Home Novel Cinta I Love You 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 31

BAB 31

BUAT kali pertamanya Rayyan menghubungi aku dan mengajak aku untuk berjumpa dengannya pada malam ini. Emma yang sudah sedia maklum semestinya dia yang paling sibuk. Dia takut yang Rayyan akan mengapa-apakan aku. Emma aku mengekori aku dari belakang bersama Iman. Ke mana saja aku pergi mereka akan ikut. Mereka akan berkahwin lagi masa beberapa hari saja lagi. Sepatutnya mereka sibuk dengan persiapan majlis tetapi disebabkan Rayyan mengajak aku untuk berjumpa. Semua itu mereka berdua tolak ke tepi. Alasan Emma semuanya dah siap dan aku yang lebih utama. Terharu. Sangat terharu aku dapat kawan macam ni...

"Ingat pesanan aku. Jangan padam location aku. Telefon tu pegang je. Senang aku nak detect kau nanti," pesan Emma dengan nada serius. Seram pula dengarnya!

"Yelah. Aku akan pegang," jawab aku seraya menganggukkan kepala.

"Adik, Rayyan dah sampai kat depan rumah. Sayang, rasanya kita tak perlu ikut sebab Rayyan cakap nak jumpa ibu dan ayah I sekali."

Aku mengelip-ngelipkan mata aku beberapa kali. Angin apa yang sampuk Rayyan? Dia nak jumpa dekat rumah aje? Jumpa ibu dan ayah? Apa rancangan dia lagi lepas ni? Kalau betul-betul dia berubah disebabkan bonda dan baba. Aku bersyukur sangat!

"Seriously?" soal Emma seraya memandang aku dan Iman bersilih ganti.

"Yes sayang. Along pun dah ada dekat depan. Ibu dan ayah pun tengah borak-borak dengan Rayyan tu. Tengok Rayyan macam ada perubahan sikit. Macamlah...," kata angah.

"Erm. Dia ni pun satu. Kata nak ajak keluar. Pelik...," ujar aku.

"Dah tak payah nak pelik-pelik sangat. Diaorang semua tunggu adik. Dah cepat."

Aku ditarik oleh Iman dan Emma mengekori aku dari belakang. Haih... angah ni tak menyempat-nyempat...

"Adik... bakal suami adik datang ni...," ujar ayah dengan senyuman kecil diukir pada bibirnya.

Erk. Bakal suami? Serius? Ayah panggil Rayyan macam tu? Depan tuannya pula tu. Aduh, kenapa aku gelabah pula ni...

"Err... ya ayah..."

Aku melabuhkan punggung di sebelah ibu. Tangan ibu aku usap perlahan untuk menghilangkan keresahan di dalam hati. Aku tak tahu apa hajat Rayyan nak berjumpa dengan ibu dan ayah. Rasa lain macam pula...

"Saya jumpa ni sebab nak minta restu dari pak cik dan mak cik. Lagi beberapa hari saja lagi saya dan Raihana akan berkahwin. Saya akui, saya banyak buat salah dengan Raihana dan juga keluarga Raihana. Saya datang sini nak minta maaf."

Terkunci mulut aku saat mendengar bait-bait kata yang keluar dari mulut Rayyan sendiri. Rayyan Husaini ke yang tengah bercakap depan aku ni? Kenapa aura dia lain macam? Rayyan yang aku kenal tak macam ni. Lepas tu dia minta maaf? Aku rasa Rayyan depan aku ni salah rumah kut. Pelanduk dua serupa Rayyan Husaini ke ni?

"Kau betul-betul maksudkan dengan kata maaf kau tu?" soal along. Terserlah kegarangannya!

Rayyan tersenyum kecil sambil mengusap jari-jemarinya.

"Ya. Aku serius. Aku datang sini memang nak minta maaf sebelum nak ajak Raihana keluar makan malam dengan aku," jawab Rayyan dengan nada tenang. Sedikit pun tidak gelabah.

Aku nampak air muka along dan angah sepertinya sukar untuk percaya apa yang Rayyan cakap. Yelah, angin tak ada, ribut tak ada bahkan hari ni pun tak hujan. Tiba-tiba saja Rayyan datang semata-mata untuk meminta maaf. Kalau betul dia maksudkan dengan kata maaf dia tu, patut ke aku maafkan dia? Atau nak tengok apa permainan dia lepas ni? Lagi-lagi lepas aku berkahwin dengan dia. Fuh... salah ke aku berburuk sangka dengan Rayyan? Kalau betul-betul Rayyan berubah, aku yang berdosa sebab dah berburuk sangka.

