Home Novel Cinta I Love You 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 28

BAB 28

SEBAIK saja along memberhentikan keretanya di hadapan hospital, aku terus meloloskan diri masuk ke dalam bangunan dan berlari ke arah kaunter pertanyaan. Baru sebentar tadi aku menerima panggilan dari baba mengatakan bonda ditahan di wad kerana tekanan darah tinggi. Baru saja semalam bonda menghubungi aku. Katanya dia sangat merindui aku. Yelah, dah berapa lama aku tak datang sana selepas arwah abang Edri meninggal dunia. Aku mahukan masa seorang diri untuk tenangkan diri. Semua barang perkahwinan aku dan arwah, Emma dan angah yang akan ambil untuk perkahwinan mereka nanti.

“Assalamualaikum...” Pintu wad aku tolak selepas bertanya pada jururawat yang bertugas di kaunter pertanyaan tadi. Along hanya mengekori aku dari belakang.

“Waalaikumussalam...,” jawab baba lantas mendapatkan aku. Tubuh aku dipeluknya erat.

Aku nampak matanya berkaca. Apalah jadi pada mereka semenjak aku tidak duduk di situ lagi? Rayyan aku tak nampak pun dalam wad ni. Mana dia? Tak akan tak tahu bonda masuk hospital. Pergi berdating dengan perempuan tu ke? 

Aku duduk di sebelah katil wad bonda. Tangan bonda aku genggam dan diusap penuh kelembutan. Lama aku merenung wajah bonda yang pucat itu. Ya Allah, bonda jarang sakit. Boleh dikatakan sepanjang aku duduk bersama dengan mereka. Bonda jarang jatuh sakit. Kenapa aku pergi, bonda sering sakit? Hari tu bonda baru saja baik dari demam. Ni pula tiba-tiba tekanan darah bonda tinggi. Apa puncanya?

“Baba, macam mana bonda boleh kena tekanan darah tinggi?” soal aku dengan nada perlahan. Mata memandang wajah baba yang tampak risau.

“Bertekak dengan Rayyan. Rayyan makin lama makin liar. Suka-suka dia saja bawa balik perempuan tu dah tidur sebilik. Pagi tadi, Rayyan cakap yang Rayyan nak berkahwin dengan perempuan tu tak lama lagi. Bonda bantah bulat-bulat. Bonda tak nak perempuan tu masuk dalam keluarga kita. Tiada siapa yang bonda nak jadikan menantu kecuali...”

Aku berkerut melihat baba yang menghentikan percakapannya sendiri. Tak akanlah bonda tak nak ada menantu? Kalau tak perempuan tu, orang lain tak akan bonda tak terima juga? Habis tu? Si bapak singa tu jadi bujang terlajak sampai tua? Hah! Kenalah tu! Kena sangat! 

“Bonda hanya nak Raihana ada dalam keluarga kita...”

Terpana aku mendengar ayat sambungan baba. Aku?

“Tapikan, Rai memang ada dalam keluarga ni dari kecil. Baba dengan bonda jaga Rai dari baby lagi...” 

Baba menggelengkan kepalanya perlahan.

“Sejak Rai pergi dan tidak duduk lagi dengan kami. Hari-hari bonda menangis. Dia tak biasa bila Rai tak ada. Puas baba pujuk untuk lepaskan Rai. Dia tak nak. Dia masih tak boleh lupakan apa yang terjadi pada arwah adik Rayyan dulu.” 

Aku terdiam. Ya. Aku tahu kisah arwah Raihana yang sebenar. Raihana Huraisya. Dibunuh secara kejam oleh pembantu rumah ketika dia berusia 3 tahun. Ketika itu baba dan bonda sangat sibuk bekerja kerana ketika itu syarikat mereka baru saja hendak membangun. Sedaya-upaya mereka mahu memajukan syarikat mereka tanpa sedar yang Rayyan dan Raihana setiap hari didera oleh pembantu rumah itu.

Ketika itu, Rayyan baru saja balik dari sekolah. Si pembantu rumah sedang memegang pisau yang sudah dibaluti dengan darah. Si adik sudah tidak lagi bernyawa. Dadanya sudah tidak lagi berombak. Di situ juga, Rayyan meraung kuat. Si pembantu rumah sempat melarikan diri tetapi tak sampai sebulan, pembantu rumah itu berjaya dicekup.

“Tapi apa maksud bonda? Bonda nak Rai dengan Rayyan...” Okey... aku tak mampu nak teruskan ayat aku. Uish! Jauhkan. Tak nak aku berkahwin dengan dia. Eh, kalau bonda suruh Rayyan kahwin dengan aku? Semestinya si bapak singa tu membantah. Silap haribulan dia buat pelancaran mogok tak nak kahwin dengan aku depan rumah. Dia tu bukan betul. Senget sikit otak dia. Dia kan anti dengan aku. Anti tahap antarabangsa!

