. Namun hakikat yang sebenarnya tidak begitu. Hidup aku sangat sunyi. Kesibukan yang menghurungi aku setiap hari tidak dapat menghapuskan perasaan sunyi yang aku alami. Pada waktu siang kesunyian itu tidak begitu terasa. Namun sebaik saja malam merangkak tiba, perasaan sunyi mula mencengkam diri. Banglo besar dua tingkat dan ada kolam renang yang aku bina dengan wang hasil titik peluhku sendiri, bukannya dengan duit rakyat seperti sesetengah orang, kini aku rasakan bagai penjara yang tidak berpenghuni. Sunyi yang amat sunyi.

Ya, aku pernah berkahwin. Satu ketika dahulu, aku pernah menjadi seorang suami. Isteriku Qalisha, adalah teman sekuliahku ketika kami sama-sama menuntut di universiti. Dari asal teman rapat kami menjadi sepasang kekasih. Sewaktu di universiti, kami umpama belangkas di musim mengawan. Ke sana ke mari sentiasa saja bersama. Hingga pada satu ketika, kami sama-sama bersumpah setia akan hidup dan mati berdua.Biar sebesar dan sehebat mana dugaan yang datang melanda, kami akan mengharunginya bersama-sama. Itu sumpah kami. Namun sebesar hama pun tidak aku duga rupanya sumpah itu adalah sumpah yang memakan diri.

Tahun pertama perkahwinan kami, hidup aku sangat bahagia. Aku sangka Qalisha pun begitu juga. Rupa-rupanya aku silap teka. Dalam diam, dalam lakonannya yang bersahaja, sebenarnya dia sedang menderita. Aku tak pasti apa masalah yang sebenarnya. Qalisha semakin hari semakin bersikap dingin denganku. Hinggalah pada satu petang, di saat gerimis mulai membasahi bumi, Qalisha meminta aku menceraikannya. Aku sangat terkejut. Rasa marah, bingung, kesal,malu, terhina, bercampur baur menyebabkan aku hilang pertimbangan. Lafaz cerai talak tiga terus saja aku hamburkan kepada Qalisha.

 “Keluar kau dari sini! Perempuan pengkhianat! Kau boleh berambus! Aku tak mahu tengok muka kau lagi!” Itulah kata-kata terakhirku kepada Qalisha. Dan itulah juga kali terakhir aku melihat Qalisha mengukir senyum kepadaku sambil air matanya mengalir laju membasahi pipi. Ah, perempuan!

Selama ini aku sangkakan Qalishalah orangnya, si dia cinta hatiku untuk selama-lamanya. Tapi rupa-rupanya bukan dia. Qalisha hanyalah sekadar satu episod pengenalan kepada sebuah kisah cinta maha hebat yang akan berlangsung pada bila-bila masa saja lagi. Dan Eliza, dialah sebenarnya cinta hatiku untuk selama-lamanya.

Sejak kali pertama aku berbual-bual dengannya, aku sudah dapat merasakan getaran-getaran cinta yang wujud dalam diri kami berdua. Dan dari sehari ke sehari, getaran cinta itu semakin laju berdenyut, semakin luas tersebar ke dalam urat saraf kami. Namun begitu, rasa cinta itu tidak aku lafazkan kepada Eliza kerana aku sedang menunggu masa yang sesuai. Aku rasa Eliza pun begitu. Tentu saja dia tidak mahu dianggap perigi mencari bulldozer.

Walaupun demikian, perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini benar-benar menguji kesabaranku.   Eliza seorang yang peramah, pandai berjenaka dan mudah mesra dengan sesiapa saja. Tidak hairanlah ramai pekerja-pekerja di syarikatku, terutamanya yang lelaki saling bersaing sesama sendiri demi mendapatkan perhatian daripada Eliza. Ya, memang aku cemburu bila melihat Eliza melayan mereka dengan mesra. Aku berhak rasa cemburu kerana Eliza adalah hak aku. Tidak ada lelaki lain yang berhak memiliki Eliza selain daripada aku. Eliza selama-lamanya adalah hak aku.

Hari ini adalah hari kemenangan. Sebentar lagi Eliza akan masuk ke dalam pejabatku. Dan hari ini, aku akan lafazkan rasa cinta aku kepadanya. Eliza tentu sekali akan gembira mendengarnya. Hari ini nyata sekali adalah hari bahagia kami berdua.

“Tok...tok...tok...” kedengaran pintu pejabatku diketuk.

“Ya, silakan masuk.” Aku memberikan kebenaran.

Eliza membuka pintu dan melangkah masuk. Hari ini dia memakai blaus dan skirt paras lutut berwarna merah jambu. Wah! Dia kelihatan sungguh cantik dan seksi.

 “Datok Zafry nak jumpa saya?” Eliza bersuara. Suara yang serak-serak manja.

“Lizz, dah berapa kali saya cakap dengan awak, jangan berdatok-datok dengan saya. Panggil saja Abang Zafry.” Aku memang tak suka dipanggil datok.

“Oh, okey. Sorry, lupa. Ada apa Abang Zafry nak jumpa saya?”

“Lizz, saya ada perkara yang sangat penting nak beritahu Lizz. Perkara yang melibatkan masa depan kita berdua.” Aku melangkah kaki merapati Eliza.

“Hah, iya? Perkara apa tu Abang Zafry?” Eliza tersenyum manja. Pura-pura tidak mengerti. Aku tahu dia sekarang sedang dilanda keterujaan yang amat sangat untuk mendengar aku melafazkan kalimat suci itu.

