Home Novel Cinta I Love You 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 22

BAB 22

“KAU serius nak kerja dekat kafe tu? Pak cik aku tak kisah. Kau boleh terus masuk saja. Tapi tak apa ke kalau baba dengan bonda kau tak tahu?” soal Emma dengan nada risau.

“Emma, kau juga yang sakit hati bila Rayyan buat aku macam tak hati dan perasaan. Buat apa aku kerja dekat syarikat tu lagi. Baba dengan bonda tu pun sibuk dengan cawangan baru. Janji sekejap dengan aku tapi alih-alih terpaksa tangguh sebab ada kerja yang nak kena siapkan. Mereka berdua kena ulang-alik. Ezra setiap hari kacau aku! Aku serik doe, Emma!”

Sumpah! Aku dah tahan nak pergi kerja dekat situ lagi. Surat perletakan jawatan aku tempoh hari aku hantar langsung tiada balasan. Rayyan memang sengaja mempermainkan aku. Tak apalah. Aku boleh lari dari dia waktu kerja saja. Waktu dekat rumah kalau boleh aku terperap saja dalam bilik. Tak kuasa aku nak hadap muka singa dia tu. Kalau muka seiras singa yang comel tu, sedap sikit mata memandang. Ini tidak! Sekali pandang rasa nak muntah hijau aje!

“Okeylah. Kalau macam tu kau kena hadap dia dekat rumah jelah. Tak pun kau duduklah dengan aku sementara ni. Sebenarnya aku risau juga kalau kau tinggal berdua dengan dia. Kau dengan dia dahlah bukan adik-beradik kandung. Abang Edri pun risau dengan kau.”

Fuh! Emma sentiasa memberikan idea yang bernas! Bagus juga dia ajak aku duduk rumah dia. Ada betul juga dia ni cakap. Aku dengan Rayyan duduk serumah. Mahu datang si Rayyan tu kena sawan singa. Mati aku! Eh, kejap! Singa ada sawan ke?

“Hoi! Kau mengelamun apa? Penat aku membebel. Kau rindu abang aku ke apa? Jauh betul termenung.”

Membulat mata aku mendengar ayat dia. Rindu abang dia? Huish! Jauh betul tekaan dia.

“Kau ni memandai je kan? Mana adalah. Aku tengah fikir. Bagus juga idea kau tu. Kalau macam tu, aku pergi balik ambil baju lepas tu aku datang sini. Kau nak ikut ke nak tunggu aku kat rumah?”

Emma terdiam seketika sambil mengetuk dagunya.

“Iman nak ajak aku keluar sekejap lagi. Alang-alang tu kau ikutlah. Along kau pun ada sekali dengan isteri dan anak-anak dia. Kau joinlah sekali. Abang Edri malam ni shif malam. Jadi kita lepak sampai malamlah. Bukan selalu. Esok kau dah tak kerja dekat pejabat tu kan? Si Rayan tu tahu tak?”

Aku tersengih seraya menganggukkan kepala.

“Dia tahu. Aku dah bagi surat perletakan jawatan tapi dia tak respons. Gaji aku untuk bulan ni pun dah dapat jadi aku blah macam tu sajalah. Dah orang tak reti nak bagi respons. Asyik sibuk dengan hantu Kak Limah je?”

Berdekit-dekit Emma ketawa.

“Weyh! Tambah sikit! Hantu Kak Limah Jongang!”

Serentak aku dan Emma bergabung tawa. Mujur rumah ini boleh dikategorikan sebagai rumah kedap bunyi. Kalau tidak sampai jiran sebelah boleh dengar. Tak pun, segala jenis hantu dengar yang kami berdua menyeru dia. Uish! Jangan! Tegak bulu roma aku! 

*****

GENAP hari ini sudah seminggu, aku bekerja di kafe milik pak cik Emma. Seronok sangat kerja sini! Pak cik Emma pun peramah sangat! Sekali-sekala dapat usha-usha abang-abang kacukan datang kafe ni. Boleh tahan ramai yang datang ke kafe pak cik Rudi ni. Jumlah semua pekerja termasuk aku ada lima orang. Semuanya baik-baik belaka. Tak ada yang sombong-bongkak. Bagus! Selesa aku nak bekerja dekat sini!

“Hana! Ni ada pesanan pelanggan! Tolong weyh! Aku nak ke tandas!” Terkocoh-kocoh Amarin berlari ke arah aku. Betul-betul tak tahan gamaknya itu. Kasihan....

“Yelah, yelah. Letak situ. Aku buat.”

Thanksweyh!” jerit Amarin yang sudah semakin jauh dari pandangan aku.

Aku menggelengkan kepala seraya mengambil kertas pesanan di atas kaunter. Satu per satu pesanan aku baca. Semua sekali ada enam pesanan.

“Hana, nak aku tolong apa-apa ke? Tu pesanan baru?” soal Farhan.

