Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 30

BAB 30

BIBIR aku terketap-ketap menahan rasa yang tak dapat ditafsirkan melalui kata-kata. Memang betullah bonda minta aku berkahwin dengan Rayyan atas alasan, dia mahu aku ada pertalian dalam keluarga ini. Apa aku nak buat sekarang ni? Rayyan sendiri pun membisu. Apatah lagi aku...

“Bonda harap sangat. Itu saja permintaan bonda. Boleh ya, sayang?” Bonda membelai-belai rambut aku. Dirinya begitu berharap sekali yang aku akan menunaikan permintaan dia. Ini yang buat aku jadi lemah.

“Erm... Rai... Rai... tak kisah. Semua terserah pada Rayyan...” Aku rasa nak tepuk-tepuk aje mulut aku ni. Asal aku boleh cakap macam tu? Dah gila ke aku ni? Menyerahkan diri macam tu aje? Masalahnya sekarang aku serba-salah!

“Rayyan, bonda tak minta apa pun dari, Rayyan. Serena bukan perempuan yang terbaik untuk Rayyan. Mula-mula Rayyan nampak manisnya nanti suatu hari nanti Rayyan akan nampak pahitnya. Bonda buat semua ni untuk kebahagiaan Rayyan juga..." 

Kebahagiaan Rayyan? Rayyan saja ke yang layak bahagia? Aku? Tak layak ke? Tak boleh ke sekali aje aku nak rasa bahagia sebelum nyawa aku diambil pergi? Kalau aku berkahwin dengan Rayyan, dia bahagia ke? Bonda tak tahu ke yang dia bencikan aku? Selama perbuatan dia buat kat aku. Bonda dengan baba tak nampak ke?

“Berikan Rayyan masa, bonda. Benda ni bukan mudah untuk Rayyan setuju dalam masa sekarang...” Dia mengangkat punggungnya lalu melangkah keluar dari wad. Senang betul jawapan dia kan? 

“Raihana... bagi Rayyan masa, ya? Nanti kalau dia dah bagi jawapan. Kita uruskan secepat mungkin. Dia nak atau tak nak. Bonda nak juga Raihana jadi anak bonda. Ada pertalian dalam keluarga ini...”

Aku hanya mampu tersenyum nipis. Tak tahu apa lagi jawapan yang aku nak bagi. Ni kalau bagitahu Emma. Terkejut babun dia nanti ni. Sudahlah dia tu baru nak baik dari kemurungan sekejap. Kalaulah abang Edri ada mesti semua ni tak akan terjadi. Abang... Rai rindukan abang... 

“Rantai ni abang belikan untuk Rai rasa abang ada selalu dengan Rai. Jauh macam mana pun abang, abang tetap dalam hati Rai. Abang nak Rai sentiasa kuat menempuhi segala apa yang terjadi dalam hidup, Rai. Okey?”

Aku mengusap rantai pemberian abang Edri. Mata dipejamkan buat seketika. Aku pernah janji dengan abang Edri yang aku kena kuat menempuhi segala apa yang terjadi dalam hidup aku. Dan dia selalu dalam hati aku walaupun macam mana sekalipun dia jauh. Ya. Aku cuba...

*****

HARI demi hari berlalu dengan begitu pantas. Aku dan Rayyan akan disatukan tak lama lagi. Bantah ke tak bantah. Mogok ke tak mogok. Perkahwinan aku dan Rayyan akan berjalan juga. Rayyan langsung tak bercakap apa-apa dengan aku. Dia tak ada marah-marah aku. Tak ada nak hina-hina aku lagi. Nampak aku pun cuma tenung dan berlalu macam tu aje. Mungkin dia tengah fikir fasal semua ni. Aku pun tak nak tanya dia apa-apa. Cuma sekarang ni, Emma, along dan angah bulat-bulat membangkang perkahwinan aku dan Rayyan tapi aku larang mereka untuk terlibat.

Aku buat semua ni untuk jaga hati bonda dan baba. Aku kasihan dengan bonda. Dia sekarang dah tak berapa sihat. Senang kena tekanan darah tinggi. Aku cuba untuk kuat menempuhi dugaan yang seterusnya ini. Semua ada hikmahnya. Aku terima dan reda. Aku minta along, angah dan Emma untuk memberikan aku semangat. Ayah dan ibu sentiasa memberikan kata-kata positif dekat aku. Mereka pun tak boleh nak cakap lebih-lebih sebab baba dan bonda dah banyak berjasa dari aku lahir sampai sekarang. Permintaan bonda yang satu ini aku cuba tunaikan walaupun berat.

Pin! Pin!

