Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Prolog

 PROLOG


     HENING. Suasana menjadi sepi apabila satu rahsia yang selama ini dijaga rapi akhirnya terbongkar. Aku menekup mulutku seraya menumpahkan air mata ke pipi. Kepala aku menggeleng perlahan. Sungguh aku tak sangka. Kenapa aku perlu ada seorang yang abang sekejam dia? Kenapa? Layakkah dia jadi abang untuk aku? Bukankah sepatutnya seorang abang melindungi adiknya? Tetapi aku tidak? Aku tak rasa dilindungi malah aku rasa aku diseksa tanpa aku tahu apa dosa aku padanya.

     Aku memerhatikan dirinya yang masih berdiri statik sambil meraup wajahnya perlahan. Serena yang berdiri di sebelah hanya tersenyum-senyum sinis. Apa lagi kalau bukan nak menghasut Rayyan. Memburuk-burukkan aku. Macamlah baba dengan bonda terima kau sebagai menantu!

     Rayyan menggelengkan kepala beberapa kali secara perlahan. Aku tidak pasti apa maksud di sebalik gelengannya itu. Sama ada dia tidak sedar atau dalam keadaan sedar. Aku sendiri tidak tahu. Apa yang aku tahu sekarang ni, aku perlu menjauhkan diri aku dari dia. Aku tak perlukan lagi seorang abang macam dia. Lebih rela duduk sebatang kara dari duduk menghadap lelaki macam dia ni. Tiada berperikemanusiaan langsung...

     "Raihana...," panggilnya perlahan.

      "Aku tak perlukan seorang abang macam kau. Cukuplah selama berbelas tahun aku duduk dengan kau. Sedikit pun aku tak pernah rasa dilindungi oleh seseorang yang bergelar abang. Aku tak tahu apa salah aku? Besar sangat ke dosa aku sampai kau tergamak buat aku macam ni!" tangis aku teresak-esak. Sungguh hati aku perit apabila dapat mengetahui hal yang sebenar. 

     "Raihana! Kau dengar sini! Aku buat semua ni sebab aku tak boleh terima kau dalam keluarga aku!" tempik Rayyan secara tiba-tiba.

     Aku tersenyum sinis.

     "Aku tahu. Sebab aku bukan adik kandung kau. Aku hanya menumpang dalam keluarga kau. Aku tak mampu nak menggantikan tempat arwah adik kau. Tapi aku nak kau tahu, aku dapat rasa yang arwah adik kau pun kecewa dan sedih tengok kau sakiti perempuan yang tak bersalah. Atas sebab alasan kau marahkan aku sebab kehadiran aku ini adalah untuk menggantikan adik kau yang dah meninggal dunia. Kan?" sembur aku sepuas-puasnya. Apa yang selama ini aku pendam akhirnya terluah jua. Selama berbelas tahun aku simpan semua yang terbuku di dada. Hanya Allah saja yang tahu betapa sakitnya jiwa aku memendamkan semua ini seorang diri.

     Pang! Tak semena-mena pipi aku menjadi mangsa telapak tangannya. Aku terteleng ke kanan sekali gus air mata aku mengalir deras. Sakit perit di pipi tidak sesakit hati aku kini.

     "Kau jangan nak babitkan arwah!" tengking Rayyan.

     Perlahan kepala dipaling menghadap wajah bengisnya itu. Segaris senyuman terlorek di bibir. Aku menganggukkan kepala aku sekali. Betul. Aku tidak sepatutnya membabitkan arwah tetapi aku nak dia tahu apa yang sepatutnya dia tahu!

     "Ya. Maafkan aku. Aku tak patut babitkan dia. Dia tidak bersalah. Aku yang bersalah. Kenapa aku ditakdirkan berjumpa dengan lelaki macam kau? Kenapa semua lelaki yang pernah aku jumpa, semuanya menyakitkan hati aku? Kenapa? Aku tak layak berbahagiakah?"

     "Perempuan macam kau tak payah nak bahagia sangat. Hidup kau dah gelap! Dah tak ada apa-apa!" Serena mencelah.

     Rayyan, aku lihat dia tersenyum sinis sambil merenung wajah aku dengan renungan tajam.

     "Ya. Kau tak patut bahagia. Perempuan macam kau ni. Lahir dari keluarga yang miskin. Menyusahkan orang. Dah tahu miskin, anak ramai! Lepas tu tak boleh nak jaga! Dan kau pula dengan senang-senangnya membesar dalam keluarga kaya! Begitu mudah sekali!"

