Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 3

BAB 3

     PERISTIWA itu masih menghantui aku. Sedikit pun aku tak dapat nak melupakannya. Walau sedetik. Terbayang-bayang wajah Adam dan Serena yang kelihatan mesra tempoh hari. Seboleh-bolehnya aku tak mahu membazirkan air mataku tetapi setiap kali aku teringatkan situasi itu pastinya aku menangis. Hati aku sakit. Hancur....

     “Rai, are you ready?” soal Emma sebaik saja dia meletakkan bagasi di dalam but teksi.

     Aku tidak menoleh. Hanya kepala saja yang mengangguk. Mata aku mengimbas rumah sewa yang selama empat tahun lebih aku duduk bersama Emma dan Serena. Gelak-tawa kami bagaikan baru kedengaran semalam tetapi hakikatnya semua itu hanya menjadi kenangan. Dan aku rasa, kenangan yang tak patut aku ingat semula selepas Serena mengkhianati persahabatan aku dengannya.

     Hari ini aku akan berangkat pulang ke tanah air setelah aku berjaya menamatkan pengajian aku di sini selama empat tahun. Selepas peristiwa itu, aku dan Emma mendapat tahu, Serena berhenti pengajiannya secara mengejut. Adam pula tidak sudah-sudah datang mahu berjumpa dengan aku. Aku terus-menerus mengelat untuk tidak berjumpa dengannya.

     “Kau ada bagitahu Adam ke yang kau balik hari ni?”

     Aku menggelengkan kepala. Tak patut pun aku beritahu dia. Tak ada manfaatnya. Dia dan aku dah tak ada apa-apa. Dia dah bunuh perasaan cinta aku pada dia. Hanya darah saja yang masih menempel dalam dadaku.

     “Jomlah kita gerak. Aku tak nak mamat tu datang tiba-tiba pulak. Kang menjadi satu masalah.”

     Aku dan Emma terus memboloskan diri masuk ke dalam teksi. Sepanjang perjalanan aku hanya termenung ke arah luar tingkap. Suasana sekitar bandar California ini hanya menjadi momen indah dan buruk aku saja. Aku sendiri tidak tahu bila lagi aku dapat menjejakkan kaki di sini.

     “Betul ke abang kau ambil kau?”

     “Ya kot. Baba yang call aku semalam. Dia ada meeting. Bonda pula ada perjumpaan persatuan. Jadi dia yang ambil. Baba tak bagi aku balik naik Grab atau teksi.”

     “Kau sure nak balik dengan dia ke? Tak nak balik dengan aku? Abang aku pun ambil aku ni. Dia habis kerja terus bertolak ke KLIA.”

     Aku hanya tersenyum segaris.

     “Nak tak nak kenalah hadap. Aku tak nak baba banyak soal. Sekejap lagi mahu tak bergaduh baba dengan abang aku tu. Serabutlah aku. Diaorang tu tak sah kalau tak bergaduh sebab aku.”

      Emma membisu. Dia seorang saja yang tahu bagaimana sikap abang aku yang satu itu. Aku dan dia hanya dua beradik. Sejak dari kecil dia tak pernah layan aku seperti adik sendiri. Serius. Aku rasa diri aku ni macam pendatang asing dekat rumah dia tu. Sedetik pun kami tak pernah berbaik. Dia memang jenis tak nak berbaik dengan aku. Dia suka mengongkong dan memaksa aku atas alasan baba dan bonda suruh dia jaga aku. Aku dah besar. Umur aku pun dah atas 18 tahun dan aku rasa aku tak perlu dijaga oleh sesiapa. Aku mampu jaga diri aku sendiri.

     “Rai, dah sampai. Jom,” ajak Emma sambil menyiku lengan aku.

     Aku tersentak lantas keluar dari perut kereta. Bagasi aku tarik, berjalan beriringan dengan Emma masuk ke balai perlepasan. Sempat aku mengerling telefon bimbitku yang berkelip-kelip cahayanya. Tertera nama Adam pada skrin. Tanpa berfikir panjang, aku meleretkan butang merah dan simpan semula ke dalam beg silang aku.

*****

      “EMMA, apa-apa call tau. Bye! Sayang kau! Take care!” Aku melambaikan tangan ke arah Emma yang sudah jauh dari pandangan aku.

