Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 23

BAB 23

KEJADIAN tadi masih aku tak dapat nak lupakan. Beberapa kali membelek pergelangan tangan aku yang mempunyai kesan merah akibat cengkaman Rayyan tadi. Mujur Farhan ada kalau tidak, aku tak tahu apa jadi. Dekat sini juga Rayyan nak tunjuk baran dia. Dia tu dah kenapa? Aku dah tak ada depan mata dia pun sibuk juga nak ganggu hidup aku. Memang tak bagi peluang langsung aku hidup tenang.

“Kau okey tak?” soal Farhan seraya menanggalkan apron dan disangkut pada tempat yang disediakan.

“Ha... aku okey. Terima kasih sebab tolong tadi.”

“Aku buat sebab bos dah pesan dekat aku suruh tengok-tengokkan aku. Aku tahu yang lelaki tadi tu bermasalah dengan kau, kan?”

Aku hanya mampu tersenyum seraya menganggukkan kepala. Siapa lagi yang cerita kalau bukan Emma atas alasan sebab dia risaukan keselamatan aku. Jadi, tak peliklah kalau pak cik dia tahu. Aku tak kisah pun. Sekali-sekala Rayyan tu patut kena sergah!

“Kau boleh dengan siapa? Nak aku hantar?”

Aku terkebil-kebil. Betul-betul Farhan ni nak melindungi aku. Dia ni tak silap aku dah bertunang. Kang tak fasal-fasal tunang dia dapat tahu, mati aku.

“Eh, tak apalah. Nanti aku nak keluar dengan Emma. Kau baliklah. Terima kasih tau!”

Farhan menganggukkan kepala. Dia menyarungkan jaket pada tubuh sebelum melangkah keluar dari kafe. Tinggallah aku seorang yang masih tak reti nak balik ke rumah. Bukan apa. Aku rasa macam nak ambil dekat luar. Nak tenangkan diri aku yang masih lagi terkejut akan kejadian tadi.

Selepas berpuas hati melihat suasana kafe yang sudah siap dikemas, aku menggantung beg silang bahu dan melangkah keluar. Suasana pusat membeli-belah ini masih lagi riuh. Ramai yang tak reti nak balik rumah lagi walaupun bangunan akan tutup lagi 15 minit.

“Argh!” Aku terjerit apabila seseorang menarik tangan aku dari belakang dan terus tubuh aku ditolak sehingga tersandar ke dinding.

“Rayyan...”

“Ya, aku. Kenapa? Terkejut? Atau kau takut? Seronok kau tepek krim kek dekat aku? Balas dendam, huh?” Dia mendekatkan jaraknya sehingga tiada sedikit jurang di antara kami.

“Rayyan, apa ni!” Aku menolak tubuh dia kuat sehingga dia terundur beberapa langkah dari aku. 

Nafas aku yang agak kalut cuba ditenangkan. Siapa yang tak terkejut kena terjah macam tu? Bapak singa dah kenapa? Dia datang sini untuk apa? Tak akan nak jemput aku balik rumah. Memang tak naklah!

“Aku nak kau balik rumah! Kalau baba dengan bonda balik, kau nak cakap kau pergi mana, huh?” soal dia dengan nafas yang mendesah-desah.

“Rayyan, aku tak nak balik. Baba dengan bonda akan balik bulan depan. Jadi, ada beberapa hari lagi. Aku nak stay rumah Emma.”

 Beberapa kali Rayyan menggelengkan kepalanya. Eh! Dia ni memang tak faham bahasa ke? Nak aku cakap dalam bahasa Singa ke? Baru nak faham! Serius, aku dah penat nak hadap lelaki ni lagilah!

“Lepaslah!” Aku memijak kakinya lantas melarikan diri.

“Raihana! Hoi!” jerit Rayyan sambil mengejar aku dari belakang.

Buk! Aku jatuh terjelepok di atas lantai apabila terlanggar susuk tubuh seseorang. Itulah padahnya! Berlari dalam pusat membeli-belah bagaikan berlari dekat trek. Apalah nasib aku hari ni? Rayyan ni memang tak serik nak kacau hidup aku.

“Raihana? Eh, kenapa ni?”

Yang aku langgar tu rupa-rupanya Adam. Jap. Aku pelik dekat sini. Macam mana Adam boleh ada dekat sini? Kalau cakap nak beli barang, pusat membeli-belah ni nak tutup dah. Hairan!

