Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 50

BAB 50

3 Tahun Kemudian,

"RAUF! Mana dia... ibu tak nampaklah mana dia..."

"Bah!"

Terasa satu sepasang tangan kecil memeluk aku dari belakang. Aku terus memusingkan tubuh aku dan tubuh kecil itu dilambung perlahan sebelum didukung.

"Bu..."

Aku tersenyum. Tak aku sangka anak sulung aku ini sudah berusia 3 tahun. Dah mula nak pandai berlari dan bercakap walaupun masih pelat. Ya. Anak aku warganegara Jepun. Aku melahirkan di negara Jepun. Semasa mengandungkan Rauf Akwa ini, tidak banyak ragam cumanya sewaktu kandungan aku semakin sarat, pengalaman aku merasai sakit pinggang yang tak dibawa bincang. Sekali gus kaki aku yang semakin membengkak. Mujurlah ada sepasang suami isteri ini yang sudi jaga aku dari aku mengandungkan Rauf sehinggalah sekarang.

"Ya sayang. Rauf nak susu?"

"Shushu...," jawab Rauf sambil tangannya melingkar ke leherku. Kepalanya dilentukkan ke bahu. Dia memang seorang yang manja. Lagi-lagi kalau nampak...

"Rauf!" jerit Adam yang baru saja balik bersama Atiana dari Pusat Membeli-belah. Al maklumlah nak menyambut kehadiran anak sulung tak lama lagi.

Atiana dan Adam sudah berkahwin dua tahun yang lepas. Itulah kali pertama Rauf balik semula ke Malaysia, genap usianya setahun ketika itu. Boleh dikatakan meriah juga majlis perkahwinan Atiana dan Adam. Aku dan Emma jadi bridesmaid Atiana. Pakaian sedondon. Serius aku masa tu teruja sangat!

"Babah!" jerit Rauf. Dia memang pantang kalau nampak abah kesayangan dia ni. Ya. Adam dari kecil dah biasakan Rauf dengan panggilan abah manakala Atiana pula mama.

"Babah... shushu..."

"Hah? Rauf nak susu? Boleh. Tapi kiss babah dulu. Sini-sini..." Adam mendepakan tangannya.

Aku menurunkan tubuh kecil Rauf, sepantas kilat dia berlari ke arah Adam. Dicium-ciumnya pipi abah kesayangannya itu. Atiana yang sudah sarat mengandung itu sudah terduduk keletihan di atas sofa berangkai 3.

"Banyak shopping, Atia?" soal aku sebaik saja melabuhkan punggung di tepi Atiana.

Atiana tersenyum lebar seraya menganggukkan kepalanya laju. "Semestinya. Aku dah check dah gender baby."

Aku terus duduk bersila dan posisi betul-betul menghadapnya. Teruja aku nak dengar jantina anak pertama Adam dan Atiana.

"Baby girl!"

Aku terus memeluk tubuh Atiana erat. Tak sangka! Merasalah aku nak menjaga baby girl lepas ni. Baby boy dah ada pengalaman nak jaga. Siapa lagi kalau bukan Rauf Akwa!

"Lepas ni Rauf ada kawanlah. Ibu nak sayang baby abah lah. Boleh tak?"

Laju saja Rauf menggelengkan kepalanya. Bibir sudah tercebik-cebik mahu menangis. Baru usik sikit dah sentap budak ini. Aduhai, anak ibu...

"Alololo... lawanya mulut dia tu. Nak ibu kiss ke tercebik-cebik macam tu?"

Rauf yang berada di dukungan Adam, menganggukkan kepalanya beberapa kali. Aku mendepakan tangan, serentak Adam menyerahkan Rauf kepada aku kemudian bergegas ke dapur untuk membancuh susu untuk Rauf. Kalau aku nak buat mestinya Adam bangkang, alasan dia suruh teman Atiana.

"Beshar peyut mama...," ujar Rauf yang sudah aku dudukkan di atas ribaku. Tangan kecilnya ligat mengusap perut Atiana yang memboyot. Serentak aku dan Atiana tersenyum.

"Baiknya dia. Nanti boleh tak Rauf jagakan baby untuk mama?"

"BoyehAnti Auf jaga baby untuk mama..."

"Alahai, comelnya! Siapa comel sila sebut nama dia."

"Auf!" jawab Rauf seraya mengangkat kedua-dua belah tangannya tinggi.