"Ayah selalu doakan untuk Rayyan dan Raihana. Ayah tahu Rayyan yang selalu bersama dengan Raihana sejak dari kecil dan Rayyan lebih tahu Raihana macam mana. Ayah harap sangat Rayyan boleh menjaga dan melindungi satu-satunya puteri ayah. Ayah tak pernah jaga dia dari kecil disebabkan kemiskinan ayah ketika itu."

Mata aku berkaca mendengar percakapan ayah. Kenapa ayah kena cakap macam tu? Aku tak pernah pun marahkan dia. Tak pernah merungut apa-apa. Walaupun dia tak pernah jaga aku dari kecil tapi dia tetap wali aku. Dia tetap ayah kandung aku. Aku sayang ayah dan ibu macam mana aku sayangkan baba dan bonda. Mereka adalah hadiah yang paling indah dalam hidup aku. Dan aku sendiri tak tahu macam mana nak balas jasa mereka.

"Ya ayah... Rayyan cuba..." Perlahan saja suara Rayyan menjawab permintaan ayah.

Aku harap sangat Rayyan betul-betul dah berubah. Kalau betul dia berubah, aku akan cuba terima dia dan memaafkan semua kesilapan dia. Aku harap sangat... sebab...

"Adik... jauh termenung... fikir apa?" tegur ibu. Walaupun ibu tak dapat melihat, dia tahu yang aku sedang mengelamun. Sedikit lagi nak tersasar dah.

"Ya ibu. Tak. Adik cuma berfikir."

Ibu tersenyum kecil. Tangan aku diusap-usapnya lembut.

"Adik, tu Rayyan ajak keluar. Hati-hati," beritahu along sebaik saja dia memasuki semula ke dalam rumah.

"You kita nak ikut tak?" soal Emma.

Angah menggelengkan kepala. "Tak payah. Kali ni I percayakan Rayyan untuk malam ni. Apa-apa kita tunggu call saja dari Raihana. Rayyan ada bagitahu I yang dia bawa Raihana dekat taman tasik berhampiran dengan kedai makan situ je. Dekat sangat..."

Emma mencemik. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. Aku hanya tersenyum kecil. Tangan ibu, ayah, along dan angah aku kucup. Tubuh Emma aku peluk sebelum melangkah keluar dari rumah. Kelihatan Rayyan sedang menunggu aku sambil bersandar pada badan keretanya.

"Erm..." Aku pun tak tahu nak cakap apa. Nak sebut nama dia pun macam ada harta karun dalam mulut aku.

"Aazeen..."

Terdongak kepala aku saat dia menyebut nama aku. Bukan Raihana tetapi Aazeen! Eh, apa nak jadi dengan aku ni? Aku tengah tidur lepas tu mimpikan dia ke? Macam mana Rayyan boleh berubah macam ni cepat?

"Haa... ya?" jawab aku acuh tak acuh. Malu pun ada. Entah aku pun tak tahu nak terangkan macam mana. Jantung aku berdag-dig-dug aje dari tadi...

"Kau dah makan belum?"

Aku menggeleng perlahan. Dah dia yang ajak nak makan malam bersama. Tu sebab aku tak makan lagi.

"Jomlah pergi makan. Aku lapar...," ajaknya.

Pintu kereta bahagian penumpang dibuka untuk aku. Aku teragak-agak mahu masuk. Betul ke ni Rayyan Husaini? Kenapa dia ala-ala romantik nak buka pintu bagai untuk aku? Tak pernah-pernah lagi dia layan aku macam ni. Makin musykil aku dibuatnya.

"Kau nak makan apa?" soal Rayyan sebaik saja kereta bergerak dipandu oleh dirinya sendiri.

"Tak... tak kisah...," jawab aku. Kenapalah masa nak jawab soalan dia, air liur aku boleh pula tersekat dekat kerongkong ni. Haih...

"Kau kenapa? Cakap serupa tercekik tulang lembu je?" soal Rayyan bersahaja. Pandangan masih ditumpukan pada jalan raya.

Okey! Dia dah dok perli macam tu. Aku tahu ni Rayyan Husaini. Dia memang suka sindir-menyindir aku macam tu. Tapi malam ni perangai dia memang lain! Bukan sikit! Tapi banyak! Dia dah tak ada nak cari gaduh dengan aku lagi setiap kali berjumpa. Tapi yang aku perasan setiap kali aku pandang dia, mesti dia macam larikan pandangan dia. Biasanya dialah juara dalam merenung muka aku.

Aku harap sangat yang Rayyan tak buat hal lagi. Cuak juga bila berdua dengan dia...


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.