Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 49

BAB 49

"RAI, aku dengan Atia nak pergi tengok-tengok kedai baju yang buat sales tu kejap dengan angah. Kau dengan Adam nak tunggu sini?"

Aku sekadar menganggukkan kepala. Air jus tembikai yang aku pesan tadi disedut dengan penuh nikmat. Baru aje kejap tadi aku makan sepinggan Lamb Chop sekali set dengan nasi perang. Kenyang perut aku. Lepas ni nak kena telan vitamin dengan beberapa jenis ubat yang doktor bagi.

"Jadi, Rai memang serius nak pergi Jepun dengan Atia?"

Aku menganggukkan kepala seraya tersenyum kecil. "Ya. Atia dengan Rai dah rancang yang baik-baik. Lepas selesai masalah Rai ni nak terus blah pergi sana. Atia nak tempah tiket awal takut habis."

"Kalau Adam nak ikut? Boleh?"

Aku terdiam.

"Adam nak ikut? Tapi kafe Adam kat sini?"

Adam tersenyum kecil.

"Risau dekat kafe Adam rupanya. Jangan risau. Adam akan minta tolong dari kawan Adam yang boleh dipercayai. Lagipun kafe tu bukan milik Adam seorang. Memang Adam share partner dengan kawan Adam tu. Nama dia Rizal. Dah lama kenal. Mungkin Rai ingat kut. Dia muda setahun dari kita."

"Rizal Nur?"

Laju Adam menganggukkan kepalanya.

"Lah! Dia ke?" Aku tertawa kecil. Tak sangka pula Adam rapat dengan budak junior tu. Dulu bukan main asyik bergaduh aje. Tak sangka pulak boleh rapat akhirnya. Tulah semua yang terjadi tak dijangka oleh kita.

"So, Rai. You didn't tell Rayyan about your pregnancy?"

Aku mendongak ke arah Adam. Serius soalan dia agak mengejutkan aku. Aku tak sangka pula dia akan tanya soalan tu. Apa aku nak jawab? Aku memang tak ada niat langsung nak bagitahu pasal kandungan aku ni dekat Rayyan. Kejam ke aku?

"Tak. Rai tak ada niat nak bagitahu dia..."

Adam terdiam. Dia tak memberi sebarang respons. Dia menongkat tangannya di atas meja kemudian diusap-usap jari-jemarinya sambil merenung ke arah aku.

"Adam tak nak paksa Rai. Tapi Adam nak ingatkan Rai, bila baby tu lahir. Baby tu kena kenal siapa ayah dia. Sejahat mana pun Rayyan, dia tetap anak Rayyan. Berbinkan Rayyan Husaini. Kan?"

Aku mengangguk. Memang tak dapat dinafikan. Anak yang aku kandungkan ini adalah anak aku dan Rayyan. Dari perhubungan yang sah. Cuma sekarang ni kami dalam proses untuk bercerai. Mampukah aku?

"Jangan risau. Adam sentiasa ada dengan Rai. Adam akan ikut Rai ke Jepun nanti. Adam akan jadi ayah sementara untuk baby tu. Boleh kan?"

Aku memandang Adam tanpa berkerdip. Dia memang suka tiba-tiba kan? Suka buat aku speechless. Dia memang betul-betul dah berubah dan perubahan dia membuatkan hati aku sentiasa tersentuh dengan setiap ucapan yang keluar dari mulutnya.

"Terima kasih, Adam. Rai tak tahu nak balas macam mana jasa Adam. Rai..." Percakapan aku dipotong laju dengan gelengan Adam.

"Jangan cakap macam tu. Adam tak suka. Luka dalam hati Rai yang pernah Adam buat dulu sampai sekarang Adam tahu, luka tu tak akan hilang walaupun makan tahun sekalipun. Adam sedar silap Adam. Jadi, anggaplah semua ni Adam nak tebus kesalahan Adam walaupun Adam tahu, tak tertebus semuanya."

Tak semena-mena air mata aku tumpah. Kenapa? Kenapa aku tak boleh bukakan hati untuk Adam sekarang? Sebab aku sedar yang aku tak layak untuk dia. Diri aku dah dirasmikan oleh Rayyan sendiri sedangkan Adam dulu sepanjang dengan aku tak pernah buat aku macam ni. Dengan hati aku tak rela. Adam dah berubah pun aku dah cukup bersyukur. Aku tahu yang Adam sebenarnya layak untuk Atiana. Aku tahu yang Atiana dan Adam sekarang ada hubungan tersembunyi. Aku dengar secara tak sengaja di dalam perbualan mereka malam semalam. Atiana ada berbincang mengenai perkahwinan mereka. Mungkin mereka tak nak hebohkan sekarang. Belum masanya lagi.

