Home Novel Cinta Kita Terpaksa Bermusuhan
Kita Terpaksa Bermusuhan
Maryani Zailani
11/11/2022 11:01:07
24,644
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

Pemanduan Zaqwan sepatutnya menuju ke kedai menjual barang-barang antik miliknya. Namun, dia melencongkan pemanduan menuju ke rumah pak cik saudaranya yang terletak di kawasan perbukitan jauh dari kediamannya.

Zaqwan tidak membuang masa. Dia terus keluar dari perut kenderaan. Tanpa mengetuk pintu utama, dia terus membuka lalu melangkah masuk ke dalamnya.

Tepat-tepat sahaja ketibaannya, dia melihat pembantu rumah sedang menghidangkan juadah sarapan. Pembantu rumah wanita separuh abad menuangkan teh panas ke dalam dua biji cawan seramik. Aroma nasi lemak membuatkan Zaqwan tiba-tiba lapar sedangkan dia sudah bersarapan bersama Mawar di rumah.

Tidak semena-mena, Zaqwan terhidu bauan cerut. Isyarat bahawa tuan rumah sedang berada berhampiran.

“Mari sarapan,” ajak pak ciknya yang muncul entah dari mana.

Mansur duduk dan kelihatan tidak sabar-sabar untuk bersarapan.

“Uncle macam tahu saya akan datang,” komen Zaqwan, kekal di tempat dia berdiri.

Matanya melihat dua pinggan sudah berisi nasi lemak. Pembantu rumah itu tadi yang menyendukannya.

“Darah daging sendiri… tentu, aku tahu bila engkau akan datang,” balasnya sebelum memulakan suapan pertama.

Zaqwan yang masih kaku dijeling, “Aku juga tahu kau datang buat untuk sarapan.”


*****************


SETELAH mereka berdua selesai menikmati sarapan pagi, mereka beransur menuju ke ruang tamu. Zaqwan memerhati sahaja tingkah laku pak cik saudaranya yang sedang mengelap membersihkan arca burung helang.

Suatu masa lalu, kata Mansur, haiwan helang itu merupakan lambang kepada penguasaan di rimba dan dia sebagai pemiliknya, mengibaratkan perkara itu sebagai penguasaan kepada apa-apa jua perkara di dalam hidupnya.

“Katakan… apa tujuan kau ke mari?” 

Zaqwan menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan. Ada kerisauan bersarang di hati jika perkara ini diluahkan.

“Uncle… saya tak sanggup nak cederakan dia,” luahnya.

Tidak semena-mena, Mansur berhenti mengelap patung helang. Dia memandang tajam tidak berkelip ke arah Zaqwan. 

“Habis tu… kau lebih sanggup biarkan kematian bapa kau sia-sia? Fikir balik siapa yang bunuh ibu bapa kau kalau tak mak bapak perempuan tu!”

“Tapi, itukan salah ibu bapanya,” bantahnya dengan suara perlahan.

“Zaqwan… aku tak ajar kau menjadi orang dungu! Mencederakan anaknya sama seperti mencederakan ibu bapanya. Ibu bapa mana yang tak menderita kalau anaknya sengsara? Fikirkan itu!”

Zaqwan terdiam. Kematian bapanya menurut kata-kata Mansur adalah disebabkan sikap tamak mereka memonopoli hasil-hasil lukisan milik bapanya. Siapa tidak kenal akan Ismail Mahmud? Bidaan lukisannya selalu mencecah ribuan ringgit malahan hingga jutaan ringgit! 

Akibat bapanya tidak setuju dengan perjanjian bersama galeri milik ibu bapa Mawar maka, berlaku pertengkaran hebat. Siapa sangka pertengkaran berakhir dengan tragedi berdarah. Sudahlah begitu, lukisan-lukisan milik Ismail Mahmud yang terpamer di galeri itu menjadi milik mutlak galeri itu akibat perjanjian berat sebelah.

“Jangan lupa ibu kau yang dah menderita bertahun-tahun tu. Dia sangka suaminya masih hidup tapi sebaliknya yang berlaku. Hari-hari dia tunggu ayah kau pulang. Tapi, apa yang pulang? Hanya kesengsaraan seorang pencinta yang setia!”

Kata-kata Mansur berjaya membuatkan dendam Zaqwan bernyala-nyala kembali. Dia menjadi begitu benci dengan Mawar dan juga ibu bapa mentuanya.

“Jadi, kau masih nak bersimpati lagi? Jangan kata kau dah jatuh cinta kepada orang yang sepatutnya kau hapuskan?”

“Tidak! Saya tak jatuh cinta kepadanya!” Bantah Zaqwan bersungguh-sungguh.

“Bagus… bagus!” Puji Mansur sambil mengelap kembali patung helang tadi. 


Previous: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.