Aku dan Atiana tergelak melihat telatah Rauf yang sememangnya seorang budak yang bijak. Aku tak boleh nak nafikan. Rauf banyak mengikut iras Rayyan. Sekarang ni, anak kecil ini sudah berusia 3 tahun dan Rayyan masih tak tahu kewujudan anak kandungnya ini. Aku rasa yang berdosa sangat. Sejak dua menjak ini, aku asyik terfikir. Patutkah aku balik ke Malaysia dan membawa Rauf berjumpa dengan ayah kandungnya. Walaupun Rayyan tak kenal anaknya sendiri, tapi Rauf kenal siapa ayah kandungnya. Sekeping gambar Rayyan yang pernah aku simpan satu ketika dulu menjadi tatapan untuk Rauf.

Rauf masih belum tahu apa makna sayang dan rindu. Tapi dia dah pandai sebut dua perkataan itu. Setiap malam dia akan tanya aku, mana ayah dia pergi? Dengan alasan yang tak berapa munasabah, sehingga sekarang Rauf percaya cakap aku tapi sampai bila aku nak berbohong dengan dia. Aku takut satu hari nanti dia dah besar. Dia akan salahkan aku sebab aku pisahkan dia dengan ayah kandungnya.

"Rai, aku nak cakap sikit dengan kau ni. Kau ni asyik termenung jauh je, kenapa?"

Suara Atiana menyentakkan aku dari lamunan. Segera aku berpaling wajah ke arahnya. Rauf pula sudah tertidur di dalam dakapanku sambil mulutnya masih menghisap botol susu. Entah bila masalah Adam sudah siap membancuh susunya.

"Huh?" Blur.

"Kau okey tak? Adam bagi Rauf susu pun kau mematung macam tu? Risau aku tengoknya."

Aku menggelengkan kepala seraya membetulkan posisi Rauf dari duduk menyandar pada dadaku kepada membaringkannya di atas riba. Punggungnya aku tepuk-tepuk dengan lembut. Dahinya aku labuhkan satu ciuman hangat.

"Tak ada apa. Aku cuma fikir pasal..."

"Rayyan?" teka Atiana.

Aku terdiam sebelum kepala dijatuhkan beberapa kali.

"Cakap pasal Rayyan. Dia sekarang dah jadi CEO yang berjaya dekat Malaysia. Husaini Holdings dah semakin mengembang. Berkat dia dah berubah. Adam sendiri saksi dia dah berubah. Cumanya Adam cakap, bonda kau sekarang terlantar dekat hospital. Sakit buah pinggang. Kau tak nak pergi melawat?"

Aku terdiam. Lama. Tak tahu nak bagi jawapan apa. Ya. Beberapa bulan yang lepas, aku dikhabarkan dengan satu berita yang meruntun jiwa aku. Bonda yang aku sayangi dan selama ini menjadi tempat aku bermanja terlantar di hospital kerana sakit buah pinggang. Sampai sekarang aku tak pergi melawatnya. Kejamnya aku. Kenapa aku ni semakin lama semakin kejam? Mana sifat belas kasihan aku yang dulu?

"Ya. Aku memang terfikir nak balik Malaysia terus. Aku nak biasakan Rauf dengan kehidupan dekat sana cuma tulah, entah kenapa aku berat hati sangat."

"Kau fikir pasal modelling kau ke? Kan aku dah cakap. Kalau kau nak mohon pertukaran tempat kerja. Aku boleh buatkan. Kau sekarang dah terkenal, weyh. Kau janganlah risau. Bahkan nama kau sekarang jadi sebutan orang ramai tau. Tak sia-sia aku ajak kau jadi model macam aku. Rezeki kau dekat situ. Untuk Rauf juga. Kan?"

Aku tersenyum seraya menganggukkan kepala. Ya. Sudah dua tahun lebih aku menjadi seorang model antarabangsa. Semasa aku mengandungkan Rauf, ramai yang ambil aku untuk majalah bertemakan ibu mengandung. Memang tak putus-putus rezeki aku waktu itu. Aku bersyukur sangat.

"Okeylah. Kau boleh tolong aku buat pertukaran tu? Ambil masa berapa lama?"

"Tak sampai seminggu dah siap. Aku boleh submit esok untuk kau. Jangan risau, okey? Kau nak suruh Adam tempahkan tiket untuk kau ke?"

"Eh, tak apa. Aku boleh tempah sendiri. Eh, hari tu kau ada cakap dengan aku yang Adam dengan kau berbincang nak stay terus dekat Malaysia tu bila?" soal aku.

Atiana mengetuk-ngetuk dagunya beberapa kali. Berfikir gamaknya.

"Adam dengan aku dah buat keputusan. Lepas aku habis pantang. Sebulan atau dua bulan lepas tu baru kitaorang balik sana terus. Perniagaan Adam dekat sini pun dah ada wakil yang boleh pegang amanah dan dipercayai."

Aku tersenyum seraya menganggukkan kepala. "Baguslah kalau macam tu..."

Ting! Tong!