      Sekarang ni aku nak kena cari si abang yang sudah sampai katanya. Ada ke patut dia suruh aku cari dia sendiri dalam masa 20 minit. Kalau tak dia tinggalnya aku. Aku tak kisah sebenarnya. Boleh saja balik naik Grab. Berlambak Grab dengan teksi dekat KLIA ni. Tapi apakan daya, aku tak naklah menjadi punca abang dan baba bertekak. Sudahlah hari ini pertama aku balik setelah empat tahun aku tak balik langsung.

     “Ya Allah, mana mamat ni? Lobi ke? Hurm...”

      Buk!

      “Eh, cik maafkan saya!” Si gerangan yang melanggar aku itu terus menahan lengan aku dari jatuh ke lantai.

      Aku segera mengimbangi badan aku dan menarik perlahan lengan aku. Bibir aku lorekkan sedikit senyuman supaya tidak dilabel sebagai manusia sombong.

      “Maafkan saya juga, saya tak nampak,” ujar aku dengan senyuman yang masih terukir.

      Dia memandang aku lama seolah-olah terpukau. Apa masalah dia? Aku pun tak tahu.

      “Saya kena cepat ni. Bye!” ujar aku kemudian sepantas kilat aku berlari ke lobi. Meliar anak mata aku mencari kelibat Rayyan. Manalah dia ni? Kenapa suka seksa aku? Memang tak berubah-ubah perangai dia. Tension aku!

      “Hah, cari apa? Aku dekat tepi kau macam ni pun tak nampak? Handsome sangat ke aku ni sampai buta mata kau tak nampak aku?”

      Haa.... itu dia. Encik Rayyan Husaini sudah berkokok di siang hari. Nampak saja aku semestinya dia akan terus cari gaduh dengan aku. Tak kira masa dan di mana jua. Pergaduhan bagaikan salam perkenalan kami selepas empat tahun tidak bersua muka.

     “Oh, kat sini? Rai cari juga mana abang tadi. Dah abang tak nak bagitahu abang dekat mana? Nak main chak-chak pulak kan?” sindir aku selamba.

      “Eh! Budak, kau tak payah nak berabang-adik sangat eh. Geli aku dengar. Kau dah lupa ingatan ke lepas empat tahun terlepas dari sangkar? Aku kan suruh kau guna panggilan ‘kau’ dan ‘aku’ saja. Tak ingat?” Selamba saja dia ni tarik ekor rambut aku sampai aku terundur ke belakang.

     “Ya. Ingat. Tak payahlah nak tarik rambut aku. Semak ah! Balik-balik je nak kena hadap muka kau yang macam buaya bergerutu ni!”

      “Apa kau cakap? Bodoh betul budak ni. Saja nak naikkan angin aku. Kau pergi dekat kereta aku sekarang. Aku nak kena pergi pejabat lepas ni! Ikutkan hati aku malas nak ambil kau! Fikirkan baba dengan bonda je! Kalau tak boleh pergi mati!”

      Dia terus berjalan meninggalkan aku di belakang. Sumpah! Aku tersentap dengar ayat dia walaupun bukan hari ini saja dia macam tu. Sebelum-sebelum ni lagi teruk. Sampai aku rasa yang aku ni memang bukan betul-betul adik kandung dia. Semakin lama aku mendapat rasa ada sesuatu antara aku dengan keluarga Rayyan ni. Dulu aku mentah, tak boleh nak fikir semua ni. Tapi sekarang tak lagi. Aku dah boleh berfikiran lebih waras.

      “Woi! Kau tunggu apa! Masuk!”

      Terhinjut bahu aku dibuatnya. Banyak mata-mata sudah menjeling-jeling ke arah aku. Ni semua sebab si bapak singa ni! Memang suka memalukan aku di khayalak orang ramai. Memang maruah aku ni senang betul nak dipijak-pijak dengan dia. Terpaksa aku menebalkan muka dan terus menghenyakkan punggung masuk ke dalam kereta. Bagasi pun aku selamba saja letak atas seat sebelah aku.

     “Woi! Mangkuk! Luggage letak belakang gila! Kotorlah kereta aku! Lepas tu duduk depan! Apa kau ingat aku ni driver kau nak duduk belakang bagai!” tengkingnya.

     Aku mengajuk apa yang dia cakap sambil keluar semula dari kereta dan memasukkan bagasi di dalam but. Kemudian membuka pintu di bahagian penumpang. Dengan segera aku masuk ke dalam keretanya sambil bersilang tangan. Pandangan aku tumpukan pada suasana luar saja.

     Tak kuasa aku nak tengok muka mamat sebelah ni! Patutnya hantar dia ni pergi zoo! Baru boleh duduk satu habitat dengan dia!


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.