“Hmm... kau boleh tolong buatkan air? Ada empat pesanan air. Yang lagi dua tu kek.”

Farhan tersenyum seraya menganggukkan kepalanya. Dia mendekati aku kemudian menunduk separas bahu aku untuk membaca pesanan yang tertulis di atas kertas. Sepantas kilat aku mengambil dua biji piring kecil dan mengambil dua potong kek yang dipesan oleh pelanggan tersebut. Bau kek dia, menusuk rongga hidung! Kecur air liur!

“Hana, ni aku dah siap. Kau nak aku hantar ke kau yang hantar?”

“Tak apa. Biar aku hantar. Terima kasih sebab dah buatkan air untuk aku. 

Farhan tersengih seraya mengangkat ibu jarinya. Aku membalas senyuman kemudian menatang dulang yang sudah diletakkan empat cawan air dan dua piring kek. Penuh berhati-hati aku menatang dulang itu menuju ke meja yang telah membuat pesanan itu tadi. Masa ni juga jantung aku berdegup kencang, tambah-tambah lagi aku ternampak satu susuk tubuh yang sepertinya aku kenal.

“Ni dia pesanan....”

Aku meletakkan cawan-cawan dan piring di atas meja. Dulang tadi aku peluk ke dada dan saat itu juga mata aku dan si dia bertembung. Jantung aku bagaikan berhenti dari berdegup. Kenapa banyak-banyak kafe, kafe ni juga dia nak datang! Aku kalau boleh tak nak dia muncul depan aku lagi! Tolonglah! Buat sementara baba dengan bonda tak balik lagi. 

“Ohh... sini rupanya kau lari, ya? Hmm? Aku ingatkan kau kerja dekat kelab malam. Al maklumlah kau kan ada buka perkhidmatan jual diri....”

Kawan-kawannya terdiam mendengar sindiran Rayyan sendiri. Aku? Aku dah biasa. Tak ada hal punya. Tapi dia ni dah melampau. Suara dia tu kalau bercakap, tak payah mikrofon pun tak apa! Ala-ala singa mengaum!

“Rayyan, kau boleh tak satu hari tak hina aku? Aku dah penatlah. Aku nak hidup dengan tenang. Boleh tak kau buat-buat tak kenal je aku?”

Berdekah-dekah Rayyan ketawa sampaikan pelanggan-pelanggan yang lain semua memandang pelik ke arah kami. Aku punya perasaan malu tu, tak tahulah nak terangkan macam mana. Panas muka dah aku rasa! Ya Allah! Kesabaran aku dah tahap maksima ni!

“Rayyan! Stop it!”

Salah satu piring kek yang berada di atas meja itu aku ambil dan terus menepuk kek itu pada wajahnya. Tergamam semua kawannya yang melihat keberanian aku. Saat itu juga, tawa Rayyan terpadam. Dia merenung tajam ke arah aku. Nafasnya berombak dengan laju begitu juga dengan aku.

“Sudah-sudahlah tu, Rayyan! Aku dah penat! Tolonglah, jangan kacau hidup aku! Aku tak pernah kacau hidup kau! Kenapa, eh? Kau suka cari pasal dengan aku? Kau suka aku ke?”

Rayyan mencengkam pergelangan tangan aku. Kemudian menarik aku rapat ke dadanya. Wajah aku dan dia sangat dekat sehingga masing-masing merasakan deruan nafas yang agak kasar.

“Berani kau buat aku macam tu...,” bisik Rayyan dengan nada keras.

“Ehem...”

Farhan menarik lengan aku sehingga ke belakang tubuhnya. Dia menghalang Rayyan daripada mendekati aku. Rayyan memandang Farhan dan aku bersilih ganti dengan riak yang tidak puas hati.

“Kau siapa nak masuk campur?” soal Rayyan. Lagak dia memang nak cari gaduh. Sudahlah krim menempel pada wajah langsung dia tidak hiraukan. Haih... dasar singa tak sedar diri!

“Saya kawan dia. Kenapa? Pesanan encik ada yang tak kena sampai nak berkasar dengan kawan saya?” soal Farhan dengan tenang.

Aku hanya mendiamkan diri di belakang tubuh Farhan. Tangan aku masih dipegang kemas oleh Farhan. Terasa janggal pula dia memegang tangan aku sepertinya tiada tanda-tanda mahu lepas.  

“Hei! Pantanglah aku macam ni! Kafe apalah ni! Blah lagi bagus!” Rayyan terus berlalu meninggalkan kawan-kawannya. Kalau aku jadi kawan Rayyan, tak inginnya aku nak keluar dengan orang macam dia tu. Menyakitkan hati!

Padan muka! Kau ingat kau senang-senang boleh buat aku? Aku harap sangat satu hari nanti baba dengan bonda tahu perangai kau sebenar! Yang kau tak pernah pun ambil kisah fasal aku! Semua sebab harta baba saja!


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.