Home Novel Cinta I Love You 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 16

BAB 16

      FAIL yang diberikan oleh Edri aku belek sehelai demi sehelai. Aku baca penuh teliti tanpa ada satu huruf yang tercicir. Ketika membaca, perasaan aku bercampur-baur. Takut. Resah. Aku takut untuk tahu identiti aku yang sebenar. Jantung aku bagaikan nak terkeluar dari tangkainya. 

      “Maknanya, Rai memang anak angkat baba dengan bonda? Rayyan bukan abang kandung Rai?” soal aku selepas lama aku mendiamkan diri. Fail tadi aku genggam erat. Agak berat sedikit untuk aku menerima semua ini.

      “Ya, Rai. Nama Rai yang sebenar Nur Aazeen Binti Ahmad Razeen. Baba Rai memalsukan semua dokumen Rai selama ni termasuklah sijil lahir dan kad pengenalan. Ada lagi satu cerita yang Rai kena tahu. Rayyan mempunyai seorang adik perempuan yang telah meninggal dunia ketika kecil akibat ditikam oleh pembantu rumahnya sendiri. Usia arwah adik Rayyan dengan Raihana hanya tua dua tahun.”

      Aku memegang dadaku. Ya Allah, kesiannya adik Rayyan. Sebab ini ke Rayyan jadi macam tu? Dia tak boleh terima aku sebab dia fikir aku menggantikan tempat adik dia. Sedangkan aku tak tahu-menahu fasal arwah.

     “Siapa nama arwah?”

     “Raihana Huraisya...”

     Aku terdiam lama. Maknanya sekarang ni. Nama aku sekarang ni adalah nama arwah. Memang patut pun Rayyan memang jarang nak panggil aku, Raihana. Dia akan panggil Rai, tak pun kalau dia nak panggil aku. Dia akan sergah saja tanpa panggilan apa-apa.

     “Rai, Rai okey?” soal Edri. Nada suaranya seperti risau.

     “Rai okey je, abang. Terima kasih sebab sudi tolong, Rai. Rai tak tahu nak balas jasa abang macam mana. Abang cakap jelah jumlah bayaran untuk abang yang dah banyak dapatkan info untuk Rai.”

     Edri menggelengkan kepalanya seraya tersenyum kecil.

    “Tak usah, Rai. Untuk Rai apa saja abang boleh buat. Benda kecil saja. Tak makan apa-apa kos pun. Abang ikhlas. Abang cuma nak Rai jaga diri. Jangan depression okey?”

     Aku tersenyum. Kepala dianggukkan.

     “Terima kasih banyak-banyak, abang.”

*****

      AKU melepaskan keluhan kecil selepas aku memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah kampung. Aku tak yakin dengan diri aku sendiri. Lama aku memerhati suasana tempat tinggal ibu dan ayah kandung aku. Mereka tinggal dalam serba-serbi kekurangan. Sedangkan aku? Aku hidup dan dibesarkan dalam kemewahan. Menumpang pula tu. Malunya....

      Beberapa kali memukul stereng kereta. Sudahlah meminjam kereta Emma, aku ketuk-ketuk pula stereng dia ni. Haih! Raihana, apa nak jadi dengan kau ni? Terumbang-ambing hidup kau!

      Aku terus membawa tubuh keluar dari perut kereta dan terus mendaki anak tangga rumah.

     “Assalamualaikum...” Pintu kayu itu aku ketuk buat beberapa kali sehingga aku terdengar suara seseorang menjawab salam aku dari dalam rumah.

    “Waalaikumussalam... ya nak? Cari siapa ya?” soal seorang lelaki tua. Rambutnya beruban dan tubuhnya kurus saja.

    “Betul ke... ini rumah Encik Ahmad Razeen?” soal aku. Cuba mengawal suara aku yang terketar-ketar.

    “Ya, saya. Saya Ahmad Razeen. Anak cari siapa? Apa boleh pak cik bantu?”

    Ya Allah, bila dia mengaku dia Ahmad Razeen. Terasa lutut aku lemah. Inilah rupa ayah kandung aku. Kenapa baru sekarang aku dapat jumpa dia?

     “Erm... sebenarnya...”

     “Kenapa nak? Anak ada masalah ke?”

     “Saya... Nur Aazeen...” Aku menyebut nama penuhku tanpa meletakkan ‘Raihana’ di belakang nama penuh aku.

      Lama ayah terkaku memandang aku. Dia menilik wajah aku dari atas sehingga bawah. Aku tahu dia tak percaya. Yelah, sekarang aku dah berusia 23 tahun. Dan selama 23 tahun aku hidup, aku tak pernah ingat dia dan tak pernah kenal keluarga kandung aku.

     “Aazeen...”

     “Bang... siapa tu?”