Aku mendongakkan kepala seraya tersenyum kecil ke arah Adam yang baru saja sampai. Sudah beberapa hari ini aku dan Adam menjadi rapat. Oh ya! Jawapan untuk permintaan Ezra tu pun aku dah bagi. Berkawan tapi bukan macam dulu. Kalau jumpa, tegur macam biasa. Tu saja. Aku tak nak lebih-lebih. Adam pula aku rasa dia dah move on dengan aku. Dia pun minta aku jadi kawan baik dia saja. Hari ini hari perasmian pembukaan kafe dia sendiri di bandar Kuala Lumpur. Jadi dia jemput aku untuk majlis perasmian tersebut. Emma awal-awal pagi dah keluar dengan angah. Along macam biasa, sibuk dengan syarikat keluarga angkatnya itu.

Sorry, Rai. Lama tunggu ke? Trafik jem. Ada kemalangan.”

“Eh, tak apa. Rai pun baru keluar.” Aku meloloskan diri masuk ke dalam perut keretanya. Sejak kami berkawan, panggilan pun sudah bertukar kepada panggilan nama kami sendiri. Raihana dan Adam. 

“Jadi, gementar tak ni?” soal aku sebaik saja memakai tali pinggang keledar. 

“Gila Adam tak gementar. Gementar ni! Tu Adam ajak Rai teman. First time nak bukak kafe sendiri kan?”

Aku tertawa kecil lalu menganggukkan kepala. Dalam kepala aku ligat berfikir, sama ada aku nak beritahu Rayyan ke tak, eh? Yang aku keluar dengan Adam. Eh, kejap? Dia belum jadi suami aku. Tunang pun bukan. Sebab kami nanti terus nikah saja. Jadi sekarang ni suka hati akulah kan nak keluar dengan sesiapa. Dia pun bukannya kisahkan aku.

“Rai, okey ke? Ada masalah? Fikir pasal perkahwinan tu?”

Aku tersenyum nipis seraya menggelengkan kepala.

“Tak adalah. Saja termenung. Kenapa?” soal aku. 

“Tak. Adam cakap tadi yang dekat kafe nanti ada macam-macam menu. Kalau Rai nak apa-apa. Ambil je tau!” 

Aku terus menoleh ke arah Adam. Dia memang kacak cumanya perangai yang tak berapa nak kacak. Tapi tu dululah. Sekarang dah nampak sikit perubahan dia selepas aku cakap yang aku akan jadi kawan baik dia. 

“Seriuslah? Bagi makan free lah kiranya ni?" 

Bersungguh-sungguh Adam menganggukkan kepala. 

“Yes, betul! Apa yang Rai nak makan, Rai boleh ambil saja. Semuanya free hanya untuk Raihana. Adam belanja...”

Aku tersengih. Kalau bab-bab makan ni, memang nombor satu! Pantang dengar!

“Oh ya, Adam. Rai kena balik sebelum pukul 5 petang sebab pukul 8 malam, Rai kena jumpa Rayyan untuk cuba baju perkahwinan kami yang dah siap tu."

Adam menganggukkan kepalanya. Sempat dia mengerling jam tangan yang terlilit di pergelangan tangannya.

“Jadi pagi sampai petang ni bolehlah Adam luangkan masa dengan Rai. Pukul 4 petang nanti Adam hantar Rai balik. Tak adalah tergesa-gesa, kan?”

“Ya, betul! Pandailah Adam Harith ni!” Aku ketawa.

“Eh, mestilah pandai! Tengoklah kawan siapa?”

“Kawan Raihana!”

Serentak kami bergabung tawa. Terhibur aku dengan Adam. Ya, aku akui. Aku masih ingat lagi kenangan kami bersama. Adam dulu memang suka menghiburkan aku. Lagi-lagi waktu aku sedih. Tapi dengan satu kesilapan, berubah sekelip mata. Kalaulah dia tak curang dengan Serena. Semestinya aku dengan dia dah berkahwin. Tempoh hubungan istimewa aku dah Adam sejak sekolah menengah. Lama sangat. Susah untuk aku lupakan walaupun aku dah move on.

Adam Harith pernah jadi hero aku sewaktu aku kena buli dekat sekolah menengah. Macam dalam novel cinta kan? Macam tulah aku dulu. Seronok ada hero yang selamatkan. Aku masa tu pun bukanlah lawa mana. Comot dan selekeh. Tapi aku tak tahu apa yang Adam nampak dekat aku sampai dia cakap aku comel dan dia sukakan aku.

Adam Harith adalah cinta pertama aku. Siapa yang menjadi cinta terakhir aku?


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.