Home Novel Cinta Cinta Ajaran Sesat
Cinta Ajaran Sesat
awa
13/10/2022 20:47:32
2,982
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

SUNGGUH, Jihan rasa terhutang budi dengan Najmi. Bahkan, Najmi berjaya dengan cemerlang menyerlah sisi matang yang dibangga-banggakan sebentar tadi. Kerana sifat tersebutlah, masalah Jihan dapat diselesaikan dengan cara paling berhemah. Tanpa tercetusnya pertumpahan darah mahupun perang mulut.


Sesekali, lirikan kumpulan lelaki tersebut singgah pada Jihan sehingga mengundang rasa kurang selesanya selaku pemerhati dari jauh. Malah, dia tidak dibenarkan sama sekali mengauli mereka kerana itu urusan kaum Adam. Itu yang ditekankan Ustaz Zarif. Malas mahu panjangkan perbalahan, dia hanya menurut. Dia akan mencari Najmi setelah mereka menemukan kata putus.


Tidak jauh dari mereka, Jihan nampak trak tunda sedang menunda kereta mereka yang hampir-hampir tergelincir masuk ke dalam parit. Mujur tayar kereta tersekat dalam lumpur. Takut ada yang sedang buat aksi kuak lentang di dalam parit nanti dengan keadaan lengkap berjubah.


Hampir dua puluh minit menunggu, barulah Jihan nampak tanda-tanda mereka akan bersurai. Dari jauh, Najmi menghampiri Jihan yang sedang bersandar pada kereta. Hampir-hampir Jihan turut serta jika perbincangan mereka masih berlarutan. Dan Jihan akan mengusulkan  ke balai polis buat laporan saja. Selesai masalah.


“Macam mana?” Jihan tidak menunggu lama untuk bertanya. Mata tak berhenti-henti melirik mereka.


“Saya akan bayar ganti rugi.”


Berkerut dahi Jihan. Walaupun dah bertahun-tahun lamanya dia mengambil lesen memandu, jangan ingat dia dah lupa undang-undang jalan raya. Tak ada istilah pilih kasih disebabkan ini jalan kampung. Asalkan adanya jalan raya, undang-undang masih valid. Tanpa mengira jalan kampung atau bandar.


“Kenapa awak nak kena ganti? Dia yang salah.” Tak kisahlah siapa pemandunya, Jihan tetap rasa mereka berempat yang salah.


“Kita jalan lurus. Dia yang keluar simpang. Terang-terang dia salah.” Jihan belum lupa kejadian tadi. Cumanya, fokus dia sedikit terganggu. Tak banyak.


Najmi mengurut tengkuk. Dia jelas nampak tersepit. Ekor mata dia menjeling mereka yang sedang menunggu trak tunda menyelesaikan kerja. 


“Ustaz dah setuju nak baiki kereta dekat bengkel kawan saya. Anggap saja saya yang salah. Kalau saya tak ajak awak keluar, perkara ni tak akan jadi.” Terang Najmi.


Hampir jatuh rahang Jihan. Dia tidak percaya semudah ini Najmi mengalah. Mahu beratus duit habis nak baiki pintu kereta yang kemek itu. Sekarang, dia rasa keputusan hasil daripada perbincangan mereka sangat tidak bernas. Tiada konsep win-win situation. Berat sebelah!


“Saya tak setuju.” Jihan tetap rasa tak adil bagi pihak Najmi.


“Awak tunggu sini, biar saya jumpa dia.” Kata Jihan setelah itu.


“Jee…” Tak sempat Najmi menahan, Jihan sudah pun buka langkah.


Kali ini, biar Jihan yang membuat rundingan. Najmi itu kalau sandang jawatan ketua kampung sekali pun, belum tentu duitnya cukup nak baiki kereta Ustaz Zarif. Berapa sen sangat gaji ketua kampung? Takkan nak harapkan emak Najmi yang cumanya kerja di warung? Mengarut!


Semakin panas hati Jihan memikirkannya.


“Ustaz!”


Panggilan Jihan mengamit empat orang yang berserban menoleh. Satu persatu wajah mereka Jihan pandang. Dan pandangan dia berakhir pada lelaki yang berdiri dibahagian pemandu kereta. Lelaki itulah menjadi punca tercetusnya kemalangan.


“Saya tak setuju Jemi yang bayar ganti rugi.” Jihan berterus terang. 


“Ayah masuk dulu, biar saya berurusan dengan dia.”


Ekot mata, Jihan mengerling lelaki paling tua di antara mereka yang duduk di bahagian belakang. Sempat pandangan Jihan dengan lelaki yang dipanggil ayah bertaut sebelum ada bayang yang menghalang Jihan terus merenung ayah mereka. Siapa lagi kalau lelaki yang memberi arahan.


“Yang lain pun masuk. Biarkan saya dengan  dia.” Arahan kedua dia menyusul.


Jihan rasa tak sedap hati. Dia cuma nak bercakap dengan orang yang bernama Ustaz Zarif. Tapi dia tidak tahu mana satu orangnya di antara mereka bertiga merupakan pemilik nama tersebut.


“Tunggu situ. Ini antara saya dengan dia.” Arahan ketiga dituju kepada Najmi yang berada tidak jauh dari sini. Barulah pandangan lelaki itu terhala pada Jihan.


“Saya nak bercakap dengan Ustaz Zarif. Mana dia?” Jihan panjangkan leher ke dalam kereta. Tak kisah dengan renungan lelaki yang ada di depannya.


“Apa kesalahan saya?” Soal dia.


Oh! Jadi yang dari tadi bercakap dengan Jihan, Ustaz Zarif lah?


“Ustaz tolong gali semula ilmu undang-undang jalan raya. Saya rasa ustaz yang salah.”


Tiada respon daripada Zarif. Jadi, Jihan tebak Zarif sedar dirinya salah. Mungkin Najmi itu masih budak, bolehlah dia ayam-ayamkan. Tapi bukan dengan Jihan.


“Masalah terjadi disebabkan ustaz. Jadi, ustaz jangan nak lari pula.” Silap besar kalau Zarif cuba nak tutup kes dengan cara berat sebelah, kemudiannya melarikan diri.


“Saya tak lari dari masalah. Tapi masalah yang takut dengan saya.” Bela Zarif dengan cukup bersahaja.


Bertaut sepasang kening Jihan. Dia kurang jelas dengan maksud Zarif.


“Saya belum sempat cakap apa-apa, dia yang tawar diri nak bayar ganti rugi.” Hujung ayat, Zarif melirik pada Najmi yang melarikan sepasang mata sebelum matanya mencari Jihan semula.


Perlahan-lahan muka menyinga Jihan beransur pergi. Jihan jadi bingung. Apa Najmi takutkan sangat? Sepanjang perkhimatan Jihan sebagai juri debat tidak berbayar sebentar tadi, dia tak nampak pula tercetusnya ketegangan di antara mereka semua. Perbincangan mereka sangat tenang. Malah, lelaki berpangkat ayah sempat menepuk bahu Najmi bersama segaris senyuman.


“Kalau cik rasa saya salah, saya akan bayar ganti rugi.”


Kata-kata Zarif membuatkan Jihan kelip-kelip. Dia hilang susunan ayat saat menerima sorotan Zarif. Sorotan yang belum pernah gagal melemaskan dia. Dia hampir putus nafas.


“Saya perlukan jawapan dalam seminit. Ayah saya ada urusan penting yang nak dikejarkan.”


Suara Zarif berbunyi lagi. Mengetuk-ngetuk jantung Jihan supaya bekerja lebih daripada biasa. Dan akal dia gagal lagi menyusun kata.


“Zarif!”


Hanya Jihan menoleh. Lelaki yang duduk di belakang pemandu telah menurunkan cermin sepenuhnya.


“Ada apa Zarif?”


Rasa menyesal mula bertandang. Jihan tak patut terjebak dalam perbincangan mereka. Dirinya sedang menjadi tumpuan. Sorotan mereka sedikit sebanyak membuatkan dia merinding.


“Kita dah lambat untuk ceramah.” Kata ayah.


“Jemi tak perlu ganti apa-apa. Saya akan baiki sendiri kereta saya. Jadi, tak perlu cik risau lagi.” Putus Zarif. Dia tak boleh lama-lama.


Tanpa menunggu jawapan balas Jihan, Zarif terlebih dahulu pusingkan badan. Sedia menggalas tugas sebagai pemandu semula.


“Zarif.”


Baru tangan Zarif menyentuh pemegang pintu, ada yang menggamit dia.


“Ya, ayah.” Sahut dia segera.


“Baiki sekali kereta cik ni. Lampu kereta dia pun pecah.”


Jihan pusingkan badan. Lama dia merenung kereta Nissan Almera milik syarikat. Baru sedar matanya terluka sebelah. Macam mana dia boleh tak perasan kelukaan tersebut? 


“Baik ayah.”


Suara patuh Zarif itu menggamit Jihan. Zarif nampak seperti seorang anak yang sangat sayangkan ayahnya. Apa kemahuan ayah, dia turuti tanpa membantah. Bahasa Zarif juga sedap didengari. Senang cakap, suara garau Zarif itu mempunyai aura yang boleh buat dia hilang fokus.


Kini, Jihan berdepan dengan Zarif buat kali keduanya. Seraut wajah ayah hilang disebalik cermin yang sudah dinaikkan.


“Esok saya akan datang tukarkan lampu kereta cik.”


Baguslah kalau begitu. Zarif sedang memudahkan urusan mereka. Kalau begini sejak dari awal, kan senang.


“Assalamualaikum.”


Tak sempat Jihan nak beritahu di mana mereka perlu jumpa, kereta dipandu Zarif sudah membelah jalan. Membiarkan dirinya di sapa asap putih yang berkepul keluar dari exhaust kereta.


Macam tu saja? 


“Awak tak patut panjangkan masalah.” Suara dari belakang menegur.


Jihan menoleh bila ada bayang hitam di sisinya. Tak tahu mengapa dia dianggap pencetus masalah. Zarif juga mengatakan hal yang sama dengan Najmi.


“Saya nak selesaikan masalah. Bukan nak timbulkan atau panjangkan masalah. Tengok…Masalah pun selesai.” Begitu bangga sekali Jihan. Jangan ingat orang perempuan tidak pandai selesaikan masalah.


Terdengar Najmi menghela nafas panjang.


“Awak tak kenal siapa mereka.”


Jihan mengeluh perlahan. 


“Apa kata awak kenalkan siapa mereka.” Jihan berpeluk tubuh. Dia sedia mendengar. Sejak dari semalam, kerajaan langit yang asyik meniti di bibir Najmi.


“Mana kerajaan langit tu? Saya pun nak tengok tinggi mana kerajaan langit yang awak sebut-sebutkan. Boleh saya fikirkan cara nak ke sana. Mungkin kalau setinggi gunung, saya akan hiking. Kalau setinggi langit, saya akan booking flight awal-awal. Tapi kalau ke syurga, maaf. Saya tak mampu. Dan tak layak.” Senafas Jihan berhujah.


Bukannya penjelasan yang Jihan terima, sebaliknya ketawa Najmi terhambur.


“Awak tahu tak Jee…Awak bukan setakat manis orangnya, tapi awak lucu juga. Bertuah siapa yang berjaya miliki awak.”


Jihan segera angkat kaki. Malas mahu melayan Najmi. Dia takut dengan pujian Najmi. Takut dia akan bertindak di luar kewarasan dengan mencabut sandalnya, lalu dilempar ke muka Najmi. Biar sedar diri sikit.


“Jee…” Najmi berlari-lari anak mengekori Jihan.


Sengaja Jihan pekakkan telinga.


“Marah-marah pun, awak masih nampak cantik Jee…Saya tak bohong!” Kata Najmi setelah berjaya menyaingi langkah Jihan.


Jihan berhenti mendadak. Lama dia pandang Najmi. Ayat Najmi sama dengan ayat seseorang yang pernah menghuni hati Jihan satu ketika dahulu.














Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.