"Boleh kan Adam jadi ayah sementara untuk baby Rai?"

Aku menganggukkan kepala. "Boleh. Kalau Adam sudi."

"Terima kasih, Rai. Adam akan sentiasa ada dengan Rai. Ingat tu."

Aku sekadar mengangguk seraya tersenyum nipis. Tak sangka aku Adam akan berubah sebaik ni. Aku bersyukur. Semoga Adam akan jadi suami yang baik untuk Atiana satu hari nanti.

*****

HARI ini aku akan ke rumah baba dan bonda untuk mengemas semua pakaian dan barang aku. Kemungkinan besar, aku tak akan jejakkan lagi ke rumah ini. Kalau nak jumpa baba dengan bonda pun dekat luar saja. Baba dah maklumkan pada aku pasal keadaan bonda lepas dia dapat tahu apa yang terjadi. Bonda langsung tak bertegur-sapa dengan Rayyan. Terperap dalam bilik dan kadang-kadang ikut baba keluar ke pejabat atau ke tempat lain. Langsung tak bercakap dengan Rayyan. Haih...

"Raihana, datang pun. Kami tunggu..." Bibik Saha dan bibik Nira segera mendapatkan aku. Kami berpelukkan sekejap sebelum berbual-bual. Suasana rumah sunyi tapi tadi aku sempat call baba yang aku nak datang rumah. Baba cakap dia ada aje dekat rumah dengan bonda. Rayyan pun ada. Baba memang tak kasi Rayyan ke mana-mana lepas kes ni.

"Rai pun rindu. Mana diaorang? Sunyi je...," tegur aku.

"Sejak Tuan Razif marah-marah sama Tuan Rayyan. Rumah ni automatik jadi sunyi betul."

Bibik Saha menganggukkan kepala tanda setuju. Aku terdiam. Baba sambung marah Rayyan lagi ke? Aku ingatkan dah tak marah cuma tak bercakap sangat aje. Haih... baba kalau dah marah memang lama. Susah dia nak lupakan. Lagi-lagi kejadian teruk macam ni. Sudahlah Rayyan seorang aje anaknya.

"Tak apalah. Rai nak naik atas dulu."

Aku mendaki anak tangga satu per satu. Dari jauh aku nampak, pintu bilik Rayyan tak tutup rapat. Nampak suasana biliknya dari celah ruangan yang terbuka itu. Perlahan-lahan aku menghampiri pintu biliknya dan mengintai. Aku terdiam. Terkejut pada masa yang sama. Kelihatan Rayyan sedang baring meniarap di atas katilnya sambil memeluk patung beruang yang pernah aku berikan sewaktu hari lahirnya dulu. Ini bermakna, hadiah yang aku bagi langsung dia tak buang?

Rayyan, apa perasaan kau sebenarnya? Aku tak faham. Aku sayangkan kau, Rayyan. Takkan sikit pun kau tak rasa sayang dekat aku? Kau dah buat aku semakin jauh hati dengan kau, Rayyan. Tiada lagi sifat belas kasihan aku dekat diri kau. Baru saja kau nak melangkah semula, telinga aku dapat tangkap satu suara esakan. Sepertinya tersedu-sedan. Aku cuba mendekatkan diri kembali ke pintu bilik Rayyan. Memang betul dia yang menangis. Tapi dia tak ada luahkan apa-apa. Aku cuma dengar dia menangis teresak-esak sambil peluk patung beruang yang aku bagi tu.

Cepat-cepat aku melangkah masuk ke dalam bilik dan terus mengemas barang dan pakaian aku. Tak tegar aku untuk berdiri di situ dan mendengar tangisannya. Takut hati aku berubah. Aku tak boleh dengar sesiapa menangis pasti hati aku akan tersentuh setiap tangisan mereka.

Plup! Aku menepuk dahi. Haih... novel ni. Macam manalah aku boleh terlepas pegang, aku kalau boleh tak nak buat bising. Tak naklah orang tahu yang aku dah sampai. Bagi aku siap dulu baru aku bersedia nak hadap semua orang.

Krek...

Aku mendongakkan kepala sekali gus pandangan aku terpaku pada satu susuk tubuh yang sedang berdiri tercegat di muka pintu.

"Aazeen?"

