Home Novel Cinta I Love You 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 27

BAB 27

PERSIAPAN perkahwinan abang Edri dan aku sudah siap dengan sempurnanya. Semuanya berkat pertolongan keluarga aku dan Emma. Sejak jadi tunang kepada angah, bukan main setiap hari kalau boleh dikatakan dia akan datang rumah aku. Angah dan Emma menyuruh abang Edri dan aku melangsungkan perkahwinan dulu barulah mereka akan menyusul. Sabar ajelah dua orang ni! Diaorang yang dah lama berkenalan dulu patutnya teruskan, tapi ada bagi laluan dekat kami.

Weyh! Serius cantik gila busana pengantin kau! Tak sangka esok kau akan jadi kakak ipar aku! Tak sabarnya!” Terloncat-loncat Emma dibuatnya kerana terlalu teruja.

“Woi, woi! Bocor rumah aku ni kalau kau lompat macam tu. Angah nampak mahu jatuh saham dia dapat bakal isteri macam kau!”

Secara drastik air muka Emma berubah dan serentak lompatannya terhenti. Mulutnya dimuncungkan sedepa. Tangan disilangkan pada dadanya. Wah, wah! Marah betul!

“Hah! Lawa sangatlah tu macam tu mukanya! Terus hilang seri pengantin kau nanti. Kau nak kahwin lagi tiga hari aje kan! Hah! Baik kau senyum semula!”

“Okey! Tak-tak! Dah senyum!” Laju saja Emma mengukirkan senyuman lantas duduk di sebelah aku dan lengan aku dipaut penuh manja.

“Aku sayang kau, Rai. Aku dah anggap kau macam adik-beradik aku! Lebih dari seorang sahabat!”

Aku tersenyum seraya menganggukkan kepala. Sungguh aku tersentuh dengan kata-kata dari mulut Emma sendiri. Aku sentiasa berdoa agar hubungan persahabatan aku dan Emma akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat. Dialah kakak. Dialah adik. Dialah tempat aku meluahkan perasaan yang aku pendam seorang diri. Sememangnya dia orang yang paling aku percaya. Sedikit pun dia tak pernah meretakkan kepercayaan yang aku berikan kepada dia. Begitu juga dengan diri aku sendiri. 
 

*****

 
DARI tadi aku bermundar-mandir di ruang tamu. Petang tadi ahli keluarga Emma datang dengan membawa satu berita yang sangat tidak sedap didengar. Patutnya hari ini abang Edri akan balik ke sini dari Labuan kerana ada urusan di sana. Tapi sehingga sekarang abang Edri tak balik-balik. Esok sudahlah hari pernikahan aku dengan dia. Jantung aku tak usah dijelaskan. Rasa macam dah tak ada jantung!

Hello...”

Aku terus menoleh ke arah Emma yang sepertinya mengangkat panggilan seseorang. Masa ni aku rasa macam nak pitam saja. Seluruh anggota tubuh aku menggeletar. Aku takut. Tak tahu apa yang aku takutkan.

“Ya Allah...” Serentak itu telefon bimbit yang berada di pegangan Emma terjatuh di atas lantai. Mujur tidak berkecai. Semua memandang ke arahnya dengan penuh tanda tanya.

“Mama... papa... abang!” tangis Emma tersedu-sedan.

Aku membungkam. Tidak tahu apa yang sedang berlaku? Mata aku pandang telefon bimbit yang sudah terdampar di atas lantai. Talian masih lagi bersambung. Lantas aku ambil dan dilekapkan pada telingaku.

Hello, ada apa yang berlaku, ya?” soal aku dengan nada sedikit bergetar. Sedaya-upaya aku cuba kawal.

Hello, ni siapa ya?”

“Saya bakal isteri Encik Edri,” jawab aku dengan nada perlahan untuk mengelakkan suara aku kedengaran terlalu bergetar.

“Cik, saya Rosman dari Balai Polis Labuan. Encik Edri terlibat dalam kemalangan dan dia telah meninggal dunia di tempat kejadian. Dia tidak keseorangan. Dia bersama dengan tiga orang lagi pegawai polis. Keempat-empat mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Saya harap cik dan semua ahli keluarga banyak-banyak bersabar. Jenazah berada di Hospital Besar Labuan, tadi saya bercakap dengan Cik Emma tapi dia belum memberi sebarang maklum balas. Jenazah arwah mahu dikebumikan di Kuala Lumpur?”

Suara pegawai bernama Rosman bagaikan angin lalu. Jantung aku seolah-olah berhenti berdetak. Abang Edri dah tak ada? Kemalangan? Dia... dia dah tak ada? Esok... esok hari pernikahan kami dan dia pergi meninggalkan aku? 

“Rantai ni abang belikan untuk Rai rasa abang ada selalu dengan Rai. Jauh macam mana pun abang, abang tetap dalam hati Rai. Abang nak Rai sentiasa kuat menempuhi segala apa yang terjadi dalam hidup, Rai. Okey?”

Aku memegang rantai yang dia hadiahkan kepada aku. Tika itu juga, air mata aku mengalir lebat. Dugaan apa yang harus aku tempuhi ini? Saat aku mula menyayangi insan yang menghargai aku, dia telah pergi meninggalkan aku. Ya Allah, kenapa sakit sangat hati aku ini, Ya Allah? Perit rasanya. Kenapa abang Edri pergi secepat ini? Ya Allah...

“Cik?”

Aku tersedar dari lamunan. Air mata aku seka dan mengawal suara aku sehabis mungkin. 

“Ya. Di Kuala Lumpur,” jawab aku terketar-ketar.

