Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 43

BAB 43

SUDAH beberapa minggu berlalu dengan pantas dan selama itu juga aku langsung tak berhadapan dengan Rayyan. Tapi tanggungjawab aku sebagai seorang isteri aku jalankan mana yang aku mampu. Setakat aku masakan untuk dia, sedia pakaian dan tempat tidur dia aku kemas. Tu sajalah. Nak bercakap dengan dia aku tak mampu. Bila tengok muka dia aku rasa meluat. Baik aku mengelat dari bercakap benda yang boleh mendapatkan dosa. Dia pun macam nak mengelat dari aku.

Beberapa keping gambar yang telah berjaya aku ambil sebagai bukti dibelek beberapa kali. Gambar-gambar ni Adam yang tolong cucikan dekat kedai gambar. Gambar-gambar ini jugalah akan aku berikan kepada baba dengan bonda di pejabat nanti. Tunggu kepulangan mereka. Sejak dua menjak ni, selepas peristiwa hitam aku dan Rayyan itu, aku selalu tak sedap hati. Aku takut yang aku mengandung. Tapi... tak. Tak boleh. Aku tak boleh fikir macam tu.

Lama aku tenung dekat tarikh kali terakhir aku period. Aku akan pastikan dalam bulan ni aku datang period. Sekarang ni aku nak settlekan masalah aku. Dalam minggu ni juga aku kena pastikan semua ni beres dan aku akan terbang ke Jepun bersama along dan Adam. Angah dan Emma akan menyusul kemudian.

Dzzt.... Dzzt....

Laju aku melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbit. Adam Harith.

Hello, Adam,” sapa aku.

Hello, Rai. Buat apa tu? Sibuk ke? Adam baru habis kerja dekat kafe ni. Nak tak keluar sama-sama?”

Secara automatik aku tersenyum kecil. Sempat lagi mata aku mengerling ke arah jam yang tergantung di dinding bilik aku. Baru pukul 3 petang. Bosan dan lapar! Tapi tak ada teman macam sunyi sangat pula. Kalau Adam dah ajak keluar, seronok sikit.

“Okey. Boleh. Rai tak busy mana pun. Adam ambil Rai, ya?”

Adam mengiyakan kemudian serentak kami mematikan talian. Sepantas kilat aku bersiap ala kadar. Tak payah nak beria-ria sangat macam nak keluar dating. Asalkan dapat keluar makan dan hirup udara segar. Dapatlah kurangkan bebanan dekat dalam kepala otak aku ni.

*****

 
THANK you, Adam. Sudi bawak Rai jalan-jalan petang ni. Rasa seronok sangat!” ucap aku sambil mendepakan kedua-dua belah tangan ke udara.

Adam tersenyum seraya menganggukkan kepalanya. Tangan disilang ke dada. Dia memerhatikan saja telatah aku yang serupa orang baru terlepas dari pusat pemulihan mental aje.

“Kalau Rai happy, Adam dua kali ganda happy tengok Rai macam ni. Adam tahu yang Rai masih sedih dengan apa yang terjadi. Tapi Rai nak tahu tak?”

Aku berkerut sambil tangan dibawa silang ke dada. Jalan beriringan dengannya.

“Rai adalah gadis yang paling kuat dan tabah yang pernah Adam jumpa sepanjang Adam hidup selama ini. Dari dulu lagi Adam kenal Rai, Rai tak pernah berputus asa walaupun sebenarnya hampir saja Rai nak berputus asa tapi Rai tetap bangkit walaupun penuh dengan keperitan dan kesakitan yang Rai alami....”

Aku terdiam. Sungguh kata-kata Adam menyentuh tangkai hati aku. Kenapalah sekarang ni bukan aku bersama dia. Kenapa aku boleh bodoh, terlalu mudah percayakan Rayyan, sampaikan aku boleh terima perkahwinan ni bulat-bulat. Kalau tak, kemungkinan besar, aku boleh terima Adam semula dalam hidup aku. Lama kami bercinta dan terputus di tengah jalan kerana buatan orang yang busuk hati.

“Adam cuma beritahu, Rai. Waktu Serena tinggalkan Adam macam tu aje lepas rancangan dia tu berjaya. Adam jatuh seorang diri, teruk. Adam rindukan Rai. Hari-hari Adam fikir cara untuk dapatkan Rai semula. Adam tak nak kehilangan, Rai. Sumpah, Adam menyesal sangat-sangat. Adam bodoh cepat mempercayakan perempuan tak guna tu dari Rai sendiri.”

Aku terkejut melihat setitis demi setitis air mata Adam jatuh ke pipinya. Aku membungkam. Sungguh aku tak sangka Adam akan meluahkan perasaan yang selama ini dia pendam. Jahat sangatkah aku langsung tak berikan dia peluang? Tapi aku memang dah anggap dia sebagai kawan baik aku. Sama seperti Emma.

“Adam, jangan menangis. Rai tak boleh tengok Adam menangis macam ni. Ada sebab semua ni berlaku. Ada hikmahnya. Dulu hubungan kita tak serapat ni dan sekarang Adam tengoklah. Kita jadi lebih rapat. Kawan baik. Adam tak suka?”

Laju Adam menganggukkan kepalanya. “Adam suka. Adam cuma terkilan saja dengan apa yang jadi. Kalau tak mesti Rai jadi isteri Adam kan sekarang?
 
