Home Novel Cinta I Love You 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 4

BAB 4

     AIR kolam renang di hadapan dikocakkan menggunakan kaki sambil mengelamun memandang awan di langit biru. Sudah lama aku tidak menikmati udara sebegini selepas empat tahun aku menyambung pengajianku di California. Peristiwa pahit masih lagi segar dalam ingatan aku. Adam Harith, lelaki yang berjaya menghancurkan kepercayaan aku pada dia. Mengkhianati cinta aku dengan mencurangi aku bersama kawan aku sendiri. Dua dalam satu. Pengkhianatan cinta dan persahabatan. Sungguh aku tak sangka, tergamaknya Adam buat aku macam ni. Tak cukup lagikah dengan kesetiaan aku selama ini?

      Memang patut pun dia mengelat setiap kali berbincang mengenai perkahwinan. Dia memang menganggap aku hanya sebagai kekasihnya dan tak pernah berniat untuk menjadikan aku seorang isteri. Tapi baguslah. Aku dapat tahu belangnya sebelum mengikat hubungan kami. Rentak kata hati aku juga berasa ragu-ragu dengannya. Ramai-ramai perempuan dekat California sana, dengan Serena juga dia nak cuba. Apa? Dah tak ada perempuan lain ke? Kalau nak dibandingkan, Emma lebih cantik daripada Serena. Serena tu kalau tak bersolek mengalahkan hantu opera cina.

      Haih.... tak fasal-fasal pagi ini aku dah menambahkan dosa aku. Sudahlah sakit hati aku dengan Adam belum berkurangan lagi ditambah pula lagi aku nak kena hadap lelaki yang....

      “Hah! Jauh mengelamun! Kahwin dengan anak raja ke? Sedarlah diri tu sikit. Bukannya cantik macam perempuan dekat luar sana tu. Jangan nak kuat berangan sangat....”

      Aku memejamkan kelopak mataku. Cuba untuk tidak mengendahkan setiap butir bicaranya yang bagaikan anak panah beracun memanah tepat ke hatiku. Entah kenapa kali ni aku cepat terasa dengan kata-katanya. Selama ini aku boleh berlagak kental macam tak ada apa-apa. Mungkin dah empat tahun aku tak dengar semua hinaan itu. Jadi, telinga aku ni nak kena setup semula supaya ada pelindung yang melindungi telinga aku ini untuk mendengar setiap kata yang terpacul dari mulut Rayyan Husaini.

      “Oi! Bonda tu panggil kau! Kau ni pemalas kan! Sedap je goyang kaki dekat rumah ni! Apa kau ingat kau ni mem besar ke? Baba bagi kau cuti sebulan tu kau ingat kau boleh tepis-tepis air dekat kolam renang ni je? Anak dara jenis apalah kau ni? Memalukan sungguh....”

      Tak betah untuk aku terus duduk di situ dan merelakan diri mendengar setiap kata hinaan yang melemahkan semangat aku. Punggung diangkat dan kaki membawa tubuh berjalan meninggalkan manusia yang tidak mempunyai hati dan perasaan itu. Biarlah dia membebel seorang di situ. Silap haribulan orang labelkan dia sebagai orang gila.

      “Bonda....,” panggil aku perlahan. Pinggang bonda aku peluk dari belakang. Sungguh aku rindukan belaian bonda. Dari kecil aku memang dimanjakan oleh baba dan bonda. Mungkin itu antara satu asbab Rayyan jadi begitu. Cemburu mungkin? Tapi tak akanlah macam tu sekali. Orang lain boleh je adik-beradik ramai. Ada lima atau enam orang lagi bawah-bawah dia.

     “Sayang, sejak sebulan lalu bonda tengok Rai asyik termenung je. Rai ada masalah ke? Kalau ada masalah jangan dipendam sorang diri. Bahaya, nak.”

      Aku tersenyum segaris seraya menggelengkan kepala.

      “Tak, bonda. Rai okey je cuma rindukan suasana dekat sini. Rai saja termenung memikirkan apa yang harus Rai buat lepas ni untuk berbakti untuk baba dan bonda.”

     Aku lihat bonda tersenyum. Dia menutup api dapur sebelum memusingkan tubuhnya menghadap aku. Rambut panjang separas pinggang milik aku dibelai lembut. Aku turut tersenyum.

