Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 48

BAB 47

SUDAH sejam aku menunggu baba masuk pejabat. Mereka cakap baba masuk lambat sikit hari ni. Rayyan pun tak nampak batang hidung apatah lagi Serena. Aku tak nak ambil tahu apa yang terjadi dengan mereka berdua. Sekarang aku kena selesaikan masalah aku dengan cepat dan pergi dari terus bersama Atiana. Kandungan aku yang baru mencecah 2 minggu, aku diamkan saja dulu. Aku tak nak bertambah-tambah lagi masalah. Biarlah aku jaga anak ini seorang diri. Aku boleh. Dengan adanya Atiana yang boleh membantu aku saat ini. Emma juga menyokong aku dari belakang. Selalu.

Aku berdiri di hadapan papan notis bersama satu helaian kertas yang siap aku cetak. Dalam helaian kertas itu, aku menerangkan siapa sebenarnya Serena dengan Rayyan dan nama Serena yang telah dihitamputihkan oleh baba sendiri untuk tidak menjejakkan kaki di Husaini Holdings lagi. Emma baru saja sampai bersama angah. Along pula pantau dari rumah. Adam membantu aku menampal kertas itu pada papan notis dan mengajak aku untuk tunggu di satu ruangan tidak jauh dari situ.

"Nanti jumpa Rayyan. Nak Adam tolong ke?"

Aku menggelengkan kepala. "Tak apa. Rai, jumpa sendiri je. Adam dengan Atiana tunggu sini ya. Kalau Emma dengan angah tanya, cakap je Rai nak jumpa Rayyan sorang."

Adam akur. Dia tak banyak cakap. Dia sememangnya faham akan semua kehendak aku. Dia tak ada nak menambah-nambahkan kerumitan lagi dalam masalah aku. Kalau aku kehendak aku betul-betul tak sesuai dengan situasi baru dia tegur aku sekali gus menasihati aku.

"Apa ni?" tempik Rayyan secara tiba-tiba.

Serentak aku dan Adam menoleh secara mengejut. Atiana memandang Rayyan dengan riak muka tak puas hati. Aku suruh dia duduk sini saja. Tak bagi untuk dia masuk campur. Takut makin panjang pula prosesnya.

"Rayyan...," panggil aku perlahan setelah aku berdiri tidak jauh darinya. Para pekerja yang lain sudah berlalu dari situ selepas ditempik oleh Rayyan.

"Aazeen... apa kau buat?"

Aku hanya tersenyum kecil. "Aku tak buat apa-apa. Tu semuanya fakta. Daripada Husaini Holdings ni jatuh merundum disebabkan kepentingan kau dan Serena. Baik aku beritahu baba. Kau kahwin dengan aku atas asbab nak harta je. Kau bukan ikhlas. Kau gila harta." Seboleh-bolehnya kau menahan amarah aku demi anak di dalam perut aku ini. Aku tak nak terkesan pada dia. Aku sayangkan dia. Ada sebab dia hadir dalam hidup aku. Aku tak pernah marahkan dia apatah lagi benci. Dia anak yang sah taraf. Anak aku dan Rayyan. Walaupun ketika itu aku tak rela.

"Kau tak boleh buat aku macam ni. Okey, kalau kau nak bagitahu yang sebenarnya Serena kena blacklist, aku boleh terima. Tapi jangan kau bagitahu apa yang aku selama ni dekat belakang baba dengan bonda. Aku merayu."

Aku terdiam. Mata aku dari tadi tak lepas dari merenung matanya. Merah. Sembap. Ada garisan hitam di bawah matanya. Tapi semua tu sikit pun tak meraih simpati dari hati aku. Aku dah banyak kali kena tipu dengan dia. Dia mempermainkan perasaan aku. Sampaikan sifat belas kasihan aku mati sebab dia.

"Kenapa selama aku hidup dengan kau. Dari aku kecil sampai sekarang, kau boleh je buat semua dekat aku. Kau boleh jatuhkan maruah aku. Rampas maruah aku. Fitnah aku. Malukan aku depan orang ramai. Kau buat aku macam tak ada perasaan. Aku ada hati. Aku ada perasaan, Rayyan." Gugur sudah air mutiara aku yang sejak dari tadi aku tahan untuk tidak tumpah. Tetapi gagal jua.

Rayyan terdiam.

"Sampai bila kau nak tipu baba dengan bonda? Kau tak kesian dekat diaorang yang dah bersusah-payah demi kita? Kau sikit pun tak nak berubah. Dah banyak peluang aku bagi sampaikan aku masuk dalam perangkap perkahwinan kau ni. Aku reda kalau betul baba dan bonda nak sangat aku jadi sebahagian dari keluarga ni. Tapi kau rasa, sampai bila aku boleh tahan macam ni. Aku teringin juga nak menjalani hidup biasa macam orang lain. Tak ada siapa kacau. Senang cerita, kita selesaikan cara baik. Ceraikan aku. Dan aku tak akan muncul dalam hidup kau lagi. Anggap je aku dah mati."

Aku masih lagi merenung Rayyan. Mungkin inilah kali terakhir aku lihat wajahnya. Ya, aku akui. Aku akan rindu senyumannya yang sentiasa mencuit hati aku. Tapi ia tak akan mampu mengubat hati aku yang hampir mati ini. Cincin perkahwinan di jari manis aku, perlahan aku tanggalkan. Mata masih tidak lepas memandang ke arahnya. Rayyan seakan-akan terkejut melihat aku mencabut cincin perkahwinan kami. Setapak demi setapak aku melangkah mendekatinya.