Serentak kami berdua ketawa. “Kalau kita jadi suami isteri pun, kalau berlaku benda yang sama. Tak tentu juga, Adam. Semua dah tertulis. Kita kena percaya dengan apa yang jadi.”

Aku terdiam sedetik. Kita kena percaya dengan apa yang jadi. Kalau aku ditakdirkan hamil anak Rayyan, apa yang aku kena buat? Rayyan mesti membangkang. Fuh... tak apa, Raihana. Kau boleh selesaikan masalah ni semua. Ingat apa Emma cakap, kau tak sendiri. Kau ada ibu, ayah, along, angah, Emma dengan Adam. Ramai kan tu....

“Eh, Adam. Kenapa Adam diri situ?” Terkejut aku sebaik saja menoleh, Adam tiada di sisiku. Aku ingatkan dia dah kena culik dengan alien dari planet Marikh tadi. Seriau aku dibuatnya. Rupanya dia boleh berhenti dekat tengah-tengah jalan taman tu.

“Kenapa ni?” soal aku setelah berdiri di sebelahnya. Tekun betul tengok telefon bimbit sampai berkerut-kerut muka. Nak marah ke apa?

“Rayyan dah melampau, Rai. Adam boleh hilang sabar macam ni.”

Aku termangu sendirian. Apa yang Rayyan melampau? Apa yang dia dah buat sampai Adam hilang sabar?

“Kenapa? Apa maksud Adam?”

Adam tak menjawab sebaliknya telefon bimbitnya diberikan kepada aku.

27 Januari – Pihak media mendapat maklumat tentang kehidupan Rayyan Husaini, anak kepada pengurus besar Husaini Holdings selepas perkahwinan. Para wartawan sangat terkejut mendengar pengakuan dari mulut Rayyan sendiri. Isteri beliau tidak pernah mempedulikan tentang beliau dan langsung tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri....

Jantung aku secara tiba-tiba mengepam darah dengan kadar yang sangat laju. Aku tak mampu nak membaca ayat seterusnya. Muka aku serta-merta membahang. Marah? Malu? Bercampur-baur. Rayyan memburukkan aku di hadapan orang ramai. Rayyan fitnah aku!

“Rai nak jumpa dia!” ujar aku dengan nada keras. Telefon bimbit dikembalikan kepada tuannya sendiri dan terus meninggalkan Adam begitu saja.

“Rai! Nanti. Nanti. Kita pergi sama-sama. Jangan macam ni. Adam tahu sekarang dia dekat mana. Ni berita pagi tadi dan baru aje disiarkan. Rai ikut Adam, okey?”

Aku sekadar mengangguk. Pandang muka Adam pun tak. Aku tengah marah sekarang ni. Tengah sakit hati. Sangat sakit hati. Tak pernah aku rasa macam ni sekali. Sumpah! Aku tak boleh terima apa yang Rayyan buat kali ni. Peristiwa lepas pun aku tak boleh lupakan lagi, sekarang ni dia buat hal lagi dengan aku. Memang saja dia nak buat aku betul-betul jadi isteri derhaka!

*****
 

ADAM memberhentikan keretanya betul-betul di sebuah bangunan hotel yang baru saja dirasmikan tempoh hari. Tak silap akulah. Sebab ada masuk siaran televisyen hari tu. Boleh tahan mewah juga desain hotel ni. Cakap pasal hotel. Kenapa Adam bawak aku pergi hotel? Mamat tu ada dekat sini ke? Kenapa? Banyak betul soalan kau ni, Raihana. Baik kau aje gerak-geri Adam ni.

“Jom,” ajak Adam.

Aku mengangguk dan mengekori langkah Adam yang menapak ke arah lif yang berhampiran dengan pintu masuk.

“Kita buat apa dekat sini, Adam? Rayyan dekat sini ke?”

Adam menganggukkan kepalanya. Serentak kami memasuki ke dalam perut lif selepas pintu terbuka.

“Adam dapat tahu dari orang upahan Adam. Rayyan ada dekat sini...”

“Dengan Serena?”

Adam hanya mendiamkan diri. Soalan aku dibiarkan sepi tanpa jawapan. Maknanya betullah. Rayyan dekat hotel dengan Serena.

“Adam, please take some photos or videos if he with Serena. Please help me,” ujar aku dengan nada merayu. Kalau betul mereka berdua, berdua-duaan dalam bilik. Bukti tu akan menjadi lebih kukuh untuk aku berikan kepada baba dan bonda.

Adam menganggukkan kepalanya. Aku nampak dia genggam telefon bimbitnya. Aku sekarang ni tengah kumpul oksigen yang secukupnya dan pada masa yang sama aku gementar. Secara automatik aku menggenggam hujung lengan baju Adam sehingga Adam menoleh aku dengan kerutan di dahi.

“Takut,” ujar aku dengan nada perlahan.

Adam menggelengkan kepala. “Jangan takut okey. Adam ada.” 

Aku tersenyum nipis. Cuba untuk menyedapkan hati aku sendiri. Inilah masanya, Rai untuk kau pecahkan segala yang terbuku di dada kau selama ni. Yang telah menjadi bebanan kau selama ini.

Kau boleh, Raihana!


Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.