Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 5

BAB 5

KELUHAN demi keluhan aku lepaskan sebaik saja merebahkan diri di atas tilam. Pandangan dihalakan ke siling bilik yang dicat dengan warna biru pastel. Perlahan air mata aku mengalir dari tubir mata. Baju di bahagian dada aku cengkam perlahan. Bibir terkemam-kemam menahan esakan.

Apa salah aku pada Adam? Dan apa salah aku pada Rayyan? Kenapa semua lelaki yang aku jumpa pasti menyakitkan aku. Tidak pada awal atau akhir. Pasti mereka akan menyakiti aku. Tak layakkah aku mahukan kebahagiaan? Walaupun secebis....

Nur Aazeen Raihana, lepas ni kau kena keluar semua dari sangkar kesedihan yang membelenggu diri kau. Jangan kau terus terperangkap di dalam kesedihan. Kau tak akan dapat apa-apa. Bangkit kendatipun diri kau luka parah. Bangkit dan terus bangkit supaya orang tak akan pijak kau sesuka hati mereka seolah-olah kau tiada maruah diri.

Mata aku dipejam perlahan. Cuba mencari sisa kekuatan yang masih aku tinggalkan. Aku kena move on. Lupakan Adam dan abaikan Rayyan. Apa yang Adam buat itu kau anggap saja dia selama ini hanya mempermainkan kau. Dan lepas ni kau jangan mudah makan dengan kata-kata manis lelaki. Tentang Rayyan, kau lawan sekiranya dia melampau. Kau tegakkan maruah kau yang selama ini dia pijak. Kau adalah diri kau. Tak perlu ikut orang lain. Kau ada hak untuk hidup....

Ya. Aku akan kuatkan diri. Gagahkan diri aku untuk merangkak keluar dari dunia kesedihan. Cukuplah mereka yang telah menyakitkan hati aku. Minggu depan aku dah bekerja. Dari situ aku akan tonjolkan diri dan bakat yang aku ada. Rayyan Husaini? Aku akan anggap dia majikan aku bukan seorang abang. Dia tak pernah anggap aku sebagai seorang adik, begitu juga dengan aku. Aku tiada abang.

Pantas aku mengangkat tubuh menghampiri almari pakaian aku. Sehelai demi sehelai baju aku selak untuk dipakai untuk majlis nanti dan pada hari pertama bekerja. Aku nak siapkan awal-awal. Bolehlah lepas tu aku nak berehat sehabis baik.

*****

MAJLIS doa selamat yang diadakan di rumah aku sendiri disambut dengan meriah. Ramai sanak-saudara yang hadir. Ramai yang bertanyakan khabar sepanjang aku di California. Emma turut datang pada hari itu bersama abangnya. Kami berdua berceloteh panjang selepas saja habis membaca Yaasin dan doa. Sesekali aku mengerling ke arah Rayyan yang sedang berbual mesra dengan rakan-rakannya. Sebenarnya, memang susah untuk aku nampak Rayyan tersenyum dan ketawa.

Memang tak dapat aku nafikan, Rayyan memiliki rupa paras yang sempurna. Kulitnya yang putih melepak bagaikan Vampire dan senyumannya yang manis yang mampu mengusik tangkai hati kaum hawa. Tanpa sedar, aku turut tersenyum kecil.

"Rai, kau senyum dekat siapa?" soal Emma sambil melambai-lambaikan tangannya di hadapanku.

"Huh? Mana ada senyum? Aku termenung jelah...," nafi aku.

Emma mencebik.

"Macamlah aku ni tak nampak. Kau dok tersenyum-senyum? Kau pandang Rayyan tu macam kau pandang Prince Charming. Kau dah kenapa?"

Aku berkerut seribu. Melampau dia ni. Prince Charming apanya? Tak kena langsung gelaran itu untuk Rayyan. Dia tu dahlah playboy. Macam-macam perempuan dia bawa. Keliling pinggang dia saja.

"Haih... kau ni Rai. Parah dah aku tengok kau ni. Kau ni termenung apa sampai nak tembus dinding rumah kau ni? Kau ada masalah apa lagi?"

Aku menggelengkan kepala perlahan. Mata tak lepas memandang wajah Rayyan yang dihiasi dengan senyuman. Kenapa aku suka tengok senyuman dia? Gila ke aku ni? Kau tu adik dia Raihana, kau ni dah kenapa?

Pap!

Aku meringis kesakitan saat telapak tangan Emma mendarat tepat di atas permukaan peha aku. Perlahan aku menggosok peha aku seraya menyeringai.

"Tahu pun sakit. Aku ingatkan kalau dah mengelamun macam tu dah tak rasa apa. Mujur rasa sakit kalau tak tadi aku nak tambah dekat belakang kepala kau tadi. Biar hilang mengelamun kau ni. Aku cakap tadi ni mesti tak dengar kan?"

