Home Novel Cinta I LOVE YOU 3000 (Terbitan ZHR)
Bab 26

BAB 26

ABANG... tolonglah jangan bagi Raihana pergi...”

“Abang, saya merayu pujuklah Raihana balik. Jangan bagi dia pergi. Saya tak boleh tak ada dia, abang...”

Dari pintu utama aku dengar tangisan bonda teresak-esak. Semakin berat aku hendak melangkah pergi. Aku menggenggam erat pemegang bagasi. Aku dah nekad untuk pergi dari keluarga ini selepas Rayyan menghamburkan segala kata-kata caciannya. Rahsia selama ini juga aku sudah tahu.

Aku sedar yang aku hanya menumpang di dalam rumah ini tetapi perlukah Rayyan menyeksa hidup aku? Segala perbuatan dia. Kata cacian dia ibarat berdas-das peluru yang menembak ke dalam hati aku. Sedangkan baba dan bonda sangat menyayangi aku, kenapa dia perlu membenci aku sehingga begini sekali?

“Raihana...”

Perlahan aku memalingkan tubuh menghadap baba. Aku nampak bibir bonda terketar-ketar mahu mengungkapkan sesuatu. Aku tahu dia tak mahu aku pergi. Dari kecil aku memang rapat dengan dia. Manja dengan dia. Dia tempat aku mengadu. Walaupun dia bukan ibu kandung aku tetapi kami sangat akrab.

“Sayang, jangan pergi. Bonda merayu. Maafkanlah Rayyan. Dia tak salah. Semua salah bonda. Bonda punca semua ini terjadi. Maafkan bonda...”

Aku membungkam.

“Ya Allah, bonda. Jangan cakap macam tu. Bonda tak salah apa-apa...”

Beberapa kali bonda menggelengkan kepalanya seraya menangis teresak-esak. Dia menarik aku ke dalam dakapan. Erat. Sangat erat. Membuatkan perasaan aku semakin sebak. Berat untuk aku pergi dari rumah ini. Baba dan bonda dah didik aku dengan baik. Walaupun setitik darah aku tiada dalam diri mereka. Tetapi aku dah nekad untuk pergi kerana Rayyan Husaini. Dia berhak bahagia bersama dengan keluarganya. Aku tak nak menjadi punca dia kehilangan kasih sayang dari keluarga kandungnya sendiri. 

“Bonda... maafkan Rai. Bukan Rai tak nak duduk sini. Rai nak meluangkan masa dengan keluarga kandung Rai. Bonda jangan risau. Rai akan datang sini melawat baba dengan bonda. Baba dengan bonda sentiasa dalam hati Rai.” Aku mengusap belakang bonda lembut. Sama seperti dia buat ketika aku kecil sehingga sekarang. Allahu... sebaknya perasaan aku ketika ini. Berilah aku kekuatan. Aku tak berniat nak menyakiti mereka. Sampai masanya aku kena pergi.

“Rai janji dengan bonda yang Rai tak akan lupakan bonda? Mesti datang sini, ya? Telefon bonda?”  

Bersungguh-sungguh aku menganggukkan kepala. Tak tergamak untuk aku melupakan mereka yang telah banyak berbakti dari aku kecil sehingga sekarang. Cuma waktu sekarang ini aku rasa, aku ingin merapatkan diri dengan keluarga kandung aku. Ibu, ayah, along dan angah. Mereka adalah keluarga sebenar aku dan sedikit pun aku tak pernah mendapat kasih sayang dari mereka. Aku nak juga tahu kenapa mereka menyerahkan aku kepada baba dan bonda.

“Hati-hati, sayang. Bonda sayangkan Raihana sangat-sangat...”

Aku tersenyum seraya melambaikan tangan ke arah baba dan bonda. Sempat lagi aku mengerling ke arah Rayyan yang sedang berdiri tegak di muka pintu utama. Serena di sebelah sudah tersenyum sungging sambil lambai ala-ala diva. Eh, kisah pula aku? Ingat kau tengah jejakkan kaki atas karpet merah ke? Nak ambil anugerah? Huh!


***** 

FUH! Genap tiga bulan aku duduk dekat sini. Aku masih lagi bekerja di kafe pak cik Emma. Dia pun kerja separuh masa dekat situ. Angah ajak dia bekerja dalam syarikat keluarga angkat angah dia tak mahu. Katanya nak ikut aku. Mujur angah ni jenis tak kisah. Semua kehendak si tunang ditunaikan. Seminggu saja lagi mereka akan berkahwin! Tak sangka sahabat baik aku akan jadi kakak ipar aku! Kakak ipar kaki masuk air! Haha!

“Adik! Oooh! Adik!”

Pecah berderai khayalan aku. Baru nak berangan berkahwin dengan anak raja. Dengar pula si along menjerit-jerit panggil aku. Aduhai! Kacau daun betul!

“Ya along!” sahut aku sambil membetulkan pakaian aku sedikit.

“Ada orang datang nak jumpa adik tu!”

Serentak dahi aku berkerut seraya kening terjungkit sebelah. Apakah? Siapa pula yang datang nak jumpa aku? Pelik. Selama aku duduk di rumah ini tiada langsung gangguan. Tup-tup hari ini ada pula yang mengacau! Hesy!

