Home Novel Cinta Kita Terpaksa Bermusuhan
Kita Terpaksa Bermusuhan
Maryani Zailani
11/11/2022 11:01:07
24,708
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Beberapa minggu lalu...


Kira-kira jam 8:20 pagi, mereka sudah bersiap-siap untuk keluar rumah setelah memastikan pintu dan tingkap dalam keadaan berkunci. Sebelum memasuki kenderaan masing-masing kerana arah tempat kerja yang berlainan, sempat lagi Mawar melilitkan skaft di leher suaminya sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan badan suaminya sejenis yang tidak boleh berada dalam keadaan terlalu sejuk kerana mudah sekali dimasuki angin.


“Awak tu… bukan boleh kena sejuk sangat,” kata Mawar, terjengket-jengket kerana suaminya lebih tinggi daripadanya.


Melihat hal itu, Zaqwan merendahkan sedikit badannya untuk memudahkan tindakan Mawar. Lama-lama dia menatap wajah isterinya, memang dia akan merindui wanita itu sepanjang berjauhan selama berpergian ke suatu tempat untuk melukis di luar studio. 


Segar di ingatan, ketika arwah ibu masih hidup, Zaqwan melihat arwah ibunya sering melilitkan skaft cotton di leher arwah ayahnya. 


“Amboi, romantiknya!” Tegur jiran mereka, Ramlah kebetulan keluar untuk menyiram pokok bunganya, tersenyum-senyum menyaksikan perlakuan romantik mereka semasa menghidupkan getah paip.


Tersipu-sipu malu mereka ditegur sedemikian, tidak tersangka hari ini akan tertangkap juga perlakuan mereka. 


“Bestnya… kalaulah suami saya pun begitu,” kata jirannya lagi, mengandungi sedikit nada kecewa.


Acapkali, tiba sahaja waktu berangkat kerja pada waktu pagi, dia melihat mereka bermesraan begitu. Cemburu rasanya, ingin juga sesekali diperlakukan begitu. Perlakuan mereka begitu mirip dengan Zainuddin dan Manisah semasa hayat hidup mereka.


“Alah, biasa-biasa sahajalah kak! Tiap orang mempunyai cara tersendiri untuk bermesra,” balas Zaqwan sambil tersenyum nakal ke arah isterinya, spontan Mawar mengacah-acah mahu mencubitnya. Malu rasanya di depan jirannya dengan gurauan suaminya sendiri. 


"Yalah. Merana orang single melihat kelakuan kamu ni!" Usik Ramlah.


Zaqwan mengemaskan untaian rambut pada dahi Mawar. Dia merenung tepat ke dalam bola mata isterinya.


"Mawar..." panggilnya akan nama isterinya.


"Ya?" Soal Mawar.


Zaqwan mendekatkan bibirnya ke telinga sang isteri. Mawar hairan melihat tingkahnya.


 "Mawar merah itu kan…ertinya cinta! I love you," bisik Zaqwan secara tiba-tiba.


Tersipu-sipu malu Mawar jadinya.


"Aduh, nak romantik di sini pula!" Celah Ramlah, ketawa kecil.


"Okeylah kak Ram... kami gerak pergi kerja dulu!" Kata Zaqwan sambil mengenyit mata memberi isyarat kepada Mawar agar mereka segera berangkat.


Mereka berdua masuk ke dalam kenderaan masing-masing. Semasa Zaqwan membuka pintu kereta, dia terhenti sejenak melihat sang isteri masuk ke dalam perut kereta. Melihat sang suami seakan termenung, Mawar membunyikan hon beberapa kali.


"Awak pergilah dulu," kata Zaqwan dan Mawar mengangguk.


Zaqwan memerhati sahaja kenderaan Mawar meninggalkan perkarangan rumah mereka. Semakin lama, semakin menghilang dari pandangan. Dia mengeluh, ada perkara yang dikesalkan namun tidak mampu terluah.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.