     Aku mendongak sedikit memandang ke arah seorang wanita yang aku pasti dialah ibu yang sudah bertarung nyawa melahirkan aku. Tapi... kenapa dia sepertinya buta?

     “Atikah... anak kita...”
    
    “Raid dengan Iman ke?”

     Aku terkesima. Raid dan Iman? Kenapa nama tu sangat familiar bagi aku?

     “Anak perempuan kita, Atikah. Nur Aazeen. Anak perempuan kita.”

     Aku terkaku apabila ayah menarik aku ke dalam dakapannya. Diusapnya belakang tubuhku sambil melepaskan tangisan. Mendengar tangisannya hatiku menjadi hiba.
    
    “Abang jangan main-main, abang. Macam mana anak perempuan kita boleh tahu kita dekat sini? Bukan ke dia...”

     “Ya ibu. Ni Aazeen. Aazeen dah tahu semuanya, ibu. Aazeen minta maaf sebab Aazeen lambat,” ucap aku dengan nada sebak.

     Ayah meleraikan pelukan dan aku terus memeluk tubuh ibu. Ya Allah, inikah perasaanya apabila dapat memeluk tubuh ibu kandungku sendiri? Sangat lain nikmatnya....

     “Adik? Adik dah balik? Adik, anak perempuan ibu?”

     Aku menganggukkan kepala dan masih memeluk tubuhnya erat.

     “Ya Allah, abang. Betul ke ni bang? Anak kita dah balik? Akhirnya abang... lepas bertahun-tahun kita berdoa. Lepas along dengan angah, adik pula yang kembali ke pangkuan kita.”

     Aku terdiam. Aku ada adik-beradik lain? Dan aku anak yang bongsu? Raid dan Iman. Adakah mereka abang-abang aku? Kalau betullah Raid dan Iman abang aku, maknanya sebelum ni....

     “Assalamualaikum, ibu, ayah! Along dengan angah dah sampai!” jerit mereka serentak seraya mendaki anak tangga rumah. Kehadiran mereka disambut oleh ayah.

     Aku masih lagi memeluk ibu dan sedikit pun tidak menoleh ke arah pintu masuk rumah. Entah kenapa aku berdebar-debar. Aku sudah berpeluh dingin.

    “Eh, siapa tu ayah?”

    Aku kenal sangat suara tu. Suara dia sebiji suara Iman yang aku kenal.

    “Adik perempuan along dengan angah.”

    “Raihana?” Serentak Raid dan Iman menyeru nama aku.

     Nak tak nak, aku kenalah pandang mereka. Walaupun jantung aku rasa nak pecah saja sekarang ni. Rasa nak menyorok pun ada sekarang ni.

    “Raihana!” Raid terlebih dahulu mendapatkan aku lantas menarik aku ke dalam dakapannya.

    Aku terkebil-kebil. Tak lama itu, terasa tubuhku dipeluk dua kali ganda. Bermakna Iman turut memeluk aku dan Raid.

    “Raihana... maafkan along...,” ucap Raid.

    “Kenapa... erm... along nak minta maaf?” Agak kekok pula nak berbahasakan dirinya ‘along’.

     “Along dengan angah sebenarnya dah tahu adik adalah adik kandung kami. Cumanya kami belum ada masa untuk berterus-terang dengan adik. Dah lama along dengan angah cari adik dekat bandar Kuala Lumpur sana. Hampir bertahun-tahun, akhirnya tahun ini adalah tahun pertemuan kita.”

     Aku terdiam. Patutlah layanan mereka pada aku sangat lain. Sampaikan Rayyan sendiri pernah tanya aku. Yang aku ini ada apa-apa hubungan dengan Raid ataupun Iman ke? Pernah sekali dia tuduh aku ni tamak, sampai dua aku nak kebas. Aku ada akal fikiran lagilah kalau aku nak kebas sampai dua.

     “Along, angah... terima kasih sebab cari adik.” Aku membalas pelukkan mereka. Sungguh, aku tak sangka, mereka adalah abang-abang kandung aku. Dan mereka adalah abang-abang aku yang paling baik. Tanpa sedar, mereka mencipta kenangan bersama dengan aku melalui kebaikan mereka.

     “Maafkan kami, dik.”

     Aku menggelengkan kepala seraya tersenyum kecil. Air mata aku sudah menitis ke pipi. Akhirnya, aku jumpa keluarga bahagia aku tanpa mereka beritahu aku. Kenapa baba dengan bonda nak merahsiakan hal ini sampai aku dah besar? Kenapa mereka tak jujur dengan aku? Selama ini memang betullah tafsiran aku yang Rayyan bukan abang kandung aku. Baguslah, dia bukan abang kandung aku. Termakbul juga doa aku. Aku tak ingin nak ada abang macam dia. Jauh-jauhkanlah....


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.