“Siapa along?” soal aku setelah aku berdiri di sebelahnya.

“Hai Raihana...”

Aku memandang ke arah susuk tubuh itu. Secara automatik bibir aku menguntum senyuman. Abang Edri rupanya. Aku ingat siapa tadi. Baru nak berleter tadi. 

“Oh, abang Edri. Ingatkan siapa. Jemputlah duduk. Rai buatkan air.”

“Oi! Buatkan air untuk aku, mama dan papa sekali!”

Baru nak melangkah, secara mendadak aku berhenti. Menoleh ke arah empunya suara itu. Aik? Emma pun ada? Mama dengan papa diaorang pun? Ada apa ni? Lain macam aje. Selalunya kalau nak datang dia akan beritahu aku. 

“Ha... yelah. Duduk-duduk...,” pelawa aku. Lantas, aku melangkah ke dapur dan membancuh air untuk tetamu yang datang.

*****

AKU terdiam seribu bahasa. Masuk meminang? Berkahwin? Aku nak kahwin dengan abang Edri. Tapi aku tak bersedia nak masuk ke alam perkahwinan lagi. Kata abang Edri hari tu nak bagi aku masa. Sanggup tunggu aku....

“Abang minta maaf. Abang tahu benda ni secara tiba-tiba. Tapi abang memang betul-betul nak jadikan Rai suri hati abang. Abang memang suka dekat Rai dah lama...”

Aku melepaskan keluhan berat. Tak sampai hati nak menolak pinangan lelaki yang ikhlas mencintai aku. Sanggup datang masuk meminang. Okey, Raihana... tenang!

“Abang Edri... maafkan Raihana juga. Rai betul-betul terkejut tapi Rai tak nak hampakan abang. Rai tak sampai hati nak menolak buat kali kedua. Baiklah. Rai terima cumanya beri Rai masa. Untuk Rai bukakan hati Rai untuk abang...”

“Alhamdullilah. Terima kasih, Rai. Abang gembira sangat yang Rai tak tolak pinangan abang. Abang takut juga sebenarnya. Gementar.”

Aku tertawa kecil. Sebenarnya aku malu berdua-duaan dengan dia ni dekat atas jambatan kecil berhampiran dengan rumah aku. Dia yang ajak aku berbincang berdua dekat sini. Aku pun ikut sajalah. Tapi serius, aku rasa kekok.

“Jadi, Rai tak kisah yang kita terus bernikah? Abang tak nak bazirkan masa dengan bertunang. Kalau boleh kita bernikah sebulan dari sekarang. Rai okey?”

Aku tersenyum kecil lalu menganggukkan kepala. Aku nak kahwin dah! Huish! Raihana kau boleh ke pegang tanggungjawab sebagai seorang isteri! Seram!

“Abang ikhlas sayangkan Rai. Ni untuk Rai. Abang harap sangat Rai terima...” Satu kotak baldu berwarna merah diberikan kepada aku.

Berkerut dahi aku memandang dia sebelum pandangan aku jatuh pada kotak baldu tersebut. Eh? Tadi tu cincin apa?

“Eh, tadi bukan abang dah bagi ke?” soal aku pelik. Lambat-lambat aku mengambil kotak itu dari tangannya.

“Itu bukan cincin. Itu rantai. Rantai emas yang abang belikan khas untuk Rai. Ada tiga huruf.”

Aku membuka kotak baldu tersebut dan mengambil seutas rantai dalam kotak itu. Ya. Ada tiga huruf. Huruf N, A dan R. Membawa maksud Nur Aazeen Raihana. Cantik sangat. Siap ada loket mahkota di kiri dan kanan huruf itu.

“Cantiknya. Seriuslah ni untuk Rai?”

Edri menganggukkan kepalanya seraya tersenyum. “Nak abang kalungkan?”

Aku tersengih. Rantai itu aku berikan kepada dia. Perlahan dia memakaikan rantai itu pada leher aku. Malu rasanya. Tak fasal-fasal merinding bulu roma aku! Lain macam aura abang Edri ni!

Kalaulah Rayyan layan aku macam ni, mesti best kan? Eh sekejap. Kenapa aku sebut nama mamat tu? Sudah sekian lama aku tinggalkan dia. Asal tiba-tiba hari ni aku sebut nama dia? Walau dalam hati. Rindu? Errr...

Tak adanya! Jauhkan! Argh!

“Rantai ni abang belikan untuk Rai rasa abang ada selalu dengan Rai. Jauh macam mana pun abang, abang tetap dalam hati Rai. Abang nak Rai sentiasa kuat menempuhi segala apa yang terjadi dalam hidup, Rai. Okey?”

Tersentuh hati aku mendengar ungkapan ayatnya. Menusuk kalbu! Serius! Air mata aku nak jatuh ni! Kenapa dia perlu cakap macam tu? Aku memang tak kuat tapi aku pura-pura kuat sebab aku tak nak orang nampak kelemahan aku. Tak nak mudah-mudahnya orang pijak aku. Cukuplah dulu... 

“Terima kasih abang...”

Dia hanya tersenyum dan ajak aku berbual-bual dengannya.



Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.