Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 11

BAB 11

     HARI ini aku bersama staf-staf Husaini Holdings akan menghadiri mesyuarat bersama staf-staf Gilsten Holdings. Rayyan seperti biasa dengan lagak wajahnya yang kononnya seperti seorang yang professional. Walhal tak adalah professional macam Raid dan Iman. Penampilan dan cara penyampaian mereka pun lebih professional dan tersusun berbanding dia. Orang berlagak biasanya tak nampak diri dia sendiri. Dia nampak diri dia saja yang betul, orang lain semua salah.

      Oh ya, aku lupa. Putera Holdings pun bergabung mesyuarat dengan kami. Putera Holdings itu adalah syarikat papa Adam Harith. Jadi, mestilah lelaki tu ada. Dan yang paling aku rimas. Dia duduk berhadapan dengan aku. Dari mula mesyuarat sampai sekarang, dia tak habis-habis menilik muka aku. Apa? Aku lebih lawa berbanding dulu? Biasa saja. Aku tak ada perubahan pun. Aku lebih rela pandang wajah Raid dengan Iman. Tak pun pandang muka Ezra yang duduk dekat sebelah aku.

      “Baiklah, Raihana. Beri sedikit data untuk projek Trio ini,” suruh Rayyan.

     Aku sekadar menganggukkan kepala seraya mengangkat punggung untuk berdiri. Tanpa melihat buku nota, aku menerangkan tentang data-data Husaini Holdings yang akan menyerlahkan lagi projek Trio untuk tahun ini dan tahun-tahun seterusnya. Lancar dan tidak gagap. Tentang pembentangan info data Husaini Holdings, aku tiada masalah. Sebab aku dah tanya baba awal-awal tanpa pengetahuan Rayyan. Hampir setiap malam, kalau baba meluangkan masanya dekat bilik pejabat rumah, aku mengambil masa itu untuk aku belajar lebih lagi untuk memahami seluruh tentang Husaini Holdings.

     “Bagus. Cadangan Raihana sangat bagus. Saya suka dan saya akan sokong cadangan yang diberikan.” Raid memeluk tubuhnya sambil bersandar. Senyuman tidak lekang apabila melihat aku menyampaikan pembentangan tadi.

     Aku mengerling ke arah Rayyan. Tu dia! Sudah nampak wajahnya berubah kelat. Dia memang tak suka kalau ada orang puji aku. Pantang! Tapi sebenarnya, aku tertanya-tanya juga ni. Mana perempuan yang nak menggantikan tempat aku? Sepatutnya hari ini aku dah kena turun darjat. Dari seorang penolong peribadi kepada kerani. Ke tak jadi? Macam beria-ria sangat perempuan tu nak pegang jawatan PA ni. Apa dia ingat jadi PA ni 24 jam boleh melekat dengan Rayyan lah tu? Jangan kerja tak jalan sudah. Tak fasal-fasal projek Trio ni tak menyerlah disebabkan dia.

      “Baiklah. Saya rasa setakat ini saja untuk mesyuarat kita hari ini. Apa-apa kita akan terus berhubung untuk mengetahui perkembangan-perkembangan akan datang,” ujar Rayyan menamatkan mesyuarat untuk pagi ini yang berlangsung selama tiga jam tepatnya.

      Boleh tahan lenguh kaki aku dibuatnya. Walaupun duduk. Naik sengal punggung aku kalau duduk lama-lama. Pinggang pun boleh patah.

      “Oh ya semua. Sekejap.” Iman bersuara apabila staf-staf mula mengemas peralatan mereka. Mujur tiada yang keluar dari bilik mesyuarat ini lagi.

      “Saya selaku wakil Gilsten Holdings ingin menjemput semua yang ada di dalam mesyuarat ini untuk menghadiri majlis jamuan makan malam di dewan besar Putrajaya. Majlis itu diadakan untuk menyambut ulang tahun syarikat kami yang ke-13 tahun.”

       Semua menganggukkan kepala seraya tersenyum. Dapat makan malam percuma. Siapa yang nak melepaskan peluang emas ini kan? Kalau bab makan pastinya manusia akan laju menyambar.

      “Erm. Rayyan, boleh saya berjumpa dengan Raihana sekejap?” soal Raid.

