Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 8

BAB 8

     “RAI, kau okey tak? Boleh tahan merah juga pipi kau ni...”

     Aku menepis perlahan tangan Ezra yang sedang membelek-belek wajahku. Kepala digelengkan perlahan.

     “Tak apalah. Sikit je. Dah biasa sebenarnya.”

     Aku hanya mampu tersenyum. Kelat.

     “Nanti balik kau naik dengan dia ke? Tak nak naik dengan aku?” soal Ezra sambil menyuap daging burger ke dalam mulutnya.

     Aku terdiam seketika. Tak akanlah aku nak naik dengan orang yang dah tampar aku tadi. Memang taklah aku nak hadap dia. Kebencian aku dah semakin hampir ke tahap maksima. Selama ini aku boleh biarkan saja dia mencaci-maki aku tapi sekarang tidak lagi. Aku bukan lagi Raihana seperti dulu.

     “Boleh ke aku balik dengan kau?” soal aku kembali meminta kepastian. Yelah, aku tak nak susahkan sesiapa.

     “Boleh je. Kau dah macam adik aku, Rai. Lagipun aku tak sukalah si Rayyan tu berkasar sangat dengan kau. Dayus tau dia tu, lelaki sentuh perempuan.”

     “Wah, aku tak sangka. Ada lagi lelaki sebaik kau kan. Kau anggap aku macam adik? Bukan lebih eh?” Sengaja aku menyakat dia. Nak tengok reaksi dia.

     “Baru tau ke aku baik? Kalau kau single, ada can ke aku nak masuk line kau? Hurm...”

     Aku mencebik seraya menunjukkan penumbuk tepat mengenai wajahnya. Dia ketawa sambil menggelengkan kepala.

     “Kau tanya aku tadi, lepas tu nak tunjuk penumbuk kau yang comel tu? Hah! Nah! Tumbuklah!” Dia mendekatkan wajahnya ke penumbuk aku.

     “Eii, kau ni. Tak payahlah. Aku dah lah stres.”

     Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda mengalah. Bahu aku diusap perlahan olehnya. Dia menundukkan sedikit pandangannya supaya dapat memandang wajah aku dengan lebih tepat.

     “Kau seorang perempuan yang kuat. Aku kenal kau baru beberapa hari tapi aku tahu.”

     Aku tersenyum nipis. Wajah aku raup perlahan seraya melepaskan keluhan kecil.

     “Okey, dah. Jom habiskan makanan. Lepas tu aku nak siapkan kerja aku yang terbengkalai tu.”

     Ezra menganggukkan kepalanya. Dia kembali ke posisi duduknya yang tadi dan menghabiskan makanannya. Aku menyuap kepingan daging ke dalam mulut sambil itu fikiran aku ligat mahu menyelesaikan satu masalah yang terbelenggu di dalam otak fikiranku. Aku nak tahu siapa sebenarnya aku dan kenapa Rayyan buat aku macam bukan adik dia? Takkanlah sekelumit perasaan sayang sebagai seorang adik tak ada dalam hati dia. Apalah nasib aku ni....

*****

     BALIK dari pejabat aku terus terperap dalam bilik. Makan pun tidak. Aku masih tak boleh lupakan yang dia berani tampar aku tanpa aku tahu jawapan untuk soalan aku. Salah ke aku tanya siapa aku sebenarnya? Aku dah tak boleh berdiam diri lagi kalau orang buat aku macam anak patung bernyawa! Patut ke aku minta tolong dekat Emma? Dia ada abang yang bekerja sebagai detektif penyiasatan. Patut ke tak ya? Soal upah memang tiada masalah tapi nak beritahu tentang kemusykilan tu aku kena susun ayat dulu takut Emma salah faham pula. Tak ke pelik tiba-tiba nak siasat keluarga sendiri?

     Ah! Runsing! Frustnya!

     Tanpa berlengah, aku mengangkat tubuh kemudian melangkah keluar dari bilik. Haus pula tekak ni. Mujur perut tak rasa lapar tapi aku takut juga kalau penyakit gastrik aku datang. Mahu separuh mati aku menahan rasa sakit dan perit. Sebaik saja melepasi anak tangga yang terakhir, aku memerhati suasana sekeliling. Sunyi sepi saja. Baba dengan bonda mesti tak balik lagi ni. Bibik Rana dengan bibik Melati mesti dah masuk bilik dia. Yelah, sekarang dah jam 10 malam. Memang baba suruh semua pekerja dekat dalam rumah ni masuk berehat sebab lepas Subuh mereka semua kena bekerja semula.

      Pintu peti sejuk aku tarik kemudian sejag air sejuk diambil. Gelas yang terletak di atas kabinet aku capai kemudian air sejuk itu aku tuang ke dalam gelas. Diteguk beberapa kali penuh nikmati. Pergh! Haus sungguh!