     Aku memejamkan mataku. Sungguh hinaan Rayyan menusuk tepat ke dalam dadaku. Air mata tak usah dikata memang tidak berhenti mengalir dari tadi. Setiap kata hinaannya bagaikan rakaman ulangan di gegendang telinga aku. Bibir aku terketar-ketar mahu membuka untuk mengeluarkan suara. Aku tak mampu berbahas dengan lelaki ini. Semakin aku melawan, dirinya semakin menyerlah menonjol ke hadapan tanpa ada sifat belas kasihan. Setiap tutur katanya tak dapat aku maafkan, ditambah lagi dengan dia mengutuk keluarga kandung aku.

     "Kenapa kau diam?" Sinis Rayyan bertanya.

     "Dah tak ada benda nak cakap. Dah kalahlah tu. Mengaku kalah sajalah, Raihana." Sinis suara Serena yang semakin melampau menjadi batu api.

     Aku hanya mampu memandang kosong ke arahnya. Biarlah aku yang pergi dari sini. Aku tak sanggup untuk terus-terusan duduk dalam keluarga ini.

     "Betulkan apa aku cakap? Kau tu asalnya dari keluarga yang miskin! Tetapi mak bapak kau tu papa kedana sangat sampai serahkan kau dekat bonda dan baba! Sedar diri tu sikit! Aku tak ingin pun lah nak jadi abang kau! Adik kandung aku hanya satu dan dia dah tak ada dekat muka bumi ni! Kau tu pembawa malang je dalam keluarga aku!"

     Pang!

     Aku terkejut apabila satu tamparan hinggap ke pipi Rayyan menyebabkan dia terdiam seribu bahasa. Rupa-rupanya baba yang menampar dia. Aku sendiri tidak perasan bila masanya bonda dan baba pulang.

     "Rayyan Husaini! Aku tak pernah ajar kau jadi biadap macam ni sekali! Kau patutnya bersyukur kau dilahirkan dalam keluarga senang macam ni tanpa kau perlu fikir nak cari rezeki dekat mana! Semua aku dan bonda kau suap kau sejak lahir lagi! Ini perangai kau!"

     Bonda memeluk tubuh aku erat sambil memerhatikan baba menengking Rayyan. Sempat lagi Rayyan menjeling ke arah aku seolah-olah aku yang berpunca dia ditampar oleh baba.

    "Kau kenapa nak jeling Raihana? Dia ada dosa besar apa dekat kau sampai kau hukum dia macam tu?" Giliran dia ditengking oleh baba. Tadi bukan main kau lempar kata-kata kesat kau tu! Sekarang rasakan! Serena pula aku tengok dah kecut tengok baba naik angin! Baru kau kenal siapa baba!

     "Rayyan tak suka dia! Dari dulu lagi Rayyan memang tak suka dia! Kenapa baba dengan bonda ambil dia? Niat nak ganti adik ke? Baba ingat dengan mengambil dia dan menggantikan tempat adik, Rayyan akan belai dia macam adik? Memang taklah, baba! Sampai mati pun tak akan!"

     Berani-beraninya Rayyan meninggikan suara pada baba. Aku sendiri pun tak pernah meninggikan suara pada baba walaupun baba bukan ayah kandung aku. Perasaan hormat pada orang tua masih tersemat lagi dalam diri aku walaupun aku jahil. Tak macam dia. Orang asli pun masih tahu lagi hormat orang. Dia ni boleh duduk satu sangkar dengan singa. Singa tak tahu nak hormat sebab dia haiwan. Kejamkan aku?

     "Rayyan Husaini!" jerit baba sambil mengangkat tangannya mahu menampar Rayyan buat kali kedua.

     "Baba! Jangan! Cukup! Hentikan!" Larang aku laju sambil menarik tangan baba dari terus hinggap ke pipi Rayyan. Nafas baba ketika itu berombak laju. Aku tahu dia sangat marah dan kesal dengan sikap anaknya itu. Tapi nak buat macam mana, Rayyan masih tidak boleh dilentur lagi. Dia masih berdegil dengan ego dan sifat takburnya itu. Nak carik tanah liat yang keras tu pun masih boleh lagi. Dia ni pula entahlah. Hempuk dengan batu lesung pun belum tahu sedar diri ke tidak?

     "Baba dengan bonda pilih! Rayyan atau perempuan ni! Kalau pilih perempuan ni! Baba dengan bonda tak akan dapat jumpa Rayyan lagi dan Rayyan tak akan mengaku lagi siapa baba dengan bonda!"

     Aku mengucap panjang. Baba terdiam seribu bahasa manakala bonda menangis teresak-esak. Aku lihat tubuh badan baba menggeletar mendengar ayat yang diungkapkan oleh Rayyan sebentar tadi. Semestinya hatinya disiat-siat secara percuma.

