Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 6

BAB 6

     SEHELAI skirt labuh berwarna pink pastel dan blaus berwarna putih berjalur halus siap disarungkan pada tubuh. Rambut diikat ekor kuda dengan kemas dan disepitkan supaya tiada helaian rambut yang terjuntai. Beg silang aku capai di atas meja solek lantas menuruni anak tangga sebaik saja pintu bilik ditutup.

     “Good morning, baba, bonda...,” ucap aku. Rayyan perlu ke? Aku rasa tak perlu. Ini hari baru aku jadi aku tak nak rosakkan mood aku untuk bertekak dengan dia.

     “Morning sayang...,” jawab bonda sambil tersenyum. Baba pula hanya mengangguk.

     Aku mengambil tempat duduk di sebelah Rayyan. Sengaja sebenarnya. Roti sandwich dan segelas air jus mangga aku ambil dan diletakkan di hadapan aku.

    “Rai, Rai tak usah drive sendiri ya? Baba minta Rayyan hantar Rai pergi dan balik memandangkan Rai selalu dengan dia.”

    Kunyahan aku menjadi perlahan seraya mengerling ke arah baba yang sedang menyuap mihun goreng ke dalam mulut. Aduhai... baba ni serius. Buat mood aku terus melayang. Kenapa aku nak kena naik satu kereta dengan dia sedangkan aku boleh saja memandu sendiri? Apa guna aku ambil lesen dulu? Aku ambil lesen seawal umur 17 tahun tau! Setiap tahun aku renew. Membazir macam tu saja? Cuma kereta sajalah aku belum ada.

     “Okey baba...,” jawab aku dengan nada suara dengar tak dengar. Aku bukan macam Rayyan jenis memberontak walaupun benda yang baba suruh tu aku memang ikutkan hati nak membantah tapi aku bukan jenis macam tu. Nak tak nak terpaksalah. Tunggulah aku kumpul duit sendiri untuk beli kereta. Tak payah lagi aku tumpang mamat sebelah ni.

     “Bagus juga tu baba. Senang sikit Rayyan nak jaga dia macam mana baba dengan bonda suruh tu.”

     Aku membuat mimik muka menyampah. Konon, jaga aku? Ke jaga diri sendiri? Pijak semut tak mati saja aku tengok Rayyan ni. Kejap tak setuju kejap setuju. Macam orang gila.

     “Baguslah kalau Rayyan dah ada rasa tanggungjawab nak jaga Raihana. Senang hati baba dengan bonda. Baba dengan bonda lepas ni jarang ada dekat rumah. Baba sekarang on the way nak buka syarikat dekat Thailand dengan Indonesia. Baba nak uruskan beberapa urusan jadi baba bawa bonda sekali. Rayyan jaga Raihana okey? Kalau apa-apa jadi dekat Rai, baba cari Rayyan.”

     Aku terdiam. Tidak tahu mahu memberikan respons apa. Sememangnya aku tak setuju. Rayyan nak jaga aku ke? Atau dia nak sakitkan hati aku saja nanti.

     “Erm... yelah baba. Rayyan jaga.”

     “Ingat pesanan yang pernah baba beritahu Rayyan sebelum ni...”

     Aku sendiri tertanya-tanya. Pesanan apa yang baba bagi sampaikan Rayyan bersetuju nak jaga aku?

    “Rai, jom.”

     Aku terpinga-pinga seketika. Dia tak nampak ke aku belum habis makan? Aku baru nak menikmati dengan berselera. Kacau daunlah mamat ni. Bencinya!

    Selepas bersalaman dengan baba dan bonda, aku terus menyarungkan kasut dan memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Tali pinggang keledar dipakai dan kereta meluncur laju ke jalan raya dipandu oleh Rayyan sendiri.

     “Kau dengarkan apa yang baba cakap tadi? Kau nak tahu apa pesanan yang baba bagi sebelum kau balik sini?”

     Aku sekadar mengangguk. Malas nak bersuara. Nak simpan suara untuk bercakap dengan orang tertentu sahaja.

    “Kalau aku ingkar, tak nak jaga kau. Baba akan tarik semua harta yang aku ada sekarang ni. Termasuklah duit simpanan aku dan kad kredit. Semualah senang cerita. Kau tahu tak, lahirnya kau ke dunia ini membawa satu bala yang besar untuk aku tau. Apalah nasib aku nak kena jaga orang macam kau ni. Pembawa malang dalam hidup aku. Kenapa kau tak mati je masa dalam perut ke masa lahir ke kan bagus? Tak adalah aku kena bala teruk macam ni...”

      Aku terkesima. Sampainya hati dia hina aku macam ni sekali. Apa dosa aku dekat dia? Ya Tuhan... sungguh berat aku nak kena hadap semua ini. Berilah aku kekuatan yang setinggi mungkin untuk berhadapan dengan manusia bernama Rayyan Husaini ini.

