Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 20

BAB 20

     TEPAT jam 9 malam, semua saudara-mara bonda dan baba sudah berkumpul di ruang tamu. Aku di dapur, menguruskan kek yang dibeli oleh baba dan bonda. Suasana rumah menjadi gelap-gelita. Hanya diterangi dengan cahaya luar. Tak lama kemudian, aku terdengar bunyi enjin kereta yang baru saja masuk ke pekarangan rumah. Semestinya Rayyan sudah balik. Awal pula dia balik. Biasanya kalau tak ada baba dengan bonda, pukul 1 atau 2 pagi baru dia jumpa jalan balik rumah. Kalau guna Waze pun tak akan jumpa rumah ni sebab dah syok sangat berdating dengan Serena.

     “Happy birthday, Rayyan!” Bergema suasana rumah mengejutkan Rayyan yang baru saja menutup pintu rumah.

      “Seriously, baba, bonda? Serius Rayyan terharu!” Tubuh baba dan bonda dipeluk erat olehnya.

      Aku menatang kek itu dengan penuh berhati-hati menghampiri dirinya. Senyuman penuh keikhlasan hati aku hadiahkan buat dia. Mungkin senyuman terakhir dari aku untuk dia?

      “Happy birthday, abang,” ucap aku dengan nada perlahan. Antara dengar dan tidak dengar.

      Rayyan tak memberi sebarang respons. Dia hanya merenung anak mata aku dengan renungan tajam. Tertelan air liur aku dibuatnya. Tak akanlah dia nak cari fasal depan saudara-mara?

      “Terima kasih... adik sayang...”

       Terpejam mata aku saat Rayyan menempelkan krim kek pada bahagian sebelah wajahku. Semua orang ketawa dan memikirkan ia adalah gurauan dari Rayyan untuk aku. Tapi pada aku tidak. Dia memang sengaja. Cara dia menepek krim itu sangat kuat dan membuatkan pipi aku terasa sakit.

      “Kau pergi letak kek ni kat dapur. Aku geli nak makan kek kalau kau dah cemarkan tangan kau dekat kek tu. Entah racun apa kau letak. Takut kau nak balas dendam dengan perangkap aku ke, kan?”

       Aku beristighfar panjang. Sampai hati Rayyan berburuk sangka dengan aku macam ni. Luluh hati aku dibuatnya. Aku terpaksa akur, melangkah lemah ke dapur. Pipi yang penuh dengan krim aku cuci di singki. Perlahan air mataku jatuh ke pipi, mengenang nasib aku yang tak berapa baik ini.

      “Menangis ke, huh? Menangis?” 

       Terkejut aku apabila Rayyan menyergah dari belakang seraya kek yang berada di atas kabinet itu ditonyoh ke muka aku. Terpinga-pinga aku dibuatnya. Dia ni nak buat aku pun tak payahlah membazir. Kesian baba dengan bonda dah beli kek tu!

       “Rayyan! Kau dah kenapa? Kek ni baba dengan bonda yang beli bukan aku!” marah aku selepas saja mengelap wajah aku menggunakan tisu basah. Pedih mata aku dibuatnya.

        Rayyan terdiam.

       “Asal kau tak cakap! Salah kaulah! Kau tak cakap yang kek tu baba dengan bonda beli! Aku ingat kau yang beli! Bodoh! Menyusahkan jelah kau ni!” Dia terus berlalu, mendaki anak tangga.

       “Rayyan!” Aku hampir saja hilang sabar. Aku berlari mengejar dia yang sudah mendaki separuh anak tangga.

        “Argh!” Aku tersilap langkah apabila aku sudah berjaya menghampiri dia. Secara tak langsung Rayyan memaut pinggang aku dan aku pula secara tidak sengaja merangkul lehernya agar aku tidak jatuh tergolek atas tangga.

        “Kau apa hal! Hah! Kemaruk sangat nak peluk aku ke apa? Jijik aku dengan kau nilah! Tuih!”

        Dia meludah ke arah aku. Hampir saja ludahannya itu mahu terkena pada muka aku. Kalau tak virus apalah yang berjangkit dengan aku nanti. Suka-suka hati dia aje nak ludah-ludah aku. Dia fikir dia siapa. Aku tak hadaplah nak peluk dia bagai. Aku bukan sengaja.

        “Bodoh.” Dia menolak aku dari terus merangkul lehernya.

