Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 13

BAB 13

     AKU tersenyum-senyum seraya tangan memutar-mutarkan sebatang pen apabila mengingati peristiwa malam tadi. Selepas aku tamat menyanyikan lagu kesukaan aku tu, aku tak sangka semua bertepuk tangan dan bersorak menyukai nyanyianku kecuali manusia yang aku gelarkan bapak singa iaitu Rayyan Husaini.

       Sepanjang perjalanan balik ke rumah tak habis-habis membebel dalam kereta. Katanya aku sengaja nak famous lah. Nak ramai followers dekat Instagram lah. Oh my! Aku tak hadap pun semua tu. Sampai tertidur aku dalam kereta, sedar-sedar pagi tadi aku dah sedap peluk bantal atas katil aku. Sanggup pulak dia nak mengangkat aku ni?

       “Ni fail aku dah siapkan. Tiga sekali gus.” Tiga buah fail putih aku letakkan di atas mejanya sebaik sahaja masuk ke dalam bilik pejabat Rayyan. Aku perasan wajah Rayyan seperti sedikit pucat. Semalam bukan main mesra dengan perempuan-perempuan dekat event tu. Masuk kerja pagi ni lesu pula dah? Pandai betul cari sakit Rayyan ni.

       Tanpa menunggu lama aku mengatur langkah untuk keluar dari biliknya.

       “Nanti...”

       Langkahku terhenti apabila dia bersuara dan aku menghampirinya semula. Dia menunjuk dahinya ke arah aku. Aku berkerut dahi, pelik. Apa motif tunjuk dahi dia? Tak fasal-fasal Rayyan menarik tangan aku dan diletakkan di atas kepalanya.

      “Urut aku. Kepala aku pening.”

       Aku memutarkan bebola mata 360 darjah. Serius, menyampah. Sakit tahulah pula mengada cari aku? Kenapa tak telefon perempuan simpanan tu minta picitkan kepala? Terpaksa mencemar-dulikan tangan aku mengurut kepalanya.

      Rayyan mengeluarkan bunyi angin dari tekaknya. Sungguh berangin satu badan dia ni patut pun baran semacam. Eh kejap, ada kena mengena ke? Apa-apa sajalah.

      “Kuat sikit. Aduh....”

      Tanganku menekan kuat pada bahagian tepi dahinya. Semakin banyak angin dikeluarkan olehnya. Dia menarik tanganku dari dahinya, kasar. Memang tak reti nak berlembut dengan aku.

      “Malam ni ikut aku pergi parti. Ke mana saja aku pergi. Kau kena ikut aku. Tiada bantahan. Dah keluar sana. Siapkan kerja awal. Aku nak balik awal. Kau kena ikut aku balik sekali.”

      Aku tidak memberi sebarang balasan. Dalam hati aku mula menyumpah-seranah. Tak fasal-fasal aku kena ikut dia ni. Bagaikan kerbau dicucuk hidungnya. Hah! Macam peribahasa tulah! Geramnya aku! Kalau aku membantah, semestinya aku kena bantai dengan dia. Baba dengan bonda dah lah tak balik lagi. Lambatnya! Ah, stres!

*****

      “SERIUSLAH, weyh? Memang kejam gila abang kau. Kau jangan risaulah. Abang aku semalam ada cakap pasal info yang kau suruh dia siasat tu. Aku rasa ada sesuatu yang tersembunyi dalam keluarga kau ni...”

      Aku memandang wajah Emma dengan lagak tenang. Straw yang berada di dalam gelas minuman, aku sedut bagi menghilangkan rasa dahaga. Masuk saja waktu makan tengah hari aku terus pergi berjumpa dengan Emma dekat kafe berdekatan dengan pejabat. Sepatutnya aku dah berjanji dengan Emma nak jumpa malam ni. Tapi apakan daya, si bapak singa tu suruh ikut dia pergi parti pula.

      “Kau rasa aku ni anak terbuang? Anak angkat?” soal aku kepada Emma.

      Lambat-lambat Emma menganggukkan kepalanya. “Apa yang abang aku cakap, yang pastinya nama kau bukan berbintikan baba. Dalam data, nama kau macam ada dua. Binti yang berlainan. Jadi sekarang ni abang aku tengah dapatkan maklumat yang tu. Sebab melalui kedua-dua nama tu. Mungkin abang aku akan dapat maklumat dengan lebih mudah. Terutamanya kalau dapat sijil lahir kau yang asli.”

     “Habis tu sijil lahir yang ada dekat aku sekarang? Dengan kad pengenalan aku ni? Kau nak cakap palsu? But how? Selama ni aku guna kad pengenalan aku, sijil lahir aku, semuanya lepas. Tak ada tanda-tanda pun yang menerangkan dokumen aku tu palsu.”

     “Boleh jadi palsu. Weyh, Rai. Zaman kita lahir ni teknologi dah mula mengembang tau. Tak hairanlah kalau orang nak palsukan dokumen tu menjadi. Lagi-lagi orang kaya. Teraburkan duit saja semuanya dapat hujung jari. Semua permintaan kau akan tertunai janji kau berduit. Dengan duit macam-macam kau boleh buat. Benda yang tak wujud boleh jadi wujud,” bebel Emma.