     “Kau dengar sini eh. Aku tak nak kau menyusahkan aku. Kau kena ikut apa yang aku suruh. Macam biasalah, aku akan aturkan kehidupan kau. Dengan siapa yang kau boleh keluar. Apa kau kena buat. Selagi aku tak bersuara untuk bagi arahan. Kau jangan ikut sedap kaki kau je nak buat sesuatu tu tanpa pengetahuan aku. Apa-apa jadi dekat kau dan baba tahu. Siap kau eh! Kau faham?”

     Aku mengangguk sekali. Tak kuasa aku nak sebut perkataan ‘faham’ tu. Sebab apa? Aku ada hak untuk aturkan kehidupan aku sendiri. Dia siapa? Abang? Istilah tu dah mati dalam hidup aku. Tak ada abang macam dia pun bagus. Lebih rela hidup sebagai anak tunggal.

                                 *****

     HAMPIR 30 minit aku berdiri, tercegat di hadapan meja kerja Rayyan. Dia pula langsung tak mempelawa aku untuk duduk. Dari tadi terbelek-belek isi kandungan dalam setiap fail yang menimbun di atas mejanya. Memang tak ada perasaan langsung. Mujur aku pakai kasut tumit tinggi dua inci. Kalau tidak mahu patah-riuk tulang kaki aku menunggu. Nak bersuara memang tidaklah. Lebih rela membisu. 

     “Hah, ni. Aku nak kau siapkan semua fail ni dan submit semula dekat aku sebelum lunch hour. Lepas tu susun semula semua jadual aku. Hari ini aku tak nak terima sesiapa. Meeting aku semua batalkan. Pandai-pandai kaulah cakap. Kau kacau aku siap kau.” 

     Fail yang terakhir diletakkan kasar sehingga salah satu fail yang berada di atas meja jatuh tepat mengenai kakiku. Sakit tak usah cakap. Kena betul-betul pada bucu fail tu. Aku rasa nak menangis sekarang ni tapi aku tak nak tonjolkan air mata aku depan dia. Sah-sahlah dia akan label aku sebagai seorang yang lemah. 

     “Hah, dah kenapa berkerut-kerut? Tak puas hati? Ada benda yang kau nak bantah?” 

     Aku menggeleng perlahan. Fail yang jatuh tadi aku ambil bersama dengan fail-fail yang lain. Kesemuanya ada empat buah fail yang perlu aku siapkan. 

     “Aku tak nak ada apa-apa kesilapan dalam fail tu. Aku jumpa kesilapan atau tak kemas kerja kau. Kau tunggu fail tu terbang tepat kena dekat muka kau. Kalau kau tak faham atau tiba-tiba terasa bodoh tak reti nak buat. Kau boleh tanya staf-staf dekat depan. Jangan pandai-pandai nak tekan interkom nak tanya-tanya aku. Tak ada masa kau nak layan kau.” 

     “Baik,” jawab aku perlahan. Bersedia untuk melangkah keluar dari bilik kerjanya. Masalahnya bilik aku sendiri pun aku tak tahu dekat mana. Aku nak buat kerja dekat mana? Pantri? 

     “Auch...” Habis fail-fail yang aku bawa bertaburan jatuh di atas lantai di saat seseorang yang melanggar aku dari tepi. Aku tak pastilah dia nampak aku tidak. Tak akanlah aku ni halimunan. Terang-terang aku berdiri dekat depan pintu bilik kerja ni. 

     “Eh, maafkan saya, cik,” ucap si gerangan yang telah melanggar aku tadi. 

     Mujur dia minta maaf. Sejuk hati ni sikit. Kalau perangai macam Rayyan juga. Aku hempuk empat-empat buah fail ni dekat kepala dia. Biar dia nampak dengan jelas. 

    “Cik okey? Saya tak perasan. Maafkan saya.” 

     “Tak apa, saya okey.” Aku mengutip semula fail yang bertaburan di atas lantai. Dia pun turut membantu aku. Sesekali aku nampak dahinya berkerut. Entah apa yang dikerutkan pun tak tahulah. 

     “Cik ni PA baru Tuan Rayyan ke?” 

     Aku tersenyum seraya menganggukkan kepala. Fail-fail tadi aku peluk rapat ke dada. Agak lama dia merenung wajah aku. Ada apa-apa tak kena ke dengan muka aku? 

     “Oh. Saya Ezra Qadrif. Project Manager.” Dia menghulurkan tangan untuk berjabat. 

     Aku teragak-agak mahu menyambut huluran tangannya. Sekejap saja. 

     “Saya Nur Aazeen Raihana. Panggil saja Raihana.” 

     “Nice name. Cantik nama macam tuan dia. Raihana tahu bilik Raihana dekat mana?” 

      Secara jujur, aku menggelengkan kepala. Memang tak tahu. Sampai-sampai saja tadi terus masuk bilik kerja si Rayyan ni lepas tu menghadap nak dekat 30 minit. Macam tu jelah. Tak ada nak kenalkan aku dengan staf. Tak ada nak tunjuk dekat aku mana bilik aku. Dia ingat aku ahli nujum boleh tahu semua. 

      “Mari, Ez tunjukkan...” 

      Aku tersenyum lega. Ada juga manusia yang baik masih hidup dekat muka bumi ni. Syukurlah ada Ezra yang sudi membantu aku yang kosong ini.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.