“You buat apa dekat sini?” soal aku sebaik saja berdiri dan menstabilkan diri aku.

“I datang nak ambil you. Emma mintak tolong I. Dia nak call you tak sempat. Abang Edri kemalangan. Dekat hospital. Tapi, jangan risau. Keadaan dia dah okey. Jomlah...”

Sakit jantung aku dapat berita macam ni. Sudahlah tercungap-cungap tak hilang lagi dikejar dengan singa. Sebiji macam singa kejar, nak baham aku. Seram!

“Raihana!” Bergema-gema segenap ruangan bangunan ini dengan jeritan lantang Rayyan.

Serentak aku dan Adam menoleh ke arah Rayyan yang tercegat berdiri melihat kami berdua. Dia ingat drama ke apa sekarang ni? Nak terkejut pula tengok aku dengan Adam. Dah kenapa?

“Raihana, aku cakap balik dengan aku!” marah Rayyan. Dia mendekati aku lantas pergelangan tangan aku sekali lagi dicengkam. Sakit weyh!

“Woi! Woi! Apa hal ni? Kasar-kasar!” tempik Adam lalu menolak tubuh Rayyan kasar sehingga lelaki itu terjelepok di atas lantai.

Wow! Boleh tahan kuat juga Adam ni. Sampai terjelepok singa tu. Tak sangka aku. Singa kalah dengan manusia.

“Kau apa hal nak masuk campur! Dia ni adik aku! Kau tu siapa?” Sepantas kilat Rayyan bangun lalu mencekak kolar baju Adam.

Ah! Sudah! Dia nak bukak gelanggang bertinju dekat tengah-tengah bangunan ni. Bermasalah betullah! Sejak bila dia mengaku aku ni adik dia? Telinga aku salah dengar ke apa? Ah! Tak kisahlah! Aku nak pergi hospital! Melawat abang Edri! Hesy!

“Hei! Hei! Apa ni!” jerit aku sambil menyelit di antara mereka. Itulah kelebihan gadis yang rendah dan comel. Boleh main selit-selit. Aku tolak kedua-dua dada mereka menggunakan kudrat wanita aku.

“Sudahlah! Tak malu ke? Nak cari publisiti murahan ke apa? Sekarang dah malam. Kalau nak bukak gelanggang, lain kali tempah dulu. Ni pusat membeli-belah bukan gelanggang nak bertinju!” bebel aku.

“Dan kau, Rayyan! Aku cakap aku tak akan balik selagi baba dengan bonda tak balik. Tak ingin aku duduk serumah dengan kau. Macam aku tak tahu kau bawak balik Serena ke rumah setiap malam kan? Aku tak nak duduk selagi perempuan sundal tu ada dekat situ! Jom, Adam!” 

Aku membebel tanpa henti kemudian memegang tangan Adam dan menarik lelaki itu keluar dari pusat membeli-belah bersama aku. Sakit hati aku! Sibuk aje nak paksa-paksa aku balik. Rindu aku ke? Hah hah! Rindu? Rayyan nak rindu aku? Memang tidaklah! Kalau singa jantan boleh beranak pun aku tak rasa Rayyan akan rindu aku. Tak adanya. Lagipun aku dengan dia bukan ada apa-apa pertalian. Rayyan tak tahu lagi yang aku dah tahu identiti aku yang sebenar. Biarlah dulu!

Biarlah rahsia!

“Merah pergelangan tangan you. Kejamnya Rayyan. Kenapa dia suka sakitkan you? I tak boleh tengok you kena dengan dia macam ni.”

Aku hanya tersenyum nipis seraya menggelengkan kepala. Kau pun sakitkan aku juga. Jadi, kau dengan Rayyan tiada beza pun. Dia singa, kau monyet. Menggatal aje kerja kau! Tak cukup dengan aku setia dulu, Serena juga kau nakkan? Sekarang kau yang tersungkur. Aku dah cakap dah. Aku pun tak pasti jampi apa yang Serena guna sampaikan semua lelaki senang melekat dengan dia. Yang paling tak menahan, orang yang selama ni kenal aku lama. Setia dan percayakan aku sekelip mata boleh percayakan dia. Kau boleh nampakkan betapa bodohnya lelaki-lelaki yang aku kenal selama ni... 

Ah! Geram!


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.