“Rai, abang aku, Rai. Dia ada lagikan? Orang tu silap orang kan? Cakaplah Rai!”

Sebaik saja aku mematikan talian dan meletakkan telefon bimbit milik Emma di atas meja kopi, dia terus memeluk tubuh aku erat dengan tangisannya yang teresak-esak.

“Emma, abang dah tak ada. Dia dah...”

“Tipu!” tempik Emma.

“Ya Allah, Emma. Sabar. Aku tak tipu, Emma...” Luluh hati aku melihat Emma begini. Tak sanggup aku melihat air matanya yang berjurai-juraian tidak berhenti. Wajahnya pun sudah basah dek air matanya.

“Tipu... tipu...” Emma menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Dia memaut pada bahu aku dan aku terus memaut pinggangnya dari jatuh. Sepertinya dia mahu pitam.

“Adik, bawa Emma masuk bilik. Dia tak boleh tu...,” pinta angah.

Aku hanya menganggukkan kepala. Memapah tubuh sahabat aku itu masuk ke dalam bilik. Aku membantu dia untuk baring di atas katil aku manakala aku duduk di sebelahnya. Dia masih lagi menangis teresak-esak.

“Emma...”

“Rai, kenapa abang tinggalkan aku? Dia kata dia nak tengok aku kahwin. Dia dah janji nak jadi saksi aku. Dia dah janji nak bahagiakan kau untuk aku. Sebab aku yang mintak dia untuk jaga kau. Kau dah banyak terseksa.”

Akhirnya terhambur tangisan aku yang seboleh-bolehnya aku tahan. Tapi aku gagal tatkala mendengar ayat yang keluar dari mulut Emma. Ya Allah, mulianya hati kawan aku ini. Apa yang aku boleh balas jasanya?

“Emma, jangan cakap macam tu. Kesian abang Edri. Dah sampai masanya untuk dia pergi. Orang yang baik, Allah akan ambil dulu dari kita semua. Kau jangan macam ni. Aku tak boleh. Sakit hati aku tengok kau macam ni. Ya, aku tahu kau rapat sangat dengan arwah abang tapi kasihanilah dia. Dia tunggu kau doakan untuk dia. Apa yang dia telah janjikan itu, kita maafkan dan reda dengan pemergian dia. Aku cuba untuk reda dan lepaskan dia walaupun berat, Emma. Aku mula sayangkan dan cintakan abang kau. Dengan kebaikan dia, aku tak sempat nak balas jasa dia. Tanpa dia, aku rasa aku tak tahu siapa diri aku yang sebenar...,” esak aku.

“Rai, jangan tinggalkan aku. Aku tak kuat.”

Aku menganggukkan kepala beberapa kali seraya merebahkan tubuh di sebelah Emma. Lantas Emma memeluk aku erat dan menyembamkan wajahnya pada bahu aku. Melepaskan tangisannya teresak-esak.

“Aku sayang abang aku. Sayang sangat. Dari kecil, aku sangat-sangat rapat dengan dia. Dulu masa dia masuk asrama, aku menangis sama macam sekarang aku menangis. Aku demam berhari-hari tapi bila dia balik. Aku gembira. Tapi, sekarang ni aku tahu yang dia tak akan balik lagi. Dia dah tak akan muncul depan aku. Dia pergi jauh, aku rindu sangat. Dialah abang yang paling baik yang aku ada...”

Aku membelai rambut Emma. Kata-kata Emma menusuk kalbu aku. Ya Allah, seronoknya mereka berdua ini. Kenapa aku dengan Rayyan tak pernah macam tu sebelum aku dapat tahu yang aku ni cuma anak angkat? Apa besar sangat ke salah aku sampai dia tegar hancurkan kehidupan aku? Aku cemburu. Cemburu dengan kerapatan Emma dan arwah abang Edri sebagai seorang adik dan abang. Sedikit pun aku tak pernah merasai disayangi oleh seorang yang digelar abang.

“Emma, maafkan aku,” ucap aku perlahan.

“Kenapa kau cakap macam tu?"

“Aku lambat menghargai abang kau. Aku tak pernah cakap yang aku sayangkan dia. Dia sanggup tunggu aku. Bagi aku masa. Peluang semua. Tapi aku tak hargai semua tu. Aku ego."

Emma beberapa kali menggelengkan kepala.

“Jangan cakap macam tu, Rai. Kau tak salah apa-apa. Aku memang nampak sepanjang kau dengan abang Edri. Aku tahu yang kau dah mula sayang dan cintakan dia. Aku saksi setiap kali korang berdua berdating. Kadang-kadang Iman pun ikut sekali, dia pun tahu kau macam mana. Jangan cakap macam tu. Serius, aku suka tengok kau dan arwah abang aku masa tu. Dua-dua tersenyum dan nampak bahagia...”

Aku tersenyum nipis. Ya. Aku mengaku. Waktu itu, terasa secebis demi secebis perasaan kebahagiaan menyerap masuk ke dalam tubuhku. Tapi ia tidak berkekalan lama. Allah dah ambil abang Edri. Dia dah pergi buat selamanya tinggalkan aku dengan momen-momen yang pernah kami ciptakan walaupun dengan masa yang singkat.

Abang Edri, terima kasih sebab sudi hadir dalam hidup Rai walaupun seketika cuma. Terima kasih sebab jadi hero Rai. Terima kasih sebab sayang dan cintakan Rai. Terima kasih untuk semuanya. Rai tak mampu balas jasa abang. Rai cuma mampu doakan semoga abang tenang di sana.
 
Rai sayangkan abang...

Rai cintakan abang...
 


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.