        Aku terdiam. Bilalah aku nak keluar dari rumah ni? Tak apa. Sekejap saja lagi. Surat perletakan jawatan aku dah letak atas meja dia. Tapi aku tak pasti sama ada dia dah baca ke belum. Nak tak nak, aku tetap akan berhenti dan membawa diri. Jauh....

*****

      “SERIUSLAH, Rai. Dia ludah kat kau? Bapak ah kejam!” marah Emma.

       Aku hanya tersenyum nipis.

      “Buat apa aku nak tipu. Betullah. Dia ludah aku tapi hampir jelah nak kena muka aku tapi aku sempat elak.”

      “Ni kalau abang Edri tahu. Mahu kena Rayyan tu. Memang kurang ajar sangat! Makin lama makin melampau!” Emma mengepal-ngepal penumbuknya. Marah sangat gamaknya tu.

     “Raihana...”

      Serentak aku dan Emma mendongak ke arah si empunya yang memanggil nama aku. Emma sudah berkerut-kerut manakala aku terus melarikan pandangan aku. Kenapa dia nak kena muncul? Aku dah tak nak ingat apa-apa tentang aku dan dia. Kalau boleh aku nak bakar-bakar aje momen aku dengan dia. Kawan makan kawan....

       “Kau Ezra kan? Jantan yang telah menghancurkan masa depan sahabat aku! Kau kan?” Emma masih lagi mengawal nada suaranya supaya tiada sesiapa yang dengar.

       Kalau Emma cakap kuat sekalipun, aku tak kisah sebab aku rasa dah ramai tahu. Cumanya baba dengan bonda ajelah yang tak tahu lagi. Aku pun tak pasti. Kalau baba dengan bonda tahu mesti mereka akan panggil aku. Ni tak ada pun.

       “Aku nak jumpa Raihana sekejap.”

        Emma laju menggelengkan kepala dia. Dia terus mengangkat punggungnya lalu menyepak alat sulit milik Ezra. Aku terkedu. Ya Allah, kawan aku ni. Betul-betul dia marah.

        “Sakit yang kau rasa sekarang tu tak sesakit kawan aku ni rasa tau! Dasar jantan tak guna! Kau blah sekarang! Blah!” amuk Emma.

        Aku cuba untuk menenangkan Emma tetapi beberapa kali dia menepis tangan aku. Wajah Ezra pula berkerut-kerut menahan sakit. Sakit betul gamaknya tu. Emma pun satu. Tak ada tempat lain ke dia nak aim sepakan tu?

       “Rai... aku minta maaf...” Bersusah-payah Ezra mahu mengeluarkan suaranya. Terkepit-kepit. 

        “Tak payah! Kau berambus!” Emma menolak-nolak tubuh Ezra sehingga lelaki itu terundur beberapa langkah.

        “Raihana, aku silap. Terimalah aku. Aku sedia nak bertanggungjawab untuk semua yang terjadi.”

        Berdekah-dekah Emma ketawa. Kepalanya digelengkan beberapa kali.

        “Oi! Maafkan? Terima kau? Kau nak bertanggungjawab? Tu semua mimpi! Aku tak akan izinkan kawan aku ni dekat dengan jantan macam kau ni! Tak guna! Bawa-bawa bertaubatlah, Ezra! Kau dah rosakkan life kawan aku! Mudah-mudahnya kau nak suruh dia terima kau? Maafkan kau? No way, man!”

         Aku tidak mampu memberi sepatah dua kata. Aku serahkan semuanya kepada Emma. Entah kenapa tiba-tiba saja kepala aku berdenyut-denyut sakit. Inilah akibatnya kalau aku terlalu banyak berfikir. Tertekan.

        “Emma... kepala aku sakit...”

        “Kau tengok! Eii! Kau berambus! Kawan aku dah sakit disebabkan kau! Kau berambus! Jangan berani tunjukkan muka kau depan dia dan aku lagi!”

        Emma menarik tangan aku pergi dari situ. Aku sempat mengerling ke arah Ezra yang sayu melihat aku pergi tanpa sepatah perkataan.

        Sekali orang dah buat aku. Sampai bila-bila aku tak akan lupakan. Maafkan? Boleh, tapi bagi aku masa dan selepas aku dah maafkan. Layanan aku tak akan sama macam mana aku layan orang tu dulu.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.