Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Rainy Rose
11/11/2022 09:44:42
7,339
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7.1

Imbas kembali… 

5 bulan yang lepas…

CIK Lucy Penolong Ketua Perekaan mendadak meminta staff dalam studio berkumpul. Katanya ada pengumuman penting. Dalam fikiran Aniq Zafran ketika itu, mungkin ada mesyuarat untuk pelancaran produk terbaru barangan kemas syarikat mereka sambil-sambil itu diadakan jamuan kecil-kecilan.

Staff sudah berbisik sesama sendiri, meneka apa yang akan diucapkan Cik Lucy nanti. Hanya Michael Angle meminggirkan diri nun jauh dari himpunan staff-staff lain sambil berpeluk tubuh dan membuang pandangan ke luar memerhati kawasan perbukitan hijau kelihatan kecil dan jauh pada pandangan matanya.

“Suka menyendiri,” analisis Aniq Zafran, tidak kurang menyerupai penyiasat persendirian. Memang hakikatnya dia merupakan penyiasat sendirian yang sedang melakukan tugas penyamaran.

“Attention please…” ucap Cik Lucy sebaik sahaja memasuki studio, pintu sengaja dibiarkan terbuka.

Masing-masing mulai senyap, memberi tumpuan kepada pengumuman Cik Lucy nanti. Mana tahu, ada bonus kepada mereka nanti. Untung mereka nanti.

“Thank you. Hari ni saya akan memperkenalkan dengan awak semua Ketua Pereka yang baru di unit ini bagi menggantikan Mr. David yang meletakkan jawatan lama dahulu.”

Mereka kembali bising bergosip sesama mereka. Baru Aniq Zafran ingat, sudah agak lama unit itu tidak mempunyai ketua semenjak dari belum dia mendapat kerja di situ. Hasil risikan berbual dengan staff-staff di bahagian sumber manusia, Aniq Zafran mendapati orang atasan masih belum menjumpai pengganti sesuai untuk menerajui unit itu. Banyak-banyak calon yang datang untuk temuduga, takkan pula tiada seorang yang sesuai, tebak Aniq Zafran.

Untuk menaikkan jawatan Cik Lucy bagi mereka, wanita awal 30-an itu masih belum layak kerana pengalamannya yang cetek. Mereka memerlukan seseorang yang banyak pengalaman dalam bidang itu, kata orang atasan. Tidaklah Aniq Zafran tahu sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Can I get your time please?” Tegur Cik Lucy, suaranya kedengaran tegas barulah mereka senyap memberi tumpuan. “Thanks.”

Cik Lucy tersenyum manis, tiada riak cemburu tidak dinaikkan pangkat malahan, dari sudut hati paling dalam, dia mengalu-alukan kedatangan ketua baru mereka. Dia orangnya berfikiran terbuka dalam kerjaya demi meningkatkan kualiti kerja.

“Encik Kamal… encik dah boleh masuk sekarang,” panggilnya sambil melihat ke arah pintu kaca terbuka luas.

Masing-masing berdebar menanti kehadiran ketua baru mereka tetapi tidak Michael Angle yang lansung tidak memandang ke arah itu. Dia berharap situasi seperti jejak kasih ini segera tamat dan bolehlah dia kembali menyelesaikan pekerjaan yang tergendala. 

‘Buang masa!’ Michael Angle berdengus sambil menjeling tajam.

Aniq Zafran memandang lantai sebaik sahaja mendengar bunyi tumit kasut berlaga dengan lantai. Perkara yang dilihatnya terlebih dahulu ialah kasut kulit mahal dipakai Encik Kamal sebelum lirikan mata memandang cara pemakaiannya ala-ala lelaki korporat berjaya - memasukkan kedua tangan ke dalam poket seluar dan akhirnya melihat wajahnya seakan-akan kemelayuan - kacak dan sawo matang ibarat tall, dark and handsome!

“Inilah Encik Kamal,” kata Cik Lucy dengan penuh teruja.

Mata-mata wanita yang melihat rata-rata mengagumi kekacakan wajah Encik Kamal menyebabkan Cik Lucy terpaksa berdehem beberapa kali untuk mendapatkan tumpuan mereka.

“Helo everyone. Selamat bekerjasama. Kita akan mengenali sesama sendiri melalui komunikasi berkumpulan dalam pekerjaan kita. Harap beri kerjasama,” luah Encik Kamal dengan lontaran suara penuh karisma mencairkan staff-staff wanita apatah lagi lesung pipi kelihatan semasa tersenyum membuatkan mereka tergoda.

Tanpa diduga, Encik Kamal ternyata pandai mengambil hati pekerja bawahan. Dia menyalami setiap staff sambil dihiasi dengan senyuman mesra dan ini memberi tanggapan baik pada pertemuan pertama mereka.

Aniq Zafran gembira akan hal itu, senanglah dia menghadapi seorang ketua sebegitu. Mesra dan mungkin boleh dibawa berbincang apabila timbul masalah. Paling penting, dia berharap Encik Kamal bukanlah seorang yang suka memaksa pekerjanya bekerja lebih masa dan mengganggu waktu rehat mereka. Angannya membuatkan Aniq Zafran ketawa lucu secara senyap.