     Suka-suka hati dia aje nak suruh pilih-pilih. Apa dia ingat sesi pemilihan ujibakat untuk penggambaran drama ke?

     "Rayyan! Kalau kau bencikan aku jangan sampai jadi anak derhaka! Kau tak perlu soal baba dan bonda macam tu sebab aku sendiri yang akan keluar dari rumah ni! Aku tak nak menjadi penghancur hidup keluarga kau! Aku harap dengan ketiadaan aku, kau akan hidup bahagia! Biar aku saja yang merana!" ujar aku dengan nada suara yang cukup lantang. Mampu menggemakan suasana rumah agam ini.

      "Apa lagi kau tunggu? Jalanlah! Tu bagasi kau dah siapkan tadi! Tarik dan berambus!"

     Wah, wah! Sedap dia menghalau aku. Tak apa. Tak apa. Jangan sangka kau tu selalu duduk dekat atas langit aje. Silap haribulan kau yang tersungkur dekat tanah. Merayu-rayu dekat aku. Masa tu barulah nak minta maaf dekat aku. Aku tak layan orang yang dah pernah hina aku. Sekali-sekala berlagak sikit macam diva anak jutawan. Ewah!

      Aku mengucup tangan baba dan bonda. Tubuh bonda dan baba aku peluk buat seketika.

     "Baba, bonda. Terima kasih untuk semuanya. Dari Rai kecil sampai sekarang. Kasih sayang dan didikan baba serta bonda tak akan Rai lupakan. Terima kasih sebab sudi jaga Rai. Rai janji akan jaga diri dan inilah masanya Rai pulang ke pangkuan keluarga kandung Rai," ujarku tersedu-sedan. Tubuh baba dan bonda aku peluk erat. Bagaikan selepas ini aku tidak dapat memeluk mereka lagi.

     Pemegang bagasi aku genggam sebelum aku menatap wajah yang selama ini aku fikir dialah abang kandung aku. Tapi, rupa-rupanya bukan. Dan, aku rasa singa pun tak terima Rayyan ni jadi adik-beradik dia. Yelah, kejam sangat.

     "Rayyan, terima kasih untuk semuanya. Walaupun kau tak pernah layan aku sebagai seorang adik. Aku nak kau tahu sepanjang kita membesar bersama, aku sayangkan kau macam abang aku sendiri. Aku tahu masih ada sekelumit perasaan baik kau dalam diri kau. Gunakanlah sebaiknya sebelum kau menyesal. Penyesalan tak akan boleh diputarkan semula..."

     "Pergilah, Raihana. Pulang ke tempat asal kau. Dasar miskin...," ejek Serena dengan nada berbisik. Nampakkan dia pengecut takut baba dengar? Padahal baba dari tadi pandang dia tak lepas. Itu pun tak sedar diri! Malas aku nak layan!

     Aku harap dia sedarlah. Kalau tak sedar juga, aku rasa dia ni berasal dari planet yang lain sebab susah sangat nak turunkan ego tu. Nak ikut baran dia aje. Aku juga yang salah....

     Kaki dibawa langkah demi langkah sehingga keluar dari rumah. Rumah yang selama ini tempat aku berteduh sepanjang aku membesar di sini. Rumah ini banyak kenangan pahit dan manisnya bersama baba, bonda dan Rayyan Husaini. Sebelum aku melangkah kanan keluar dari rumah tadi, aku berdoa agar Rayyan sedar akan kelakuannya.

     Aku nak dia tahu yang aku...

     Sayangkan dia...

     Sebagai seorang abang atau lebih? Biarlah aku saja yang tahu. Aku hanya manusia biasa. Yang tidak lari dari membuat silap. Aku tak akan pernah berdendam. Kalau aku berdendam, aku tak akan dapat pulangan yang berfaedah. Biarlah aku pulang ke pangkuan keluarga dan kemungkinan besar, aku akan membawa diri untuk merehatkan diri aku sendiri.

     Selamat tinggal, abang. Rayyan Husaini....


     "Abang... tolonglah jangan bagi Raihana pergi..."


    "Abang, saya merayu pujuklah Raihana balik. Jangan bagi dia pergi. Saya tak boleh tak ada dia, abang..."


     Dari pintu utama aku dengar tangisan bonda teresak-esak. Semakin berat aku hendak melangkah pergi. Aku menggenggam erat pemegang bagasi. Aku dah nekad untuk pergi dari keluarga ini selepas Rayyan menghamburkan segala kata-kata caciannya. Rahsia selama ini juga aku sudah tahu. 

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.