“Lizzku sayang, sebenarnya saya.....” Aku rasa jantungku seperti hendak meletup.

“Apa dia Abang Zafry, cakaplah.” Eliza masih lagi tersenyum manja.

“Sebenarnya saya...nak ramas punggung Lizz, boleh tak?”Akhirnya berjaya juga aku lafazkan kalimat suci itu.

“Hah! Apa dia?” Eliza seperti orang baru nampak hantu pocong.

“Saya cakap saya nak ramas punggung Lizz, boleh tak?”Kalimat suci aku lafazkan dengan lebih tegas.

“Hah! Apa? Kau nak ramas apa?” Eliza seperti orang baru lepas kena culik dengan UFO.

Aku perlu bertindak dengan segera. Tubuh Eliza aku peluk erat-erat. Kedua-dua belah tanganku mencekup kemas ke punggungnya. Dan punggung Eliza yang gebu pejal itu, aku ramas semahu-mahunya.

Dalam hati aku berdoa semoga Eliza turut sama meramas-ramas punggungku dengan riang gembira.

“Hoiii! Kau datok gila! Lepaskan aku! Lepaskan!” Eliza semakin teruja. Dia meronta-ronta dalam pelukan aku dengan penuh kegembiraan. Tapi dia belum mahu meramas punggungku. Mungkin dia belum yakin dengan kesungguhanku. Tak mengapa, aku akan buktikan kepada Eliza yang aku benar-benar cintakan dia. Punggung Eliza aku ramas dengan lebih bersemangat. Sesekali aku tampar-tampar punggungnya dengan kuat supaya dia lebih yakin bahawa cintaku terhadapnya begitu suci dan murni.  

“Celaka! Babi! Binatang! Sial kau! Malik! Zubir! Tolong saya! Datok gila nak rogol saya!” Eliza semakin kuat meronta-ronta sambil menjerit-jerit keseronokan. Tapi dia masih lagi belum mahu meramas punggungku. Aku mula rasa keliru. Kenapa dia masih lagi belum yakin dengan kesungguhan dan keikhlasan cinta aku terhadapnya? Aku perlu lakukan sesuatu yang berbeza kerana tanganku sudah mula merasa lenguh akibat meramas punggungnya tanpa henti.

Tiba-tiba kedengaran suara riuh-rendah di luar bilik.Kedua-dua orang pengawal peribadiku, Malik dan Zubir menerpa masuk ke dalam bilik dan terus menerkam ke arah kami berdua. Malik dan Zubir menarik tubuh aku dan memisahkan Eliza daripada pelukan aku. Bangsat! Memang biadap mereka berdua mencampuri urusan peribadi aku dan Eliza. Belum sempat aku berkata apa-apa, mulutku segera ditampal dengan pita pelekat. Mereka berdua segera menyarungkan baju ketat yang mengunci pergerakan tanganku.

“Nasib baik you berdua datang cepat. Kalau tak, tak tahulah apa lagi yang dia akan buat dekat saya.” Eliza kelihatan seperti hendak menangis. Aku tahu dia sedih kerana dipisahkan daripada aku. Tapi aku harap dia sabar. Rampasan kuasa sudah bermula. Malik dan Zubir memang manusia yang tidak mengenang budi. Mereka ingat mereka dengan senang dapat merampas syarikat ini daripada aku. Hah! Langkah mayat aku dulu.

“Kami minta maaf Elly. Sudah setahun lebih dia tak buat perangai. Kami ingatkan dia dah hampir sembuh. Nampaknya kami silap perhitungan.” Malik mula menabur fitnah.

“Kenapa dia jadi macam ni? Gila seks ke apa?” Eliza masih lagi bersedih melihat keadaanku.

“Dr Ramesh tak beritahu Elly?” Zubir pun hendak masuk daun.  

“Tak. Mungkin dia pun ingat si Datok ni dah nak sembuh.” Lizz sayangku, tabahkan hatimu.

“Sebenarnya dia ni dulu seorang ahli perniagaan. Pada permulaan, bisnes dia agak berjaya juga tapi entah di mana silapnya tiba-tiba saja bisnes dia merudum. Harta dia habis licin digunakan buat bayar hutang. Dia kemudian diisytiharkan muflis. Isteri dia minta cerai dan tinggalkan dia sehelai sepinggang. Akhirnya dia ditangkap polis di sebuah pasaraya di Bukit Bintang kerana meraba punggung perempuan.” Malik semakin galak menabur fitnah.

“Erm…menurut Dr. Ramesh, itu cara dia meluahkan perasaan cinta dia terhadap seseorang.” Si Zubir ni tak habis-habis nak masuk daun.

“Gila! Nak luah rasa cinta dengan ramas punggung orang?Isshhh...saya memang tak sesuai kerja kat sini.”

“Tak apalah Elly, biar kami uruskan dia. Nanti saya beritahu Dr Ramesh you tak payah lagi jaga dia.”

“Okey. Thanks sebab tolong saya tadi.”

Aku melihat sahaja Eliza berlalu pergi. Rancangan jahat Malik dan Zubir untuk memisahkan kami berdua nampaknya membuahkan hasil. Aku mungkin tak akan bertemu lagi dengan Eliza. Dasar pengkhianat!

“Hai Datok Zafry, segila-gila engkau, engkau juga yang beruntung. Dapat juga kau ramas-ramas punggung dia yang lentik pejal tu. Kita orang ni setakat tengok ajalah. Ya tak, Zubir?”

“Ha’ah.”

Cis! Kalian berdua memang pengkhianat! Pengkhianat! 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY