Home Novel Cinta Cinta Ajaran Sesat
Cinta Ajaran Sesat
awa
13/10/2022 20:47:32
2,981
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

MATA Jihan terasa memberat. Dia hampir terlelap kalau tidak bangun. Semuanya kerana semalaman dia gagal lelapkan mata. Mungkin keadaan sekeliling terasa asing membuatkan mata dia jadi segar. Tak setakat itu, dia juga berjaga-jaga. Takut duduk sendirian di rumah yang boleh tahan besarnya untuk dia seorang diri.


Sejujurnya, Jihan suka suasana rumah sewanya. Nampak tenang dan aman saja. Encik Malik layak menerima pujian Jihan kerana sangat memahami citarasanya. Paling penting, rumah diduduki Jihan tidak terlalu rapat dengan rumah lain seperti rumah sewanya sebelum ini. Pantang lesung batu berbunyi kuat sedikit, mulalah group-group Whatsapp taman perumahan kembali aktif setelah sekian lama menyepi.  


Cumanya, yang masih belum tenang itu Jihan. Dah siang barulah rasa mengantuk dia bertandang. Sepatutnya, dia sudah mula bekerja. Lagi cepat, lagi bagus. Lagi cepat dia tinggalkan Kampung Batu 13. Tetapi mata dia enggan memberi kerjasama.

Tak boleh jadi!


Jihan angkat tubuh dari perbaringan. Dia mahu keluar mencari sarapan memandangkan peti ais cuma terisi dengan air kosong. Nanti boleh dia singgah mana-mana kedai runcit mencari barang dapur. Dalam waktu yang sama, dapat dia berkenalan dengan orang-orang di sini sebelum dia teruskan perancangan yang seterusnya.


Jihan perlahankan langkah. Dia rasa lantai rumah hampir runtuh. Mana tidaknya, rumah Haji Isnin lebih kurang sama dengan kebanyakkan rumah di sini. Bahagian dapurnya diperbuat sepenuhnya daripada batu. Perlu mendaki tangga kayu untuk ke ruangan tamu yang seratus peratusnya berasaskan kayu. Termasuk lantai rumah.


Terbit senyuman sinis Jihan.


Sebab itu Jihan katakan Encik Malik layak menerima pujian kerana pandai menjimatkan duit syarikat. Encik Malik akan buat pilihan apa yang paling dia tak suka tanpa sebarang perbincangan. Dan ada orang kuat yang menyokong tindakan Encik Malik. Siapa lagi kalau bukan Melisa!


Sekarang dia rasa nak tukar pujian kepada makian saja. 


Dengan mulut terkumat-kamit, Jihan mengunci pintu. Selesai saja, dia menoleh kiri dan kanan. Cuba mengingat kembali jalan ke sini. Seingat dia, ada sebuah warung sebelum sampai ke rumah sewanya. Dan kalau tak silap pengiraan, lima minit berjalan kaki sudah sampai.


Seminit berfikir, Jihan putuskan untuk berjalan kaki. Leceh nak bawa kereta dengan jalan yang hanya muat-muat sebuah kereta. Semalam dia hampir terbabas ke dalam parit gara-gara mengelak lori. Hampir saja dia menyumpah seranah kalau tak disabarkan hatinya yang panas.


Tanpa berlengah, Jihan mengatur langkah mengikut gerak hati. Gerak hati Jihan menggamit masalah yang paling kerap dia alami. Masalah pelupa. Namun dia tidak menjangkakan seteruk ini lupanya. Dan disebabkan penyakit yang satu ini, perancangan dia nak membeli sarapan bertukar kepada aktiviti bersenam!


Dia tersalah memilih jalan. Sepatutnya dia ambil jalan kiri untuk ke warung yang terletak seratus meter dari rumah. Disebabkan gerak hatinya terlalu meraja, dia ke kanan. Sampai dah basah ketiaknya pun, dia gagal menemukan warung tersebut. Mulalah dia mengerah kembali ingatan setelah ragu-ragu dengan gerak hatinya.


Mujur Jihan terserempak dengan makcik yang kebetulan mahu ke kebun. Kalau tak jumpa makcik tu, Jihan jalanlah sampai hujung kampung sekali pun tak akan jumpa. Mana tidaknya, berdasarkan hasil temuramah pendek Jihan dengan makcik tadi, kampung ini hanya ada satu warung saja yang menjual sarapan pagi. Warung yang Jihan nampak ketika memasuki kawasan perkampungan semalam.


Maka, dengan separuh rela Jihan mengatur langkah kembali bersama perut yang mula mengalun lagu kelaparan.


Lima minit berlarutan sehingga setengah jam, barulah Jihan sampai ke warung dia cari-cari sejak dari tadi. Basah juga bajunya. Mujur wajahnya yang basah dek peluh sudah dikeringkan dengan lengan baju sebelum sampai tadi.


Nasib dia juga baik kerana tiada sesiapa di situ. Jihan belum bersedia nak berada dalam kelompok orang-orang kampung. Takut nanti diasak dengan bermacam soalan. Dia lebih takut untuk menjawab soalan-soalan mereka nanti. Bila dah jadi penakut, penyakit gagap dia dengan mudah munculkan diri. 


“Nak bungkus?” Sapa seorang wanita pertengahan umur ketika Jihan sampai.


Jihan angkat muka sebentar bersama senyuman segaris. Dia tunduk semula merenung satu persatu tray makanan yang terhidang.


“Nasi lemak ada?” Tanya Jihan setelah gagal menemui menu berasaskan nasi.


“Ada, baru masak.” Ramah dia menjawab.


“Bungkuskan saya nasi lemak telur satu, mee goreng telur satu.” Jihan tapau untuk makan tengahari sekali kalau-kalau dia tak jumpa kedai runcit.


“Air?”


“Teh o panas.”


Sekelip mata makcik tadi menghilang, tinggal Jihan sendiri. Jihan berpusing-pusing melihat sekeliling sementara menunggu. Pandangan dia terhenti pada kumpulan lelaki berjubah putih dan lengkap berserban. Mereka semua sedang menuju ke sini.


Cepat Jihan melarikan matanya. Dia mencari makcik tadi. Kalau boleh, dia nak cepat. Tak nak menunggu terlalu lama. Sayangnya, bunyi desiran meranapkan harapan dia. Telur sedang digoreng.  


“Makcik!” Laung Jihan. Sesekali dia melirik kumpulan tersebut yang kian menghampiri.


“Makcik…Saya cancel lah telur tu. Ganti dengan ayam.” Jihan kuatkan suaranya sedikit.


Terbabas senyuman Jihan yang dipersiapkan untuk makcik tadi. Bukan makcik yang ambil order dia yang muncul. Sebaliknya Najmi!


“Cik?!”


“Saya cari makcik tadi.” Jihan tak nak hiraukan muka teruja Najmi.


“Tadi mak saya.”


Tak berkedip Jihan pandang Najmi. Maknanya, ini warung emak Najmi? Jika begitu, urusan dia sedang dipermudahkan.


“Saya tak jadi nak telur goreng. Saya nak ayam goreng. Tolong pesan pada mak awak tak perlu susah payah.”


“Mak!”


Jihan tarik nafas lega bila Najmi menurut tanpa banyak soal. Dia berterima kasih di atas kerjasama Najmi.


“Jemi tolong mak pergi kedai. Telur ayam tinggal satu je.” Tubuh Najmi ditolak wanita tadi. 


“Boleh tunggu sekejap?” Soalan diajukan pada Jihan pula.


Jihan pandang Najmi. Sengaja dia kerut-kerutkan dahi licinnya. Najmi tak sampaikan pesanannya.


“Mak…Ni lah orang yang Jemi cakap semalam tu. Yang sewa rumah Haji Isnin.”


Jihan nampak, bukaan mata emak Najmi bukan main besar. Senyuman tipisnya bertambah-tambah lebar. Jihan juga nampak betapa kalutnya emak Najmi mengelap tangan dengan apron, lalu dihulurkan untuk bersalaman dengannya.


“Semalam Najmi cakap ada orang baru pindah sini. Cantik orangnya. Manis. Sedap mata memandang.”


Baru selesai menyantuni emak Najmi, Jihan sudah digula-gulakan. Cepat Jihan mencari Najmi semula. Anak muda itu hanya menunjuk deretan giginya yang putih. Belakang teguknya digosok.


“Rupanya Najmi tak bohong.”


Najmi terlalu memuji Jihan, sampai Jihan rasa tersepit. Bibit-bibit tidak selesa semakin menjadi-jadi apabila renungan emak Najmi seperti mahu melamar Jihan sekarang juga untuk Najmi.


“Puas makcik tanya nama, tapi Jemi cakap tak tahu. Makcik syak Jemi kena sampuk bunian lepas bersihkan rumah Haji Isnin.”


Besar bukaan mata Jihan. Rumah Haji Isnin ada hantu?


“Mak dah takutkan dia.” Najmi mencelah. Dia perasan perubahan pada wajah Jihan.


“Cik…”


“Jihan.” Sakit telinga Jihan dengar mereka memanggil dia ‘cik’. Dia bukan orang ada pangkat. Jauh sekali orang kenamaan.


“Jihan dengan Jemi. Sesuai kan mak?”


Masya-Allah! Najmi dah merepek. Jihan sememang sudah dapat menduga Najmi akan jadi begini. Cara pandangan Najmi itu terlalu jelas. Sampai Jihan rasa nak butakan mata Najmi sebelum melarat. Jihan ke sini untuk kerja, bukannya mencari jodoh.


“Jee…” Jihan nak bersuara, namun ada yang pangkah.


“Duduk sini. Tak payah bungkus.”


Berantakkan semua rancangan Jihan. Elok nak bungkus, dia disuruh makan pula di sini.


“Jemi temankan Jihan makan. Hari ni makcik belanja Jihan makan.”  


Sudah!


Lengan Jihan ditarik. Dia nampak emak Najmi dah menyapu kerusi dengan tuala kecil. Ditepuk perlahan kerusi tersebut supaya Jihan duduk. Bukan ini yang Jihan mahukan. Dia hanya mahu bungkus dan makan di rumah.


“Makcik Ayu!”


Ketiga-tiganya menoleh serentak. Termasuk Jihan. Sorotan Jihan bertaut dengan lelaki yang di tengah-tengah. Yang paling muda dalam kalangan mereka. Yang celaknya cukup tebal walaupun dari jauh.


“Kami pun lapar juga. Dari tadi tunggu makanan jatuh dari langit.” Suara itu berbunyi lagi. Lebih tepat, sedang menahan marah.


“Ya…Ya…Tunggu makcik datang ambil order.” Kelam kabut Makcik Ayu menyahut. Sempat dia menarik Najmi.


“Jemi duduk, temankan Jihan.”


Tergeleng perlahan kepala Jihan. Tak sempat nak menahan, Makcik Ayu ke meja sebelah untuk capai pen dan tuala basah lalu menghampiri kumpulan yang Jihan nak mengelak sebentar tadi.


“Mak saya hati tisu, mudah terasa orangnya.”


Itu masalah Najmi. Pandai-pandailah Najmi uruskan emaknya sendiri.


“Kalau awak tak duduk makan sini, mak saya akan terasa. Nanti dia kemurungan. Niat nak tutup kedai sementara merawat kemurungan akan bertukar untuk selama-lamanya. Mak saya akan hilang punca pendapatan. Saya kenal mak saya.”


Sikap memberontak Jihan lari pintang-pukang. Dia patuh tanpa berbunyi. Hal tersebut mengundang senyuman Najmi. Dia memaksa diri untuk senyum biarpun kekok. Kemudiannya, Makcik Ayu dicari.


Ketika itulah, renungan Jihan bertembung lagi dengan lelaki itu. Jihan sedang ditelanjangkan oleh sepasang mata lelaki itu sehingga terbit rasa kurang selesanya.


“Jangan pernah bersembang dengan dia orang.” Najmi tiba-tiba bertukar serius.


Jika diberi kesempatan untuk bersembang, Jihan akan menolak bersembang dengan mereka. Mereka semua mempunyai aura gelap. Terutamanya lelaki yang kerap merenung dia.


“Mereka orang kerajaan langit.”


Sepasang mata Jihan mencari Najmi. Kerajaan dari negara mana yang Najmi maksudkan? Wujud ke kerajaan sebegitu? Ini kali kedua Jihan menyebut kerajaan langit.


Kemudiannya Jihan melihat kelompok itu semula.


Sekarang, mata helang lelaki itu mengajak Jihan berbicara melalui renungan. Dirinya sedang dicabuli oleh lelaki itu. Atas dan bawah lelaki itu memandang Jihan. Pandangan yang sama maksudnya mengajak Jihan ke kamar tidur sekarang juga!


 
















Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.