"Ambil semula cincin ni, Rayyan. Terima kasih untuk semuanya. Ampunkan Aazeen sepanjang Aazeen jadi isteri Rayyan. Halalkan semuanya. Lepaskan Aazeen. Aazeen janji yang Aazeen tak akan muncul dalam hidup Rayyan lagi. Selamanya." Sungguh perit untuk aku ungkapkan setiap bait ayat itu. Seksa dada aku dibuatnya.

"Aazeen, kita..."

Aku menggelengkan kepala. Cincin itu langsung dia tak nak ambil dari tangan aku. Sampaikan beberapa kali aku paksa untuk dia ambil tetapi dia tetap degil. Sengaja mengelat tangannya dari mengambil cincin itu.

"Kita bin..."

"Betul ke, Rayyan?" Kedengaran suara baba dari belakang aku. Lantas aku menoleh dengan reaksi sedikit terkejut.

"Baba..."

"Betul ke tak?" tengking baba.

Aku mengundur ke tepi. Tak mahu terlalu dekat dengan baba. Aku tahu baba tengah marah. Mengamuk. Aku tak nak baby dalam perut aku ni terkena tempiasnya. Dia masih kecil lagi, tak patutnya dia dengar semua benda macam ni.

"Baba, Rayyan minta maaf. Rayyan janji Rayyan akan pulihkan semua ni. Tolong, baba."

"Apa yang kau nak pulihkan lagi? Aku dengan bonda kau percaya kau bulat-bulat tau. Selama ni apa yang kami bagi tak cukup lagi ke, Rayyan?"

Rayyan memandang aku dan baba bersilih ganti.

"Baba, Rayyan mengaku Rayyan memang seksa hidup Aazeen sebelum ni. Sebab... baba sendiri yang buat Rayyan jadi macam ni. Baba buat Aazeen jadi kunci kepada harta-harta baba. Rayyan tak nak baba jadikan Aazeen sebagai pewaris harta baba. Dia bukan anak kandung. Anak kandung baba cuma Rayyan dengan arwah adik je."

"Kau jangan nak babitkan dengan orang yang tak ada. Cukuplah kau dah seksa isteri kau sendiri selama ni. Sebelum dia jadi isteri kau lagi. Sikit pun aku tak pernah tahu. Pandai kau kan, Rayyan? Alasan! Semua yang kau cakap tu alasan. Kau dari dulu memang tak suka dia, kan? Bonda jaga dia pun, kau asyik memberontak je kan? Dari kecil sampai ke besar. Sama je tak pernah berubah," tengking baba. Dadanya berombak laju.

"Baba... Rayyan janji..."

"Diam. Aku tak nak dengar sebutir huruf pun dari mulut kau. Apa yang aku kau tahu sekarang ni. Aku kecewa dengan kau. Apa istimewanya Serena dari Raihana? Tak cukup baik ke Raihana untuk kau? Kau buta ke? Kau tak nampak kebaikan yang dia dah buat dekat kau. Semua belang kau dia tutup ketat supaya aku tak nampak. Aku cuma nampak yang korang dulu bergaduh-gaduh macam tu aje. Aku tak pernah terfikir yang hati kau ni busuk!"

Aku mengalirkan air mata. Kenapa aku rasa serba-salah sekarang ni? Aku tak mampu nak tengok Rayyan menangis sekarang ni. Buat kali pertamanya dia menangis depan orang ramai. Salah aku ke? Ya Allah...

"Aku malu ada anak macam kau. Aku letak Raihana sebagai kunci harta dia sebab aku terhutang budi dengan keluarga dia. Kalau tak kerana keluarga dia, kau tak akan hidup senang. Diaorang tak pernah tuntut kat aku satu sen pun. Diaorang ikhlas tolong aku asalkan aku boleh jaga Raihana sebab masa tu diaorang hidup susah sangat. Diaorang susah pun, masih lagi nak tolong aku yang terumbang ambing ni. Kau nak cakap apa, Rayyan?"

Aku terdiam. Jawapan yang sebenar telah terungkap. Aku sendiri tak pernah tahu sebelum ni. Apa yang aku tahu, dulu ayah ada tanah sendiri dan tanah tu sekarang dah dijual. Rupanya ayah yang tolong baba dulu untuk menaikkan perniagaannya. Baba setiap bulan buat pemindahan duit dalam akaun ayah tapi ayah tak pernah pakai. Ayah tak pernah pakai satu sen pun. Allahu...

"Aku tak nak tengok muka kau lagi, Rayyan. Kau balik rumah sekarang! Urusan kita belum selesai."

Nak tak nak Rayyan berlalu pergi meninggalkan kami berdua.

"Rai, ikut baba. Baba ada nak bincang sikit."

Aku hanya akur dan mengekori langkah baba masuk ke dalam perut lif. Sempat lagi aku mengerling ke arah Atiana, Adam, Emma dan angah. Diaorang hanya mengangguk saja.

Rayyan....

Salah aku ke sekarang ni? Ya Allah... kenapa aku rasa serba salah sangat?


Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.