Sampai giliran Michael Angle, dia tidak terus menyambut salaman itu. Michael Angle sedar tumpuan semua orang sudah teralih ke arahnya. Suasana menjadi hening seketika.

Encik Kamal pula berasa dia sudah membuat kesalahan tanpa sedar. Maklumlah, dia masih baru di situ dan tentu sekali tidak tahu perangai lelaki itu dingin seperti ais batu.

Lambat-lambat salaman itu disambut malahan Michael Angle menggenggam kuat membuatkan Encik Kamal tersentak, berasa tidak selesa dengan pertemuan pertama mereka. Dalam-dalam dia merenung bebola mata Encik Kamal yang menjadi gelisah dibuat sedemikian. Muka monyok Michael Angle mendadak berubah, tiba-tiba menguntum senyuman sinis sambil merenung tepat biji matanya.

“Muka encik nampak pucat. Encik tak sihat ke? Jangan banyak sangat fikir sebab semua tu akan tergambar pada wajah kita. Senyum selalu tak bermaksud kita gembira. Bergelak tawa mungkin sebab nak sorokkan kesedihan dalam hati. Boleh jadi… topeng untuk menyembunyikan kesalahan-kesalahan lalu.”

Kata-kata itu melenyapkan karisma Encik Kamal, berkali-kali menyentuh belakang leher dengan tangan kiri. Dia diamuk gelisah, staff di hadapannya seseolah menyimpan sesuatu kuasa yang tidak diketahui orang ramai.

Seisi pejabat saling berbisik mendengar kata-kata Michael Angle termasuklah Aniq Zafran. Memang pada amatannya tadi wajah Encik Kamal itu pucat seperti tidak sihat cuma, tidaklah terlalu ketara kelihatannya. Mungkin sahaja itu disebabkan dengan faktor cuaca tidak menentu kebelakangan ini. 

Namun, ucapan Michael Angle mengenai ‘topeng untuk menyembunyikan kesalahan’ mengundang persoalan dalam minda Aniq Zafran. Dia sudah bertekad apabila habis waktu pejabat nanti, dia akan menggali persoalan itu bersama dengan Noraini.

Michael Angle menjeling ke arah Aniq Zafran yang termenung seperti sedang berfikir hebat.

‘Lembab!’ Kutuk Michael Angle dalam hati.

“Saya pasti… kita akan berseronok untuk bekerjasama nanti. Kerjasama kita akan menjadi seperti roller-coaster, barulah seronok berbanding dengan kerjasama yang normal dan aman seperti kebiasaan. Cliché sangat situasi macam tu,” kata Michael Angle, melepaskan genggaman tangan sambil tersengih senget sebelum riak wajah bertukar muram kembali sekelip mata.

Tidak ingin berlama-lama di situ, Michael Angle melangkah untuk meninggalkan sesi pengumuman yang dirasakan sia-sia sahaja.

“Nanti…” Tegah Encik Kamal membuatkan langkah Michael Angle terhenti tetapi tidak menoleh melihatnya. “I looking forward to working with you.”

Michael Angle berpaling dengan riak menyampah jelas terlakar pada wajahnya.

“Really? Jangan menyesal dengan kata-kata encik. Encik patut ingat akan kata-kata itu,” seperti terkandung nada ugutan dalam ayatnya membuatkan ketua baru itu terkedu.

Niat Michael Angle memang mahu mencabar Encik Kamal yang hanya dianggap sebagai budak mentah dan bukan sebagai seorang ketua baru yang harus dihormati.

“Hmmm… Encik Kamal, I show your room then, kita minum petang. Saya dah sediakan di bilik mesyuarat,” celah Cik Lucy, tidak mahu keadaan tegang berlarutan.

Cik Lucy mati idea tadi untuk mencelah memandangkan sedia maklum perangai Michael Angle yang sukar dijangka sikapnya dan juga paling ketara gemar menyendiri serta tidak mesra dengan individu lain. Kini, dia rasa bersalah membuatkan Encik Kamal diperlakukan sedemikian oleh Michael Angle.

Sebaik mendengar kata-kata Cik Lucy, Michael Angle tidak menunggu lagi, terus menuju ke tempat duduk meninggalkan mereka semua dalam keadaan terpinga-pinga. Dia tidak akan turut sama jamuan itu nanti. Cukup masa, dia akan pulang ke rumah tanpa melewati waktu kerjanya ditetapkan.

“Wow, bad mood sangatlah dia ni! Ketua baru ni sporting kot! Mana ada ketua nak salam dengan staff awal-awal macam ni. Apalah…” rungut Aniq Zafran sendirian memerhati lelaki yang suka meminggirkan diri.

Seakan mendengar rungutan itu, Michael Angle mendongak lalu merenungnya dengan sinis sebelum Aniq Zafran terkejut kerana mendengar suara hati lelaki itu menjerit kuat kepadanya.

‘Shut up! Mind your business… detektif penyibuk! Kau gelar diri kau detektif? Berapa banyak kes pernah kau selesaikan, si pencundang?’

Hampir terduduk dibuatnya namun, Aniq Zafran anggap itu sebagai cabaran untuk meneruskan penyiasatan. Jiwa seorang penyiasat harusnya kental dan tidak boeh berputus asa walaupun diasak bertubi-tubi dari segala sudut.


Previous: Bab 7
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.