Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 14

BAB 14

      JAKET kulit berwarna kelabu aku sarungkan pada tubuh. Dengan malasnya aku menepek bedak kompak dan mengoles lipbalm pada bibir. Sungguh aku tak ada kerajinan hendak bersolek walaupun aku nak kena ikut mamat tu pergi parti. Hesy! Kenapalah dia ni suka paksa pergi parti? Aku boleh saja duduk dekat rumah. Tidur lagi bagus!

      “Hello, Emma?” Aku terus mengangkat panggilan yang dibuat oleh Emma. Dari petang tadi dia tak habis-habis risaukan aku. Aku sendiri pun tak tahu apa yang dia risaukan sangat.

      “Rai, kau dah pergi ke? Sumpah doe, Rai. Aku tak sedap hati. Kau boleh share location tak lepas kau dah sampai sana? Aku minta abang Edri tengok-tengokkan kau. Boleh eh, Rai? Serius, aku tak tenang. Nak makan tadi pun tak lalu...”

      Aku memegang dada. Kenapa Emma bersungguh-sungguh mengatakan yang dia tak sedap hati? Ada apa-apa yang berlaku ke nanti? Tapi selama ni aku keluar dengan Rayyan, Emma tak pernah risau sampai macam ni sekali.

       “Ya Emma. Okey okey. Aku akan hantar location aku nanti dekat kau, okey? Janganlah risau macam ni. Pergi makan. Okey? Nanti masuk angin. Ya, aku janji. Okey, bye.”

      Sebaik saja menamatkan panggilan, aku terus keluar dari bilik dan menuruni anak tangga.

       “Siap dah? Baguslah kalau kau siap awal. Aku nak gerak awal ni. Dah jom!”

       Aku baru nak menghabiskan melangkah anak tangga yang terakhir. Terus diajaknya masuk dalam kereta. Tak menyabar betul manusia macam ni. Ada karang aku debik. Dahlah aku tak ada mood nak ikut dia pergi parti. Dengan sikap Emma yang tiba-tiba risaukan sangat dekat aku makin bertambah-tambah malas aku nak pergi.

*****

        DARI luar rumah dah boleh dengar bunyi muzik bergendang-gendang bagaikan kelab malam. Boleh tahan ramai juga tetamu-tetamu kehormat yang dijemput. Malam-malam macam ni, mereka semua mandi dalam kolam renang. Tak sejuk ke? Kulit buaya semua ni agaknya.

       “Woi, aku nak jumpa kawan aku. Pandai-pandailah kau jaga diri.”

        Aku hanya mengangguk. Malas nak banyak soal. Nak tak nak aku kenalah buat-buat macam ramah dengan semua orang. Masalahnya sekarang ni, orang perempuan dekat sini memang pakai baju tu nak jimat kain ke jimat duit? Punyalah menonjol aset-aset yang sepatutnya ditutup tetapi selamba mereka saja tayangkan dekat orang lelaki.

      “Eh, Raihana?” 

      Aku memalingkan tubuhku menghadap empunya suara yang sepertinya mengenaliku.

     “Ezra? Seriuslah! Kau pun datang sini! Serius lain gila kau!” Terkejut aku dibuatnya melihat penampilan Ezra malam ni. Dengan singlet basahnya, nampak sangat baru lepas keluar dari kolam renang.

      “Rai! Asal kau tak bagitahu aku yang kau pun datang sini?”

       Aku tertawa kecil.

       “Rayyan paksa aku datang sini. Nak tak nak kenalah ikutkan?”

       Ezra mencebikkan bibir seraya menganggukkan kepalanya.

      “Nasib kaulah kena paksa. Ni mesti kau kena tinggalkan? Jomlah ikut aku, boleh aku kenalkan dengan geng-geng aku.”

      Aku menganggukkan kepala sambil menyambut huluran tangan Ezra dan beredar keluar dari rumah itu menuju ke belakang halaman rumah. Masih ramai yang bermandi-manda dalam kolam renang. Ada yang menari mengikut rentak lagu dan ada juga aku nampak botol-botol arak di atas meja. Okey, ni memang parti liar. Aku dulu dekat California pernah pergi dua kali saja itu pun ikut Serena. Emma memang bukan kaki parti dan masa tu juga dia ada hal. Dia dapat tahu aku pergi parti liar dengan Serena, tujuh hari tujuh malam aku kena tadah telinga mendengar bebelan dia. Diselitkan juga dengan sedikit tazkirah agama.

      “Guys! Ni member kerja aku, Raihana. Rai, ni member aku, Johan, Ikhmal dan Sasha.”

        Aku berjabat tangan dengan kawan-kawannya. Mereka agak peramah. Baru kenal tapi mengajak aku berborak bagaikan dah kenal lama. Ezra pula suka menyakat aku. Mujur aku ni boleh kawal blushing aku.

       Pak! Puk! Pak!

       Suasana menjadi hening seketika apabila Rayyan menepuk tangannya beberapa kali sekali gus tersenyum senget ke arah aku. Aku tak tahu apa kali ni dia nak buat dengan aku. Apa yang aku resah sekarang ni, jantung aku macam nak meletup.

     “Perhatian semua. Aku ada nak pengumuman sikit. Alang-alang semua ada kat sini. Aku tahu semua kenal aku dekat sini tapi seorang pun tak pernah nampak adik akukan? Perlu ke aku nak gelar dia ‘adik’? Aku rasa dia ni sampah masyarakat je. Anak pungut!”