Baba menganggukkan kepala. Okey! Sah! Memang bonda nak aku berkahwin dengan Rayyan. Gila weyh! Tak nak aku! Aku sanggup jadi andartu sampai bila-bila! Aku hanya sayang dan cintakan arwah abang Edri! Tak nak aku!

“Tapi kan baba, Rai kan memang dalam keluarga baba dan bonda.”

“Rai. Maksud bonda. Bonda nak Rai ada pertalian dalam keluarga kami. Rai cuma anak angkat kami selama ini. Tiada pertalian apa-apa. Bonda nak Rai ada pertalian dalam keluarga kami. Sebab inilah yang menjadi punca bonda kena tekanan darah tinggi. Rayyan bertekak dengan bonda. Baba pun sekali.”

Aku terdiam seribu bahasa. Tak tahu nak bagi respons apa. Mata aku kerling ke arah along. Aku tahu dia dengar semua tu. Dan semestinya dia tak izinkan aku berkahwin dengan Rayyan tu. Mahu meletup nanti bila angah tahu. Dia tu pun anti dengan Rayyan. Kalau along dan angah bergabung mahu keluar kuasa Elemental macam dalam Boboiboy tu.

“Rai... jangan kecewakan bonda. Bonda sayangkan sangat dekat Rai. Dia nak sangat Rai ada pertalian dalam keluarga kita. Dia cakap itu saja impian dia sebelum dia menutup mata.”

Okey! Kejap... kenapa kena guna ayat macam tu minta simpati aku? Aku tak boleh. Serius. Kalau aku buat semua ni sebab bonda, Rayyan nak ke? Rayyan nak ke berkahwin dengan aku? Semestinya dia tak nak. Ya Allah, sakitnya kepala aku! Apa yang terjadi sekarang ni? Kenapa makin lama makin complicated jalan cerita hidup aku ni! Serius aku serabut!  

“Baba...”

Suara garau itu membuatkan aku menoleh secara refleks begitu juga along dan baba. Siapa lagi kalau bukan Rayyan Husaini. Dah lama aku tak jumpa dengan dia selepas aku angkat kaki keluar dari rumah tu. Boleh dikatakan ada perubahan sedikit. Macam tak terurus aje? Mana Serena? Dah kena tinggal ke?

Biy...” 

Aik! Baru seru dia. Terus muncul! Menyesal sungguh aku seru nama dia! Baru nak bersorak kalau betul Rayyan kena tinggal dengan perempuan ni! Tapi semuanya tu punah. Rupa-rupanya mereka masih bersama. Berani-beraninya dia datang sini. Minta makan kaki dengan baba agaknya.

“Siapa suruh dia datang?” soal baba. Dah mula panas dah! Habislah kau, Serena! Jangan ingat kau hebat sangat!

“Baba, please. Rayyan tak nak gaduh. Serena cuma nak melawat bonda...”

Beberapa kali baba menggelengkan kepala seraya melepaskan dengusan kasar. Dia menapak menghampiri Rayyan. Serena pula dengan mukanya yang acah-acah takut tu. Propaganda aje lebih! Naik menyampah aku tengok muka dia!

“Aku cakap aku tak nak dia datang sini! Kalau bonda sedar, nampak dia! Makin merosotkan kesihatan bonda! Keluar secara baik atau aku panggil security guard,” ugut baba. 

“Okey, okey. Rayyan hantar dia balik.”

Baba mencengkam pergelangan tangan Rayyan dan menarik Rayyan ke belakang tubuhnya. Muka baba masa tu sampaikan aku sendiri pun kecut tengok. Bengis gila!

“Kau ada kaki kan? Ada mata? Nampak pintu tu? Kau keluar sekarang! Jangan kacau keluarga aku!” Sedaya-upaya baba menahan amarahnya yang semakin membuak-buak. Nafasnya berombak laju. 

“Baba...”

“Kau diam, Rayyan Husaini.” Begitu keras nada suara baba. Tak pernah aku tengok baba setegang ini. Ini betul-betul dia dah marah tahap maksima sampaikan Rayyan sendiri pun terus jadi bisu.

Biy... auch!”

Baba menolak tubuh Serena sehingga dia jatuh terjelepok di luar pintu wad. Yes! Padan muka kau! Baru kau rasa! Tu baru sikitlah weyh! Buat malu aje perempuan tak sedar diri! Baba terus aje tutup pintu wad. Pandai pula tak masuk balik. Takutlah tu. Tak pun malu! Yelah, along tengok kot! Bukan aku aje...
  


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.