      “Sayang, baba dengan bonda tak minta banyak pun sayang. Terus ada bersama kami walau apa yang berlaku. Bonda gembira bila Rai dah balik. Bonda rindu sangat dekat anak bonda. Sabtu ni, baba dengan bonda ada buat majlis untuk Rai sempena Rai balik sini. Walaupun dah sebulan Rai dekat rumah. Sebelum Rai bekerja, bonda nak sangat buat majlis doa selamat supaya keluarga kita selalu dirahmati dan diberkati Allah SWT.”

       Aku hanya tersenyum dan mampu mengaminkan doa itu di dalam hati. Semoga juga Rayyan Husaini membuka hatinya untuk menerima aku sebagai seorang adik. Aku teringin juga nak merasai ada seorang abang yang penyayang dan menjadi hero untuk aku. Pelindung aku macam orang lain.

       Pinggan-mangkuk yang sudah siap diisi dengan lauk dihidangkan di atas meja makan. Dari dulu bonda dan baba memang tidak mengambil orang gaji. Dulu mereka ada ambil tetapi telah diberhentikan tanpa aku tahu apa puncanya.

       “Rai, dah sebulan baba bagi Rai berehat. Baba harap minggu depan, Rai dah boleh masuk kerja dekat syarikat baba. Tak usahlah nak cari kerja dekat tempat lain. Rai pun ambil jurusan setiausaha dan perniagaan kan? Jadi Rai boleh je terus masuk kerja dekat syarikat baba.”

      Aku hanya tersenyum lalu menganggukkan kepala. Tak kisah pun. Kerja dekat syarikat baba sendiri kan? Tak salah rasanya melainkan ada yang membantah. Saja aku mengerling ke arah dia yang sedang mengumpal nasi di dalam pinggan bersama lauk-pauk.

     “Boleh Rai tahu, Rai kerja dekat sana sebagai apa?”

     “Baba letakkan Rai sebagai personal assistant Rayyan. Lagipun PA dia baru je berhenti.”

     UhukUhuk!

     Aku hanya memandang kosong ke arah Rayyan yang konon-kononnya tersedak. Macam aku tak tahu perangai dia. Kalau bab-bab aku, mestinya dia akan buat macam tu. Menyampah!

     “What baba? PA Rayyan? Dah tak ada orang lain ke nak jadi PA Rayyan?” bantah Rayyan sebulat-bulatnya.

     Baba menjongketkan keningnya.

     “WhatRaihana is your sister. Kenapanya? Bukannya dia orang luar. Dia adalah adik kamu yang boleh dipercayai dari orang lain,” jawab baba dengan cukup bersahaja.

      “No, baba. Masalahnya dia ni baru je habis belajar. Fresh graduate tak akan terus letak dekat jawatan tinggi macam tu? No way. Patutnya dia mula dari bawah. Like you said before, we learn from bottom until the top one.”

      Baba memicit pucuk hidungnya sambil kepala digeleng perlahan. Aku tahu baba dah penat nak bertekak dengan Rayyan. Dirinya yang semakin berusia membuatkan dia semakin malas hendak bertekak dengan anak bujangnya itu. Aku sendiri tengok pun tak kuasa nak berperit tekak hendak bergaduh dengan dia.

      “Rayyan, apa salahnya? PA itu pun mula dari bawah juga. Kamu guide dia. Bukannya baba jadikan dia CEO.”

      “Wooo! No way baba. CEO? Only me, okay! No one can be CEO except me.”

      “Kalau macam tu, nak tak nak baba akan letakkan juga Raihana sebagai PA Rayyan. Full stop. Tak perlu ada bantahan lagi. Baba nak makan bukan nak bertekak depan rezeki.”

      Rayyan menjeling sedas. Tapi bukan pada baba tetapi pada aku. Aku seperti biasa hanya menayangkan riak wajah tidak bersalah. Memang bukan salah aku! Bukannya aku yang bodek baba nak minta jawatan PA tu. Kalau ikutkan hati aku nak aje mohon kerja dekat syarikat lain. Tak ada hal punyalah. Tayang saja sijil aku semasa temu duga, pasti ada mana-mana syarikat yang akan ambil aku sebagai pekerja. Yakin tak yakin je!


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.