Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 32

BAB 32

PINTU bilik kerja baba aku tolak perlahan. Ya. Aku akan bekerja semula di syarikat ini sebagai PA baba. Rayyan tak ada PA. Aku sendiri pun tak tahu berita tentang Serena. Baba cakap buat masa beberapa bulan ini dia akan berada di pejabat. Nanti dia akan berulang-alik ke Sarawak untuk uruskan cawangan baru lagi. Nanti semua kerja diserahkan kepada Rayyan.

“Baba... good morning...” Senyuman manis dan selebar-lebarnya aku hadiahkan buat baba.

Good morning, dear. Come. Rayyan mana? Bukan pergi sekali?”

He’s downstairs. Dia berjumpa dengan Adam sekejap. Maybe pasal projek Trio tu.”

Baba mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Fail yang berada di hadapannya berkali-kali dibelek. Aku melabuhkan punggung berhadapan dengan baba.

So, pre-wedding Rai dan Rayyan dah siap?” 
 
Aku tersenyum nipis. Nak teruja ke tak, eh? Aku rasa macam tak payah. Walaupun Rayyan dah tak tunjuk perangai lama dia tu. Perkahwinan aku dan dia pun dah tak lama lagi. Aku rasa macam tak percaya aje. Betul ke aku nak kahwin dengan dia? Betul dia dah berubah? Aku masih lagi rasa ragu-ragu.

So far, dah nak siap baba. Cuma baju nikah dengan sanding aje belum ambil. Tunggu hari minggu ni. Rayyan ada ajak untuk ambil.”

Baba menganggukkan kepalanya. 

“Baba, can I ask you something?” 

Yes, dear. What is it?”

“Apa jadi dengan Serena Shahar? Rayyan’s PA?” tanya aku dengan nada perlahan. Aku tak nak Rayyan tahu yang aku tanya pasal Serena dekat baba.

“Baba dah berhentikan. Blacklist sekali. Tak sedar diri. Macam mana Rayyan boleh sesuka hati ambil dia sebagai PA? Result pun teruk.” 

Pergh! Selamba aje baba kutuk. Betul-betul marah baba. Result teruk! Huish! Sentap sekejap dengar walaupun bukan result aku. Kalau dekat tempat aku semestinya malu berhabisan. Merah satu muka bagaikan buah delima.

“Baba...”

Serentak aku dan baba menoleh ke arah empunya suara. Rayyan masuk bersama Adam dan Ezra. Aku terkaku. Asal sampai tiga orang masuk dalam bilik baba ni? Pergh! Secara automatik darah naik satu muka aku.

“Hah. Rayyan, Adam dengan Ezra. Ada baba nak bincang sedikit. Rai, tolong catatkan info-info baba nak cakap dengan diaorang ni.”

Aku akur saja. Mematung ajelah aku sambil menulis pada buku nota. Tak nak aku bersemuka dengan diaorang. Entah tiba-tiba jadi malu! Argh!

******
 

AKU hanya mampu tersenyum saja apabila baba bercakap mengenai perkahwinan aku dengan Rayyan tak lama lagi. Adam dari tadi hanya tersenyum, merenung ke arah aku manakala Ezra memandang aku dengan satu mimik muka yang tak dapat ditafsirkan? Kecewa? Sedih? Entah aku sendiri pun tak tahu. Macam-macam ragam. Macam-macam muka yang aku kena belajar lagi gamaknya ni.

“Rayyan janji, Rayyan akan jaga Aazeen macam mana baba suruh lepas kami bernikah.”

Aku terkedu apabila Rayyan duduk di atas sisi bibir sofa kemudian memeluk bahu aku selamba badak dia aje. Nak tepis ada baba. Adam dengan Ezra perhati saja. Rayyan ni saja ke apa? Asal tiba-tiba dia macam ni? Makin kuat perasaan ragu-ragu aku...

“Raihana? Dengar tak apa Rayyan cakap tu?” Soalan baba mengejutkan aku dari lamunan. 

“Hah... ya. Dengar...” Aku sengih paksa.

Aku mengerling ke arah Rayyan dan tika itu juga Rayyan tersenyum ke arah aku. Senyuman dia.... Eh! Raihana! Kau gila ke? Nak angau sebab senyuman dia, huh? Kau tak ingat apa yang dia dah buat dekat kau selama kau hidup sebumbung dengan dia? Kau tak ingat dia pernah pijak maruah kau? Kau kahwin dengan dia sebab bonda kau tu je! Dah lama-lama nanti, kau minta cerai dengan dia! Tak kuasa nak sebumbung dengan orang yang pernah merendah-rendahkan maruah kau!

“Rai, jom. Kita lunch sama-sama?” soal Rayyan sambil mengusap bahu aku lembut.