Rayyan mendekati aku setapak demi setapak. Dirinya tampak serabai. Dah kenapa dengan dia ni? Okey ke tak? Seram pulak aku tengok penampilan dia macam ni. Berlainan sungguh.

"Ra... Rayyan..."

"Aazeen, kau betul-betul nak aku lepaskan kau?" soal Rayyan secara tiba-tiba. Berkerut dahi aku dibuatnya.

"Ya...," jawab aku dengan nada perlahan.

Aku nampak dia menganggukkan kepala. Apa dah jadi dengan dia? Muka dia basah dek air mata yang masih lagi tersisa. Matanya sembap. Dia okey ke tak sebenarnya ni?

"Aku boleh lepaskan kau sebab baba yang suruh. Baba paksa. Ikutkan hati, aku tak nak lepaskan kau. Aku nak tebus balik kesalahan aku. Tapi, kau pun berkeras nak putuskan hubungan ni. Aku tak boleh buat apa. Semuanya punca dari aku sendiri. Aku reda."

Aku membungkam. Rayyan dah berubah? Patutkah aku percaya atau dia nak mempermainkan aku sekali lagi. Tak-tak. Aku tetap dengan pendirian aku. Aku tak boleh cepat terpengaruh dengan Rayyan lagi. Aku kena berhati-hati.

"Terima kasih sebab faham," ujar aku perlahan seraya tangan masih ligat melipat pakaian dan dimasukkan ke dalam bagasi.

"Boleh tak aku nak peluk kau sebelum kita berpisah?"

Aku tergamam. Kenapa? Kenapa dia kena buat ayat macam tu? Perlu ke? Dan patut ke aku bersetuju dengan permintaan dia? Ya Allah... memang semua orang suka buat aku rasa bersalah sangat.

"Erm..." Aku tak mampu jawab tetapi aku boleh rasakan yang Rayyan mula duduk bersila di belakang aku dan pinggang aku dipeluknya erat. Wajahnya disembamkan ke belakang tubuhku. Dan telapak tangannya betul-betul menyentuh perutku. Tak semena-mena air mata aku menitis tumpah ke pipi. Ya Allah...

"Aku minta ampun dengan kau. Ampunkan dosa-dosa aku. Aku akan doakan kau sentiasa bahagia di samping orang yang kau sayang. Aku minta maaf. Aku sedar yang aku ni bodoh. Terlalu ikutkan ego. Terlalu ikutkan hati dan perasaan. Terima kasih untuk semuanya, Aazeen. Terima kasih sebab sedarkan aku siapa Serena sebenarnya. Terima kasih selamatkan aku dari terus membuat benda terkeji macam ni."

Sedaya upaya aku menahan tangisan aku dari teresak-esak.

"Aku tahu. Tak semudah itu kau nak maafkan aku. Aku ingat lagi kata-kata kau. Kalau aku menangis air mata darah sekalipun. Kau tak akan maafkan aku tapi aku nak minta maaf jugak dekat kau sebelum kau pergi dari hidup aku."

Aku terdiam. Tak mampu nak bercakap apa-apa. Setiap ayat dia menyayat hati aku. Bagaikan disiat-siat. Bersalahkah aku? Aku tak bagitahu yang aku mengandung anak dia.

"Aku sayangkan kau, Aazeen. Aku dah lama sayangkan kau. Tapi perasaan sayang aku tenggelam disebabkan aku terlalu bodoh ikutkan ego aku. Aku mengaku memang aku bencikan kau sebab dari dulu sampai sekarang baba dengan bonda selalu lebihkan kau dari aku. Aku tak nampak kasih sayang dari baba dan bonda sedangkan mereka sayangkan aku."

"Rayyan... sudah...." Akhirnya aku melepaskan tangisan aku teresak-esak. Sungguh, aku tak dapat nak tahan lagi. Sesak dada aku dibuatnya. Rayyan masih lagi memeluk aku erat, sedikit pun tidak mahu melepaskan aku.

"Aku mohon. Ampunkan aku."

"Aku tak janji, Rayyan. Bagi aku masa."

Aku meleraikan perlahan pelukkan kami. Segera mengemas pakaian dan barang. Tanpa disuruh, Rayyan membantu aku mengemas walaupun beberapa kali aku menghalang. Aku masih lagi ragu-ragu dengan Rayyan. Apakah benar dia berubah? Kalau dia betul-betul berubah, aku bersyukur tapi tak mungkin aku akan kembali pada dia semula.

Aku dah nekad untuk cari kebahagiaan aku sendiri tapi aku sendiri masih tak yakin.

Mampukah aku mencari kebahagiaan aku seorang diri?


Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.