"Tak apa. Biar aku bukak. Kesian Rauf dah nyenyak tu," ujar Atiana. Dia bangun lalu menghampiri pintu utama. Entah kenapa saat aku memerhatikan Atiana membuka pintu utama, jantung aku berdebar lain macam.

"Ezra?" Atiana menyebut satu nama yang sudah lama aku tidak dengar khabar beritanya. Macam mana dia boleh sampai ke sini? Hairan pulak aku.

"Jemputlah dia masuk," balas aku.

Atiana akur. Dia mempersilakan Ezra masuk dan ketika itu juga, Rauf sudah terpisat-pisat memandang ke arah aku. Mungkin terkejut mendengar suara aku yang sedikit kuat. Tubuhnya aku dudukkan dan menolak kepalanya perlahan, bersandar pada dada aku kemudian aku peluk tubuhnya erat. Dagu aku letakkan pada kepalanya lembut.

"Apa khabar, Rai?" Tangan dihulur untuk berjabat tangan dengan senyuman lebar. Angin tak ada. Ribut tak ada. Selepas tiga tahun, tup-tup muncul. Apa kes lelaki ni? Lain macam aje auranya.

"Khabar baik. Ezra, sihat ke?" Entahlah, aku pun tak pandai sangat berbasa-basi ni kalau datang mengejut. Terkejut aku dibuatnya.

"Sihat. Seperti yang kau nampak sekarang. Tu, anak kau dengan Rayyan ke?"

Aku membungkam. How can he know about Rauf?

"Erm..." Aku mengetap bibirku. Sumpah! Aku terkesima sekarang ni. Macam mana dia boleh tahu yang Rauf anak aku dengan Rayyan. Sedangkan aku tak pernah beritahu sesiapa pun termasuklah wartawan atau sosial media.

"Ezra tahu?" soal aku dengan nada perlahan.

"Eh, tak. Aku tanya aje. Tu anak siapa yang kau peluk tu?"

"Anak aku," jawab Adam yang muncul secara tiba-tiba. Atiana pula disuruh oleh Adam untuk masuk ke dalam bilik.

"Anak kau? Kau berkahwin dengan Rai?" soal Ezra. Dari nada suaranya aku dengar, dia macam tak puas hati. Dia masih tak boleh lepaskan aku walaupun hal tu dah 3 tahun lepas ke?

"Kau tak hak nak tahu aku kahwin dengan siapa dan budak tu anak siapa. Kau ada hajat apa datang sini? Kalau nak bikin masalah baik kau baliklah. Aku tak ada masa nak layan orang macam kau." Sinis sekali suara Adam. Aku rasa Adam macam tahu sesuatu tapi apa dia?

"Tuan rumah halau tetamu? Wah! Tak patut langsung." Ezra menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Dah nama pun tuan rumahkan? Suka hati dialah nak terima tetamu yang jenis macam ni," jawab Adam dalam sindiran.

"Ehem, ehem..." Sengaja aku berdehem. Masalahnya Rauf dah sedar dari lena dan sekarang ni dia dengar aje apa yang Adam dan Ezra borakkan. Aku tak nak anak aku dengar benda yang bukan-bukan. Pantang aku!

"Sorry, Rai," ujar Adam dengan menganggukkan kepalanya sekali.

"Ezra, kau nak apa? Kau datang sini kenapa? Dah macam mana kau tahu aku tinggal sini?" soal aku sambil merenung wajahnya tak lepas. Nak tengok dari anak matanya, sama ada dia bercakap jujur atau tipu.

"Kau sekarang dah jadi model yang terkenalkan? Model antarabangsa. Mestilah ada maklumat peribadi kau yang tersiar dekat sosial media. Tu sebab aku datang sini untuk bertanya khabar sebagai kenalan rapat. Salah ke?"

Aku tersenyum nipis. "Tak salah. Cuma yelah. Terkejut kau datang secara tiba-tiba tanpa hubungi aku. Sorry la kalau rasa aku dengan Adam terkasar. Tak nampak niat baik kau tadi," sindir aku secara halus.

"Tak apa. Faham. Dah lama tak jumpa kan? Kebetulan aku lalu sini tadi, ada kerja sikit, tu sebab aku singgah. Ni pun kerja aku tak habis lagi. Kau ambil ni kad aku. Apa-apa boleh contact aku. Kita masih boleh berkawan kan?"

Aku sekadar menganggukkan kepala. Dalam hati, aku dah sumpah-seranah dah suruh dia balik cepat. Menyesal pula suruh dia masuk tadi. Aku ingatkan dia nak apa. Menghilang tiba-tiba... muncul depan mata. Siapa yang tak cuak?


Previous: Bab 49
Next: ILY3000

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.