Aku memandang sekeliling. Sejak bila Adam, Ezra dan baba dah keluar? Pergh! Aku mengelamun sampai tak perasan diaorang dah keluar. Dasyat betul.

“Haa... okey...” Aku bangun bersama Rayyan, ketika itu juga Rayyan menggenggam tangan aku erat dan kami berjalan beriringan keluar dari pejabat. Rasa kekok pula bila berjalan macam ni dengan dia. Selama aku jadi adik dia, mana pernah sekali kami macam ni. Tu sebab aku rasa janggal. 

“Kau kenapa? Macam batu je tangan? Malu ke?” soal Rayyan setelah membukakan pintu kereta untuk aku.

“Err... tak ada apa-apa...” Aku tersenyum kecil seraya menggelengkan kepala. Kau boleh tanya kenapa? Dia ni hilang ingatan ke apa? Dah lupa ke apa dia dah buat kat aku dulu? Dia ingat dia nak berubah macam ni, aku boleh terima dia seratus peratus? Sorry to say. Aku kena betul-betul pastikan baru aku boleh terima dan maafkan.

*****

“AAZEEN...”

Berderai lamunan aku saat mendengar suara garau menyeru nama aku. Depan aje pula tu. Terkejut aku dibuatnya. Kenapa dengan aku ni? Selalu mengelamun tak tentu fasal. Lagi-lagi dengan bapak singa ni. Sudahlah kena makan dengan dia. Duduk bertentangan pula tu. Dah macam pasangan kekasih.

“Kau masih tak boleh terima aku ke? Kau tak percaya aku dah berubah? Kau tak boleh maafkan aku? Bagi aku peluang?”

Bertubi-tubi Rayyan mengajukan soalan kepada aku. Seketul soalan pun aku tak sempat nak jawab. Beria-ria betul dia ni menyoal. Dengan muka, nak cakap macam mana ya muka dia? Macam tengah layan K-Drama babak sedih. Hah! Macam tulah. Muka sayu aje. Minta simpati. Dia memang suka menguji emosi aku. Aku ni tak boleh tengok muka sedih-sedih. Simpati macam ni. Haih.... Payah! Ada hati baik sangat macam ni! Eh, tu bukan puji diri sendiri, eh! 

“Err... tak. Bukan macam tu. Aku terkejut je tengok perubahan kau. Yelah, takkanlah drastik macam ni? Sebab bonda ke? Tapi sebelum ni kalau sebab bonda kau tak ada berubah pun.... "

Ambil! Setepek aku bagi! Betullah apa aku cakap! Dulu kalau dia buat demi bonda ke baba ke? Belakang diaorang tak adanya dia nak berbaik dengan aku macam ni. Tu aku hairan bin ajaib!

Rayyan tersenyum nipis. Kecil. “Ya. Aku sedar aku silap. Banyak buat dosa dengan kau. Aku asyik terfikir aje pasal kita. Pasal apa yang aku dah buat sepanjang kita duduk sebumbung. Apa yang baba dengan bonda cakap tempoh hari masa perbincangan pernikahan kita. Dari situ aku tersedar sesuatu...”

Aku berkerut. Merenung wajah Rayyan Husaini ini dengan kadar yang agak lama.

“Aku suka kau, Raihana. Aku terlampau ikutkan ego aku.”

Aku tercengang. Su... suka? Suka sebagai apa? Eh! Telinga aku salah dengar ke? Biar betik dia suka aku?

“Suka... suka sebagai apa?” soal aku sedikit bergetar di hujung. Entah kenapa aku menggeletar mendengar ayat dia tadi. Macam percaya tak percaya aje!

“Aku suka kau. Aku cin... cintakan kau...”  

Berkelip-kelip mata aku memandang dia. Pada masa itu juga, dia sedang menatap wajah aku tanpa berkelip walau sekali. Malu pula aku dibuatnya.

“Cin... cinta? Bila? Kenapa? Kau buat aku? Kau pijak maruah aku sebab terlampau ikutkan ego kau?”

Dia menganggukkan kepala.

“Aku marah baba dengan bonda sebab ambil kau untuk ganti arwah adik aku. Aku tahu masa tu kau baby dan kau tak tahu apa-apa. Aku tak sepatutnya hukum kau. Aku minta maaf. Aku tak kisah kalau kau tak terima aku tapi aku minta kau maafkan aku. Tu aje aku nak dari kau.”

Aku terdiam. Sedetik. Dua detik. Tiga detik. Ah! Susah sangat. Lama aku terdiam. Terkaku. Alasan dia tu munasabah ke? Kerana terlampau ikutkan ego? Habis sekarang ego dia dah tercicir dekat mana? Afrika Selatan? Kejap, apa yang aku merepek ni. Tak akanlah terkejut sampai otak pun mereng. Aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri saja. Bagilah aku masa untuk berfikir.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.