      Serentak semua yang ada di situ terkejut dan ada yang mula mengejek aku. Aku cuba menebalkan wajahku menahan malu. Apa tujuan Rayyan sebenarnya?

     “Tu dia. Perempuan yang aku maksudkan tu. Dia sebenarnya sama je macam perempuan-perempuan lain. Cantik? Pada aku cantik lagi awek aku. Dia tu sama level dengan tong sampah je. Tempat dia memang layak kat situ. Dia tu sebenarnya pembawa bala je dalam hidup aku dari dia kecik sampai besar.”

      Aku dah tak mampu menahan air mataku dari mengalir. Kata-kata hinaan Rayyan menembak tepat ke dalam hati aku. Inikah yang Emma risaukan?

      “Rayyan...” Ezra cuba untuk menghentikan dia tetapi Rayyan menggelengkan kepala.

       “Tak payah, Ezra. Aku kenal dia dari kaulah. Kau tu jangan nak berlagak hero.”

       Ezra melepaskan dengusan kasar. Dia menggenggam tanganku erat. Mungkin cuba menyalurkan kekuatan untuk aku.

      “Nur Aazeen Raihana, aku rasa kau dah tahu pasal semua ni. Aku tak pernah anggap kau adik. Sebab? Sebab tu lambat-laun kau akan tahu juga. Aku pasti. Sekarang ni aku nak memperkenalkan awek aku sekali gus PA aku. Yang akan menggantikan tempat kau mulai minggu depan.”

      Aku menekup mulutku tidak percaya melihat satu susuk tubuh yang sangat aku kenali. Kenapa mesti dia? Tak cukup lagikah dia dah merosakkan hubungan aku dengan Adam. Kenapa dia bersama Rayyan? Adam dengan dia tidak bersama lagikah?

     “Serena?”

     Serena memandang aku dengan pandangan sinis. Dia memeluk lengan Rayyan. Terlentuk-lentuk kepalanya pada bahu si bapak singa itu.

      “Hai, Raihana. Tak sangka kita jumpa lagi, kan? Ingatkan lepas kes hari tu, kita dah tak jumpa. Rupanya hubungan persahabatan kita masih kuat lagikan? Abang awak cakap, awak tak kisah saya ambil jawatan PA tu sebab awak memang rela nak jadi kerani. So, awak jangan salahkan saya pula, ya?”

      Lambat-lambat aku melorekkan senyuman nipis. Air mata aku seka perlahan. Maruah aku dengan mudahnya dipijak-pijak oleh Rayyan. Tak apalah. Aku reda. Salah aku juga sebab terlalu mengikut paksaan dia. Aku terima.

      “Ya. Aku rela. Tapi kalau kau cakap pasal hubungan persahabatan, aku rasa di antara kita dan juga Emma, hubungan persahabatan tu dah mati disebabkan kau sendiri. So, tak usahlah kalau kau nak cakap pasal persahabatan bagai. Aku jijik.”

      Kalau orang boleh sindir aku, pijak maruah aku. Kenapa aku tak boleh? Hidup dekat muka bumi ni mesti kena adil.

     “Eh, Raihana. Kau tak payah nak tunjuk kau tu baik sangatlah. Serena ni sayangkan kau. Kau cakap dia hancurkan hubungan persahabatan korang. Tapi sebenarnya kau sendiri yang perangkap dia dan juga ex-boyfriend kau tu kan? Sebab kau cemburu, lelaki lebih ramai berkenalan dengan dia berbanding kau. Kau tahu tak kau ni perempuan murahan! Tak adanya lelaki nak!”

     Pang!

     Rayyan terdiam sekali gus menyentuh pipinya yang ditampar oleh aku. Saat ini, air mataku berjuraian lebat. Sungguh aku malu saat ini. Dia memfitnah aku di hadapan orang ramai dan semestinya orang akan lebih mempercayai dia dari aku.

      “Aduh...” Aku meringis sakit apabila Serena menolak tubuh aku sehingga jatuh terjelepok di atas rumput. Ezra segera membantu aku untuk bangun.

      “Kau kenapa nak tampar dia?” marah Serena.

      “Aku ada hak sebab dia abang aku. Tapi macam dia cakap juga, aku ni tak layak digelar adik dia. Dan dia pun sama! Aku sebenarnya jijik ada abang macam dia! Aku lebih hidup sebagai anak tunggal dari ada abang macam dia!” tempik aku.

     “Eh perempuan! Kau pergi berambuslah!” Salah seorang kawan Rayyan menyampuk dalam situasi kami.

     Aku sekadar mengangguk kecil. Tanpa berlengah lagi, aku terus berlari meninggalkan mereka di situ. Aku boleh cari jalan sendiri untuk balik.

    “Rai! Tunggu!”

    Aku menoleh sedikit.
  
    “Ezra, apa kau nak lagi? Kau pun sama macam diaorangkan? Nak memfitnah aku?”

    “Rai! Sumpah weyh! Aku tak tahu Rayyan buat kau macam ni. Sumpah! Aku tak tergamak nak buat kau macam ni. Aku pun terkejut gila. Please, Rai.”

      Aku menghamburkan tangisan teresak-esak. Ezra menarik aku ke dalam dakapannya dan ketika itu aku hanya membiarkan dan melepaskan tangisan.

     “Biar aku hantar kau balik. Aku tahu kau datang dengan Rayyan tadi. Jom.”

     Dia terus menyambar jaketnya yang tersangkut di bibir kerusi kemudian memeluk bahu aku dan bersama-sama memboloskan diri masuk ke dalam keretanya.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.