"Ish! Bebel je mak cik nilah. Aku dengar. Kau cakap aku ni termenung sampai nak tembus dinding tu, kan?"

Emma menganggukkan kepalanya seraya mengangkat ibu jarinya.

"Bagus kalau dengar. Kalau tak aku tunjukkan bakat cubitan ketam aku dekat kau tadi."

"Ah! Tak ada! Cubitan kau tu berbisa mengalahkan ketam!"

Sakan Emma mentertawakan aku. Aku pula hanya memasamkan muka. Kawan aku seorang ini memang tak sah kalau tak kenakan aku. Semakin ligat dia sekarang suka mengenakan aku.

"Kau kerja dekat syarikat baba kau kan nanti? Aku pula kerja dekat syarikat pak cik aku."

Laju saja dia tukar topik. Tahu takut bila aku tunjuk muka cemberut aku. Merajuk baru tahu!

"Syarikat pak cik kau dengan syarikat baba aku bukannya jauh kan? Lima minit berjalan dah sampai. Cun sangat weyh! Bolehlah lunch sama nanti kan?"

Laju Emma menganggukkan kepala. Tersengih aku dibuatnya. Tak adalah aku lonely nanti. Bolehlah tenang sikit bila ada Emma. Boleh aku mengadu dekat dia apa yang Rayyan yang buat dekat aku nanti.

"Baba kau lantik kau jadi apa?"

"PA Rayyan." Jawapan pendek aku membuatkan Emma melopong kecil.

"Seriuslah? PA mamat tu?"

Aku mengangguk.

"Baba suruh kau jadi PA dia?"

Angguk lagi.

"Raihana betul ke?"

Aku mengeluh kecil. Kawan aku ni dah kenapa? Nak cakap pekak, elok saja dia duduk sebelah aku ni. Rasanya dah cukup jelas aku bercakap. Tak akan aku nak buat pengumuman pulak?

"Ya, cik Emma Katrina Binti Abdul Afid."

"Uish! Terus jadi PA! Untung betul!"

Aku mengangkat kening sebelah. Untung dia cakap? Aku pun tak inginlah nak pegang jawatan tu kalau tak kerana baba. Mungkin orang lain akan gembira bila dapat pegang jawatan PA kepada majikan. Yelah. Boleh berangan macam dalam novel cinta tu. Jadi PA dan bercinta dengan majikan sendiri. Itupun kalau majikan tu single. Bujang trang tang tang! Aku ni? Jadi PA kepada abang aku sendiri? Nak jatuh cinta apanya? Cukup banyak dah aku buat dosa. Tak kuasa aku nak buat dosa. Lagikan dosa besar macam tu! Err....

"Tak apalah. Apapun... good luck! Aku doakan untuk kau selalu. Semoga urusan kau dipermudahkan."

Aku memeluk bahu Emma sambil tersenyum kecil. Kepala aku angguk perlahan. Walaupun kadangkala mulut Emma ni lepas, aku tetap sayang dia. Sekasar-kasar dia. Dia sentiasa untuk aku. Kami dah berkawan selama empat tahun ni dan kami betul-betul jaga hubungan persahabatan kami. Dulu kami bertiga, sekarang tinggallah aku dan dia. Berharap dan bergantung sesama sendiri. Seorang tu dah khianati persahabatan dia sendiri. Nak buat macam mana? Dah itu jalan yang dia pilih. Apa yang aku boleh buat?

Serena Shahar, dia kacukan Melayu-Lubnan. Emma Katrina pula kacukan Melayu-Pakistan. Serena wajah dia lebih kepada orang putih. Emma pula macam gadis hindustan. Aku dah banyak kali khatam cerita hindustan dengan dia ni. Dia pantang kalau ajak cerita hindustan. Aku pula tak ada kacukan tapi adalah berangan nak jadi kacukan Korea atau Jepun. Sampaikan Emma merungut setiap kali nak dengan dia nak tengok drama yang berlainan. Dia nak tengok drama hindustan manakala aku pula nak tengok drama Korea tak pun Jepun.

Emma sajalah kawan aku yang boleh aku harapkan sekarang ni. Kalau tak mesti aku seorang ni. Cerita hidup aku banyak aku ceritakan kepada Emma berbanding Serena. Mengenai Rayyan, hanya Emma saja yang tahu itupun sebab ada satu hari tu, aku tiba-tiba menangis sebab teringatkan apa yang Rayyan buat dekat aku dulu. Dari situlah Emma tahu dan ketika itu Serena keluar malam. Entah-entah masa tu keluar dengan Adam. Bukannya aku tahu....


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.