Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 2

     BAB 2

     PINTU rumah aku tolak dari luar. Kasut ditanggalkan. Berejam-jam aku menunggu kedatangan Adam untuk mengambil aku di kolej. Hari ini dia berjanji nak ambil aku dekat kolej. Katanya nak pergi berdating. Tapi batang hidung pun tak nampak. Sampai berbunyi perut aku dibuatnya. Tak pernah dia buat perangai macam ni. Kalau tak jadi mesti dia call awal-awal. Ini tidak. Sepi nan sunyi je. Haih....

     Baby, take my hand... I want you to be my husband...

     Aku mengerling ke arah telefon bimbit aku yang berdering nyaring. Dengan penuh perasaan malas aku mengangkat panggilan tersebut. Rasa sakit hati ini masih belum hilang. Nasib baik bukan dia yang call. Kalau dia yang call, memang kena dengan aku kaw-kaw.

     “Hello Emma. Why are you calling me?” soal aku sebaik saja talian bersambung.

     “Rai! Aku dekat luar rumah kita ni. Please hurry up! Ada sesuatu penting tengah berlaku.”

     Mendengarkan suara Emma yang begitu cemas, aku turut menjadi resah. Pantas aku membetulkan kardigan di tubuh dan ikatan pada rambut. Selaju mungkin aku menyarung kasut dan berlari anak keluar dari rumah menuju ke kereta Emma selepas mengunci rumah.

     “Apa hal ni weyh? Cemas semacam je? Berderau darah aku!” bebel aku sebaik saja memboloskan diri masuk ke dalam keretanya. Tali pinggang keledar ditarik dan disumbat ke tempatnya.

     “Aku tak boleh cerita sekarang. Kau ikut saja. Sampai sana nanti kau akan tahu juga. Aku dapat tahu ni pun dari Steven dengan Alex. Kalau tak aku pun tak tahu.”

     Bercantum kening aku dibuatnya. Steven dengan Alex? Itukan kawan sekelas Adam dulu dan sampai sekarang pun diaorang masih berkawan. Ada apa-apa terjadi pada Adam ke? Patutlah dia tak ambil aku.  

     “Adam okey ke? Kalau kau kaitkan pasal Steven dengan Alex, mesti ada apa-apa dengan Adam. Kau jangan buat aku seriau dok!”

     “Nur Aazeen Raihana! Kau jangan macam ni boleh tak? Kau relax. Aku bawak kau pergi jumpa dia. Dia okey sangat. Jangan kau risau.”

     Jawapan Emma membuatkan diri aku semakin tak keruan. Dia nak bawak aku jumpa Adam. Ada apa? Kenapa macam serius sangat? Kalau dia okey, kenapa serius semacam je kawan aku ni?

     “Eh kejap, baru aku perasan. Biasanya kalau kau ada, Rena mesti ada. Mana dia?” Tercari-cari aku kelibat Serena yang merupakan kawan rapat aku dan Emma.

     Emma hanya mendiamkan diri. Membisu. Langsung tak nak jawab soalan aku. Apa yang aku dapat tafsirkan sekarang ni. Air muka dia betul-betul serius. Sepertinya dia sedang marah. Tapi sebab apa? Jarang nak nampak Emma berwajah bengis seperti ini. Selama aku berkawan dengan dia dari tahun pertama di kolej. Memang susah nak nampak dia marah. Tapi sekali dia dah marah, gunung berapi yang dah lama mati tiba-tiba boleh meletus tau!

******

      EMMA memberhentikan keretanya tepat di hadapan rumah sewa Adam dan kawan-kawannya. Semakin berlapis dahi aku dibuatnya. Emma memang langsung tak nak terangkan dekat aku apa yang berlaku. Tangan aku sudah seram sejuk. Cuak....

     “Jom,” ajak Emma.

     Aku mengekori langkahnya sebaik tubuh dibawa keluar dari kereta. Dengan selambanya Emma memulas tombol pintu utama rumah sewa Adam. Tak berkunci. Aku nak menegur tindakan Emma tetapi laju saja dia meletakkan jari telunjuknya di bibirku. Perlahan-lahan telinga aku menangkap satu suara atau bunyi yang tidak dapat aku tafsirkan. Berkerut aku memandang Emma.

     “Aku nak kau bersedia apa yang kau nampak dan lepas ni, percaya cakap aku. Kau dengan dia tak boleh bersama. Aku dah tahu lama tapi kau tak pernah percayakan aku dan hari ini aku tunjukkan bukti sekali. Terima kasih pada Steven dan Alex. Diaorang bagitahu aku pun sebab diaorang teringatkan dekat kau. Kesian dekat kau...,” ujar Emma berbisik.

     Aku terkebil-kebil. Memerhatikan saja Emma yang menapak ke arah satu bilik yang terletak berdekatan dengan dapur. Emma menarik tangan aku supaya mendekatinya.

     “Eh, tau pula dia kunci. Tak apa. Aku nak serlahkan bakat aku dekat sini,” kata Emma apabila dia gagal memulas tombol pintu bilik itu.

     Jantung aku ketika ini tak usah diterangkan. Macam nak melantun keluar dah. Badan aku sudah seram sejuk sepertinya sekarang ini berada di musim salji.