      Penerangannya sangat jelas dan aku semakin faham. Ada betul juga apa yang Emma cakapkan. Teknologi semakin mengembang. Memang tak peliklah kalau dokumen palsu pun boleh nampak seperti dokumen asal.

     “Tapi, sepandai-pandai tupai lompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Berapa dekad sekalipun kau nak menipu. Penipuan tu akan terbongkar juga. Sama ada jujur sendiri atau orang lain yang akan jujurkan untuk kita. Hidup penuh penipuan ni tak akan tenang, Rai. Lama-lama akan dapat tahu juga...”

       Aku tersenyum nipis seraya menganggukkan kepala. Betul, apa yang Emma cakap semua betul. Mungkin sebab ni juga, Rayyan sangat bencikan aku. Tapi aku betul-betul nak tahu dan perasaan ingin tahu aku semakin menggunung. Kalau betullah aku anak angkat, kenapa Rayyan benci sangat dekat aku? Sepatutnya dia marahkan baba dan bonda. Aku masa tu kecil lagi. Tak tahu apa-apa. Apa yang aku tahu, baba dan bonda adalah orang tua aku.

       “Kau serius ke nak ikut Rayyan malam ni? Aku macam tak sedap hatilah. Apa kata kau mengelat je? Aku boleh ambil kau ikut pintu belakang rumah.”

       Aku melepaskan keluhan berat. Ikutkan hati aku memang tak nak. Tapi kalau aku membantah, mesti dia lapor dekat baba. Lepas tu baba mula risau fasal aku sampai jatuh sakit. Bukan tak pernah jadi, dah banyak kali terjadi. Trauma aku dibuatnya. Benda yang aku tak buat, dia kata aku buat. Siapa yang tak sakit hati?

      “Bukan aku tak nak, Emma. Aku rasa setakat pergi parti boleh je kot. Kau tahukan, kalau aku ingkar cakap dia. Dia akan menokok-tambah cerita dekat baba. Lepas tu baba mula fikir bukan-bukan sampai darah tinggi dia naik. Aku tak nak, weyh. Bukan tak pernah jadi. Banyak kali dah...”

        Aku dengar Emma melepaskan dengusan kasar. Dia menggelengkan kepala seraya meraup wajahnya perlahan.

      “Aku tak faham betullah dengan Rayyan tu. Kenapa perangai dia macam tu? Sikit pun dia tak ada rasa bersalah ke? Tak ada rasa kesian. Buat kau macam ni. Kau tahu? Abang aku kalau dia terlepas cakap dekat aku, dia kata hidup dia tak tenang selagi tak minta maaf. Sebab dia rasa macam tak patut buat aku macam tu.”

      Aku mencebikkan bibir.

      “Tu abang kau. Abang Edri memang baik. Dengan aku pun dia baik, dah macam adik-beradikkan? Dia pun pelik dengan Rayyan apatah lagi dengan kau...”

       Emma ketawa.

      “Weyh, kalau macam tu, kau jadi kakak ipar aku jelah. Mama aku dah bising dah tu sebab dia tak ada kekasih lagi. Alang-alang mama dah request nak menantu. Kau jelah jadi.”

       Aku membulatkan mataku.

       “Eh, eh kau ni. Ke situ pula perginya. Abang Edri tu anggap aku macam adik jelah sebab aku kan kawan baik kau.”

       “Kalau aku cakap, abang Edri suka kau? Kau percaya?”

      Aku tertawa kecil. Tak sangka pula Edri sukakan aku. Yelah, layanan dia sama saja macam dia layan adik kandung dia ni.

     “Abang Edri? Suka aku? Kau biar betul?” soal aku seolah-olah tidak percaya.

     “Dia pernah terlepas cakap depan mama dengan papa aku masa kita kat California dulu. Masa tu mama saja tanya dia, yang dia rindukan aku tak? Tup-tup je dia jawab, dia rindukan aku lepas tu rindukan kau sekali. Tak ke lain bunyinya tu? Mama aku tanya rindukan aku je, dia boleh pula heret nama kau sekali dalam jawapan dia tu. Lepas tu setiap kali aku hantar gambar kita, dia tak pernah tak puji kau. Mesti puji punya.”

       Aku menggigit bibir. Seriuslah abang Edri ni? Macam ya tak ya saja. Dia sukakan aku?

      “Kalau ada jodoh tak ke mana. Aku memang suka kalau kau masuk dalam keluarga aku.”

      Aku tersengih seraya mengangguk kecil.

      “Apa maksud kau dengan mengangguk tu? Kau setuju?” soal Emma sepantas kilat.

      “Eh! Tak-tak... kalau betul abang Edri suka aku. Suruhlah dia jujur dengan aku. Aku tak kisah kalau dia jujur lagipun akukan dah biasa dengan dia dari awal aku kenal kau lagi.”

       Emma sudah tersenyum lebar. Ni mesti rancangan nak satukan aku dengan Edri berjaya. Tu sebab bukan main senyum lebar.

      Abang Edri... Abang Edri... Dengan Raihana pun abang Edri boleh suka ya? Kalau dia serius, aku bolehlah bukakan hati untuk dia kan....


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.