      Aku menoleh ke belakang mahu naik ke atas bersama gelas yang sudah aku tambah airnya. Hampir saja gelas itu terlepas dari pegangan aku tatkala Rayyan berdiri betul-betul di belakang aku. Mahu tersembur akibat terkejut namun Rayyan lebih pantas menekup mulut aku.

      “Uhuk! Kau dah kenapa? Tersedak aku gila!” Percuma saja dapat gelaran gila. Kisah pula aku kalau dia nak bertukar jadi ‘The Hulk’ kan? Silakan, ni rumah baba dengan bonda. Bukan rumah aku. Kalau roboh sekalipun, dia yang kena tadah telinga.

     “Suka hati kau je kan panggil aku gila. Kau tu yang gila. Aku ingat penyamun mana masuk rumah. Baru nak belasah tadi. Bawa pergi balai polis. Selamat tidur lokap.”

     Pergh! Mulut dia ni kalau ambil cili padi kampung. Sedap ni! Suka hati dia saja cakap aku penyamun! Mulut dia aku rasa nak kopak-kopakkan saja biar tak ada mulut! Orang macam dia ni memang tak layak betullah ada mulut.

     “Dahlah aku nak naik. Sanalah!” Aku menolak bahunya dan ingin beredar dari situ. Semakin aku hadap muka dia, semakin kuat hati aku nak cilikan mulut dia tu.

     “Eh! Nanti-nanti! Siapa suruh kau naik? Aku nak cakap...”

     “Sakitlah!” Aku merentap tangan aku kembali. Riak wajah aku berubah kepada bengis. Huh! Dia fikir dia seorang saja boleh bengis? Aku pun bolehlah!

     “Kau pandai melawan eh sekarang? Bagus! Aku suka dengan cara kau ni. Makin tercabar ego aku. Macam tak sabar aku nak buat kau halau dari rumah ni. Biar merempat kau hidup dekat luar sana!”

     Aku tersenyum sinis. Berpeluk tubuh.

    “Oh yeah?” Aku tiup rambut aku yang terjuntai di dahi.

    “Kau nak halau aku dari rumah ni? Apa hak kau? Mentang-mentang kau anak sulung tambahan pula kau anak lelaki baba dengan bonda? Kau boleh bermaharajalela dalam rumah ni? Dekat pejabat pun? Bukan tu je pada aku. Sampaikan hidup aku pun kau nak kongkong. Kau siapa weyh? Kau tu bukan abang akulah! Kalau abang dia masih ada lagi sifat berperikemanusiaan dalam diri dia!”

     Aku mengetuk dadanya menggunakan jari telunjuk aku. Biar ego dia semakin mencanak tinggi. Aku memang suka nak cabar ego orang ni. Lagi-lagi Rayyan Husaini.

     “Kau...” Dia menangkap tangan aku yang masih mengetuk dadanya. Kuat cengkamannya.

     “Apa? Kau nak buat apa dekat aku?” soal aku tanpa perasaan. Walaupun sakit pada pergelangan tangan tetapi tak sesakit dalam hati aku yang semakin menyengat. Aku rasa satu hari nanti akan meletup juga.

     “Kau pandai melawan eh sekarang. Menyesal aku tak halang kau belajar dekat sana. Makin liar kau sekarang. Kau ni nak jadi perempuan murahan ke? Lelaki sentuh kau, kau tak jaga maruah kau? Huh?”

     Aku ketawa sambil menggelengkan kepala. Lucu.

     “Kau ni, Rayyan... asal lawak sangat soalan kau tu? Kau dengan aku bukan sama je ke? Tapi aku bukan playgirl. Aku masih menjaga maruah aku walaupun lelaki berani nak sentuh-sentuh aku. Tapi aku rasa kau lagi teruk dari aku. Dayus. Tampar perempuan. Jadi playboy antarabangsa. Macam-macam perempuan kau kebas. Hmm?”

      Aku nampak Rayyan sudah mengetap giginya sampaikan rahang dia bergerak-gerak. Adakah aku berjaya mencanakkan egonya? Kalau berjaya aku nak sorak kejap.

     “Kau memang tak sedar diri! Kau tahu tak yang kau ni menumpang?” Dia mengangkat tangan kanannya.

    Aku tersenyum senget. Nak tamparlah tu macam tak tahu.

     “Tamparlah. Tak kisah pun. Tamparan kau tadi sedap sangat. Sampai terbawa-bawa angau aku jadinya. Aku menumpang? Apa maksud kau dengan menumpang? Aku bukan ahli keluarga rumah ni ke?”

     Riak wajah Rayyan berubah. Perlahan-lahan dia menjatuhkan tangannya seraya melepaskan cengkamannya pada pergelangan tangan aku.

     “Aku akan pastikan satu hari nanti aku tahu siapa diri aku yang sebenar! Tak payahlah kau nak bercerita dengan aku!” ujar aku sebelum mendaki anak tangga menuju ke bilik.

     Huh! Dia ingat aku tak boleh lawan dia? Dah berbelas tahun dia seksa mental dan hati aku. Dan tahun ini, aku tamatkan semuanya. Cepat atau lambat saja.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.