     BAM!

     Aku menekup mulutku dari terjerit apabila Emma dengan selambanya menendang pintu bilik itu sehingga terbuka luas. Mentang-mentang dia ada taekwando. Suka-suka hati dia je menendang pintu tu. Emma menjengilkan mata ke arah aku apabila aku masih lagi mematung, memandang ke arahnya. Dia menggerakkan bebola matanya ke arah sesuatu. Serentak aku turut memandang ke arah yang dimaksudkan.

     Beberapa detik berlalu dengan sia-sia. Terkaku. Lidah aku terkelu tanpa mampu mengeluarkan sepatah perkataan pun. Pandangan aku dicemarkan dengan satu situasi yang membuatkan diri aku bagaikan tidak bernyawa. Aku salah nampak ke? Adam ada kembar ke? Ke pelanduk dua serupa? Kenapa lelaki yang aku tengok dekat depan sekarang ni sebiji macam Adam? Adam Harith yang aku kenal dia bukan macam ni. Dia tak pernah....

     “Oh! Ini perangai kau ya, Adam! Pandai kau game kawan aku, ya! Kau ingat game kau ni tak akan terkantoi ke sampai bila-bila. Bak kata peribahasa negara kelahiran kita, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Seronok kau game kawan aku kan? Kau ni dah lama kenal dia dari aku. Ini yang kau buat dekat dia! Dasar lelaki tak guna!”

     Aku hanya membiarkan saja Emma mengamuk di situ. Habis barang-barangan di dalam bilik itu dibaling oleh Emma ke arah Adam dan kawan aku sendiri. Serena. Aku menekup mulutku seraya menggelengkan kepala seolah-olah tidak percaya apa yang aku tengok sekarang ni. Kenapa mereka berdua buat aku macam ni? Adam Harith, mengkhianati cinta aku. Serena Shahar mengkhianati persahabatan aku. Apa salah aku? Kenapa hidup aku tak seindah orang lain? Di Malaysia aku kena hadap manusia yang tak pernah sayangkan aku dan di sini pula aku kena hadap manusia yang bertopengkan... syaitan?

     “Emma, sudah Emma...” Aku menarik lengan Emma dari terus mengamuk besar. Emma memang pantang kalau ada orang buat aku. Pasti dia akan mengamuk begini sekali.

     “Rena! Kau kenapa? Kau dah buang tabiat ke? Kau dah tak ingat dah Adam ni siapa? Kau dah tak ingat Raihana siapa ke? Jenis manusia apa kau ni?” Emma masih lagi tidak mahu menghentikan amukannya.

     Adam memandang aku dengan wajah yang tercengang begitu juga dengan Serena. Mulut aku tak dapat nak keluarkan sebarang suara mahupun butir-butir percakapan. Speechless. Apa yang aku mampu adalah mengalirkan air mata yang deras.

     “Emma, tak apalah. Dah bahagian aku. Terima kasih Adam. Terima kasih Serena. Terima kasih untuk semuanya...” Aku menggagahkan diri untuk memberi beberapa patah perkataan kepada mereka berdua. Cincin pemberian Adam, aku tarik perlahan kemudian aku menapak ke arah Adam dan Serena yang mematung di atas katil.

     Jari Serena aku tarik dan cincin tadi aku sarungkan pada jari manisnya. Barulah betulkan? Perlahan-lahan bibir aku dilengkungkan sedikit. Emma berdengus kuat kemudian menarik aku keluar dari situ.

     “Raihana! Raihana!” jerit Adam.

     Aku dah masuk kereta baru kau nak bersuara. It’s too late, Adam. Sayonara....

     “Raihana!” Cermin kereta Emma ditepuk-tepuk. Mujur Emma sudah mengunci keretanya terlebih dahulu sebaik saja kami masuk.

     Aku sama sekali tidak memandang dia. Emma memecut keretanya meninggalkan pekarangan rumah sewa Adam. Tika itulah aku menekup wajahku dan menghamburkan tangisan yang aku tahan-tahan dari tadi. Emma menggenggam tangan aku sambil memandu dengan sebelah tangan.

     “Rai, sabar. Aku tahu apa perasaan kau sekarang ni walaupun aku tak pernah bercinta. Aku tahu kau dengan Adam dah lama dalam hubungan ni. Tapi dia bukan jodoh kau, Rai. Ada yang lebih baik untuk kau.”

     Aku menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali sambil teresak-esak. Tak ada yang lebih baik untuk aku. Dari aku kecil sehingga sekarang. Sakit yang selalu mendapat berbanding bahagia. Di saat aku sedang mengecapi kebahagiaan aku pastinya datang ujian yang tak pernah aku duga. Semua lelaki yang aku kenal selalu menyakiti aku.

      Sampai hati, Adam. Aku sayang dan cintakan dia. Tak cukup lagi ke kesetiaan menjadi bukti aku mencintai dia?

     Sungguh perit hati aku untuk menerima kenyataan ini. Aku sangkakan dia adalah prince charming aku yang tersenarai dalam perfect 10. Tetapi aku silap. Sepatutnya dia tidak layak langsung masuk dalam senarai perfect 10. Kenapa aku tak perasan dari awal lagi?


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.