     Rayyan memandang aku seketika sebelum memandang Raid semula. Kepalanya dijatuhkan beberapa kali. Mesti tertanya-tanya kenapa Raid nak berjumpa dengan aku. Aku dengan Raid dan juga Iman dah rapat sejak pertemuan pertama kami. Mereka berdua ni sangat mengambil berat tentang aku. Tapi entah kenapalah aku rasa selesa bila dengan mereka berdua. Tak ada unsur paksaan. Cakap pun penuh sopan dan menjaga kata-kata. Tak pernah menyakitkan hati aku.

      Apa yang aku tahu, Raid sudah berumah tangga manakala Iman masih belum berumah tangga. Dengar cerita dari Raid, Iman dah ada kekasih hati. Tapi kenapa mereka berdua prihatin sangat dengan aku, ya?

       Selepas semua staf telah bersurai, Raid mendekati aku bersama Iman. Aku hanya tersenyum manis. Kalau dengan mereka, aku secara automatik akan tersenyum saja. Seperti berjumpa dengan Putera Raja. Tak apa kan kalau berangan? Lagipun mereka berdua ni begitu mengambil berat tentang aku. Sedangkan Raid dan Iman bukan siapa-siapa bagi aku. Tu yang aku hairan sekarang ni. Emma masih belum maklumkan sebarang informasi dekat aku. Mungkin abang dia masih lagi tengah siasat.

*****

       HAMPIR saja Emma mahu tersembur apabila aku memberitahu dia yang Raid dan Iman mahu aku membuat persembahan semasa di majlis makan malam nanti. Betul-betul terkejut minah ni. Apa ingat aku tak boleh menyanyi ke?

     “Weyh! Seriuslah kau nak buat persembahan depan orang ramai semua tu?” soal Emma seolah-olah tidak percaya.

      “Ya. Diaorang berdua nak aku buat persembahan. Menyanyi. Kau lupa ke aku ada bakat menyanyi. Hmm?”

      Emma mencebikkan bibirnya. Menyampahlah dengan akulah tu!

      “Ceh! Menyanyi sambil petik gitar. Jangan kau goyahkan iman diaorang sudah. Suara kau tu lunak. Mana tahu ada orang tiba-tiba pengsan dalam tu. Buatnya yang pengsan tu dah berkahwin. Kau juga yang kena nanti tak pasal-pasal. Free je kena...”

      Aku memutarkan bebola mataku. Emma Katrina ni, memang suka hina aku depan-depan. Suara aku memang lunak pun kalau tak, tak adanya dia nak minta aku menyanyi kalau waktu cuti semester dulu dekat kafe kawan dia tu.

     “Kau puji ke hina tu?” soal aku sinis.

      Emma berdekit-dekit ketawa.

      “Eh! Pujilah! Apa barang hina-hina? Aku bukan macam abang kau tu, selamba badak sumbu dia je nak hina-hina kau depan orang ramai. Apa kes?”

      Aku menganggukkan kepala seraya ketawa besar. Punya baik dia kutuk si Rayyan tu. Emma pun dah masak sangat dengan perangai abang aku tu. Dia sendiri pun tak faham kenapa Rayyan buat aku macam tu. Sampaikan Emma cakap aku ni anak orang lain sebab tu kena layan macam tu.

       Masalahnya sekarang, dia saja yang bencikan aku. Baba dengan bonda aku sayangkan aku lebih dari sayangkan dia. Apa-apa mesti utamakan aku dari dia. Sebab tu dia ni kuat cemburu. Kalau cemburu dah menguasai, mulalah dia tunjuk cara tak puas hati dia tu lepas tu ajak baba dengan bonda bertekak. Kononnya menyuarakan ketidakpuasan hati dia.

       “Apa pun aku doakan kau berjaya buat persembahan kau. Mesti ada live kat Youtube atau Facebook kan?”

       Aku menganggukkan kepala.

      “Ada. Nanti kau tengok eh. Komen-komen sekali!”

      Serentak aku dengan dia bergabung ketawa. Kami kalau berjumpa tak sah kalau tak ketawa sampai tak ingat dunia. Dengan Emma sajalah aku dapat release tension aku. Kalau tidak aku rasa dah lama aku dapat penyakit kemurungan sebab nak kena hadap manusia-manusia yang selalu menyakitan hati aku.

       Haih... apalah nasib kau Raihana...


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.